Skip to content

Usaha Pluralisme & Kristianisasi melalui tuntutan kalimah Allah

Januari 14, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

bible-insideIsu kalimah Allah merupakan satu isu yang sensitif. Saya berpendapat bahawa cara kita berbahas tentang isu ini tidak seharusnya dari sudut hukum menggunakan kalimah tersebut. Tidak wajar kita mengatakan haram bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah tersebut. Mengapa saya berkata demikian?

Pertama, perbahasan ilmuwan-ilmuwan Islam di Timur Tengah secara khususnya dan di dunia secara umumnya telah lama berbahas tentang perkara ini berdalilkan firman Allah SWT,

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

“Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”, nescaya mereka menjawab: “Allah”.” (surah Az-Zumar: 38)

Mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah masyarakat Arab Jahiliyyah yang keadaan mereka pada ketika itu juga menyembah berhala. Terdapat ratusan berhala di sekeliling Ka’bah dan yang terbesar adalah Latta dan ‘Uzza. Namun demikian Allah SWT tidak melarang penggunaan kalimah tersebut. (Allah yang dirujuk oleh masyarakat Jahiliyah pada ketika itu adalah Allah yang Esa, Pencipta sekalian alam, bukan merujuk kepada berhala Latta dan ‘Uzza, dan bukan pula merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh masyarakat Kristian pada hari ini –ed.)

Ulama-ulama Islam di Timur Tengah di dalam isu ini mereka tidak melarang penggunaan kalimah Allah. Namun ini tidak bererti mereka menyuruh dan mendesak agar digunakan kalimah ini, tetapi sekadar tidak ada larangan jika hendak menggunakannya. Dan telah menjadi budaya arab (‘uruf) di mana penggunaan kalimah Allah ini menjadi perkara biasa, contohnya Assalamu’alaikum warahmatullah, Masya Allah, Allahu Akbar dan sebagainya. Tetapi kita tidak mendengar Lim Guan Eng atau Lim Kit Siang apabila terkejut atau tersadung menyebut Allahu Akbar.

Mengapa saya berkata kita jangan bicarakan hal ini dari segi hukum adalah kerana saya berpendapat bahawa hukum asal kepada penggunaan kalimah Allah oleh selain kaum muslimin tanpa ada niat dan tujuan jahat adalah harus daripada hukum taklifi yang lima; wajib, sunat, makruh, haram, harus. Hukumnya bukan wajib, bukan sunat, bukan makruh, bukan haram, tetapi adalah harus.

Apabila dikatakan harus, ia perlu melihat kepada keadaan, realiti ataupun konteks semasa. Harus penggunaan kalimah Allah di Tanah Arab untuk orang-orang Arab secara khususnya kerana; budaya, uruf, dan adat di negeri Arab itu sendiri yang memang telah biasa menggunakannya dalam kehidupan seharian. Bahkan di dalam Bible Arab sendiri mereka menulis Allah, bukan God atau Lord dan sebagainya.

Di dalam kaedah ushul fiqah menetapkan < العادة محكمة > yakni adat di dalam hal tertentu jika bersesuaian dengan kaedah akan menjadi penentu atau pendesak kepada hukum.

Di dalam konteks Malaysia, hukum asal menggunakan kalimah Allah bagi non-Muslim adalah harus. Tetapi perlu dilihat dalam konteks Malaysia; 1) Adakah menjadi ‘uruf orang non-Muslim khususnya orang Kristian dalam negara kita menggunakan kalimah Allah? Jawapannya ialah tidak sama sekali. Di mana pernah Lim Guan Eng bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah?

Adapun ucapan tersebut adalah kebiasaan bagi orang Kristian di Tanah Arab, bahkan apabila berjanji mereka turut mengucapkan Insya Allah. Orang Kristian di Malaysia tidak pernah menyebut Allah di dalam urusan seharian mereka, tetapi mengapa tiba-tiba pada hari ini mereka menjadi pendesak untuk menggunakan kalimah tersebut? Kristian di negara ini cuma 9.2%. Mereka agama ketiga terbesar di negara ini selepas Islam dan Buddha dan disusuli dengan Hindu dan lain-lain agama.

Walaubagaimana pun di dalam 9.2% di kalangan mereka pun berselisih, ada gereja yang setuju,  ada gereja yang tidak bersetuju, dan Gereja Allahada gereja yang tidak mahu menyentuh sensitiviti masyarakat dalam negara ini. Ini menunjukkan bahawa ianya bukan budaya asal mereka, malah tuhan yang ingin mereka tempelkan dengan nama Allah tidak sama dengan Allah yang sebenar seperti yang diimani oleh orang Islam. Sebaliknya mereka hanya terkesan dengan terjemahan Bible di dalam bahasa Indonesia.

Persoalannya, mengapa Indonesia menterjemah Bible ke dalam Bahasa Melayu? Tidak lain tidak bukan ianya merupakan satu agenda Kristianisasi, iaitu menyebarkan ajaran Kristian kepada masyarakat Melayu menerusi Bible yang diterjemahkan. Kita kena faham bahawasanya perlembagaan Indonesia memperuntukkan Pluralisme yang menyamakan semua agama. Sebab itu mereka ada Pancasila. Pancasila itu adalah kesan daripada Pluralisme.

Antara contoh mudah Pancasila adalah dalam bab perkahwinan, tidak kisah suami agama apa dan isteri agama apa. Di dalam Islam kalau pun dibenarkan perkahwinan dengan ahli kitab, lelaki tetap kena Islam. Tetapi di dalam Pancasila, tidak mengapa kalau lelaki Hindu atau Kristian bernikah dengan wanita beragama Islam. Bahkan lelaki muslim menikah dengan wanita bukan di kalangan ahli kitab pun tidak mengapa, menikah dengan wanita yang tidak beragama pun tidak mengapa. Mengapa jadi begini? Sebab mereka telah diresapi dengan satu pemikiran yang menyamakan semua agama.

Oleh kerana itu juga mereka tidak kisah dengan penggunaan kalimah Allah. Di Indonesia telah menjadi satu bangsa Indonesia, maksudnya orang di sana tidak kira Cina, Melayu, India dan sebagainya semua bercakap menggunakan bahasa Indonesia, mereka bertutur dengan bahasa yang sama. Mereka menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa mereka. Sedangkan Vatican City, pusat pentadbiran gereja-gereja Katolik sendiri tidak pernah mengarahkan untuk berbuat demikian. Gereja Katolik sendiri tidak pernah menggunakan kalimah Allah ini di Vatican City. Tetapi kita yang terpencil ini pun bergaduh sesama 9.2% mereka mendesak untuk menggunakan kalimah ini.

Sebab itu saya katakan, uruf suasana dalam negara kita sebenarnya menjadikan hukum tersebut tidak boleh untuk mereka gunakan. Kita tidak boleh mengizinkan mereka menggunakan kalimah Allah ini.

Agenda pluralisme

Kita melihat di sana ada agenda pluralisme. Lihat kembali apakah dia tuntutan IFC. Antaranya menyentuh berkaitan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Mereka menuntut agar kedudukan agama di dalam negara ini disamaratakan. Dari situ timbul kesannya seperti LGBT, disebabkan mereka telah menyamaratakan semua agama dan pegangan, maka terpulang kepada individu untuk mengikut mana-mana pegangan yang disukai.

Antara agenda mereka untuk memastikan pluralisme ini benar-benar terlaksana di dalam negara kita, mereka menimbulkan tuntutan penggunaan kalimah Allah pula. Kita kena ingat bahawa Lim Kit Siang secara terang-terangan menyebut bahawa kerjasama DAP dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat bukan untuk negara Islam dan hudud, tetapi untuk demokrasi, pluralisme, hak asasi dan sebagainya. Itu kenyataan terang Lim Kit Siang di dalam laman web rasminya. Isu ini perlu diangkat. Mereka hendak menjadikan Malaysia sebagai negara Pluralisme dengan bantuan PAS.

Di antara usaha kristianisasi kepada anak melayu adalah dengan menterjemah Bible ke Bahasa Melayu & menggunakan kalimah Allah

Di antara usaha kristianisasi kepada anak melayu adalah dengan menterjemah Bible ke Bahasa Melayu & menggunakan kalimah Allah

Saya yakin sekiranya ditanya kepada PAS, mereka akan mengatakan mereka tidak setuju dengan pluralisme kerana dari segi akidahnya perkara ini memang tidak boleh diterima, tetapi itulah yang dinyatakan oleh DAP. Mereka menggunakan isu kalimah Allah bertujuan untuk menyamaratakan semua agama.

Adakah kita mahu kalimah Allah itu diletakkan di tokong-tokong dan gereja? Saya yakin orang Hindu pun tidak akan setuju kalimah Allah itu diletakkan di tokong mereka. Kembali kepada sejarah, pluralisme disusun semula oleh John Hick, pensyarah universiti di Eropah, yang mengatakan semua agama adalah sama yang akhirnya kembali kepada Tuhan yang satu. Namun saya yakin jika ditanya kepada orang yang beragama Hindu pada hari ini mereka akan mengatakan agama mereka yang terbaik. Kalau ditanya orang Kristian mereka akan mengatakan agama mereka yang terbaik. Orang Islam juga wajib beriktiqad bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang terbaik.

Kerana itu jugalah kita dituntut untuk menyelisihi penganut agama lain dalam banyak hal, menunjukkan tidak ada persamaan di antara agama Islam dengan agama lain. Kalau Nabi SAW pernah menegur sahabat-sahabat kerana membuka kasut ketika shalat disebabkan Yahudi shalat dengan tidak memakai kasut, kalau dalam bab itu pun Nabi menyuruh untuk berbeza, maknanya tidak boleh sama di antara kita dengan mereka lebih-lebih lagi dalam urusan agama. Tetapi pada hari ini ada pihak yang cuba membawa kesamarataan di antara agama kita dengan agama mereka. Antara strategi yang mereka gunakan adalah penggunaan kalimah Allah dibangkitkan, dan umat Islam bercanggah dan berbalah sesama sendiri.

Saya mungkin tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan siapa yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian adalah kufur. Tetapi dalam konteks negara kita, saya katakan, kalau kita setuju penggunaan kalimah Allah bagi orang Kristian di negara ini, kita sebenarnya telah membuka ruang untuk perjuangan pluralisme DAP dan kristianisasi. Seolah-olah kita hamparkan karpet merah untuk mereka.

Apa yang kita hendak kata apabila diletakkan kalimah Allah pada gereja mereka? Mungkin ada yang akan berkata ini sekadar sangkaan atau jangkaan sahaja. Maka saya ingin bercakap sedikit tentang ilmu sangkaan. Ada beberapa jenis ilmu sangkaan; 1) Dzann rajih (sangkaan yang hampir tepat), 2) Dzann (60% ke atas), 3) Syak (50-50), 4) Wahm (sangkaan yang sangat lemah). Ini semua termasuk di dalam erti dan pembahagian sangkaan. Sebab itu Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

“Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” (surah Al-Hujurat, 49: 12)

Maknanya ada sebahagian dari persangkaan yang dibolehkan, yakni yang bertujuan sebagai langkah berhati-hati. Sebab itu di dalam Islam ada satu kaedah yang disebut saddun lidz-dzarii’ah yakni menutup ruang-ruang yang boleh membawa kepada kemungkaran atau keburukan.

Antara pintu yang perlu kita tutup adalah penggunaan kalimah Allah. Kita kena tutup pintu daripada membiarkan ianya terbuka untuk penyebaran ideologi akidah pluralisme. Ini adalah agenda dan rancangan golongan yang benci dan anti-Islam. Sampaikan hal ini kepada teman-teman kita di kalangan Pas agar mereka sedar akan perkara ini. Saya percaya Pas menolak pluralisme, tetapi mengapa mereka tidak boleh menolak golongan yang secara jelas menyatakan bahawa asas perjuangan mereka adalah pluralisme. Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=-r49iFduqjQ

From → Akidah & Manhaj

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: