Komen dakwaan Makkah & Madinah dijadikan seperti Las Vegas
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa’ala aalihi waman waalah, amma ba’d,
Apabila Allah SWT mengutuskan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam ke Tanah Haram dan memerintahkan Ibrahim agar meninggalkan isteri dan anaknya di Tanah dan bumi yang kering kontang, tidak memiliki air dan sebagainya, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam melaksanakan perintah yang Allah SWT tuntut kepadanya dan sebagai seorang Rasulullah, Ibrahim menunaikan perintah yang telah Allah SWT arahkan ke atasnya. Ibrahim juga berdoa kepada Allah seperti firman Allah di dalam Al-Quran,
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا آَمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آَمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ
Terjemahan: “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” (surah Al-Baqarah: 126)
Dalam ayat ini jelas menunjukkan orang yang mendiami tanah haram, sama ada Makkah atau Madinah yang didoakan oleh Nabi SAW, juga Makkah yang didoakan Ibrahim keberkatannya. Di sana terdapat orang yang beriman kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat, mereka berjaya dengan urusan perniagaan mereka, mereka maju. Dan di sana ada juga orang yang tidak beriman, yakni tidak beriman dengan erti kata tidak beramal, mungkin munafiq dan sebagainya juga berada di situ, juga bersama-sama membangun dan merasai kenikmatan dan kemurahan rezki yang Allah SWT kurniakan dan anugerahkan.
Cuma perhitungannya dan neraca timbang yang sebenar adalah di akhirat kelak. Di dunia mungkin mereka berbangga dengan nikmat-nikmat yang mereka perolehi. Allah SWT sendiri menyatakan di sana terdapat orang yang beriman, dan di sana terdapat orang yang kufur pada nikmat yang Allah SWT anugerahkan.
Kita berbalik kepada topik fokus perbincangan iaitu tentang pembinaan dan pembesaran Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi kerana ada sebahagian tohmahan dan juga sebaran, cakap-cakap orang bahawasanya Bandar Makkah dan Bandar Madinah hendak dijadikan seperti Las Vegas. Kemajuan, bermegah-megahan, bermewah-mewahan, bangunan yang besar dan sebagainya.
Saya katakan kita boleh melihatnya dari dua perspektif; positif atau negatif. Mungkin mereka melihat dari sudut pandangan yang negatif, iaitu pembesaran yang bermegah-megahan dengan masjid yang indah dan mewah. Memang Nabi SAW sebutkan di dalam hadis bahawa antara tanda-tanda kiamat adalah mendirikan masjid-masjid yang indah, besar dan mewah. Walaubagaimanapun, pembesaran Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi oleh Khaadimul Haramaini Asy-Syarifain, oleh Raja Saudi sendiri adalah atas usaha untuk memastikan masjid tersebut mampu memuatkan dan memaksimumkan kehadiran Jemaah untuk melaksanakan haji ataupun umrah.
Itu adalah usaha mereka. Jadi sewajarnya kita di sini mempertimbangkan terlebih dahulu sebelum kita mengeluarkan sebarang kenyataan. Mereka cuba membuat masjid yang benar-benar berkualiti dari sudut binaannya dan pembesarannya dan kita perlu melihat kepada tujuannya.
إنما الأعمال بالنيات
“Setiap amalan berasaskan niat.” (riwayat Bukhari no. 1, Muslim no. 1907)
Dari perspektif yang negatif, mungkin orang melihat ia dalam kategori bermewah-mewah, menggunakan barang yang mahal, bayaran yang mahal dan sebagainya. Itu sudah tentu perkara yang sangat subjektif. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh manusia lain dan bersangka buruk kepada usaha-usaha dan kebaikan orang, sedangkan manfaat yang ada padanya dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam dari seluruh dunia.
Sudah semestinya kita yang pergi ke Makkah pada hari ini mengatakan sempitnya kerana ramainya orang di sana, bayangkan orang yang pergi 5-10 tahun yang lalu, 10-20 tahun yang lalu, sudah semestinya keadaannya lebih sukar.
Pada hari ini manusia semakin bertambah, kuota haji semakin bertambah, maka sudah tentu perlu kepada tempat yang lebih besar. Alangkah baiknya kita menuntut diri kita bersangka baik kepada orang sebelum mengeluarkan sangkaan-sangkaan yang buruk. Jika kita tersalah dalam sangkaan yang baik adalah lebih baik daripada kita tersalah dalam bersangka buruk terhadap orang lain.
Sabda Nabi SAW,
إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيْثِ
“Hati-hatilah kalian dari sifat zhan (prasangka), sesungguhnya sifat zhan itu sedusta-dusta perkataan.” (riwayat al-Bukhari no. 5143 dan Muslim no. 6482)
Wallaahua’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut;