TG Haji Hadi perlu tarik balik amanat mungkar
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Soalan: Ada pihak meminta supaya TG Haji Abdul Hadi menarik balik fatwa yang pernah dikeluarkan yang mengkafirkan Umno, dan sampai hari ini, masih puluhan ribu orang di dalam parti sebelah sana mempercayai. Kalau sekiranya amanat ini tidak ditarik, bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah ini?
Jawapan:
Ini isu lama dan kesan negatif daripada kenyataan tersebut sangat besar. Ada orang berkata mengapa dibangkitkan lagi isu ini, isu ini sudah lapuk. Kalau kita katakan lapuk, tentulah Al-Quran lebih lapuk. Tetapi tetap kita baca dan tetap kita ingatkan kaum muslimin dengan syurga dan neraka, dosa dan pahala, azab dan nikmat, shalat dan wudhuk yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran. Adakah kita mengatakan agama sudah lapuk?
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bangkit hendak mengerjakan shalat, maka basuhlah mukamu dan kedua tanganmu hingga ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kakimu sampai kedua buku lali.” (surah Al Maidah, 5: 6)
Ayat itu kita baca sampai ke hari ini. Adakah kita berhak mengatakan sesuatu itu lapuk. Implikasi kenyataan TG Haji Hadi Awang yang memberikan satu amanat membawa kepada pemikiran atau virus pengkafiran, iaitu salah satu pemikiran khawarij. Saya tidak menghukum Haji Hadi Khawarij khawarij tetapi saya mengatakan pemikiran mengkafirkan orang yang melakukan dosa besar itu merupakan salah satu ideologi khawarij.
Sebab itu kita kena sentiasa ingatkan dan kita tidak sepatutnya mengingatkan hal dan isu ini sementara menunggu pilihanraya sahaja. Kita kena ingatkan setiap hari kepada masyarakat agar orang yang mengeluarkan kenyataan ini menarik balik dan mengakui kesilapan. Masalah kita adalah kita tidak mahu mengakui kesilapan.
Sesiapa pun harus bermuhasabah. Apabila tidak mahu mengakui kesilapan atau buat tidak tahu terhadap kesilapan yang dilakukan, kita harus ingat sabda Nabi SAW di dalam hadis,
وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
“Dan barang siapa yang membuat satu sunnah yang buruk di dalam Islam, dia mendapat dosanya dan dosa orang-orang yang mengerjakannya sesudahnya tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.” (Sahih, riwayat Muslim no. 1017)
Jadi kita tidak mahu TG Haji Hadi Awang menanggung dosa orang lain yang mengkafirkan orang disebabkan amanat beliau. Dia tidak boleh kata, Allah berfirman,
أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى
“Seseorang tidak akan menanggung dosa orang lain. Dan bahwasanya seorang manusia tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” (surah an-Najm: 38-39)
Memang saya tidak akan tanggung dosa YB, YB tidak akan tanggung dosa saya. Tetapi kalau saya ajar YB buat benda-benda tidak elok dan YB mengikutinya, saya tetap menanggung dosa tersebut. Itu nasihat yang hendak kita sampaikan. Itu penjelasan yang perlu kita berikan. Sebab itu kita terus bercakap agar orang yang mengeluarkan kenyataan ini menarik balik kesalahannya.
Kafir mengkafir bukan perkara mudah. Bukan bererti apabila seseorang itu tinggal solat kita boleh menghukum orang itu kafir. Bukan bererti apabila orang itu mengamalkan politik suku agama suku bererti orang itu kafir. Kita kena lihat statusnya, jahil atau tidak, alim tentang agama atau tidak, faham atau tidak, sedar atau tidak, sengaja atau tidak, salah faham atau tidak, semua ini perlu diraikan.
Guru kami, Prof. Dr. Ibrahim bin Amir Ar-Ruhaily menulis satu kitab besar At-Takfeer wa Dhawabithuhu (Pengkafiran dan Kaedah-kaedah untuk menjatuhkan hukum kafir). Sebelum hendak menjatuhkan hukum kafir kepada mana-mana individu atau kumpulan, perlu dilihat apakah orang yang hendak menjatuhkan hukum kafir itu mempunyai autoriti atau kelayakan atau tidak. Dalam Islam kita meletakkan qadhi yang dilantik untuk menjatuhkan hukuman, bukan bererti apabila dia bergelar tok guru dia berkelayakan untuk mengkafirkan orang. Itu bab orang yang hendak menjatuhkan hukum.
Kepada yang hendak dijatuhkan hukum pula, kita kena tabayyun dan tatsabbut. Seperti mana sahabat Nabi RA, ‘Ammar bin Yasir yang ayah dan ibunya dibunuh sebelum penghijrahan Nabi ke Madinah. Ketika mana Ammar disiksa sehingga dia pengsan, dan dia dia tidak tahan sehingga menyebut “Aku beriman kepada Tuhan Latta dan Uzza” kerana terlalu sakit disiksa sehingga terkeluar perkataan tersebut. Dia balik dan bertemu dengan Nabi SAW. Bagaimana sikap Nabi? Nabi berkata,
إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“Kecuali orang-orang yang dipaksa dan hatinya tenang dengan iman, akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya adzab yang besar.” (An-Nahl: 106)
Tapi orang-orang yang tidak faham mungkin akan mengatakan Ammar bin Yasir itu kafir kerana beriman dengan Tuhan selain Allah. Sebab itu perlu kepada siasatan kenapa Ammar menyebut demikian, sebab itu juga apabila kita nampak orang melakukan kemaksiatan, berkata politik suku agama suku, sebelum menjatuhkan hukuman kita berkewajipan bertanya kepadanya apa maksud orang yang mengatakannya. Adakah agama itu tidak ada langsung di dalam politik, adakah agama menolak politik, ataupun orang yang berkata sedemikian memaksudkan politik fitnah, politik tuduh menuduh, politik mengumpat, politik persepsi dan sebagainya. Kalau sedemikian, memang politik seperti ini tidak ada dalam Islam.
Politik yang ada di dalam Islam seperti politik di zaman Nabi SAW adalah politik dengan adab, kasih sayang, sopan, politik dengan fakta sebenar dan tolak fitnah. Jadi kita perlu bertanya dan periksa. Dan sebab itu dibahaskan oleh Dr. Shalih ibn Fauzan Al-Fauzan, salah seorang ahli majlis fatwa ulama Saudi, beliau membahaskan tentang iqaamatul hujjah (penegakan hujah) bagi orang yang dilihat dia melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membawa kepada kekufuran, kita perlu memanggilnya terlebih dahulu dan tegakkan hujah ke atasnya.
Maksud tegakkan hujah adalah memberitahu kepadanya bahawa perbuatannya itu salah dan menjustifikan kesalahannya; kenapa salah, dan membawakan dalil-dalil dari Al-Quran dan Sunnah. Sekiranya dia mengatakan dia tidak tahu perbuatannya itu salah, atau dia memahaminya secara salah, atau tidak sengaja, tidak sedar dan terpaksa, maka tidak boleh dijatuhkan hukuman kufur ke atasnya.
Perkara kafir-mengkafir tidak boleh dibuat main dan tidak boleh dianggap mudah. Jika apabila orang melakukan dosa besar dan dia dengan mudah dihukum kafir, boleh jadi hampir semua orang di muka bumi ini telah menjadi kafir.
Jadi kita tidak meminta yang lain. Kita hanya minta TG Haji Hadi menarik balik amanatnya dan memohon maaf kepada kaum muslimin dan kita akan sebarkan kebaikan ini. Bukan kita ingin menghukum atau mengejeknya, tetapi Islam adalah agama yang memaafkan. Dalam hadis diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda dan kita membacanya di dalam doa,
اللهم إنك عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka mengampunkan, maka ampunilah aku.” (riwayat Tirmidzi)
Apabila ada orang yang berzina datang kepada Nabi mengakui kesalahan dan meminta dijatuhkan hukuman rejam ke atasnya kerana telah berkahwin dan berzina, ada sebahagian sahabat yang memandang hina jenazahnya. Nabi marah, Nabi berkata dia telah mengakui kesilapan dan dia bersedia menjalani hukuman. Jangan menghinanya, tetapi urus jenazahnya dengan baik seperti jenazah umat Islam yang lain.
Ini sikap Islam; kasih sayang, cinta mencintai sesama muslim. Ini tidak, sesama muslim dikeji dan dimaki, tetapi apabila dengan bukan muslim berbaik dan mendoakan hidayah kepada mereka. Jadi mengapa sesama muslim mendoakan pecah perut dan kehancuran?
Seharusnya kita mendoakan kebaikan sesama muslim dan bersatu untuk menegakkan Islam dalam negara ini serta memartabatkan, mengembangkan dan mempertahankan Islam.
Audio rakaman amanat Haji Hadi: http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=s-OFxvS3aYs
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut: