Raikan anak yatim dan golongan miskin sepanjang masa
Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya
Soalan: Orang Islam atau orang melayu apabila bulan puasa mereka sibuk melayani anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Tetapi selepas bulan puasa dan hari raya mereka senyap. Setahun sekali sahaja mereka raikan.
Jawapan:
Bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, amma ba’d,
Berbicara tentang anak yatim, Nabi SAW tidak pernah mengkhususkan hari dan waktu tertentu untuk kita melayani mereka, menjaga hak mereka, mengasihi dan menjaga mereka. Bahkan jika kita lihat bagaimana Allah SWT nyatakan,
إن الذين يأكلون أموال اليتامى ظلما إنما ياكلون في بطونهم نارا وسيصلون سعيرا
“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).” (surah An-Nisaa, 4: 10)
Tidak ada pengkhususan di dalam soal kita menjaga dan mengasihi hak anak-anak yatim. Bahkan Nabi SAW mengajar cara untuk kita menjaga dan berkomunikasi dengan mereka; memegang kepala mereka, menyayangi dan bersedekah kepada mereka.
Cuma sekarang ini, apabila dikaitkan Ramadhan dan luar Ramadhan, bulan Ramadhan ini ma’ruf, diketahui bahawasanya ia merupakan bulan yang patut kita pertingkatkan amalan bersedekah. Amalan bersedekah dipertingkatkan di dalam bulan Ramadhan, seperti mana disebut di dalam hadis, baginda SAW adalah orang yang paling kuat bersedekah di dalam bulan Ramadhan.
Kita bersangka baik kepada orang yang memanfaatkan Ramadhan untuk bersedekah kepada anak-anak yatim dan mengasihi anak-anak yatim, satu ucapan tahniah kita ucapkan kepada mereka. Tetapi pada masa yang sama kita hendak mengingatkan juga seluruh umat Islam bahawasanya sedekah kepada anak yatim dan mengasihi mereka bukan tertumpu di dalam bulan Ramadhan sahaja.
Kalau kita beria-ia di dalam bulan Ramadhan, hendaklah juga sepanjang sebelas bulan yang lain kita beria-ia membantu mereka.
Wallaahua’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut: