Skip to content

1Malaysia Tolak Fitnah Demonstrasi & Pluralisme

Disember 16, 2012

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

1 Malaysia Tolak FitnahKetika bercakap tentang fitnah, fitnah yang dimaksudkan bukanlah fitnah dalam tafsiran yang sempit. Fitnah bukan merujuk kepada tuduhan palsu semata-mata. Tetapi fitnah bermaksud ujian, bala bencana, rusuhan, pemberontakan, perpecahan, dan segala sesuatu yang tidak baik kepada agama, bangsa, negara, dan lebih khusus lagi kepada seluruh rakyat dalam negara ini.

Kita membenci rusuhan dan demonstrasi jalanan. Itu adalah fitnah. Kita membenci tuduhan-tuduhan palsu. Tuduhan-tuduhan palsu juga adalah fitnah. Kita benci kepada perpecahan, pergaduhan, pemberontakan di mana semua ini juga juga adalah fitnah.

Oleh itu saya mencadangkan slogan 1Malaysia yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak disusuli dengan perkataan tolak fitnah. Kita benci kepada fitnah, kia tolak semua fitnah, merangkumi permusuhan, perpecahan, pergaduhan, dan demonstrasi jalanan.

Sebagai muslim secara khususnya dan non-muslim secara umumnya, sudah semestinya kita tidak ingin negara dan masyarakat kita berpecah, kita tidak ingin berlakunya rusuhan sekiranya wujud ketidakpuashatian. Adakah sampai bila-bila kita hendak menyelesaikan sesuatu isu dan permasalahan dengan merusuh?

Lihat apa yang berlaku di Kaherah, Mesir. Hampir setahun setengah yang lalu, ketika mereka merusuh agar Hosni Mubarak dijatuhkan, mereka menggambarkan Hosni Mubarak sebagai Fir’aun, kejam, maha zalim dan sebagainya. Mereka berhimpun di Dataran Tahrir sehingga Hosni Mubarak dijatuhkan.

Di Malaysia juga ada teman-teman kita yang cuba berkumpul di Dataran Merdeka dan mereka menggambarkan Dataran Merdeka seperti Dataran Tahrir. Kerajaan zalim, kerajaan makan duit rakyat, kerajaan korup dan sebagainya. Perkataan ini jugalah yang dikeluarkan rakyat Mesir kepada Hosni Mubarak.

Setelah naik pemimpin baru di Mesir yang dilantik dan dipilih oleh rakyatnya pada masa itu, Morsi, apa yang berlaku di Dataran Tahrir Mesir pada hari ini? Kelompok sama yang menyuarakan kezaliman Hosni Mubarak dan mencadangkan Morsi dinaikkan, gerakan dan kelompok sama jugalah yang berkumpul dan berkata Morsi zalim, maha Firaun, dan Morsi harus turun letak jawatan.

Budaya inikah yang kita ingin semarakkan di dalam negara kita? Sedangkan mengikut prinsip dan nilai-nilai Islam, Islam tidak mengajar sedemikian rupa. Jika ada ketidakpuashatian dan perkara yang kita tidak setuju, dalam hadis Nabi SAW baginda bersabda,

الدِّينُ النَّصِيْحَةُ. قُلْنَا : لِمَنْ يَارَسُولَ اللهِ ؟ قَالَ : لِلهِ، وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَ ئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu nasihat.” Kami (sahabat) berkata, “Untuk siapa wahai Rasulallah?”. Baginda menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin Islam dan rakyatnya.” (riwayat Muslim)

Maknanya agama ini berbentuk nasihat. Dalam memindahkan dan menyampaikan agama hendaklah dalam bentuk nasihat. Kata para ulama ahli sunnah yang diertikan dengan nasihat adalah,

إِرَادَةُ الْخَيْرِ لِلْمَنْصُوْحِ لَهُ

“Menginginkan kebaikan bagi orang yang dinasihati.” (Syarh Al Arba’in An-Nawawiyah oleh Syaikh Sholeh bin Abdul Aziz Alu Syaikh hal. 125 terbitan Darul Mustaqbal, Mesir)

Ini menunjukkan agama kita dan saya yakin mana-mana agama lain juga setuju bahawa apa yang dimaksudkan dengan nasihat bukanlah yang berbentuk cercaan, makian, kutukan, atau melontar perkataan yang tidak sewajarnya. Sebaliknya nasihat mestilah tampil dengan perkataan yang baik, tingkahlaku dan sikap yang baik.

Nabi SAW ketika menjelaskan ciri-ciri orang yang baik imannya bersabda,

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya.” (riwayat At-Tirmidzi no. 1162 dan dishahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani)

1Malaysia tolak fitnah demonstrasi

Apabila kita berbicara 1Malaysia tolak fitnah bererti kita tolak perkara-perkara yang membawa kepada keburukan dan keruntuhan akhlak, seperti contoh yang kita sebutkan tadi; demonstrasi jalanan.

Mereka bertanya mengapa kita bercakap tentang demonstrasi banyak sangat. Saya katakan kita perlu tekankan isu ini kerana kita tidak mahu ianya dibudayakan; setiap kali tidak puas hati keluar di jalanan. Ini bukan cara Islam menyelesaikan masalah, ini bukan ciri orang yang berakhlak dalam menyelesaikan masalah. Ciri orang berakhlak menyelesaikan masalah adalah dengan nasihat.

Para sahabat Nabi duduk di tepi jalan berbual dan berbincang tentang agama. Nabi SAW menegur mereka. Kata Nabi SAW,

إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ فَقَالُوا مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ فِيهَا قَالَ فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهَا قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلَامِ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi duduk-duduk di jalan.” Maka mereka (para sahabat) berkata, “Sesungguhnya kami duduk-duduk untuk berbincang.” Nabi menjawab, “Jika kamu tidak dapat berganjak melainkan perlu duduk-duduk, maka berikanlah hak-hak jalan.” Mereka bertanya, “Apa hak-hak jalan tersebut wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu orang, menjawab salam, dan memerintahkan kepada yang makruf serta mencegah dari kemungkaran.” (riwayat Imam Al-Bukhari nombor 2285)

Adakah orang yang berdemonstrasi itu mencegah orang dari melakukan kerosakan? Sedangkan merekalah penyeru dan pemberi semangat serta mengapi-apikan manusia agar terus melakukan tindakan yang tidak berakhlak. Hal ini bercanggah dengan hadis Nabi SAW, lebih-lebih lagi Nabi mengatakan di antara hak jalan adalah menyuruh orang melakukan kebaikan dan melarang kemungkaran.

Itu adalah hak-hak jalan. Adakah di dalam demonstrasi hak-hak jalan itu ditunaikan? Apabila hak jalan tidak ditunaikan maka jelas ia bercanggah dengan perintah dan tuntutan Nabi SAW. Begitu juga apabila kita katakan 1Malaysia tolak fitnah, kita tolak pemikiran-pemikiran atau ideologi-ideologi yang bercanggah dengan pendirian agama.

1Malaysia tolak fitnah Pluralisme

Contoh ideologi yang bercanggah dengan Islam adalah ideologi dan pemikiran pluralisme iaitu menyamakan semua agama. Saya yakin kawan-kawan kita yang beragama hindu dan beragama kristian dan kita juga yang beragama Islam, masing-masing di kalangan kita akan menganggap agama kita masing-masing adalah agama yang terbaik.

Sebagai umat Islam, itu wajib menjadi i’tiqad dan pegangan kita. Teman-teman kita yang beragama Hindu, mereka akan berpendirian bahawa Hindu adalah agama yang terbaik. Orang yang beragama Kristian mengatakan agama mereka adalah agama yang terbaik. Tidak ada dalam mana-mana agama membawa kepada kesamarataan semua agama, menuju kepada Tuhan yang satu.

Di sisi umat Islam, agama yang Allah SWT iktiraf adalah,

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلامُ      

Maksudnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (surah Ali ‘Imran, 3: 19)

Jadi inilah pendirian kita. Jangan semata-mata kerana kepentingan politik dan kepentingan undi, pendirian ini digadaikan. Saya yakin mereka yang beragama Kristian dan Hindu pun tidak menggadaikan pendirian ini.

Begitu juga kita yang beragama Islam dan yang mempertahankan perlembagaan Islam sebagai agama persekutuan. Kita perlu pertahankan hal ini dalam masa kita meraikan teman-teman kita yang selain agama Islam, yakni kita meraikan kedudukan mereka bersama-sama kita dalam sebuah negara sebagai rakyat Malaysia. Mereka ada kebebasan beragama dan itu yang Islam berikan kepada mereka. Firman Allah SWT,

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

“Tidak ada paksaan dalam beragama.” (surah Al-Baqarah, 2: 256)

Sebab turun ayat ini, seorang sahabat Nabi RA dari kalangan golongan Anshar bertemu dan bertanya Nabi Muhammad SAW boleh atau tidak dia memaksa kedua-dua anaknya yang beragama Kristian memeluk Islam? Lalu Allah turunkan ayat di atas “tidak ada paksaan di dalam agama” menunjukkan tidak boleh.

Namun jika seseorang itu telah beragama Islam, kita kena pertahankan agamanya. Kita kena memahamkan dia tentang kepentingan Islam agar dia tidak meninggalkan Islam. Mana boleh setelah dia beragama Islam kemudian kita mengatakan kepadanya terpulang sekiranya dia hendak memilih agama yang lain. Seperti mana orang yang beragama Kristian, paderi tidak akan berkata kepadanya, pilihlah agama mana-mana yang kamu suka. Sebaliknya paderi akan menyuruhnya menjaga agamanya.

Umat Islam perlu prihatin menjaga sesama kita agar orang yang beragama Islam tidak meninggalkan agama mereka. Jadi apabila ada pihak yang tampil membawa pemikiran semua agama sama dan setiap umat Islam harus berhak memilih mana-mana agama, ideologi ini perlu ditolak. Ideologi ini merupakan fitnah kepada umat Islam. Sebab itu kita katakan, 1Malaysia tolak fitnah.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Advertisements

From → Akidah & Manhaj

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: