Skip to content

Agenda terancang di sebalik tuntutan penggunaan kalimah Allah

Januari 2, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

12680_507883109229832_1776007691_nSoalan: Sekarang ini isu yang hangat diperkatakan adalah isu penggunaan kalimah Allah. Ini bukan kali pertama timbul. Apa pandangan ustaz sendiri. Kenapa kerajaan yang punya kuasa tidak mengeluarkan kenyataan yang keras dan tegas agar isu ini tidak ditimbulkan lagi dan supaya mereka tidak sesuka hati meminta perkara seperti ini atau perkara yang lain.

Jawapan:

Perbincangan tentang isu kalimah Allah ini sebenarnya satu perbincangan yang ilmiah dan tidak sepatutnya dipolitikkan. Perbincangan ini telah dibicarakan oleh para ahli ilmu. Permulaan kepada perbincangan ini adalah apabila wujudnya tafsiran firman Allah SWT di dalam Al-Quran,

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

“Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”, nescaya mereka menjawab: “Allah”.” (surah Az-Zumar: 38)

Yang menjawab demikian adalah orang kafir jahiliyyah Makkah. Mereka ada Latta, Uzza, dan berhala-berhala di sekeliling Ka’bah yang mereka sembah. Tetapi mereka menggunakan nama Allah dan penggunaan kalimah Allah di sisi mereka disahkan oleh firman Allah SWT di dalam Al-Quran.

Para ahli ilmu (alim ulama) di Timur Tengah yang berbangsa arab secara khususnya berpandangan bahawa penggunaan kalimah Allah ini telah menjadi satu budaya dan adat. Masyarakat di sana walaupun ada yang bukan Islam, kristian, ada yang tidak berpegang dengan mana-mana agama, qadianiyah dan sebagainya, mereka tetap dengan ucapan seperti Masya-Allah, insyaAllah, wallaah, wabillah, watallaah.

Namun perkataan mereka itu contohnya Wallaah tidak dikategorikan sebagai sumpah. Itu satu perkataan biasa menurut mereka dan mereka tidak perlu membayar kaffarah kerana mengingkari sumpahnya. Ini kerana perkataan wallaah sudah menjadi pertuturan kebiasaan mereka, bukan wallaah dengan niat qasam (bersumpah). Itu apa yang berlaku di negara arab, sebab itu digunakan kalimah Allah di dalam kitab mereka yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

Sekarang ini kita bercakap dalam konteks Malaysia. Berapa kali orang-orang kristian di dalam negara kita ini menjadikan penggunaan kalimah Allah di dalam pertuturan seharian mereka atau menjadikan ia budaya di dalam percakapan? Berapa kali orang seperti Lim Guan Eng contohnya tersadung lalu menyebut Allahu akbar? Berapa kali apabila dia terkejut lalu menyebut nama Allah?

Di Sabah Sarawak memang penggunaan kalimah Allah sudah menjadi kebiasaan sebab di gereja mereka menggunakan kitab-kitab terjemahan Indonesia. Indonesia menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Indonesia dan menggantikan kalimah God kepada kalimah Allah.

Kita perlu ingat, di Indonesia, perlembagaannya membawa pluralisme menerusi Pancasila. Pancasila adalah hasil daripada pluralisme, kesamaan di dalam beragama. Jadi di sana, jika orang Islam hendak berkahwin dengan orang bukan Islam pun tidak ada masalah, walaupun memang ada perbincangan khusus di kalangan ilmuwan Islam tentang keharusan berkahwin dengan ahli kitab. Tetapi syarat berkahwin dengan ahli kitab itu, si lelaki perlu muslim. Itu perbincangan di kalangan ahli ilmu dan saya tidak mahu panjangkan perbincangan tersebut serta kekhilafan di kalangan ilmuwan Islam tentang masih wujud atau tidak ahli kitab pada hari ini.

Namun apa yang berlaku di Indonesia tidak menepati syarat yang digariskan. Di sana, perempuan muslim pun boleh berkahwin dengan lelaki kristian, hindu atau apa-apa agama sahaja. Jadi penggunaan kalimah Allah itu sudah menjadi biasa bagi mereka, dan implikasinya boleh dilihat di Sabah dan Sarawak apabila kitab ini diguna pakai.

Kita kena ingat umat Islam di Malaysia berapa peratus? Kita sendiri pun tidak tahu umat Islam berapa peratus. Kita bukan duduk di zaman mula-mula merdeka di mana peratusan umat Islam adalah 80%. Sekarang ini umat Islam dalam negara kita cuma 61%, masih majoriti di dalam negara ini. Menyusul selepas itu adalah agama Buddha, hampir 20%. Susulannya Kristian, 9.2%, seterusnya Hindu dan lain-lain.

Kristian hanya 9.2% dan bercakap seolah-olah mewakili majoriti dalam negara ini. Kita kena ingat, gereja yang terbesar di Asia yang sedang dalam proses binaan di Selangor pada hari ini diberikan kepada mereka. Tokong Hindu yang terbesar di Batu Caves. Kemudian, tokong Buddha yang terbesar di Kelantan, bahkan salah seorang daripada orang  politik dalam negara ini merupakan orang besar gereja Katolik di Asia.

Apa yang hendak saya sampaikan adalah di sana terdapat agenda; 1) Kristianisasi, 2) Pluralisme. Kita kena ingat apa tuntutan IFC yang dikepalai oleh Ambiga. Tuntutan mereka mengkehendaki supaya perlembagaan yang diletakkan Islam sebagai agama persekutuan itu dirungkaikan, dan diberikan kesamarataan kepada semua agama. Ini semua adalah agenda mereka yang tersusun dan terancang.

NGO, bar council, ini adalah gerakan mereka; terdiri daripada para peguam bahkan terdiri dari kalangan orang Islam sendiri. Mereka ada orang yang menggerakkan agenda kristianisasi dan pemurtadan, kemudian agenda pluralisme pula, secara berani salah seorang pemimpin DAP baru-baru ini Lim Kit Siang menyebut secara terang bahawa kerjasama DAP dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat bukan untuk menegakkan negara Islam dan bukan bertujuan untuk hudud, sebaliknya untuk tujuan demokrasi dan pluralisme. Secara terang ianya ditulis dalam laman web rasmi Lim Kit Siang, bapa kepada Lim Guan Eng.

Ini adalah agenda pluralisme, membawa kepada semua agama itu sama, yang menjadikan kita tidak berhak lagi untuk mengatakan Islam agama yang lebih baik berbanding agama lain. Kita jangan bertanya pada orang lain, tetapi tanyalah diri kita sendiri; apakah sumbangan kita terhadap dakwah Islam? Berapa ramai orang yang telah kita Islamkan, berapa ramai orang yang terkesan dengan perkataan-perkataan Islami kita, dengan adab dan akhlak kita. Sedangkan golongan-golongan kristian ini mempunyai wang, mereka kaya dan ada peruntukan. Mereka sanggup berkampung di perkampunagan orang asli, masuk dan tinggal menetap di situ selama puluhan tahun, sanggup berkahwin dengan orang asli, berkeluarga dan beranak pinak di sana.

Siapa di kalangan kita apabila tamat universiti sanggup turun ke perkampungan orang asli? Kalau kita tidak bersedia untuk itu, jangan beri ruang kepada sesiapa pun untuk menyangkal dan membatalkan perlembagaan yang sedia ada. Ada orang mengatakan kita perlu buka minda dan kemudian usaha, namun apa usaha yang kita buat?

Sebab itu kita kena pertahankan apa yang sedia ada di samping melakukan pembetulan dan pembaharuan. Kita perlu sedar isu kalimah Allah di dalam konteks negara kita adalah berbeza dengan konteks negara lain. Cuba bayangkan kita yang selama ini melaungkan Allahu Akbar dengan tauhid tetapi di sana gereja juga melaungkan Allah, Allah, Allah dengan trinity. Perkataan ini kita berikan kepada mereka untuk mereka guna pakai di dalam kitab-kitab mereka dalam keadaan sistem pendidikan Islam di dalam negara ini masih lagi sedang diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kita mungkin berhujah tanpa melihat bagaimana kemerdekaan itu diperoleh. Kita tidak melihat bagaimana proses peralihan perubahan kehidupan dalam negara kita. Dulu pada tahun 60-an, 70-an, di mana hendak cari orang pakai tudung labuh? Ibu dan bapa saya belajar di Universiti Al-Azhar. Ada gambar-gambar ustazah-ustazah yang popular pada hari ini, dulu mereka tidak memakai tudung pun. Ustaz-ustaz yang popular dan senior pada hari ini dulu hanya memakai seluar pendek belajar di Timur Tengah.

Sekarang ini telah berlaku proses perubahan yang dahsyat yang kita kena akui dan iktiraf. Cuma masih ada kelemahan. Kita tidak katakan telah sempurna tetapi semuanya perlu dipertingkatkan dan dikemaskini, perlu pandangan dan idea daripada sahabat-sahabat sekalian untuk memperbetulkan dan melengkapkan.

Bayangkan kalimah Allah nanti diletakkan di depan gereja. Mereka memang sengaja hendak membuat ini semua. Apa yang boleh kita katakan pada masa itu? Perkara ini tentu akan mencetuskan sensitiviti. Sebab itu saya gunakan perkataan kristianofobia. Kalau dulu mereka menggunakan Islamofobia; jenama yang barat gunakan dan tempelkan kepada umat Islam kerana wujudnya golongan-golongan yang mana mereka jahil tentang Islam tetapi bertindak sewenang-wenangnya. Saya katakan sikap yang dibuat oleh Lim Guan Eng pada hari ini sebenarnya mencetuskan Kristianofobia iaitu apabila mendengar agama Kristian orang merasa fobia ataupun benci, orang merasa takut dengan gerakan mereka.

Apabila mereka sebagai rakyat di dalam negara kita, di mana kafir mereka itu dalam kategori kafir mu’ahadah (yang ada perjanjian dengan umat Islam) dan ada kebenaran untuk menetap di dalam negara ini, maka hak-hak mereka perlu dijaga. Islam tidak membenarkan kita membakar gereja mereka, Islam tidak membenarkan kita membunuh mereka, mencerca tempat ibadah mereka, atau mengambil hak mereka. Islam melarang ini semua.

Bahkan Islam memberikan hurriyyatul I’tiqad (kebebasan beragama) kepada orang bukan Islam. Namun ini tidak bererti orang Islam bebas memilih agama, kerana orang Islam terikat dengan perundangan dan syariat Islam. Sebab itu adanya hudud, di mana sekiranya seseorang itu murtad diminta dia bertaubat terlebih dahulu, selepas tiga hari jika dia tidak bertaubat maka hukumannya adalah pancung. Tiba-tiba ada orang Islam yang bercakap dan meminta supaya berikan kebebasan memilih agama kepada umat Islam. Bercanggah perkataan dan pandangan mereka. Sebab itu saya katakan bahawa isu penggunaan kalimah Allah ini ada agenda di sebaliknya.

Di antaranya, ahli politik sekarang ini sedang mencari undi dari semua pihak sama ada dari perspektif agama, bangsa, atau parti; kristian, Buddha, cina, India, melayu, dan sebagainya. Jadi kita perlu melihat isu ini sebagai isu yang mempunyai agenda terancang. Kalau ditemui di tepi jalan risalah-risalah yang tertulis kalimah Allah, dan kemudian ditulis “Allah maha pengasih”. Berapa ramai anak-anak kita yang mampu untuk menganalisa bahawasanya risalah ini datang daripada gereja?

Islam mengajar prinsip dan pendirian saddun lidz-dzarii’ah yakni menutup ruang-ruang yang boleh membawa kepada kemudharatan dan kemungkaran yang lebih besar. Maka kita perlu sekat hal yang seperti ini.

Kerajaan perlu bertegas

Sahabat kita bertanya tadi, di manakah ketegasan kerajaan? Sebab itulah yang kita perlu kepada 2/3. Tanpa 2/3 kita hanya boleh marah tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Sebab itu orang tidak mahu simple majority. Orang mahukan 2/3.

Dalam keadaan sekarang, yang membimbangkan kita adalah sikap sebahagian orang yang ada kepentingan politik yang turut mempertahankan kenyataan ini. mereka mengatakan tidak mengapa, ulama Timur Tengah mengatakan tidak ada masalah. Mana boleh begini, sedangkan kita mengeluarkan fatwa dan mengatakan bahawa kita perlu meraikan fiqhul waaqi’.

Maka waqi’ (realiti keadaan) dalam negara kita ini perlu diraikan; bagaimana kefahaman masyarakat kita tentang agama, kita masih lagi jauh terkebelakang dan kita sedang bina sedikit demi sedikit. Jangan kita mengharapkan semuanya mantap dengan serta merta. Pemimpin yang naik turut mempunyai kelemahan, ada yang faham agama dan ada yang tidak faham agama. Ada yang faham agama tetapi tidak tahu buat kerja. Ada yang tidak faham agama tetapi pandai buat kerja. Masing-masing ada kelemahan dan masing-masing ada kelebihan. Sebab itu kita berkehendak kepada perpaduan dan kesatuan sesama kaum muslimin, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Masalah timbul apabila seseorang itu mempunyai kepentingan, dia melupakan segala-galanya demi untuk menjaga kepentingannya. Sehingga isu kalimah Allah ini pun menjadi satu isu yang berkepentingan.

Sebab itu cadangan yang baik agar kerajaan lebih tegas, cuma masalahnya adalah kita berhadapan dengan pandangan sebahagian daripada kaum muslimin sendiri yang mengatakan agama lain boleh menggunakannya. Saya hairan orang yang mengatakan boleh guna ini, anak-anak mereka tidak pula dihantar ke sekolah missionary kristian seperti Methodist dan sebagainya. Anak-anak mereka dihantar ke sekolah agama juga. Anak sendiri hendak dihantar ke tempat bagus, tetapi negara sendiri tidak mahu diselamatkan daripada kekacauan minda-minda dan perkara-perkara yang seperti ini.

Jadi cadangan supaya kerajaan lebih tegas adalah cadangan yang baik, dalam masa yang sama kita juga berkehendak kepada kuasa orang Islam yang lebih tinggi dan kuat. Apabila ada kekuatan dan mendapat kekuasaan 2/3, seterusnya kita perlu kepada perpaduan. Maka hulurkanlah tangan, bersatu, berpadu dan bersama dengan kaum muslimin. Itu yang lebih utama daripada mencari helah dan jalan untuk bersatu dan berpadu dengan kaum bukan Islam. Bukan tidak boleh bekerjasama dengan bukan Islam, tetapi keutamaan, kecenderungan dan ruhnya mestilah bersatu dengan kaum muslimin. Seperti mana yang digambarkan di dalam Al-Quran tentang ciri-ciri pengikut Muhammad,

أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ

“Bertegas terhadap orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka.” (surah Al-Fath: 29)

Wallaahua’lam

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

From → Akidah & Manhaj

2 Komen
  1. Assalamualikum ustaz,

    Semoga Ustaz sihat walafiat dan sentiasa bertungkus lumus demi Islam. Bolehkah saya dapatkan penjelasan dari ustaz berdasarkan Surah Al-Maidah 5:72-77. Saya akhiri dengan ucapan ribuan terima kasih diatas penjelasan ustaz dalam artikel di atas.

Trackbacks & Pingbacks

  1. Agenda terancang di sebalik tuntutan penggunaan kalimah Allah « “a little love from a little heart"

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: