Lompat ke isi kandungan

1Malaysia Tolak Fitnah Tuduhan Palsu, Khianati Janji & LGBT

Disember 20, 2012

1 Malaysia Tolak FitnahPada hari ini telah banyak berlaku penyebaran perkataan-perkataan dan persepsi-persepsi yang negatif. Digambarkan kepada masyarakat bahawasanya kerajaan zalim. Zalim kepada siapa? Ada seorang dua cikgu ataupun ustaz minta tukar sekolah tetapi tidak dibenarkan tukar, lalu dikatakan kerajaan zalim. Itu isu peribadi. Mungkin ada berlaku kakitangan kerajaan yang terlibat di dalam rasuah, itu juga isu peribadi. Mungkin ada di kalangan kakitangan kerajaan yang terlibat dalam korupsi, itu juga merupakan hal peribadi. Itu bukan dasar perjuangan parti kerajaan yang memerintah.

Hal sebegini perlu difahami. Isu sebegini bukan tidak berlaku di dalam parti pembangkang. Masalah seperti ini bukan tidak berlaku di dalam Pas, Pkr atau Dap dan sebagainya. Ia berlaku di mana-mana kerana ia adalah kesilapan dan kelemahan manusia. Daripada kelemahan, kesilapan dan kesalahan inilah kita memenuhi tuntutan agama untuk menyampaikan nasihat dan teguran antara satu sama lain, memperbetulkan sesama kita dan saling lengkap melengkapi.

Nabi Muhammad SAW apabila tiba di Madinah, baginda membuat perjanjian bertulis dengan golongan Yahudi dari Bani Quraidzah, Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan kabilah-kabilah yang lain. Atas asas apa perjanjian itu dibuat adalah untuk kesejahteraan. Seperti mana dalam negara kita pada hari ini, umat Islam khususnya orang melayu telah membuat perjanjian dengan orang berbangsa Cina dan India di mana hak-hak masing-masing perlu dipelihara dan dijaga.

Ini sama seperti piagam Madinah yang Nabi SAW pernah buat. Ketika Nabi menulis perjanjian, baginda menggunakan perkataan, “Sesungguhnya kaum Muslimin dan Yahudi menjadi 1 ummah selama mana perjanjian yang dimeteraikan bersama tidak dikhianati.” Sama ada dikhianati oleh orang Islam sendiri atau dikhianati oleh orang Yahudi.

Namun sejarah telah membuktikan bahawasanya Yahudi telah mengkhianati perjanjian dengan umat Islam menyebabkan berlakunya peperangan besar seperti perang Al-Ahzab dan berlaku juga pembunuhan yang besar di dalam peristiwa Bani Nadhir, Bani Qainuqa’, Bani Quraidzah kerana mengkhianati perjanjian. Perkara seperti ini jangan dilupakan.

Kita lancarkan kempen 1Malaysia Tolak Fitnah semata-mata untuk mempertahankan keamanan yang dibawa dengan izin Allah SWT oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu ketika termeterainya perjanjian untuk mendapat kemerdekaan dan untuk menjaga hak-hak rakyat Malaysia; hak orang Melayu, Cina, India, semuanya dipertahankan dan dengan perjanjian ini dan dengan izin Allah kita hidup aman damai sehingga ke hari ini.

Tiba-tiba ada pihak yang ingin mengubah perjanjian ini, mempersendakan perjanjian ini, mengetepikan serta membelakangkannya. Bahkan yang terbaru, ada NGO-NGO dari Barat yang mendesak kerajaan Malaysia menerima LGBT dan mendesak agar memberikan hak-hak kepada mereka yang terlibat di dalam LGBT.

Dalam mana-mana agama dan saya sebagai umat Islam bercakap atas nama Islam, tindakan yang seperti ini adalah tindakan yang jijik. Homoseks dan lesbian adalah perbuatan yang jijik. Allah SWT telah menjelaskan di dalam Al-Quran,

 وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ

“Ingatlah Luth, ketika dia berkata kepada kaumnya, ‘Sesungguhnya kalian telah melakukan al-fahisyah (perkara yang sangat jijik), yang belum pernah dilakukan seorang pun di alam ini.‘” (surah Al-Ankabut: 28)

Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

“Barangsiapa mendapati orang yang melakukan perbuatan seperti yang dilakukan kaum Luth (liwat), maka bunuhlah si pelaku dan yang diperlakukan.” (riwayat Ibnu Majah no. 2561, dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani)

Ini menunjukkan bahawa perbuatan ini dikeji di dalam agama. Saya yakin di dalam agama lain seperti Kristian juga ia dikeji. Bahkan di dalam mana-mana agama, perbuatan di luar tabi’i seperti ini pasti  dikeji. Tetapi datang golongan tertentu yang cuba untuk mempertahankannya atas nama ingin memberikan hak-hak mereka.

Adakah kita ingin menjadikan negara kita seperti di Amerika dan Perancis di mana ada masjid khusus untuk lesbian dan gay? Bahkan di antara pengasasnya adalah orang kita, orang yang beragama Islam dalam negara ini tetapi dia tinggal di sana. Kita memandang remeh hal ini sedangkan ianya boleh merosakkan akidah.

Apabila ada NGO mendesak, mereka seolah-olah meremehkan perlembagaan kita yang sedia ada yang menetapkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Mereka juga meremehkan kuasa raja-raja Melayu dalam negara ini yang menjadi ketua agama. Mereka turut meremehkan sensitiviti umat Islam dan orang-orang selain Islam yang berpegang dengan agama.

Sedangkan rukun negara nombor satu, orang yang hendak menjadi rakyat di dalam negara ini mestilah percaya kepada Tuhan. Apabila kita katakan kita percaya dan beriman kepada Tuhan, kita juga perlu benci apa yang Allah SWT benci, dan kita perlu cintai apa yang Allah SWT cintai. Sabda Nabi SAW,

أَوْثَقُ عُرَى الْإِيْمَانِ الْحُبُّ فِي اللهِ وَالْبُغْضُ فِي اللهِ

“Sekuat-kuat tali pegangan iman itu adalah mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah.” (riwayat Ath-Thabarani dan dihasankan Asy-Syaikh Albani dalam Ash-Shahihah no. 998)

Kita membenci ideologi dan usaha-usaha yang seperti ini, yang membelakangkan perlembagaan sedia ada. Atas asas itu saya bawa dan saya cadangkan kempen 1Malaysia Tolak Fitnah. Fitnah bukanlah di dalam ruang lingkup yang sempit dan jumud, tetapi kita melihat fitnah dalam konteks yang luas; tuduhan palsu, zalim, korupsi, rasuah, perpecahan, rusuhan, mengabaikan perjanjian nenek moyang kita dahulu yang telah dipersetujui bersama. Kita tolak semua ini, sebab itu kita lancarkan 1Malaysia Tolak Fitnah.

1Malaysia Tolak Fitnah bukan sekadar laungan

Kita lancarkan kempen ini bukan sekadar laungan atau seruan, tetapi ia perlu kepada susulan dan tindakan. Apa yang perlu kita buat untuk tolak fitnah? Kita perlu kepada pengisian, pentarbiahan, didikan diri sendiri dan pemurnian jiwa kita agar kita dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan.

Satu perkara yang paling penting untuk kita menolak fitnah adalah ilmu pengetahuan. Setakat kita menjerit “1Malaysia Tolak Fitnah” memang boleh, tetapi fitnah apa? Apakah yang fitnah, dan apakah yang bukan fitnah? Adakah kita tahu membezakan keduanya?

Sekarang ini sebaran maklumat cukup mudah dan pantas. Di hujung jari kita sudah boleh mendapat tahu apa yang berlaku, di hujung jari saya boleh mengenali siapa pengasas kepada masjid LGBT di Amerika, di mana shalatnya berjamaah lelaki dan perempuan sebaris di dalam satu shaff tanpa menutup aurat. Mereka membawa ideologi dan pemikiran liberal.

Kita kena tahu apa itu pemikiran liberal, plural, keburukan-keburukan demonstrasi, sikap dan pendirian ahlus sunnah dalam bermuamalat dengan pemimpin, dan yang paling penting adalah tauhid (akidah). Sebab itu saya selalu menasihati kawan-kawan, bagus sekiranya mereka hendak belajar ilmu perbandingan agama, tetapi nasihat saya, sebelum hendak mempelajarinya, akidah kita sebagai seorang muslim hendaklah difahami terlebih dahulu. Adakah kita telah faham maksud ucapan Laa-ilaaha-illallaah, penjelasan, tafsiran, serta rukunnya?

Sebagai seorang yang beragama Islam, apakah praktik kita dalam agama ini, bagaimana akhlak dan apa akidah kita? Adapun yang lainnya, perlu ada pengetahuan umum tentang isu dan realiti yang berlaku. Apabila orang menyebarkan sesuatu di dalam internet, jangan mudah kita menerima dan menyebarkan apa sahaja maklumat yang dibaca. Bagi yang ada twitter dia retweet, bagi yang ada facebook dia share. Bagi yang ada blog dia post berita itu di blognya. Semak dahulu sebelum hendak berkongsi sesuatu berita.

Ancaman bagi penyebar berita palsu

Pembohongan dan tuduhan palsu sangat-sangat dibenci di dalam Islam. Bahkan saya yakin dalam mana-mana agama juga sangat membenci tuduhan palsu. Di dalam Islam, Nabi SAW pernah menyebut tentang 7 dosa-dosa yang sangat besar, dan yang ketujuh adalah persaksian atau palsu dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.

Nabi yang sedang duduk lalu bangun berdiri menyebut tuduhan palsu, tuduhan palsu, tuduhan palsu. Dosanya sangat besar. Jangan bermain-main dengan tuduhan palsu. Jangan bawa tuduhan palsu kerana hendak menang pilihan raya. Hendak dapatkan kerusi atau undi sekalipun jangan dibawa tuduhan palsu. Dan jangan bawa tuduhan palsu kerana hendak menjadi Perdana Menteri. Bercakaplah dengan perkataan yang benar.

Walaupun kita tidak suka orang tertentu menjadi Perdana Menteri, jangan sekali-kali sebarkan tuduhan yang palsu terhadapnya. Bercakaplah dengan fakta, bukti dan ilmu pengetahuan. Sabda Nabi SAW,

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan setiap apa yang dia dengar.” (riwayat Imam Muslim)

Apa yang Nabi maklumkan kepada kita adalah dua perkara; 1) bukan semua benda yang kita dengar itu betul. 2) kalau kita menyebarkan sesuatu tanpa mengesahkan kebenarannya, kita dikategorikan sebagai pendusta.

Apabila kita telah menuduh seseorang, tidakkah kita bimbang di akhirat kelak Allah SWT akan mengadili setiap perkataan dan tuduhan palsu kita?

Pada hari ini sekiranya kita ingin berniaga, kita inginkan perniagaan yang membawa keuntungan, tidak ada sesiapa yang berniaga untuk rugi. Jika kita inginkan keuntungan di dalam perniagaan, kita juga inginkan amalan-amalan kita di atas muka bumi ini dapat kita raih keuntungannya di akhirat kelak. Kita tidak mahu berpenat-penat beramal di atas muka bumi tetapi di akhirat kelak keuntungan dan pahala kita diberikan kepada orang yang kita zalimi dan tuduh mereka semasa di dunia.

Ini adalah iman dan kepercayaan. Sebab itu saya tekankan isu akidah untuk kita tolak fitnah. Bagi umat Islam, ilmu terpenting yang perlu dikuasai adalah ilmu akidah dan tauhid kerana ia akan menghubungkannya dengan Allah. Kejayaan dalam hubungan dengan Allah akan memberikan implikasi yang positif dalam hubungan sesama manusia. Kalau seseorang tidak berjaya dengan hubungannya dengan Allah, dia tidak akan berjaya dalam hubungannya dengan manusia. Sebab itu didahulukan perkataan “hablun minAllah wa hablun min an-Naas” yakni bermula dengan hubungan dengan Allah dan kemudian barulah hubungan dengan manusia.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

From → Akidah & Manhaj

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: