Lompat ke isi kandungan

Ulama Pas jangan contohi arab jahiliyah melabel apabila tidak mampu patahkan hujah

November 18, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Saya tertarik dengan kenyataan Harun Taib di muktamar Pas baru-baru ini di mana dia mengatakan ulama-ulama Umno telah berjaya mematahkan segala hujah-hujah ulama Pas, dan beliau melabel ulama-ulama Umno ini sebagai ulama-ulama jahat dan ulama-ulama fulus. Jadi apa komen ustaz?

Jawapan:

Bismillah,

Saya melihat kenyataan tersebut dinukilkan di media alternatif dan saya sedikit kecewa dengan kenyataan beliau. Ada beberapa sudut yang boleh kita lihat. Ada yang saya rasa dihargai apabila dia berkata hujah-hujah ulama Pas berjaya dipatahkan oleh hujah ulama Umno. Saya kira kita tidak wajar sekiranya ulama ini berhujah untuk mempertahankan parti masing-masing. Kita bercakap atas asas kebenaran, hujah dipatahkan dengan hujah.

Kalau diakui kita telah berjaya mematahkan hujah Pas maka terimalah hujah kita, kenapa tidak mengatakan kami terima dan hormati hujah itu. Kenapa disertai dengan cercaan ulama jahat dan ulama fulus. Kita bercakap dengan fakta dan ilmu. Sebagai ketua dewan ulama Pas, sewajarnya dia menunjukkan sikap dan akhlak yang baik kepada pengikut-pengikut atau kepada dewan ulama secara khususnya dan juga kepada ahli Pas secara umumnya.

Mana mungkin sikap seorang ulama mengeluarkan perkataan yang keji kepada orang lain, sedangkan beliau sendiri mengiktiraf bahawasanya kita mampu mematahkan hujah yang dewan ulama Pas sendiri tidak mampu menjawabnya.

Apa yang saya hendak tekankan di sini adalah sikap dan ciri-ciri sebagai seorang ulama. Ingatlah bagaimana Nabi SAW mengajar kita menjaga lisan. Sabda Nabi SAW di dalam hadis yang dinilai hasan oleh Syaikh Muhammad bin Nashiruddin Al-Albani,

مَنْ ضَمِنَ لِيْ مَا بَينَ لِحْيَيهِ وَفَخِذَيهِ ضَمِنْتُ لَهُ الْجَنَّةَ

“Barangsiapa yang mampu menjamin kepadaku pemeliharaan anggota yang ada di antara dua tulang rahangnya (lisan) dan di antara dua pahanya (kemaluan), maka aku jamin baginya syurga.” (Shahihul Jami’ no. 1029)

Maka ulama hendaklah menjaga lisannya, dia tidak boleh bercakap tentang orang sesuka hati. Kalau dia tidak mahu bersetuju dengan pandangan kami atau mana-mana ilmuwan di dalam Umno khususnya, maka dia harus patahkan dengan hujah ilmu, bukan dengan emosi atau cercaan. Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan kepada mereka bahawa ini ulama sesat, ulama bengong, ulama fulus atau ulama jahat dan sebagainya. Dan kita agak terkejut dengan kenyataannya yang seperti itu.

Kita tidak ada doa yang buruk kepada mereka. Kita hanya mendoakan kebaikan. Bahkan kepada TG Nik Abdul Aziz, TG Haji Hadi, Ustaz Harun Taib dan semuanya kita doakan kebaikan untuk mereka agar sentiasa menerima kebaikan dan menerima petunjuk dari Allah SWT, bahkan kepada diri kita sendiri. Itu kebaikan yang perlu kita tunjukkan dan contohi seperti mana yang diajar dan dididik oleh Nabi SAW.

Kita bersangka baik kepadanya dengan menganggap mungkin pada ketika itu dia beremosi atau mungkin terlepas cakap. Mungkin juga perkataan seperti itu adalah untuk sama-sama kita bermuhasabah agar ulama-ulama dalam Umno jangan jadi jahat, jangan termakan dengan fulus, maka tidak mengapa, kami terima perkataan tersebut sebagai muhasabah.

Maka saya meminta juga ulama-ulama dalam Pas agar turut bermuhasabah jangan jadi ulama jahat, ulama fulus, dan jangan jadi mereka yang jika tidak mampu mematahkan hujah lalu dibalas dengan label melabel antara satu sama lain.

Isu label melabel ini kalau kita lihat pada zaman Nabi SAW, apabila masyarakat musyrikin jahiliyah Makkah tidak mampu mematahkan hujah Nabi SAW, mereka membalasnya dengan melabel Nabi. Mereka memanggil Nabi penyihir, gila dan sebagainya.

Saya tidak katakan bahawa kami ini seperti Nabi. Kita tidak sama seperti Nabi dan tidak ada siapa yang serupa seperti Nabi, tetapi apa yang saya katakan di sini adalah ciri-ciri arab jahiliyah adalah mereka akan melabel orang jika tidak mampu mematahkan hujahnya.

Jadi adakah Ketua Dewan Ulama Pas juga ingin bersikap sedemikian. Jangan tiru sikap arab jahiliyah, jika kita hendak berhujah, berhujahlah secara ilmiah, keluarkan tulisan atau perkataan yang ilmiah. Buktikan bahawa kalian adalah dewan ulama yang boleh dijadikan contoh bagi masyarakat yang lain.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

From → Adab & Akhlak

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: