Skip to content

Teks Ucapan Perbahasan Usul Agama & Pendidikan, Perhimpunan Agung Umno 2012, PWTC

Disember 3, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2012Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh,

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ, نَحْمَدُهُ, وَنَسْتَعِينُهُ, وَنَسْتَغْفِرُهُ, وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا, وَسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا

مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ, وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

أَمَّا بَعْدُ

Terima kasih Ayahanda Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, YAB Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Perwakilan-perwakilan, sidang hadirin, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi dan dirahmati oleh Allah sekalian. Tidak dilupakan juga Pengerusi Perhubungan Negeri Perlis, Naib Pengerusi Perhubungan iaitu Ketua Bahagian saya, sahabat-sahabat dan teman-teman sekalian.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

“Dan Kami menguji kalian semua dengan perkara-perkara buruk dan perkara-perkara baik sebagai satu fitnah.” (surah Al-Anbiyaa’ : 35)

Al-Imam Ibnu Katsir rahimahullah (wafat 374 h.) ketika memberi ulasan pada ayat ini mengatakan, fitnah yang Allah SWT timpakan kepada manusia ada dua jenis; fitnah berbentuk kebaikan (cth: ujian kesenangan, kemenangan, kekayaan, kejayaan) dan pada masa sama ada juga fitnah yang buruk (cth: ujian perpecahan, pergaduhan, perselisihan).

Kita berada di zaman itu pada hari ini. Saya berdiri di sini bukan untuk mengatakan kebaikan sepenuhnya tentang kita, dan bukan untuk menyatakan keburukan sepenuhnya tentang pembangkang. Tetapi saya berdiri di sini sebagai seorang Muslim. Saya berbangga dengan bangsa saya, dan saya berbangga dengan agama saya.

Apabila kita bercakap tentang Islam, Islam mendahului segala kepentingan. Islam mendahului kepentingan kedudukan, Islam mendahului kepentingan kekuasaan, Islam mendahului kepentingan kemenangan dan kejayaan. Apabila kita bercakap tentang Islam kita harus muhasabah. Semalam saya mendapat beberapa pendapat dan pandangan daripada beberapa bloggers dan sebagainya yang cuba membezakan Perhimpunan Agung Umno dan Muktamar Pas baru-baru ini. Kata mereka, Perhimpunan Agung Umno banyak menyerang Pas, Pakatan Rakyat, Dap, sedangkan muktamar Pas banyak membincangkan isu-isu dalaman dan hal halatuju parti.

Jawapan saya kepada mereka dalam keadaan saya bermuhasabah, selama puluhan tahun ini kalian menyerang kami dengan pelbagai perkataan. Kalian menyerang kami dengan perkataan zalim yang masih subjektif pengertiannya. Kalian menyerang kami dengan perkataan makan duit rakyat, korupsi, kroni, rasuah, maka kami berdiri di sini berbincang dan cuba untuk menjawab dan memberi penjelasan kepada rakyat dan memastikan liputan ini disebarkan secara meluas dengan cara yang adil.

Saya tertarik dengan usul dan cadangan semalam berkaitan ekonomi. Dato Idris Jusoh membuat perbandingan menyatakan kejayaan negara kita pada hari ini di tahap yang membanggakan, dan pada masa yang sama saya bermuhasabah dan saya ingin kita semua yang berada di sini turut bermuhasabah. Kita masih ada kelemahan, dan kelemahan ini sama-sama kita berpautan dan berpegang tangan membetulkan, melengkapkan dan sempurnakan kekurangan. Kita masih ada kesalahan dan kesilapan. Kita manusia yang tidak bebas daripada kezaliman, kesilapan dan kesalahan.

Saya hairan apabila teman-teman kita di sebelah sana seringkali menyebut kerajaan zalim. Namun adakah mereka pernah menyebut tentang kezaliman diri mereka? Allah SWT berfirman,

الَّذِينَ آَمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ

“Orang-orang yang beriman dan tidak menyelimuti iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah golongan yang mendapat keamanan dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.” (surah Al An’am: 82)

Apabila turun ayat ini, para sahabat RA bersedih hati. Mereka bertemu Rasulullah dan bertanya, “Siapakah daripada kami yang bebas dirinya daripada sebarang kezaliman?”

Sahabat Nabi RA mengakui dalam diri mereka dan setiap diri mereka ada kezaliman. Lalu Nabi SAW memberi penjelasan bahawa sebenarnya Allah SWT memaksudkan kezaliman di sini adalah syirik terhadap Allah SWT.

Jika sahabat Nabi RA yang mulia kedudukannya dan sebahagian besar daripada mereka dijanjikan syurga dari Allah SWT, yang Nabi haramkan kita mencerca mereka, yang Nabi perintahkan untuk kita mengikuti petunjuk mereka pun mengakui ada kesilapan maka tidak hairan bahkan kita dituntut untuk mengakui diri kita ada kelemahan, kekurangan dan kezaliman, dan kita berusaha untuk melakukan perubahan dan transformasi.

Jadi kita meminta kepada teman-teman kita di sebelah sana juga mengakui kezaliman dan kelemahan mereka. Ini tidak, puluhan tahun mereka berbicara tentang kita. Perkataan-perkataan yang dikeluarkan kebanyakannya menceritakan keburukan dan kelemahan kita, menyebarkan persepsi-persepsi negatif tentang kita.

Saya hendak mengambil kesempatan ini untuk menayangkan beberapa video yang mana mungkin telah diperjelaskan sebahagian besar daripadanya, tetapi saya ingin kita semua berfikir, adakah kita ingin keadaan seperti ini berterusan, umat Islam terus berpecah dan menghukum sesama sendiri, memurtadkan sesama sendiri, menzalimkan sesama sendiri, kemudian mendoakan kehancuran dan membawa ideologi-ideologi yang sesat lagi menyesatkan.

Kita mulakan dengan video doa kehancuran untuk Umno dan Barisan Nasional. Saya mahu kita tengok dan kemudian lihat bagaimana Islam memberikan penjelasan tentang isu doa tersebut.

-Tayangan video 1-

Sidang hadirin, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kita telah melihat video sebentar tadi. Saya berbicara dari dua perspektif. Pertama, kita bermuhasabah, mungkin ada kekurangan dan kelemahan yang perlu kita perbetulkan sebagai seorang insan yang tidak bebas daripada kezaliman dan kelemahan. Saya hendak sedarkan diri saya dan kita semua di sini serta sahabat-sahabat kita di luar sana dengan hadis Nabi SAW,

كل ابن آدم خطاء وخير الخطائين التوابون. رواه أحمد والترمذي وابن ماجة وصححه الحاكم

“Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Majah, dan disahihkan oleh Al-Hakim)

Maka apabila kita seringkali digambarkan melakukan kesilapan dan kesalahan, adakah mereka tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan? Makhluk apa yang tidak melakukan kesilapan dan kesalahan? Kita manusia, hanya malaikat makhluk yang tidak pernah melakukan kesilapan dan kesalahan.

Kedua, apabila doa ini diterbitkan, kita juga perlu faham kaedah untuk kita memberikan penjelasan. Mungkin ada di kalangan kita mengatakan tidak boleh doa kezaliman dan kehancuran kepada orang lain secara mutlak. Tidak, kita tidak mengatakan tidak boleh doakan kehancuran kepada orang lain secara mutlak. Dalam Islam ada ruangan-ruangan tertentu yang diberikan dan disediakan. Ada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dalam peristiwa Bi’ru Ma’unah di mana 70 orang sahabat Nabi RA pakar-pakar Al-Quran ditipu dan dibunuh. Mereka meminta kepada Nabi agar menghantar pakar-pakar Al-Quran kepada mereka dan apabila sampai di tengah jalan mereka bunuh. Nabi SAW mendoakan laknat ke atas mereka di dalam setiap shalat Nabi selama satu bulan, Nabi berdoa di dalam qunut nazilah.

Kemudian Allah SWT menurunkan ayat Al-Quran menegur tindakan Nabi SAW dan Nabi memberhentikan perbuatan tersebut setelah itu. Maka ada ruangan yang diberikan apabila; 1) kezaliman itu telah jelas, 2) doa itu secara khusus kepada orang yang melakukan kezaliman tersebut. Nabi menyebut nama satu per satu. Namun doa yang dibacakan oleh pembangkang menyebut secara umum yakni Umno secara keseluruhannya. Adakah kita semua di sini menzalimi mereka? Adakah kita semua di sini melakukan rasuah? Jadi kaedah mereka dalam berdoa tidak betul.

Mereka menggunakan dalil sahabat Nabi Sa’ad bin Abi Waqqash RA yang dilantik menjadi gabenor Umar Al-Khatthab RA, di mana beliau dituduh oleh rakyatnya bahawasanya beliau tidak baik dalam urusan pentadbiran negaranya. Maka beliau mendoakan orang yang menuduhnya tersebut dengan perkataan yang sangat berhati-hati walaupun dituduh secara berhadapan. Sa’ad bin Abi Waqqash berdoa,

“Ya Allah sekiranya orang ini berbohong, panjangkanlah usianya. Letakkanlah dia di dalam kefakiran, dan timpakanlah ke atasnya fitnah.”

Maka orang temui lelaki itu puluhan tahun setelah itu dalam keadaan yang sangat tua dan sangat faqir, sehingga disebut bulu matanya jatuh, duduk di tepi jalan dan mengorat wanita yang lalu lalang dan merabanya. Apabila ditanya mengapa melakukan seperti ini? Dia berkata, “Aku terkena doa Sa’ad bin Abi Waqqash.”

Ini berlaku apabila pemimpin yang dituduh. Maka pemimpin boleh doa dengan doa yang seperti itu. Tetapi pemimpin kita tidak mendoakan seperti itu. Pemimpin kita mendoakan agar mereka diberikan petunjuk dari Allah SWT. Pemimpin kita mendoakan kebaikan untuk mereka.

Begitu juga mereka menggunakan hadis Sa’id bin Zaid yang memiliki tanah, kemudian datang seorang perempuan mengambil tanah Sa’id bin Zaid. Sa’id bin Zaid mengambil semula tanahnya. Wanita ini melaporkan kepada gabenor menuduh Sa’id bin Zaid mengambil tanahnya. Maka Sa’id bin Zaid berkata,

اللّهُمَّ إِنْ كَانَتْ كَاذِبَةً، فَاعْمِ بَصَرَهَا، وَاقْتُلْهَا فِي أَرْضِهَا

“Ya Allah sekiraya wanita ini berbohong maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia di tanahnya.”

Dan orang menemui wanita tersebut beberapa tahun selepas itu dalam keadaan yang buta matanya dan dia jatuh ke dalam sebuah lubang di tanahnya sendiri lalu mati.

Jadi mereka menggunakan doa yang seperti ini untuk mengharuskan doa kehancuran. Ini merupakan kaedah yang salah dalam membentuk hukum.

Dalam Islam, pertama sekali kalau hendak mendoakan kehancuran, kezaliman mestilah berbentuk pasti dan ada bukti. Kedua, ketika mendoakan keburukan hendaklah menggunakan perkataan “sekiranya” jika kezaliman tersebut bersifat tidak pasti. Sedangkan dalam doa pembangkang, langsung tidak mengandungi perkataan sekiranya.

Ketiga, dalam Islam kita dituntut untuk memaafkan. Apabila Allah SWT menyebut tentang hukum qisas, hukum balas balik; nyawa dibalas dengan nyawa, mata dibalas dengan mata, namun di hujungnya Allah SWT menyatakan bahawasaya memaafkan maka itu adalah baik bagi kamu. Maka Islam menuntut sifat memaafkan. Maka saya menyeru, kita maafkan mereka.

Keempat, berkenaan berkata tentang pemimpin, manhaj Al-Quran dan As-Sunnah dan merupakan pendirian Ahlus Sunnah wal Jama’ah zaman berzaman, kalau kita lihat di dalam Al-Quran, ketika Allah SWT mengutuskan Musa dan Harun kepada Fir’aun, Allah berfirman kepada Musa dan Harun,

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى

فَقُولا لَهُ قَوْلا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Firaun itu melampaui batas, mengaku Tuhan, menzalimi rakyatnya dan sebagainya. Namun Allah berfirman kepada Musa dan Harun agar berbicara dengan Firaun dengan perkataan yang lembut agar Firaun mendapat peringatan dan lahir perasaan takut kepada Allah.

Itu manhaj Al-Quran, iaitu bercakap dengan pemimpin  dan ketua dengan perkataan-perkataan yang baik. Kita berkata kita hendak berhukum dengan hukum Al-Quran, kita berkata kita hendak berhukum dengan hukum As-Sunnah. Maka praktikkan akhlak dan sikap ini.

Begitu juga kalau kita lihat di dalam As-Sunnah. Petunjuk sahabat-sahabat Nabi RA dalam berkomunikasi dengan pemimpin, lihat bagaimana mereka berkomunikasi dengan Utsman, Abu Bakar, Ali bin Abi Thalib. Usamah bin Zaid, cucu angkat kesayangan Nabi contohnya, pada zaman pemerintahan Utsman yang berlaku pergolakan dan pertembungan pendapat, pembunuhan dan huru hara, bukan kerana kelemahan Utsman tetapi kerana karakter Utsman itu lembut maka golongan yang anti dan benci kepada Islam mengambil kesempatan. Usamah disuruh menegur dan bercakap dengan Utsman. Jawab Usamah, “Kalian beranggapan bahwa aku tidak menegurnya, kecuali jika aku perdengarkan pada kalian (teguran tersebut)? Sungguh aku telah menegurnya di antara aku dan dia (secara empat mata) dengan tanpa membuka perkara tersebut. Aku tidak ingin menjadi orang yang pertama kali membukanya.”

Ini manhaj (cara dan prinsip) para sahabat Nabi RA yang kita diperintahkan untuk mengikuti dan mencontohi jejak langkah mereka.

Begitu juga para ulama Ahlus Sunnah setelah itu, contohnya Imam Ahmad bin Hanbal. Saya bawakan semua ini agar kita bercakap berasaskan bukti, nash dan dalil membuktikan siapa ikutan kita. Imam Ahmad bin Hanbal ditangkap oleh pemimpinnya sendiri, Khalifah Makmun. Imam Ahmad ditangkap, dipenjara, disiksa supaya menukar akidahnya dalam isu Al-Quran itu Kalamullah atau kalam makhluk. Ini isu dahsyat, tidak berlaku dalam negara kita. Bahkan kita tangkap orang-orang yang rosak akidah dan kita datangkan orang-orang dari jabatan agama Islam untuk perbetulkan akidahnya.

Sedangkan pemimpin pada zaman dahulu menangkap ulama agar menukar akidah. Orang datang bertemu dengannya dan bertanya, “Wahai Imam, apa doa kamu kepada pemimpin?” Jawab Imam Ahmad,

لَوْ كَانَ لَنَا دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ لَدَعَوْنَا بِهَا لِلسُّلْطَانِ

“Andai bagi kami doa yang mustajab (dikabulkan), sungguh akan kami doakan kebaikan bagi pemerintah.” (Majmu’ Al-Fatawa, 28/391)

Imam Fudhail bin Iyadh yang datang setelah zaman Imam Ahmad, dia berkata dengan perkataan yang sama apabila ditanya kepadanya, “Wahai Imam, kamu adalah orang yang Allah maqbulkan doanya maka mengapa kamu tidak berdoa untuk diri kamu, mengapa kamu berdoa untuk pemimpin? Jawab beliau,

“Jika doa itu hanya untuk diriku, ianya hanya untuk diriku dan teman yang berada di sekelilingku. Namun jika aku panjatkan doa untuk kebaikan pemimpin, kemudian dia jadi baik, maka masyarakat dan negara akan menjadi baik. Kita diperintahkan untuk mendoakan kebaikan untuk mereka, dan kita tidak diperintahkan untuk mendoakan keburukan bagi mereka, meskipun mereka zalim. Kerana kezaliman mereka akan ditanggung mereka sendiri, sementara kebaikan mereka akan dirasai oleh mereka dan kaum muslimin.”

Berkata pula Imam Al-Barbahari yang datang selepas mereka dalam kitabnya yang popular – Syarhus Sunnah yang menyusun akidah prinsip Ahlis Sunnah wal Jama’ah dan membezakan prinsip ahli sunnah dan prinsip ahli bid’ah, antara perbahasan yang jelas adalah perkataan beliau,

إذا رأيتَ الرجلَ يَدعُو على السلطان فاعلم أنه صاحبُ هوىً

وإذا رأيتَ الرجلَ يدعو للسلطان بالصلاح فاعلم أنه صاحبُ سُنَّةٍ إن شاء الله

“Apabila engkau melihat seseorang mendoakan keburukan bagi pemerintah, maka ketahuilah bahawa dia adalah seorang pengikut hawa nafsu. Dan apabila engkau melihat seseorang itu mendoakan kebaikan bagi pemerintah, maka ketahuilah bahawa dia adalah ahli sunnah Insya Allah.”

Ini penjelasan Al-Imam Al-Barbahari, imam Ahlus Sunnah wal Jamaah yang wafat pada tahun 329 hijrah. Saya bukan mengungkapkan perkataan ini untuk pemimpin kita pada hari ini sahaja, bahkan ini adalah praktik para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah zaman berzaman. Jadi saya hairan teman-teman saya yang hendak berjuang menegakkan Islam, mengapa akhlak dan adab Islam ini tidak dipraktikkan?

Bahkan lebih parah daripada itu, video yang kedua menunjukkan kita dimurtadkan.

-Tayangan video kedua-

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Ini kenyataan yang bijak sebenarnya. Bijak dalam erti kata tidak disebut secara langsung bahawa Umno itu murtad. Ini satu kaedah yang digunakan yang dikenali sebagai ilmu kalam atau ilmu mantiq. Ilmu mantiq ini ada muqaddimah dan ada natijah. Contoh,

Muqaddimah 1: Benda yang memabukkan adalah haram

Muqaddimah 2: Arak itu memabukkan

Natijah = Arak itu haram.

Jadi yang disebut tadi, dia tidak mengatakan secara langsung ‘Umno murtad’. Yang dikatakan di situ; memperlekehkan Islam adalah murtad. Muqaddimah kedua beliau menyatakan: Umno tolak Islam bererti Umno memperlekeh Islam. Tetapi dia tidak beri natijah. Natijah dari perkataan tersebut sangat jelas, iaitu menghukum Umno murtad.

Ini satu hukuman yang sangat berat. Apabila dikatakan kepada mereka, mereka menjawab “kami tidak menghukum ahli Umno, kami menghukum parti itu.” Mana mungkin tertegaknya sebuah parti tanpa ahli? Tidak akan wujudnya sebuah parti tanpa ahli. Jadi ahli Umno seramai 3 juta lebih adakah murtad? Adakah memperlekehkan Islam? Sedangkan dalam fasal 3 perlembagaan Umno adalah menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan Islam. Dan itulah yang sedang kita lakukan zaman berzaman.

Kalau dilihat asas Islam seperti dinyatakan di dalam hadis,

بُنِيَ الْإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ، شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيْتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

“Islam itu dibina di atas lima: syahadah laa ilaaha illallah dan Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya, menegakkan shalat, menunaikan zakat, haji ke Baitullah, serta puasa Ramadhan.”

Ulama membahaskan mengapa Nabi menggunakan perkataan buniya (dibina). Kata ulama, Nabi menggunakan perkataan “dibina” kerana itu merupakan perkara asas di dalam Islam.

Pertama, mengucap 2 kalimah syahadah; adakah kita tidak laksanakan hal ini? Kita laksanakan. Kita bentuk dan tubuhkan JAKIM, kita wujudkan bahagian kajian akidah. Kita pernah tahan Al-Arqam, Ayah Pin, Kahar yang mengaku sebagai Rasul, ajaran-ajaran sesat yang lain, syiah dan lain-lain kita cuba banteras, ini usaha untuk memelihara akidah yang telah dan sedang kita laksanakan.

Kedua, shalat; mungkin kita perlu muhasabah diri untuk memperkemaskan shalat kita, tetapi dasar dan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan, mendirikan insfrastruktur untuk memudahkan masyarakat mendirikan ibadah shalat, azan dilaungkan secara terbuka, ini adalah syiar Islam yang menunjukkan Islam dilaksanakan secara terbuka.

Ketiga, zakat; Pengurusan zakat kita adalah antara yang terbaik dan terulung di dunia. Kempen kutip zakat, kempen bayar zakat, kempen agihan zakat. Cuma semestinya ada beberapa perkara yang perlu kita perbetulkan.

Keempat, puasa; syiar Islam ini dilaksanakan secara terbuka, majlis-majlis berbuka puasa, shalat tarawih dan mengimarahkan masjid. Banyak program-program shadaqah di bulan Ramadhan membuktikan syiar Islam dibesarkan dan dilaksanakan secara terbuka.

Kelima, haji; Nombor satu pengurusan haji terbaik di dunia adalah Tabung Haji. Ucapan tahniah kepada menteri agama kita.

Asas Islam itu telah kita laksanakan. Jadi jangan tuduh kita dengan perkataan yang bersifat umum seperti tolak Islam, memperlekehkan Islam. Ini ideologi kafir mengkafir yang kita tidak redhai ianya berada di dalam parti. Kita tidak redha orang-orang kita bersifat kafir mengkafir seperti yang ditunjukkan oleh mereka. Cukuplah amanat seorang tuan guru belasan atau mungkin puluhan tahun yang lalu yang menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam; berpecah dalam shalat, tidak sah shalat berimamkan orang Umno, perkahwinan yang cuba dibatalkan kerana tidak sah dinikahkan oleh jurunikah Umno, makanan sembelihan tidak sah kerana disembelih oleh orang Umno, tidak boleh hadiri jenazah orang Umno. Cukuplah perpecahan yang seperti itu.

Kita tidak mengkafirkan mereka dan saya menyeru kita Umno jangan keluarkan perkataan kafir mengkafir dan itulah yang kita cuba praktikkan. Kita kena ingat sabda Nabi SAW di dalam hadis,

لاَ يَرْمِى رَجُلٌ رَجُلاً بِالْفُسُوْقِ وَلاَ يَرْمِيْهِ بِالْكُفْرِ إِلاَّ ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

“Tidaklah seseorang menuduh orang lain sebagai fasiq dan tidaklah dia menuduh orang lain kafir kecuali tuduhan itu akan kembali kepadanya jika yang dituduh tidak seperti itu.” (riwayat Bukhari).

Mereka tuduh zalim, zalim ini luas tafsirannya, maka berikan bukti dan berikan dalil. Jangan bentukkan persepsi yang salah pada minda rakyat. Rakyat perlu faham, pada hari ini mereka menghadapi media yang pelbagai, manfaatkan media ini untuk kita menyebarkan dan menyampaikan kebenaran, bukan berita-berita palsu. Jangan hanya mendapat dan menerima sesuatu berita terus sahaja kita menyebarkan berita tersebut tanpa mengenalpasti dan tanpa menganalisa. Kata Nabi SAW di dalam hadis,

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Ertinya: “Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan setiap apa yang dia dengar.” (riwayat Imam Muslim)

Hati-hati dengan retweet. Asyik dapat berita, asyik dapat cerita terus retweet dan berita itu tersebar dengan cepat tanpa mengetahui kesahihan dan keabsahan sesuatu berita, kerana kita akan dikatakan pendusta oleh Nabi SAW.

Sebagai penutup dan pergulungan, saya ada beberapa cadangan;

1.       Untuk kita menghadapi zaman fitnah ini, saya sarankan diri saya dan kita semua agar semarakkan suasanan ilmu. Kita perlu ada ilmu untuk bercakap dan mengulas. Jika kita tidak memiliki ilmu dan tidak memiliki asas, jangan kita mengulas. Jangan kita jadi seperti golongan yang digambarkan sebagai Ar-Ruwaibidhah seperti yang disebut oleh Nabi SAW di dalam hadis,

إِنَّهَا سَتَأْتِي عَلَى النَّاسِ سِنُونَ خَدَّاعَةٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا اْلأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَـا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: السَّفِيهُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Sesungguhnya akan datang pada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan, seorang pembohong dikatakan benar dan seorang yang jujur dianggap berbohong, seorang pengkhianat dikatakan amanah dan seseorang yang amanah dianggap khianat, dan pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ditanyakan kepada baginda, “Siapakah Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang yang lekeh (tidak ada ilmu) berbicara tentang urusan manusia (umat).” (Musnad Imam Ahmad)

Jadi kalau tidak faham tentang ekonomi, jangan bercakap tentang ekonomi. Kalau tidak faham tentang bajet, jangan bercakap tentang bajet, kalau tidak faham tentang agama, jangan bercakap, kita biarkan ahli ilmu yang pakar dalam bidangnya untuk memberikan penjelasan kepada kita semua.

 2. Saya sarankan Umno membawa teori nasihat. Nasihat jangan kita lihat dari perspektif yang sempit dan jumud. Yang dimaksudkan dengan nasihat adalah kita mengeluarkan perkataan-perkataan yang baik untuk mereka. Kita bawa politik kasih sayang, kita bukan bawakan politik membenci. Kita sudah ada skuad sayang. Jadi kita manfaatkan dan praktikkan bagaimana Islam mendidik kita teori kasih sayang.

Antara contoh kasih sayang adalah ucapan Yang Berhormat Presiden iaitu memohon maaf kepada rakyat. Ini antara contoh yang terbaik untuk kita jadikan diri kita bersifat dengan sifat memaafkan, kerana sifat memohon maaf dan memaafkan merupakan satu pecahan daripada bukti kasih sayang. Kita tidak mahu politik membenci seperti yang diajarkan oleh pihak mereka, menyebar tuduhan yang tidak ada bukti, dan terus membenci pemimpin kita.

 3.       Berkenaan dengan cakap tidak serupa bikin. Ada di kalangan perwakilan kita yang bercakap kemudian disebarkan gambar-gambar mereka di internet dan sebagainya. Gambar-gambar tersebut adalah gambar superimpose dan kemudian disebarkan, mereka kata cakap tak serupa bikin. Soal orang yang bercakap kemudian dia tidak buat apa yang dia cakap, itu satu bab dan itu kesalahan dia. Tetapi kalau kebaikan yang dia cakap, kita yang mendengar wajib ikut. Sifat orang yang beriman seperti yang terdapat dalam firman Allah SWT,

فَبَشِّرْ عِبَادِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

“Sampaikanlah berita gembira itu kepada hamba-hamba-Ku yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang mempunyai akal.” (Az-Zumar: 17-18)

4. Dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang, kita tidak mahu menjadikan diri kita seperti yang digambarkan oleh Nabi di dalam hadis iaitu seperti serigala yang lapar. Hadis yang dibacakan oleh Ketua Puteri sebelum ini,

 مَا ذِئْبَانِ جَائِعَانِ أُرْسِلَ فِي غَنَمٍ بِأَفْسَدَ لَهَا مِنْ حِرْصِ الْمَرْءِ عَلَى الْمَالِ وَ الشَّرَفِ لِدِيْنِهِ

“Tidaklah dua ekor serigala yang lapar dilepaskan pada seorang kambing lebih merosakkan ke atas kambing tersebut daripada merosaknya seseorang terhadap agamanya disebabkan cita-citanya untuk mendapatkan harta dan kedudukan.” (riwayat At-Tirmidzi no. 2482, dishahihkan Syaikh Muqbil dalam Ash Shahihul Musnad, 2/178)

Jadi kita muhasabah, jangan kerana hendak mempertahankan kedudukan semata-mata, kita menggadaikan pegangan agama, kita menggadaikan perintah Allah agar mentaati pemimpin. Taatilah keputusan, itulah prinsip dan pegangan ahlus sunnah wal jamaah, kita harus terima dengan redha.

5. Saya wakil dari bahagian Arau hendak mencadangkan dan melancarkan satu kempen yang menggunakan mulut sahaja, tidak perlu duit, iaitu Kempen 1Malaysia Tolak Fitnah.

Wallaahu A’lam.

Bahagian Arau menutup. Terima kasih.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=q6lEcweXKp4

 

 

 

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: