Skip to content

Keberadaan umat Islam dalam demokrasi tidak menjadikan sistem itu Islami & baik

November 13, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Sekarang ustaz sendiri terlibat dalam sistem demokrasi. Ustaz terlibat dengan gerakan yang mengaplikasikan sistem demokrasi.

Jawapan:

Sekarang kita bercakap tentang dua topik yang berbeza. Pertama, demokrasi itu sistem Islam atau tidak. Saya katakan secara prinsipnya, demokrasi bukan sistem Islam.

Kedua, penglibatan ataupun keberadaan kita dalam sistem demokrasi.

Sekarang saya tidak nafikan saya berada dalam sistem demokrasi. Saya tidak nafikan teman-teman dan sahabat saya di dalam PAS contohnya yang hendak memperjuangkan hukum Islam, mengatakan perlembagaan ini bukan daripada perlembagaan Islam, tetapi mereka juga terlibat dalam sistem ini.

Mengapa mereka terlibat dalam sistem ini adalah atas usaha untuk membaik pulih atau memperbaiki sistem ini agar kembali berada di kedudukan dan tempat yang betul. Maka kalau dulu mereka berdalilkan sedemikian rupa iaitu untuk memperbetulkan keadaan, begitu juga saya berusaha untuk memperbaiki dan mengislah keadaan dan berusaha untuk mengembalikan manusia ke jalan yang lebih baik dan lebih benar.

Satu lagi saya hendak tekankan di sini. Keberadaan kita di dalam sistem ini tidak menjadikan kita menyatakan sistem ini sistem Islam. Jangan kita ambil sesuatu yang haram kemudian kita halalkan. Jangan kita ambil khinzir kemudian kita halalkan khinzir kerana kita hendak makan khinzir tersebut.

Ini satu permisalan yang sangat jelas. Sistem demokrasi bukan sistem Islam, tetapi keberadaan kita dalam sistem ini bukan bererti kita terima semua, tetapi kita mengawal dan berusaha untuk mendisiplinkan diri kita daripada terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang di dalam sistem ini.

Sebab itu Islam meletakkan kaedah, apabila manusia berhadapan dengan dua kemudharatan, kita memilih kemudharatan yang paling ringan dan minimum kesannya yakni kaedah yang disebut “akhaffu dhararain”.

Akhaffu dhararain bagi kita adalah kita berusaha untuk meminimumkan kemudharatan yang datang dan terhasil daripada demokrasi. Sebab itu kita tidak bersetuju dengan demonstrasi contohnya. Kerana kita melihat ia mendatangkan kemudharatan yang lebih besar dan ia juga bukan dari syariat Islam. Maka kita mengawal demokrasi pada hari ini dengan menolak demonstrasi yang diadakan untuk memastikan dakwah Islam serta adab di dalam Islam terjaga. Wallaahua’lam.

Soalan: Adakah ustaz mengatakan demokrasi tidak boleh dijadikan dasar dalam menentukan halatuju bangsa dan agama Islam?

Jawapan:

Ya, demokrasi tidak boleh dijadikan dasar. Itu prinsip. Sebab Islam tidak boleh bergantung pada suara ramai. Adakah kita hendak mengatakan negara yang mempraktikkan demokrasi sebagai negara Islam? Bagaimana dengan Amerika Syarikat, Denmark, Norway, UK, di mana mereka mempraktikkan demokrasi? Adakah mereka negara Islam? Tidak.

Jadi jangan mudah kita berdalilkan bahawa demokrasi itu adalah sistem Islam dan jangan kita katakan demokrasi itu adalah sistem yang adil kerana memberi hak kepada semua untuk bersuara.

Sedangkan Islam sebenarnya telah memberikan keadilan yang terbaik. Islam menimbang antara kemaslahatan dan kemudharatan untuk melakukan sesuatu keputusan.Nabi SAW sendiri pun telah menetapkan bahawa asas kerajaan yang diiktirafkan di dalam Islam ini adalah kerajaan yang bersifat sama ada khilafah, beraja, imam, jadi itu adalah sistem Islam yang asas.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

From → Akidah & Manhaj

2 Komen
  1. Mahadir permalink

    Saya sudah membaca banyak artikel mengenai sistem demokrasi dan Islam. Ada artikel yang pro kepada demokrasi itu halal dan ada yang mengatakan demokrasi itu haram, malah ada juga yang mentafsirkan ia sebagai syirik. Pencarian daripada pendapat-pendapat ustaz dan golongan pendakwah terkenal negara hampir semuanya membenarkan sistem demokrasi itu sebagai landasan perjuangan orang Islam untuk menegakkan agama Islam di Malaysia.

    Namun bagi saya adalah berbeza daripada kebanyakkan pendapat. Saya lebih selesa dengan mengatakan bahawa demokrasi itu tidak baik dipakai untuk Islam dan umat Islam. Kenapa saya berfikiran sedemikian? Jawapnya mudah, kerana demokrasi itu terlalu banyak implikasi buruknya berbanding kebaikan untuk kita.

    Sebelum saya panjangkan lagi pandangan saya mari kita lihat apakah implikasi buruk yang saya maksudkan (sebahagian daripadanya):

    1. Sejak bermulanya sistem demokrasi di Malaysia, orang Islam berpecah kepada dua
    kumpulan yang besar iaitu UMNO dan PAS. Padahal bukankah perpecahan umat Islam itu
    haram di sisi Allah?
    2. Bermulanya perbuatan fitnah memfitnah (menuduh kafir dsb) yang berleluasa antara dua
    golongan tersebut.
    3. Berlaku pergaduhan, penceraian suami isteri, tersemai sikap benci membenci antara dua
    fahaman berbeza dan memutuskan silaturrahim.
    4. Menanamkan sikap fahaman berpuak-puak (UMNO bersama UMNO dan PAS bersama PAS)
    sehingga muncul pula Ulamak UMNO dan Ulamak PAS.
    5. Menjadikan orang Islam terlalu sibuk memikirkan pasal Parti masing-masing sehinggakan
    mereka terlupa dengan misi umat Islam yang sebenar di akhir zaman.

    Saya secara peribadi telah menolak sistem demokrasi ini selepas saya membuat sedikit kajian dan pemahaman daripada kesannya kepada kita sebagai orang Islam. Seperti mana yang Ustaz ceritakan bahawa hanya disebabkan keberadaan kita di dalam sistem demokrasi maka kita pun terpaksa menerimanya sebagai sebuah landasan untuk Islam bangun dan bergerak. Ustaz kerap mengatakan demokrasi itu bukan sistem Islam tetapi mengapa Ustaz masih menerima sistem tersebut walhal bukannya kita berada dalam darurat yang membuatkan kita terpaksa. Saya jadi keliru, apakah sebegitu mudah kita menerima demokrasi hanya kerana kita sudah berada di dalamnya?
    Saya cuba andaikan dalam bentuk yang lain; kalau kita tiba-tiba berada di dalam kolam najis dan kita lihat ramai orang lain di situ mengambil najis tersebut sebagai makanan mereka. Kita tahu bahawa najis itu haram dimakan dan memang bukan makanan bagi kita. Tapi disebabkan keberadaan kita di dalam kolam najis tersebut maka kita pun turut makan najis seperti orang lain dengan harapan najis akan bertukar madu. Adakah ia begitu? Kenapa tidak cuba keluar sahaja dari kolam tersebut? Kalau kita berusaha, di sana pasti Allah akan sediakan jalannya. Betul tak?

    Maka saya mengambil sikap berhati-hati dalam menerima sesuatu sistem itu sebagai sebahagian dari hidup kerana bimbang ia bukan cara Islam. Apatah lagi ia adalah sistem yang baru dalam kehidupan orang Islam walaupun usia sistem ini jauh lebih tua dari umat Islam.

    Apabila saya merujuk hadis-hadis Nabi, terdapat beberapa hadis yang sangat jelas menerangkan tentang sesuatu yang baru dalam urusan umat Islam.

    Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

    مَنْ أَحْدَثَ في أَمْرِنا هذا ما لَيْسَ مِنْه فَهُوَ رَدٌّ

    “Sesiapa yang melakukan sesuatu yang baharu dalam urusan kami (agama) ini maka perkara tersebut bukanlah daripada urusan agama, maka ia adalah tertolak”. – Bukhari dan Muslim

    Dalam riwayat lain oleh Muslim :

    مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنا فَهُوَ رَدّ

    “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dan ia bukan daripada urusan kami (dalam agama), maka ia tertolak.”

    Daripada ‘Irbadh bin Sariyah, Nabi SAW bersabda :

    فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وسُنَّةِ الخُلَفاء الراشِدِين المَهْدِيِّين عَضُّوا عَليها بالنَواجِذ وَإِيّاكُم وَمُمْحَدثات الأُمُور فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَة ضَلالَة

    “Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku, dan sunnah sahabat Khulafa’ Ar-Rasyidin yang mereka ini diberikan hidayah dan gigitlah ia dengan gigi geraham (berpegang teguh dengan sunnah tersebut), maka jauhilah kami daripada pembaharuan yang yang direka-reka (dalam agama), maka sesungguhnya setiap bid’ah tersebut adalah sesat.” – Abu Daud dan At-Tirmizi

    Memandangkan demokrasi ini sebuah sistem yang baharu dalam kehidupan umat Islam, maka bukankah kita patut berhati-hati untuk mengambilnya sebagai jalan hidup. Takut-takut sistem inilah yang cuba nabi maksudkan kepada kita sejak 1400 tahun dahulu tentang sesuatu yang baharu dalam agama. Apatah lagi sekiranya itulah yang Allah maksudkan sikap manusia yang mengambil agama lain sebagai panduan hidup seperti yang difirmankan di dalam Al Quran:

    Surah Ali ‘Imran, ayat 83

    “Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.”

    Apa yang saya faham dari ayat ini ialah agama baru yang dimaksudkan itu adalah suatu sistem dan amalan di luar agama Islam seperti mana sistem demokrasi yang berasal dari amalan agama lain (orang kafir). Padahal pada prasa kedua dalam ayat yang sama Allah menyuruh kita supaya bertakwa (penyerahan diri) kerana itulah sebenarnya sebaik-baik sistem yang pernah ada di dunia ini yang dianjurkan oleh Islam. Maka adakah anda fikir sistem demokrasi itu lebih baik daripada sistem takwa yang diperkenalkan oleh Allah?

    Apakah ada sistem lain yang pernah Nabi pakai untuk memerintah negara, berperang, mentadbir kewangan, beribadat dan sebagainya selain sistem takwa. Dan sesungguhnya takwa itulah kunci kejayaan sebenar bagi umat Islam yang ditunjukkan oleh Nabi. Sedangkan orang Islam pada hari ini tanpa segan silu mengatakan Nabi tak pernah meninggalkan apa-apa sistem untuk umat Islam pakai dalam urusan agama dan kehidupan mereka. Celakalah bagi orang yang menghina Nabi.

    Maka dapatlah kita simpulkan di sini bahawa kalau Nabi sendiri memakai sistem takwa dalam semua urusan kehidupan dan agama, apakah ia tidak boleh dipakai untuk memilih pemimpin negara dan seterusnya membentuk perlembagaan negara Islam pada hari ini?

    Ada orang berpendapat, Nabi sendiri pernah menggunakan idea orang kafir sebagai strategi dan taktik peperangan, mengapa hari ini kita tak boleh melakukan perkara yang sama? Mereka kata, walaupun sistem demokrasi itu datangnya dari barat tetapi kita hanya mengambilnya sebagai alat sahaja untuk mendapatkan kuasa memerintah supaya mudah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya. Ia serupalah sebagaimana kita boleh pakai mikrofon ciptaan orang kafir.

    Saya menolak pendapat mereka ini yang sering menggunakan Nabi sebagai alasan untuk menghalalkan keinginan mereka. Berhati-hatilah dan jangan sampai kita menghina nabi secara tak sengaja dan tak sedar. Mereka mengganggap diri mereka sebijak nabi padahal mereka itu golongan yang jahil.

    Kita harus pandai membezakan jenis sistem apakah yang boleh kita pakai dan yang tak boleh kita pakai. Saya menerangkan di sini bahawa secara keseluruhannya ada dua kategori sistem. Sistem-sistem tersebut ialah:

    i) Sistem ilmu dan teknologi (termasuklah pengurusan dan strategi)
    ii) Sistem ideologi

    Sistem pula dibentuk oleh tiga komponen asas:

    1) Input
    2) Proses
    3) Output

    Setiap sistem dicipta mempunyai tujuan yang tertentu supaya output yang keluar dari sistem tersebut terhasil seperti yang diingini (desired output). Maka untuk melihat sistem apakah yang berbahaya untuk kita sebagai manusia adalah dapat dilihat melalui komponen input dan outputnya.

    Mikrofon misalnya adalah terkategori dalam sistem ilmu dan teknologi dan input bagi sistem ini adalah bunyi. Bunyi yang kecil apabila melalui sistem mikrofon ia akan menghasilkan bunyi yang besar. Itulah tujuan sebenar penciptaan mikrofon. Oleh itu menggunakan mikrofon adalah tidak salah dan dibenarkan untuk orang Islam kerana tiada unsur-unsur yang boleh memudaratkan atau merosakkan akidah. Malah penciptaan mikrofon itu memberi manfaat pula kepada orang Islam menyampaikan dakwah, kuliah ilmu dan sebagainya.

    Manakala sistem demokrasi pula adalah sebuah sistem ideologi dan input bagi sistem ini adalah diri kita sendiri iaitu manusia. Sistem ini dicipta bertujuan untuk mengawal manusia supaya apabila mereka masuk ke dalam sistem ini mereka akan mudah dibentuk melalui apa yang sistem ini tentukan. Maka sistem seperti inilah sebenarnya sangat bahaya bagi kita sebagai orang Islam kerana takut-takut melalui sistem ini minda kita akan dibentuk melalui acuan sistem demokrasi yang dicipta barat. Hasilnya terciptalah umat Islam yang rosak sebagaimana yang saya terangkan di awal tadi (Lima implikasi buruk demokrasi). Ia kelihatan baik, namun apabila dilihat secara terperinci kita akan dapati bahawa sistem ini sebenarnya menipu orang Islam supaya mereka lalai dan asyik dengan parti politik mereka. Akhirnya umat Islam akan terlepas pandang dengan perancangan orang kafir yang cuba menghancurkan Islam. Oleh itu selagi mana sebuah sistem itu menggunakan manusia sebagai bahan prosesnya, maka haruslah kita berhati-hati sebelum menerimanya. Antara contoh lain sistem yang menjadikan manusia sebagai bahan proses ialah sistem pendidikan. Sekiranya sistem pendidikan itu sekular maka pelajar yang lahir nanti akan berjiwa sekular iaitu menolak agama atau memisahkan agama dari kehidupan. Melainkan sistem itu berasaskan agama yang terbit dari sistem takwa. Misalnya sistem Khilafah dan pendidikan Islam.

    Demokrasi ini adalah senjata rahsia bagi orang-orang kafir untuk menghancurkan umat Islam. Cukuplah kita lihat apa yang terjadi di negara kita setelah menjadikan demokrasi sebagai landasan perjuangan. Terlalu banyak keburukan yang kita perolehi daripada sistem demokrasi. Malah kalau dilihat dari perlaksanaannya pun demokrasi itu sendiri masih lagi sebuah sistem yang cacat dan tidak menepati maksud sebenar demokrasi. Di Malaysia sendiri kita boleh lihat penipuan di dalam demokrasi kepada rakyat. Apabila pilihan raya diadakan, perhatikan betul-betul ketika kita masuk ke dalam dewan dan mengambil kertas undian. Apakah yang tertulis di dalam kertas tersebut? Kita disuruh mengundi pemimpin atau mengundi parti. Berdasarkan pengalaman saya yang pernah mengundi dahulu, saya tak pernah nampak ada senarai calon-calon yang ramai dari satu parti untuk kita pilih dan undi. Tetapi apa yang saya lihat cuma seorang dari parti politik kerajaan dan seorang lagi dari parti pembangkang. Sama seperti kita hanya mengundi parti sebenarnya, bukan calon. Maka di manakah yang dikatakan kita berkuasa memilih wakil pemimpin di tempat kita. Walhal semuanya sudah pun dipilih oleh parti sendiri siapakah yang akan bertanding mewakili di tempat kita. Apa yang teruk sekali, saya langsung tak mengenali peribadi pemimpin tersebut secara lebih dekat. Tentang bagaimana sikapnya serta akhlaknya, setinggi mana ilmu agamanya, adakah dia seorang yang warak dan rajin menunaikan solat fardu dan solat malam. Kerana hanya ciri-ciri sebeginilah yang layak kita menilai sebelum kita boleh memilih mereka menjadi pemimpin. Di dalam memilih imam untuk memimpin solat pun Islam mengajar supaya memilih orang yang paling tinggi ilmunya, akhlaknya, ketakwaannya. Bukannya orang yang sentiasa melakukan kefasikan serta rendah ilmu agamanya. Oleh itu, untuk apa kita memperbodohkan diri sendiri dengan melibatkan diri di dalam demokrasi. Berubahlah sekarang!

    Mari kita fikirkan lagi, ada sesetengah orang Islam cuba memperjuangkan agama Islam dengan demokrasi. Apakah mereka fikir agama Islam semurah itu? Mana mungkin suatu sistem buatan orang kafir yang serba cacat dan tak sempurna itu bakal mengangkat sebuah agama Allah yang Maha Suci dan Maha Sempurna. Itulah sebabnya mereka tidak pernah memiliki kemenangan kerana mereka telah menghina agama Allah dengan demokrasi dan parti politik mereka. Bagi golongan yang telah menang tak bermakna mereka itu adalah benar. Tetapi mungkin kerana mereka itu sudah sedia mengamalkan sekularisme maka Allah memberi kepada mereka untuk terus dengan amalan mereka seperti mana yang mereka mahukan. Kerana Allah itu bersifat Maha Pemberi. Takut-takut Allah ingin memberi kepada mereka secara tidak redha yang akhirnya mereka akan mendapat ganjaran yang lebih berat di akhirat nanti. Inilah kemungkinan yang saya benar-benar bimbangkan, sedangkan ramai ahli keluarga saya masih lagi berada di dalam sistem ini. Semoga Allah akan membuka hati mereka dengan petunjuk dan hidayah-Nya untuk keluar dari sistem yang sesat ini. Amin.

    Implikasi lain daripada sistem demokrasi, umat Islam telah diajar dan dibentuk supaya sentiasa mencari kemenangan pilihanraya daripada memikirkan cara untuk menambahkan keimanan dan ketakwaan di sisi tuhan. Tidakkah mereka sedar bahawa mengejar kemenangan majoriti itu adalah sesuatu yang bersifat keduniaan?

    Nabi mengajar kita supaya mengambil Al Quran sebagai panduan dan menjadikan As Sunnah sebagai bimbingan dan amalan ikutan. Bermula kita bangun dari tidur, melakukan aktiviti-aktiviti harian sehinggalah kita kembali kepada tidur semuanya ada sandaran sunnah nabi yang boleh kita praktikkan. Begitu juga dengan aktiviti seluruh gerakan umat Islam. Mestilah bergerak dengan berpandukan hadis-hadis Nabi mengenai jadual umat Islam akhir zaman. Persoalannya di sini, adakah mengejar kemenangan majoriti itu ada sandaran hadis atau sunnah daripada Nabi? Adakah mana-mana ayat Al Quran yang menyatakan bahawa di akhir zaman ini negara Islam akan terbentuk dari kuasa majoriti yang bakal menandakan bermulanya era Islam baru? Padahal kita sudah tahu bahawa Islam akan naik sekali lagi dibawah pimpinan Imam Al Mahdi. Beliau akan memerintah dunia dengan konsep sistem khilafah melalui pembaiahan dan bukannya melalui sistem demokrasi. Ini bermakna sistem Khilafahlah yang paling dekat dengan Allah untuk agamanya. Fikirkanlah, kalau kita masih lagi bersama sistem demokrasi sebenarnya kita sedang menjauhi Al Quran dan Sunnah Nabi.

    Apa yang saya faham tentang kemenangan dan kejayaan sebenar orang Islam bukanlah melalui majoriti atau memiliki kerajaan sendiri, tetapi kejayaan yang diiktiraf oleh Allah adalah apabila mereka menjadi orang yang bertakwa. Apabila mereka menjadi takwa, kejayaan itu akan datang dengan sendirinya tanpa perlu dikejar kerana ia adalah bonus dan janji daripada Allah.

    Mari kita ingat kembali kisah kemenangan Sultan Muhammad Al Fateh ketika beliau berjaya menakluki Kota Konstantinople. Kisah ini bukanlah sekadar kisah yang biasa, sebaliknya ia terlalu sarat dengan hikmah yang boleh menjadi panduan untuk kita di akhir zaman. Lihatlah bagaimana orang Islam dahulu begitu patuh dan berpegang dengan janji Allah melalui hadis Nabi. Selepas era kewafatan Rasulullah S.A.W. ramai Sahabat Nabi dan orang Islam yang lain berusaha untuk menawan Kota Konstantinople dengan harapan dapat menjadi orang yang dimaksudkan di dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang berbunyi “Kota Konstantinople akan jatuh kepada tangan orang Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin, tentera di bawah pimpinannya adalah sebaik-baik tentera dan rakyat di bawah naungannya adalah sebaik-baik rakyat”. Semenjak itu banyak cubaan menakluk kota itu telah dilakukan walaupun mereka semuanya gagal sebelum datangnya Sultan Muhammad Al Fateh.

    Apa yang ingin saya maksud dari kisah ini adalah umat Islam pada zaman itu terlalu asyik mendapatkan Kota Konstantinople dengan menghantar pasukan perang untuk menakluknya. Kenapa mereka begitu teruja dan bersusah payah berperang? Jawapnya adalah kerana mereka ada sandaran hadis yang membawa mereka untuk menawan kota tersebut. Mereka melakukannya bersama asas takwa yang tinggi di dalam diri mereka dan bukannya nafsu. Mereka telah terpandu oleh hadis dan mereka tahu hanya dengan takwa sahaja mereka akan beroleh kemenangan. Dan Allah sendiri telah mengajar kita melalui hadis tersebut bahawa hanya kumpulan yang bertakwa sahaja akan mencapai kemenangan. Iaitu dari peringkat bawah (rakyat) sehinggalah ke peringkat pemimpin tertinggi, mereka itu haruslah bertakwa terlebih dahulu sebelum kemenangan berpihak kepada mereka. Takkan mungkin kita boleh berjaya sebelum kita memiliki takwa. Ini suatu yang sangat jelas.

    Mari kita lihat pula apa yang berlaku hari ini. Orang Islam sibuk mengejar kemenangan majoriti tanpa merujuk kepada Al quran dan Hadis sama ada adakah ia pernah menjadi suatu suruhan atau janji tuhan yang akan terjadi. Saya sangat yakin bahawa tiada satu pun ayat atau hadis yang menyatakan sedemikian. Maka adakah kita sudah jauh terpesong? Jawapnya adalah benar. Kita sudah menzalimi diri kita sendiri selama ini dengan amalan demokrasi yang mengarut.

    Ada sesetengah orang berpendapat bahawa demokrasi itu mirip kepada Islam kerana menolak pemerintahan diktator. Melalui sistem undian, rakyat boleh bersuara dan menolak kerajaan yang kejam supaya dapat memberi jalan kepada pemimpin lain yang dirasakan lebih baik (Walhal rakyat sendiri pun belum pasti adakah pemimpin baru akan memimpin lebih baik atau tidak). Maka mereka harus menunggu lagi lima tahun untuk melihat prestasi pemimpin pilihan mereka. Sekiranya pemimpin baru tersebut tidak jujur dan amanah, lima tahun memerintah sudah cukup untuk mereka mengaut keuntungan daripada duit rakyat. Bukankah itu juga menindas rakyat secara tidak langsung oleh perlaksanaan sistem demokrasi? Mereka sendiri akhirnya berputih mata kerana telah menaikkan pemimpin yang jahat berkuasa kerana mereka selama ini tidak meletakkan takwa itu sebagai priority dalam memilih calon pemimpin. Kalau benar demokrasi itu memberi rakyat berkuasa menaikkan mana-mana pemimpin, sepatutnya mereka juga berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin bila-bila masa, apabila melihat pemimpin yang mereka pilih itu berlaku khianat. Tak perlulah nak tunggu lima tahun. Jadi di manakah jaminan demokrasi ini kepada rakyat, kalau mereka kata ia mirip kepada Islam? Bukankah Islam mengajar kita supaya memilih pemimpin yang paling bertakwa memerintah rakyat? Kerana itu sahaja yang dapat memberikan jaminan dari Allah supaya tidak berlakunya diktatorship. Bukannya memilih pemimpin yang paling berpengaruh, paling kaya, paling berpendidikan tinggi atau ciri-ciri selain orang yang bertakwa.

    Ada pula pendapat lain yang cuba menghalalkan demokrasi. Mereka berkata demokrasi itu adalah sama seperti syura tetapi majlis syura hanya boleh dilakukan oleh ulamak yang pakar dalam urusan agama. Oleh itu dalam urusan dunia seperti memilih pemimpin adalah terserah kepada kita untuk memilih sistem apa yang harus dipakai. Adakah mereka sudah hilang akal? Apakah memilih pemimpin itu tidak termasuk di dalam urusan agama?

    Cukuplah demokrasi itu menghina agama kita selama ini dan janganlah pula kita menjadi ahli kepadanya sampai mati. Keluarlah dari sistem tersebut secara total. Kembalilah kepada Allah kerana agama Allah itu telah sedia sempurna sistemnya untuk kita. Bertakwalah, janganlah cuba mengambil yang lain selain Islam kerana perbuatan seperti itu sama sahaja mensyirikkan Allah. Nauzubillah min zalik.

    Wallahua’lam, Wassalam.

  2. submy th permalink

    fitnah dajjal datang dlm berbagai bentuk. dan salah satunya demokrasi. apa pendapat ustaz tentang situasi yang kita alami sekarang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: