Lompat ke isi kandungan

Demonstrasi bukan solusi

Januari 30, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

re_12.1Ada segolongan manusia yang sering memberontak kepada pemimpin dan mereka seringkali melakukan rusuhan ataupun demonstrasi. Kita bimbang gaya pemikiran ini menular di kalangan rakyat dalam negara ini.

Apabila wujud sikap gemar berdemonstrasi, apabila tidak puas hati demonstrasi, adakah kita mahu jadikan negara kita seperti Mesir? Memang dunia mengetahui apa yang Hosni Mubarak lakukan kepada rakyat Mesir, tetapi adakah dengan cara melakukan rusuhan menjatuhkan kerajaan itu merupakan cara yang betul walaupun ianya berjaya?

Sekiranya seseorang yang sakit pergi berjumpa dengan bomoh yang mengamalkan sihir, walaupun sembuh penyakitnya, namun adakah perbuatan sihirnya itu diredhai oleh Allah SWT? Nabi menyebut secara jelas di dalam hadis yang sahih,

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ سَاحِراً فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ؛ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Barangsiapa mendatangi dukun atau tukang sihir lalu membenarkan apa yang dikatakannya; maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.” (riwayat Al-Bazzar)

Jadi walaupun ianya dilakukan untuk matlamat yang baik, dan walaupun ianya berhasil, tetapi perbuatan itu tetap salah. Begitu juga apabila kita berbicara tentang demonstrasi. Adakah kaedah menasihati dan membetulkan kesalahan atau kezaliman pemerintah yang digunakan itu merupakan cara yang diredhai oleh syarak?

Lihat apa yang berlaku di Mesir pada hari ini. Selepas Hosni Mubarak dijatuhkan, tentera memerintah dan berlaku huru hara. Suasana di sana tidak aman. Tanyalah kepada rakyat Mesir, mereka sendiri tidak mahu keadaan seperti itu. Mereka mengadakan pilihan raya dan naik presiden baru, Dr. Morsi. Ramai yang memuji. Tetapi kesannya, yang menyokong dan mengangkat Morsi menjadi presiden, kelompok yang sama juga pada hari ini yang tidak berapa setuju.

Ini kerana semasa hendak menjatuhkan Hosni Mubarak, mereka mengumpul sebanyak mungkin orang dan bersepakat semuanya; liberal, sekular, syiah, sufi, Ikhwanul Muslimin semuanya bercampur habis. Tetapi apabila kerusi banyak dimenangi oleh Ikhwan, Ikhwan naik menjadi presiden. Tetapi golongan yang hendak menegakkan juga ideologi mereka; liberal, sekular, plural, qadiyaniyah, nashara, mereka yang juga dari kelompok yang sama mula melakukan demonstrasi dan mula menggelar Morsi Firaun.

Baru-baru ini saya ke Gaza dan bertolak dari Kaherah, sehari sebelum pulang saya sempat masuk ke dalam bandar di Kaherah, saya melihat orang ramai sedang membuat demonstrasi. Satu kelompok “Na’am lid dustur” (Ya kepada perlembagaan) manakala satu kelompok lagi “Laa lid dustur” (Tidak kepada perlembagaan).

Belum sempat kerajaan baru memerintah, rakyat sudah mahu menjatuhkan. Kenapa? Ianya adalah disebabkan kesan daripada apa yang berlaku sebelum ini, kesan daripada budaya rusuhan atau demonstrasi menyebabkan hal ini berjangkit. Penyelesaian hanya dilihat kepada demonstrasi. Berjaya demonstrasi maka berjayalah mereka. Itu kepercayaan mereka.

Adakah kita menginginkan keadaan sedemikian? Sebab itu ketika saya mengikuti diskusi Dato’ Mukhriz Mahathir dengan seorang editor salah satu akhbar di Mesir, kami memaklumkan kepadanya bahawa di negara kita ada orang yang hendak membawa Arab Spring iaitu pergolakan yang berlaku di Timur Tengah ke Malaysia, apa yang berlaku di Dataran Tahrir mereka hendak bawa ke Dataran Merdeka. Editor akhbar ini terkejut. Dia mengatakan, “Kami inginkan keamanan Malaysia dibawa ke Mesir, kenapa kamu hendak bawa pergolakan di Mesir masuk ke negara kamu? Kami sudah letih dengan pergolakan.”

Apabila berlaku demonstrasi, rosak harta benda, pecah kedai, pecah rumah, pencuri mengambil kesempatan. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak terlibat dengan hal itu semua. Ini bukan soal terlibat atau tidak, tetapi sikap kita yang membuka ruang kepada mereka untuk melakukan hal-hal yang sedemikian.

Mengapa berlaku hal seperti ini? Sebab ideologi dan cara pemikiran khawarij sememangnya sentiasa tidak puas hati, sentiasa hendak memberontak terhadap pemimpin Islam yang sah. Walaupun kita tidak bersetuju, walaupun kita pasti pemerintah ada kelemahan, walaupun kita pasti pemerintah ada kesilapan, dan pasti ada kezaliman pada dirinya sendiri, tetapi apakah kaedah pembetulan yang Islam ajar? Islam mengajar agar menasihati, menegur dengan cara yang terbaik, memperbetulkan mengikut acuan yang diajar didik oleh Nabi SAW.

Masalahnya ialah penyakit manusia pada hari ini, dia menyangka hidayah itu ada di tangannya. Jadi apabila dia menasihati, dia mahu orang yang dinasihati berubah keesokan harinya. Cuba perhatikan, Nabi Adam a.s. tidak mampu memberi petunjuk kepada anaknya yang membunuh saudara kandungnya sendiri. Nabi Nuh a.s. tidak mampu memberi petunjuk kepada anak dan isterinya yang tidak menerima dakwahnya dan enggan menaiki kapal bersama-sama dengannya. Nabi Luth a.s. tidak mampu memberi petunjuk kepada isterinya. Nabi Musa a.s. tidak mampu memberi petunjuk kepada bapa tirinya.

Nabi Muhammad SAW juga tidak mampu memberi petunjuk kepada bapa saudaranya Abu Thalib yang bersama-sama dengan baginda di dalam dakwah, Abu Lahab yang sampai Allah turunkan surah khusus mencerca Abu Lahab dan isterinya. Nabi sendiri tidak mampu memberi petunjuk walaupun dia adalah Nabi, ada mukjizat, ada haibah (kehebatan). Sehingga disebut di dalam hadis,

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ قَبْلِي نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ

“Aku diberi (oleh Allah) lima perkara, yang itu semua tidak diberikan kepada seorang pun sebelumku. Aku ditolong (oleh Allah) dengan kegentaran (musuh) sejauh perjalanan sebulan…” (riwayat Al-Bukhari)

Sebulan sebelum Nabi sampai (dalam peperangan) musuh sudah takut. Namun baginda sendiri tidak mampu memberi petunjuk kepada Abu Jahal. Konflik kekeluargaan yang Allah ceritakan di dalam Al-Quran di mana masing-masing tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang dikehendaki, maka apatah lagi kita. Cuma bukan bererti kita harus menghentikan proses menasihati. Kita berkewajipan meneruskan proses menasihati, seterusnya kita serah kepada Allah SWT.

Itu sikap yang perlu kita tampilkan, bukan dengan rusuhan, maki hamun, maki cerca, fitnah. Sekarang ini berita tersebar dengan mudah. Ambil gambar sekeping dan macam-macam persepsi boleh ditimbulkan dari gambar tersebut. Untuk perbetulkan persepsi itu bukan mudah kerana berita tersebar dengan cepat. Islam mengajar kita menyiasat terlebih dahulu apa-apa berita yang sampai kepada kita sebelum kita menyebar, mendakwa atau menuduh mana-mana pihak. Jika tidak mampu, diam dan jangan mengulas. Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Teks disediakan dari petikan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=pH06NfC_jzI

From → Akidah & Manhaj

One Comment
  1. saad shah permalink

    sebab itu pemerintah mesti adil telus dan bersih jgn menipu rasuah dan menyeleweng…..rakyat akn bangun memberontak apabila sedar dirinya ditipu….di Malaysia nak jatuhkan pemimpin yg rasuah melalui proses aman dlm pilihanraya jgn mimpilah……

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: