Lompat ke isi kandungan

Hala tuju Islam Menjelang 2013: Siapa yang akan pertahankan kedudukan Islam di Malaysia?

Januari 9, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

552338_413148762054677_281534875_nTerus kepada soalan yang diajukan kepada saya; Ke mana hala tuju Islam dalam suasana politik negara kita. Bahkan secara umumnya, apabila kita perhatikan dunia pada hari ini, usaha-usaha untuk memisahkan Islam daripada kehidupan sangat banyak. Usaha untuk memisahkan Islam dari ekonomi, akhlak, sifat kemanusiaan, keimanan dan kepercayaan turut berlaku sehingga hari ini. Cuma sejauh mana kita sedar?

Di Eropah pada abad ke-15 Masihi apabila berlaku pergolakan antara gereja dengan masyarakat, gereja yang menguasai pentadbiran negara pada ketika itu bergolak, di mana mereka menggunakan agama untuk kepentingan politik sehingga masyarakat ditipu. Wujud di sana surat-surat pengampunan; sesiapa yang ingin meminta ampun boleh mengisi borang dan menghantarnya kepada gereja dengan membayar jumlah tertentu dan mereka akan diampunkan.

Ini penipuan yang berlaku di dalam gereja. Muncul golongan reformis yang mana mereka bukan beragama Islam dan tidak berakidah dengan akidah Islam, mereka membawa satu fahaman kononnya untuk menentang gereja dan tindakan mereka itu bukanlah satu masalah. Saya hendak menceritakan implikasinya terhadap dunia Islam. Apabila bangkit masyarakat Eropah menentang gereja, antara usaha-usaha paling besar yang mereka lakukan adalah memisahkan agama daripada pentadbiran dan ekonomi, serta cuba membawa pemikiran kesamarataan dalam agama, serta mendahulukan hak asasi manusia melebihi kepentingan agama.

Di antara reformis yang popular pada ketika itu adalah Martin Luther. Ideologinya telah diterjemahkan oleh beberapa pemimpin dunia pada ketika ini. Telah berjaya di Turki, Erdogan, dan sebelum Erdogan, tokoh seperti Mustafa Kamal Ataturk. Kita bukan memujinya. Dia menghina Islam dan meletakkan Islam di tempat yang terbawah. Walaupun dia dipuja dan dipuji oleh sebahagian daripada agamawan di negara ini pada hari ini, saya tidak bersetuju. Kita mungkin memujinya dari sudut pentadbiran, tetapi tidak dari sudut memisahkan Islam daripada masyarakat Turki, memisahkan Islam dari pendidikan, memisahkan Islam dari kehidupan masyarakat di Turki, serta memisahkan Islam dari pentadbiran.

Ini juga yang berlaku di Indonesia, bahkan pada masa ini ia mula diterjemahkan di negara-negara Arab. Memisahkan agama dengan hak asasi manusia berjaya dilakukan di Palestin; lihat bagaimana dipisahkan antara Yahudi dengan Zionis. Zionis dikatakan kejam, jahat, yang membunuh rakyat Palestin, bukan yahudi, kita bukan bermusuh dengan yahudi. Sedangkan Al-Quran berkata sebaliknya. Al-Quran memberikan penjelasan kepada kita,

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan ridha kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka.” (surah Al-Baqarah, 2: 120)

Ini pendirian dan ketetapan Al-Quran, tetapi yahudi pada hari ini berjaya memisahkannya menyebabkan sebahagian kaum muslimin memuliakan yahudi dan bersama-sama dengan yahudi, bersama-sama dengan rabai dan paderi berdemonstrasi di Eropah, di UK, London, Amerika atas asas kemanusiaan dan hak asasi manusia kerana masyarakat di Palestin dibunuh dan disiksa oleh Zionis. Apakah mereka tidak sedar bahawasanya di dalam kitab-kitab Yahudi tertulis bahawasanya umat dan bangsa selain bangsa Yahudi adalah bangsa yang hina, bahkan di kalangan pelampau mereka menggelarkan umat selain yahudi sebagai anjing-anjing. Ini isu akidah tetapi mereka berjaya memisahkannya dari kamus kehidupan umat Islam.

Sebab itu kita perlu bermuhasabah kembali dengan apa yang berlaku puluhan tahun ini. Kita tidak nafikan kemungkinan di saat kita mencapai kemerdekaan, tokoh-tokoh ilmuwan, pakar-pakar Islam memang ada pada ketika itu tetapi tidak begitu ramai. Sumber maklumat susah untuk dicapai. Dulu, apa yang berlaku di Kuala Lumpur belum tentu orang di Perlis boleh tahu walaupun selepas seminggu. Belum tentu orang di Johor mengetahui apa yang berlaku di Kedah, Pangkor, Selangor. Mungkin selepas sebulan baru mereka tahu. Hubungan komunikasi susah. Kemerdekaan dicapai dalam keadaan kita ditekan dan terpaksa untuk mencapai kemerdekaan, untuk mengurus tadbir kemerdekaan negara ini, untuk memastikan hak-hak bangsa dan agama kita ditunaikan kerana kita tidak mahu terus dijajah oleh golongan yang benci dan anti kepada Islam.

Mereka meninggalkan negara kita dan kita merdeka dengan bangganya. Kalau dilihat sejarah kemerdekaan di Dataran Merdeka kita melaungkan Merdeka, merdeka, merdeka dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Kitalah, generasi inilah yang bertanggungjawab mengisi kemerdekaan tersebut. Namun adakah kita ingin mengisi kemerdekaan dengan semangat penjajah? Atau kita hendak mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang haq?

Apabila kita menyebut Islam, golongan bukan Islam tidak perlu takut. Islam adalah agama yang harmoni, seruan Islam adalah kepada perpaduan. Seruan Islam adalah menjaga hak-hak bukan Islam dalam negara. Seruan Islam adalah menunaikan hak-hak bangsa lain.

Pemikiran liberal memisahkan agama dari kehidupan

Apabila pemikiran liberal masuk ke dalam negara kita dan mengasingkan antara agama dan pentadbiran, tidak kira siapa pun yang memerintah; sama ada Umno atau Pakatan Rakyat, pengasingan antara agama dan pemerintahan adalah satu perkara yang salah. Mungkin ada yang kata, dalam amanat mengatakan siapa yang mengatakan politik suku agama suku pun boleh jatuh kufur. Hukuman jatuh kufur terlalu berat, fasiq sahaja. Cuma kalau sekiranya kita hendak menolak politik fitnah, mengumpat, mengaibkan orang, politik bohong, dusta, maka tidak ada masalah untuk mengasingkan politik seperti itu daripada agama.

Ini kerana Islam mengajar didik kita dengan politik kasih sayang. Islam mengajar kita politik bercakap benar. Islam mengajar kita politik amanah dan menunaikan janji. Bukan hanya bercakap dan berjanji sesuatu yang mustahil dilaksanakan dan ditunaikan. Apabila mendapat kekuasaan tidak mampu untuk melaksanakan apa yang dijanjikan.

Sebab itu apabila saya menyentuh isu akidah dan hendak mengaitkannya dengan fahaman liberal (bebas); bebas ekonomi daripada agama, bebas pentadbiran daripada agama, bebas kehidupan daripada agama, agama diinstitusikan; ini sekolah agama, sesiapa yang mahu agama masuk sekolah agama, sesiapa yang mahu beragama pergi ke masjid. Seolah-olah luar dari masjid kita tidak terikat dengan pengamalan agama. Dan ini berlaku dalam realiti masyarakat kini.

Kalau kita lihat sejarah Islam, ulama Islam bukanlah lepasan universiti-universiti Islam. Mereka hidup di dalam suasana Islam. Mereka menterjemahkan Islam di dalam kehidupan. Sebab itu sahabat-sahabat Nabi hidup mulia. Bacalah surah Al-Buruj yang menceritakan peristiwa Ashabul Ukhdud yang dibunuh oleh Maharaja mereka. Dibunuh satu kaum manusia kerana menerima agama Allah SWT. Juga yang berlaku kepada Umar bin Al-Khatthab RA di dalam perjalanan bertemu dengan tentera-tentera Syam. Apabila beliau melalui satu terusan air, beliau turun dari kudanya dan mengepit kasut di ketiaknya dan melintasi kawasan air tersebut sehinggakan sahabat yang melihat perbuatan Umar dan berkata, “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya tentera yang akan bertemu dengan kamu dan hero-hero Syam, sedangkan kamu dalam keadaan yang seperti ini.” Seorang khalifah Islam mengepit kasut di celah ketiak dan menarik kudanya sendiri. Kata Umar Al-Khatthab,

إِناَّ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِالإِسْلَامِ، فَلَنْ نَبْتَغِيَ الْعِزَّ بِغَيْرِهِ

“Sesungguhnya kami merupakan kaum yang Allah muliakan dengan Islam dan kami tidak memerlukan kemulian selain daripadanya (Islam).”

Siapa yang mampu mempertahankan Islam di Malaysia?

Jadi untuk merealisasikan Islam di dalam negara ini, kita perlu lihat siapa yang mampu memastikan kestabilan agama di dalam negara ini. Sebab ada pihak cuba mengganggu gugat kestabilan beragama di dalam negara ini. Bahkan menggugat Islam sebagai agama persekutuan. Ada yang mencabar, memorandum dihantar supaya Islam sebagai agama persekutuan itu dibubarkan dan digantikan dengan kesamarataan di dalam beragama secara keseluruhannya. Ini yang mereka inginkan.

Jadi kita seharusnya memberi kepercayaan kepada orang yang mempertahankan kedudukan Islam ataupun orang yang terus mempertahankan perlembagaan yang sedia ada di samping kita melakukan perubahan dan memperbetulkan kesilapan dan kekurangan.

Kita perlu lebih realistik dalam berhadapan dengan isu dan hal yang seperti ini. Apabila kita bertanya tentang hala tuju Islam, kita perlu bertanya kepada diri kita, kepada siapa kita hendak amanahkan agama ini? Adakah kepada orang yang terang-terang berkata; kerjasama kami dengan parti PAS, PKR di dalam Pakatan Rakyat bukan untuk hudud dan negara Islam, tetapi untuk demokrasi, pluralisme. Atau kepada orang yang terus mempertahankan perlembagaan.

Walaupun kerajaan pada hari ini bertanggungjawab mempertahankan perlembagaan, saya secara peribadinya mengatakan di sana ada kelemahan dan kekurangan, dan kita terbuka untuk pembetulan dan pembaik pulihan. Bukan menjatuhkan, bukan merosakkan. Sebaliknya kita hulurkan tangan perpaduan sesama kaum muslimin untuk kita bersatu bersama-sama mengembalikan izzah Islam dalam negara ini.

Kalau pada tahun sebelum merdeka, umat Islam dalam negara ini 90%, pada hari ini kita hanya tinggal 61%. Jadi apa yang perlu kita lakukan selain mempertahankan perlembagaan yang sedia ada? Disusuli dengan perpaduan demi melengkapkan perlaksanaan Islam dalam negara. Kita hendak mengharapkan saudara kita yang hendak memperjuangkan negara Islam, tetapi pada hari ini kerjasama mereka dengan DAP telah menggadaikan segala-galanya. Apa lagi yang ada? Hendak bercakap tentang Islam, negara Islam, atau hudud? Lim Guan Eng bantah begitu sahaja; PAS mahupun PKR tidak berhak melaksanakan hudud kecuali dengan persetujuan DAP. DAP tidak setuju, PAS dan PKR tidak boleh buat hudud.

Di mana dia meletakkan kedudukan raja-raja yang menentukan perlaksanaan hal-hal agama dalam negara? Mereka tidak hormat kepada majlis raja-raja melayu. Sedangkan majlis raja-raja bahkan lebih khusus lagi Agong memiliki kuasa penuh untuk menentukan hal ehwal agama dalam negara. Sedangkan DAP mengatakan bahawa PAS dan PKR memerlukan persetujuan DAP.

Mungkin ada yang berkata, apa yang kita hendak harapkan daripada Umno. Selama ini puluhan tahun memerintah tetapi tidak ada apa-apa. Jangan kata apa pun tidak ada, ini tidak amanah. Umat Islam dimomokkan dengan hukum Islam yang tidak dilaksanakan sampai ke hari ini. Sampaikan mereka mengatakan hukum Islam sedikit pun tidak dilaksanakan di dalam negara kita.

Shalat bukankah hukum Islam? Mempertahankan akidah bukankah itu hukum Islam? Meletakkan Islam di dalam perlembagaan sebagai agama persekutuan, bukankah itu hukum Islam? Melaksanakan sistem kewangan perbankan Islam bukankah itu hukum Islam? Menguruskan Jemaah haji bukankah itu hukum Islam? Menguruskan zakat kaum muslimin dalam negara ini bukankah itu hukum Islam? Membina masjid-masjid, bukankah itu hukum Islam? Kalau mereka amanah mereka akan mengakui bahawa itu adalah hukum Islam. Maka tolong jelaskan kepada rakyat dan masyarakat bahawa kerajaan telah melaksanakan hukum Islam namun masih ada kekurangan. Itu pun saya akui.

Jadi tugas kita adalah menyempurnakan kekurangan yang ada. Bagaimana hendak menyempurnakan kalau kita tidak ada kuasa. Dan sudah semestinya kita perlukan majoriti 2/3. Baru kita boleh bersama-sama kembali mengangkat kedudukan Islam. Tetapi kalau kita memberikan kepercayaan kepada mereka di sebelah sana, belum tentu Islam dapat dipelihara. Kerana pada hari ini, kuasa dan suara jelas didominasi oleh DAP yang mencabar kaum muslimin dari segenap hal.

Saya tidak nafikan berlaku di sana juga cabaran daripada MCA dalam beberapa isu. Tetapi kita sendiri telah bertemu dengan mereka berbincang dalam banyak hal. Antara hal yang dibincangkan adalah tentang hudud di mana akhirnya pemimpin MCA, Chua Soi Lek secara terbuka dalam kenyataan rasminya mengatakan bahawasanya sekiranya majoriti dalam negara ini inginkan perlaksanaan hukum hudud, MCA akan bersetuju. Maka kalau betul-betul kita ingin melaksanakan hukum ini, mari kita bersatu. Atas semangat demokrasi MCA berjanji akan menerima.

Tetapi tidak bagi DAP. DAP tidak menghormati majoriti. Sebaliknya mereka meletakkan persetujuan mereka sebagai asas dalam perlaksanaan hudud. Sedangkan ahli mereka berapa, lebih kurang 2000 sahaja seluruh Malaysia. Ahli PAS lebih ramai berbanding DAP. Tetapi DAP berani berkata bahawa hal ini mesti melalui persetujuan mereka. Hebatnya mereka.

Saya ingin menimbulkan kesedaran kepada kita semua. Apabila berbincang tentang hala tuju Islam dalam konteks negara kita, di mana kita hendak meletakkan Islam? Siapa yang harus kita pilih untuk terus mempertahankan Islam dalam negara ini? Bahkan saya mencadangkan supaya teman-teman di kalangan PAS bersama-sama kita berpimpin tangan dan bersatu. Ini kaum muslimin yang mengajak bersatu jika benar kita ingin Islam tertegak di negara ini, jika benar kita inginkan kemuliaan Islam terus didaulatkan di dalam negara ini. Sabda Nabi SAW,

لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلاَثِ لَيَالٍ: يَلْتَقِيَانِ فَيُعْرِضُ هَذَا وَيُعْرِضُ هَذَا وَخَيْرُهُمَا الَّذِي يَبْدَأُ بِالسَّلاَمِ

“Tidak halal bagi seorang muslim memulaukan saudaranya lebih dari tiga hari, keduanya bertemu tetapi saling memalingkan muka. Dan yang terbaik dari keduanya adalah yang memulai mengucapkan salam.” (riwayat Al-Bukhari no. 6077 dan Muslim no. 2560 dari Abu Ayyub al-Anshari RA)

Kita berikan kata-kata Assalamu’alaikum kepada teman-teman kita di kalangan PAS, kita hulurkan tangan persahabatan kepada mereka, kita hulurkan tangan kasih sayang kepada mereka, kita hulurkan tangan bermaaf-maafan kepada mereka. Ini kaum muslimin. Sebelum kita berbicara tentang perpaduan dengan bukan muslim, kita bicarakan dulu tentang perpaduan dengan kaum muslimin. Orang agama lain juga, sebelum mereka bercakap tentang perpaduan dengan orang Islam, mereka akan berbicara tentang perpaduan sesama mereka dahulu. Maka tidak seharusnya kaum Muslimin bercakap tentang perpaduan dengan bukan muslim dan membelakangkan perpaduan sesama umat Islam. Ini bukanlah ciri-ciri orang yang mendahulukan ayat-ayat Allah SWT dan perintah Rasul SAW.

Petikan dari rakaman berikut:

 

One Comment
  1. darwis permalink

    saya amat setuju dengan Ustaz.”Bagaimana kita nak kuat kalau kita(islam)sendiri berpecah belah”

Tinggalkan komen