Skip to content

Ahli sunnah tidak mendoakan keburukan bagi pemerintah

November 19, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan: Nak tanya sikit isu doa, di mana dalam himpunan baru-baru ini pimpinan Pas mendoakan kehancuran bagi parti Umno. Apa komen ustaz dalam hal ini.

Jawapan:

Bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa ‘ala aalihi waman waalah, amma ba’d,

Sebenarnya isu doakan kehancuran kepada Umno dan Barisan Nasional ini saya kira telah berlaku beberapa kali dan ini kali yang seterusnya yang menggemparkan, dan cara doa itu pun disusuli dengan suara latar “BN K.O, K.O. BN.” Maknanya didoakan keburukan dan kehancuran bagi Umno dan Barisan Nasional.

Saya hendak sentuh beberapa perkara. Pertama sekali berkaitan dengan pendirian ahlus sunnah wal jamaah terhadap pemerintah. Kata Al-Imam Al-Qasim ibn Mukhaimirah dalam perkataannya yang sangat menarik,

إِنَّمَا زَمَانُكُمْ سُلْطَانُكُمْ , فَإِذَا صَلُحَ سُلْطَانُكُمْ صَلُحَ زَمَانُكُمْ , وَإِذَا فَسَدَ سُلْطَانُكُمْ فَسَدَ زَمَانُكُمْ

Terjemahan: “Sesungguhnya zaman kamu bergantung kepada pemerintah kamu, maka apabila pemerintah kamu itu baik maka baiklah zaman kamu, dan apabila buruk pemerintah kamu maka buruklah pemerintah kamu.”

Maknanya adalah keterikatan masa dengan kepimpinan, keterikatan sebuah negara dengan kepimpinan. Ia memberi tahu kepada kita bahawasanya kita perlu memastikan pemerintah kita itu berada dalam keadaan yang baik. Itu pendirian pertama ahlus sunnah terhadap pemerintah.

Susulan daripada itu, apabila berhadapan dengan pemerintah dan pemimpin yang zalim, saya tidak memaksudkan mana-mana tempat dan mana-mana negara tetapi saya menjelaskan secara umum, apabila berhadapan dengan pimpinan yang zalim dan kejam, apa pendirian ahli sunnah?

Saya bercakap tentang ahli sunnah, saya bukan bercakap tentang dewan ulama Pas, saya tidak bercakap tentang ulama-ulama di dalam Umno, saya tidak bercakap tentang ilmuwan di Malaysia, saya bercakap tentang pendirian ahli sunnah sejak zaman berzaman dalam permasalahan ini.

Kita ambil contoh Imam Ahmad bin Hanbal apabila berhadapan dengan fitnah di zaman pemerintahan Khalifah Makmun. Khalifah Makmun yang merupakan pemerintah pada ketika itu menangkap Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Ahmad bin Hanbal ini adalah antara murid kesayangan Al-Imam Asy-Syafi’i dan dia adalah pendiri mazhab Hanbali.

Dia ditangkap oleh Khalifah Makmun, dia dipenjarakan, disiksa dan dipaksa menukar pendirian akidah. Ini bukan hal yang kecil. Orang datang bertemu dengannya dan bertanya kepadanya, “Wahai imam, apakah doamu kepada pemimpin?” Apa jawab Imam Ahmad?

لَوْ كَانَ لَنَا دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ لَدَعَوْنَا بِهَا لِلسُّلْطَانِ

“Andai bagi kami doa yang mustajab (dikabulkan), sungguh akan kami doakan kebaikan bagi pemerintah.” (Majmu’ Al-Fatawa, 28/391)

Itulah pendirian ahli sunnah, dan pendirian ini disusuli oleh ulama-ulama ahli sunnah selepas daripada beliau yang terdiri daripada Al-Imam Al-Barbahari seperti yang dinukil dalam Syarhus Sunnah, Imam Abu Utsman Ash-Shaabuni dalam kitabnya Al-I’tiqad A-immatil Hadits, disusuli juga dengan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan seterusnya.

Contoh perbezaan yang diberikan oleh Imam Al-Barbahari dalam kitabnya Syarhus Sunnah di muka surat 116 sangat indah,

إذا رأيتَ الرجلَ يَدعُو على السلطان فاعلم أنه صاحبُ هوىً

وإذا رأيتَ الرجلَ يدعو للسلطان بالصلاح فاعلم أنه صاحبُ سُنَّةٍ إن شاء الله

“Jika engkau melihat seseorang mendoakan keburukan bagi pemerintah, maka ketahuilah bahawa dia adalah seorang pengikut hawa nafsu. Adapun jika engkau melihat seseorang itu mendoakan kebaikan bagi pemerintah, maka ketahuilah bahawa dia adalah ahli sunnah Insya Allah.”

Maka inilah pendirian ahli sunnah wal jamaah, mendoakan kebaikan untuk pemimpin. Begitu juga ulasan Abu Utsman Ash-Shaabuni. Beliau menyatakan secara terang dan jelas ketika menjelaskan pendirian akidah ulama-ulama hadis zaman berzaman sejak seribu tahun dulu, “Doakanlah kebaikan untuk pemimpin. Kebaikan untuk pemimpin akan memberi kesan kebaikan juga untuk rakyat. Jauhilah mendoa laknat dan keburukan ke atas pemimpin kerana keburukan ke atas pemimpin akan memberi keburukan kepada rakyat.”

Ini bukan cerita minggu lepas, saya bukan bercakap tentang ulama parti saya, tetapi ini adalah pandangan ulama-ulama yang jelas mereka adalah ulama ahli sunnah tanpa ada kekhilafan.

Kandungan doa

Poin ketiga yang saya ingin sentuh, sikap kita pada hari ini dan saya hendak komen secara langsung pada isi kandungan doa yang dibacakan. Dia meminta agar Allah SWT menghancurkan dan menjahanamkan Umno dan Barisan Nasional, mengaitkan dengan kisah Qarun, Firaun, Namrud dan sebagainya.

Doa tersebut jelas dilihat ada unsur-unsur ashabiyah kepartian. Mengapa dia berdoa pada parti politik sahaja? Mengapa dipilih Umno dan Barisan Nasional? Sudah semestinya BN merangkumi Umno, Mic dan Mca.

Dap pula bagaimana? Mengapa tidak didoakan sekali untuk Dap, Syiah, Jemaah Al-Arqam, Ahmadiyah, Qadiyaniah, dan ajaran-ajaran sesat lain yang bertebaran di dalam Malaysia? Ini menampakkan wujud di sana kepentingan politik yang terlampau. Ini adalah ashabiyah.

Kaedah dalam berdoa

Dia mengkhususkan doa tersebut dengan menyebut – Allah hancurkan Umno, BN. Secara jelas ini doa pilihanraya, secara terang bersuluh mereka meminta jalan ke Putrajaya.

Apabila bercakap tentang doa, bagaimana kaedah yang Nabi ajar dalam berdoa? Lafaz doa Nabi adalah bersifat umum. Alangkah baiknya sekiranya mereka berdoa “Ya Allah Ya Tuhan kami, Jauhilah kami dari kezaliman, tegakkanlah Islam, tolonglah kami untuk memartabatkan dan menjunjung serta menegakkan, mempraktikkan Islam, berilah petunjuk dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin, berilah ketakwaan.”

Itulah antara doa umum yang terbaik, yang saya sendiri menyokong sekiranya doa tersebut dilafazkan. Tetapi sayangnya doa yang mereka baca adalah bersifat doa pilihanraya.

Mereka berdoa kerana melihat Umno itu parti zalim, kerana itu mereka berdoa sedemikian rupa. Ada sebahagian dari mereka mendakwa dan mengatakan bahawasanya Pas ada hujah buat begitu. Hujah mereka yang saya baca di dalam Facebook dan Twitter adalah doa Saad bin Abi Waqqash, seorang sahabat Nabi RA yang pada ketika itu dilantik menjadi gabenor di sebuah tanah jajahan di negara arab di mana Saad bin Abi Waqqash dituduh shalatnya bermasalah yakni tidak baik shalatnya dan tidak baik pentadbirannya.

Apabila Saad dituduh sedemikian rupa, Umar bin Al-Khatthab tidak langsung menempelak Saad. Sebaliknya dia pergi bersama Saad masuk ke kampung-kampung untuk menyiasat benar atau tidak tuduhan tersebut. Sampailah beliau bertemu seorang lelaki dalam sebuah masjid yang mengiyakan tuduhan tersebut. Kemudian Saad pun berdoa,

“Ya Allah sekiranya orang ini berbohong, panjangkanlah usianya. Letakkanlah dia di dalam kefakiran, dan timpakanlah ke atasnya fitnah.”

Itu doa Saad. Maka mereka menggunakan hujah ini untuk membenarkan seseorang itu mendoakan pemerintah. Saya katakan berlaku keterbalikan di sini. Saad adalah gabenor, Saad adalah pemimpin. Yang sepatutnya mendoakan Pas dan Pakatan Rakyat ini adalah Presiden Umno, dia adalah pemimpin negara. Dan fitnah-fitnah dan tuduhan dilemparkan ke atasnya.

Adakah kalian pasti dan punya bukti ketika menuduh. Umar Al-Khatthab membuat siasatan, sedangkan tuduhan pada hari ini siapa yang buat siasatan dan siapa yang ada bukti?

Tidak dinafikan boleh bagi orang yang dizalimi mendoakan keburukan bagi orang yang menzaliminya tetapi hendaklah secara khusus kepada orang yang menzalimi. Tetapi doa yang dibuat Pas ini adalah kepada Umno secara umum yang di dalamnya ada lebih 3juta ahli. Adakah semua ini hendak dihancurkan, ditenggelamkan seperti Firaun dan bala tenteranya? A’udzubillah, bertakwalah. Sedang doa-doa Nabi SAW untuk golongan-golongan zalim ini adalah golongan-golongan kafir, contohnya doa Nabi untuk mereka-mereka yang terlibat dalam peperangan Badar.

Ini kepada orang Islam kalian mendoakan keburukan dalam lafaz doa yang terlalu umum. Firman Allah SWT,

لا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلا مَنْ ظُلِمَ

“Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terang kecuali oleh orang yang dizalimi.” (surah an-Nisa, 4: 148)

Ibnu Abbas RA mentafsirkan ayat ini bahawa Allah tidak suka kalau tiba-tiba kita doakan keburukan kepada orang, melainkan bagi orang yang dizalimi, sesuai dengan hadis Nabi SAW,

اتَّقُوا دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ

“Berhati-hatilah kalian dari doa orang yang dizalimi.” (riwayat Ahmad)

Maknanya di sini adalah pengkhususan doa orang yang dizalimi dan kepada orang yang menzaliminya secara khusus. Siapa yang buat zalim, perkara apa yang dia berbuat zalim, semua itu perlu jelas. Jangan kita buat doa yang seperti ini, membuat persepsi kepada orang bahawasanya Umno dan BN ini jahat secara keseluruhannya.

Kita kena ingat bahawa Allah menyebut di dalam Al-Quran secara jelas,

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

“Barangsiapa yang berbuat kebaikan walaupun sebesar zarah maka dia akan melihatnya, dan barangsiapa yang berbuat jahat walaupun sebesar zarah nescaya dia akan melihatnya.”  (surah Az-Zalzalah: 7-8)

Adakah Pas memaksudkan mereka suci dan bebas dari sebarang kesilapan dan kesalahan? Adakah pemimpin mereka bersih, dan adakah mereka memaksudkan semua pemimpin dalam Umno ini semuanya jahat?

Saya kira sebagai muslim tidak adil berkata demikian seperti mana juga saya tidak setuju kalau orang Umno mengatakan orang Pas semuanya jahat. Begitu juga saya tidak setuju perkataan yang mereka gunakan untuk menghukum orang lain, seolah-olah mereka mengatakan hanya mereka sahaja Islam.

Saya ingin mengatakan bahawasanya Islam bukan PAS, sebaliknya Islam adalah agama Allah SWT, Islam adalah milik kita semua. Maka janganlah kita menggunakan agama untuk kepentingan politik. Jadi itu komen umum saya dalam isu mendoakan keburukan buat pemimpin.

Soalan: Nasihat ustaz kepada pemimpin-pemimpin Pas.

Jawapan:

Saya cuma ingin maklumkan kepada mereka bahawa doa seperti yang mereka bacakan itu ada implikasi buruk. Pertama ia akan mengelirukan masyarakat, mengelirukan umat Islam secara khusus dan mengelirukan non-muslim secara umumnya.

Dengan memakai nama Islam, dengan berdoa sedemikian rupa, shalat hajat dengan jumlah yang ramai, masyarakat akan keliru dan menganggap ini cara yang betul sedangkan cara ini salah. Bagi orang yang jahil dia akan berkata, ini tok guru buat mustahil salah. Tok guru dan semua pemimpin Pas mengaminkan, takkan salah. Orang-orang seperti ini perlu tahu bahawa Pas bukan dalil kepada kebenaran seperti juga Umno bukan dalil kepada kebenaran.

Dalil kepada kebenaran adalah Al-Quran dan As-Sunnah sesuai dengan petunjuk Nabi dan para sahabat RA.

Kedua, implikasi doa-doa seperti ini akan membawa kepada fitnah dan perpecahan yang bakal berlaku. Akan berlaku tuding menuding jari antara satu sama lain, bayangkan didoakan kehancuran. Bayangkan orang jahil yang berjiran dengan orang Umno. Orang Umno pula tahu jirannya orang Pas ini terlibat dalam solat hajat mendoakan kehancuran Umno. Apa perasaan dia?

Bukankah ia membentuk kebencian, suasana tidak enak dan permusuhan. Sewajarnya

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara maka damaikanlah antara keduanya.” (surah Al-Hujurat, 49 : 10)

Yakni jika ada pergaduhan dan permasalahan, perbaiki dengan baik. Ini bagi orang-orang yang beriman kepada Allah SWT. Iman ini bertambah dan berkurang, jangan kita mudah-mudah apabila melihat orang buat maksiat menuduhnya kafir dan murtad. Iman manusia tidak statik, iman manusia naik dan turun, sebab itu kata Nabi SAW di dalam hadis,

لاَ يَزْنِي الزَّانِي حِيْنَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ

“Tidaklah berzina seorang penzina ketika dia berzina dan dia seorang mukmin.” (riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Tidaklah Nabi mengatakan orang yang berzina itu kafir, Nabi tidak kata peliwat itu kafir, Nabi SAW tidak mengatakan pencuri itu kafir, tetapi Nabi SAW katakan bahawasanya orang yang mencuri ketika dia mencuri, imannya tiada. Tetapi selepas dia mencuri, dia shalat dan bertaubat, imannya naik semula. Jadi jangan mudah-mudah kita hukum orang semata-mata kerana kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Bahkan mungkin itu adalah kesalahan individu, bukan kesalahan agenda dasar parti.

Ketiga, kita akan wujudkan di sana ashabiyah, taksub kepada parti politik. Kita membuka ruang kepada hal itu kerana kita menampakkan seolah-olah kita membawa Islam tetapi hakikatnya perkara yang dibawa adalah bercanggah dengan prinsip dan dasar-dasar ahli sunnah wal jamaah, bercanggah dengan Al-Quran, bercanggah dengan As-Sunnah, bercanggah dengan langkah ulama-ulama Ahlus Sunnah yang mengikuti jejak langkah Nabi dan para sahabat.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

2 Komen
  1. nakia permalink

    as salam ustaz..ulasan yang sangat ilmiah dan logik..syukran

  2. Penerangan yang cukup bagi saya mengetahui cara sebenar didalam doa. Malangnya masih ada ramai yang menganggap ianya satu kewajipan untuk dilakukan. Ini kerana pintu hati mereka tidak lagi boleh menerima walaupun saya dah sertakan Hadis Nabi adab dan cara yang sebenarnya. Apakah mereka ini boleh dianggap sebagai orang yang menolak Allah dengan menolak ketentuanNya? Harap ustaz dapat memberi penjelasan mengenai hal ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: