Lompat ke isi kandungan

Teks khutbah Jumaat (25.01.2013) – Perselisihan di akhir zaman dan solusi menurut sunnah

Februari 6, 2013

Disampaikan oleh: Ustaz Fathul Bari Mat Jahya hafidzahullah.

Flowers-003Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh,

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ, نَحْمَدُهُ, وَنَسْتَعِينُهُ, وَنَسْتَغْفِرُهُ, وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا, ومِن َسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا

مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ, وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

أَمَّا بَعْدُ:

فَإِنَّ أصدق الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ, وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ, وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا, وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ, وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ, وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلاً سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Sidang Jumaat yang dirahmati dan dikasihi Allah Subhanahu wa Ta’ala sekalian,

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda di dalam banyak hadis, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah di mana sahabat Nabi RA menceritakan pada satu ketika di subuh hari, Nabi SAW memberikan beberapa kalimah dan ungkapan nasihat sehingga menurut mereka, “begenang air mata kami, bergementar hati-hati kami seolah-olah ungkapan dan perkataan Nabi SAW itu adalah ungkapan yang terakhir bagi baginda SAW”. Para sahabat RA lalu meminta daripada Nabi SAW, “Ya Rasulullah, berilah wasiat kepada kami.”

Maka Nabi SAW pun bersabda,

أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ)) ِ

“Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar dan mentaati pemimpin, sekalipun yang menjadi pemimpin itu adalah hamba ‘abdi Habsyi (yang berkulit hitam. Sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup di antara kalian selepasku akan melihat perselisihan yang banyak, maka berpegang teguhlah dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafaa Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah erat-erat dan gigitlah dia dengan gigi geraham kalian. Dan jauhilah oleh kalian setiap perkara yang baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap perkara yang baru itu adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah itu adalah sesat.’”

Ini merupakan wasiat Nabi SAW, wasiat agar bertakwa kepada Allah dan memberi ketaatan kepada pemimpin Islam yang sah. Pada masa yang sama, ini juga mukjizat Nabi SAW apabila baginda menyatakan bahawa akan berlaku perselisihan dan perpecahan yang banyak, dan itu adalah realitinya pada hari ini.

Khutbah pada hari ini –insyaAllah- akan berbicara tentang perselisihan, perpecahan, dan bagaimanakah kaedah solusi yang ditunjukkan oleh Nabi SAW bagi menyelesaikan perselisihan dan perpecahan yang berlaku.

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian,

Perselisihan dan perpecahan merupakan sunnatullah. Ini merupakan ujian dan ketentuan Allah SWT sejak zaman berzaman. Allah SWT menguji manusia dengan perpecahan. Sabda Nabi SAW di dalam satu hadis yang sahih,

سَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثَةٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلاَّ وَاحِدَةً. قِيلَ: مَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِيْ

“Umatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semuanya masuk neraka, kecuali satu golongan.” Beliau ditanya, “Siapakah dia, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “(Golongan) yang berada di atas apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (riwayat at-Tirmidzi dalam Sunan-nya “Kitabul Iman Bab Iftiraqul Hadzihil Ummah”, dari sahabat Abdullah bin Amr bin al-‘Ash)

Di dalam riwayat lain pula disebutkan ketika para sahabat bertanya kepada baginda tentang golongan yang satu ini, baginda menjawab,

هُمْ مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَأَصْحَابِيْ

“Mereka adalah orang yang berada di atas (jalan) seperti apa yang aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya pada hari ini.” (riwayat Ahmad dan lainnya)

Keturunan dan bangsa bukan penentu kemuliaan

Maka perpecahan adalah satu ketetapan dan ujian kepada manusia. Antara ujian Allah SWT yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan manusia yang tidak kunjung sudah adalah Allah SWT menetapkan bahawa manusia itu bersuku, berpuak, dan berbangsa.

Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat 13,

يَآأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah Al-Hujurat, 49: 13)

Allah menguji manusia dengan kepuakan, perbezaan suku, bangsa dan kaum. Ada di kalangan manusia pada hari ini yang berjaya mengatasi ujian ini dan ada di kalangan mereka yang terperangkap dalam ujian puak, kaum dan bangsa ini.

Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan Muhammad SAW untuk membawa agama Islam, sebagaimana firman-Nya,

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

“Dialah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya dengan (membawa) petunjuk dan agama yang benar, bertujuan untuk memenangkan agama tersebut atas semua agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik membencinya.” (ash-Shaff: 9)

Walaupun Nabi SAW daripada keturunan yang mulia, iaitu berketurunan Quraisy dari Bani Tamim, keturunan Nabi Ibrahim a.s, tetapi keturunan Nabi SAW tidak menjadi penentu kepada kemuliaan mereka. Sebaliknya yang memuliakan baginda SAW adalah Islam yakni agama yang Allah SWT angkat martabat dan kedudukan mereka yang berpegang dengan akidah yang mulia ini.

Sebagaimana kata Umar Al-Khatthab RA apabila mereka bersama-sama di dalam satu delegasi perang dan membuat lawatan ke Syam, beliau berkata kepada sahabat-sahabatnya dan tentera-tenteranya,

إِناَّ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِالإِسْلَامِ، فَلَنْ نَبْتَغِيَ الْعِزَّ بِغَيْرِهِ

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam dan kami tidak memerlukan kemulian selain daripadanya (Islam).”

Umar dan Abu Bakar berketurunan Quraisy, dan para sahabat Nabi berketurunan yang pelbagai; Aus dan Khazraj, Bani Tamim, Ghifar dan sebagainya, akhirnya keturunan-keturunan ini walaupun mereka dimuliakan di dalam bangsa dan kaum mereka, tetapi yang lebih memuliakan mereka adalah Islam itu sendiri.

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian,

Allah SWT memerintahkan agar kita bersatu dan berpadu atas asas akidah Islam. Kemuliaan dan kepentingan bangsa, puak dan kaum menyusul setelah kepentingan Islam itu didahulukan. Bukan agama mengenepikan bangsa, bukan agama menolak sifat perkauman, tidak. Agama tidak menolak. Agama memberikan hak kepada setiap kaum, puak dan bangsa, tetapi agama meletakkan akidah Islam itu yang didahulukan melebihi kepentingan kaum. Sabda Nabi SAW di dalam hadis yang sahih,

تَعَلَّمُوْا مِنْ أَنْسَابِكُمْ مَا تَصِلُوْنَ بِهِ أَرْحَامَكُمْ، فَإِنَّ صِلَةَ الرَّحِمِ مَحَبَّةٌ فيِ الْأَهْلِ، مَثْرَاةٌ فِي الْماَلِ، مَنْسَأَةٌ فِي الْأثَرِ

“Pelajarilah nasab-nasab kalian yang dengannya kalian menyambung hubungan rahim kalian kerana silaturahim itu menumbuhkan kecintaan kepada keluarga, memperbanyak harta, dan menangguhkan ajal.” (riwayat Ahmad 17/42, At-Tirmidzi no. 1979, dan selainnya, dishahihkan dalam Ash-Shahihah no. 276)

Ini kelebihan mengenal bangsa. Ini kelebihan dan kedudukan bangsa di dalam agama Islam. Agama Islam tidak pernah menolak kebangsaan, perkauman atau kepuakan. Hanya saja agama menolak ashabiyah yakni kepuakan melampau (fanatik) sehingga mengambil hak-hak orang lain, atau mendahulukan kepuakan itu melebihi kepentingan agama.

Di dalam satu kisah ketika Nabi SAW berhadapan dengan pergaduhan dan perselisihan di antara dua orang lelaki; seorang daripada Anshar manakala seorang lagi daripada Muhajirin,

فقد روى البخاري من حديث جابر بن عبد الله -رضي الله عنهما- قال: (كُنَّا فِي غَزَاةٍ، فَكَسَعَ رَجُلٌ مِنَ المُهَاجِرِينَ رَجُلاً مِنَ الأَنْصَار! فقَالَ الأَنْصَارِيُّ: يَا لَلأَنصار! وَقَالَ المُهَاجِرِيِّ: يَا لَلْمُهَاجِرِينَ! فَسَمِعَ ذَاكَ رَسُولُ الله -صلى الله عليه وسلم-، فقَالَ: مَا بَالُ دَعْوَى جَاهِلِيَّةٍ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ الله! كَسَعَ رَجُلٌ مِنَ المُهَاجِرِينَ رَجُلاً مِنَ الأَنصَارِ. فَقَالَ: دَعُوهَا، فَإِنَّهَا مُنْتِنَةٌ)

Diriwayatkan oleh Bukhari dari hadis Jabir bin Abdullah RA berkata, “Kami berada pada suatu peperangan, maka seorang laki-laki Muhajirin memukul punggung seorang laki-laki Anshar, kemudian berkata orang Anshar tersebut (memanggil kaumnya), ‘wahai kaum Anshar!’, dan berkata pula muhajirin tersebut, ‘wahai kaum Muhajirin!’, maka Rasulullah SAW mendengar hal tersebut dan bersabda, ‘Apa ini seruan jahiliyyah?’. Mereka berkata, ‘ laki-laki dari Muhajirin memukul seorang Anshar’. Baginda bersabda, ‘ Tinggalkanlah kerana itu perbuatan busuk.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi mencerca tindakan mereka kerana ia akan menghasilkan pergaduhan sesama kaum, kepuakan, ketaksuban tanpa menimbangtara antara kebenaran dan kebatilan.

Islam agama yang adil dan memerintah dengan adil. Islam turut menyeru umatnya untuk bersikap adil, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dengan keadilan ini, Islam mampu menyatupadukan manusia. Dengan keadilan ini, Islam melahirkan generasi yang gagah perkasa dan mulia seperti generasi para sahabat RA.

Mana mungkin kita temui orang seperti Abu Bakar Ash-Shiddiq di zaman ini. Mana mungkin kita temui orang seperti Umar, Utsman, Ali, Muawiyah, isteri-isteri Nabi ummahatul mukminin. Generasi yang mulia dan dimuliakan kerana agama, bukan kerana bangsanya.

Kita perlu bermuhasabah atas apa yang berlaku pada hari ini. Kepuakan bukan sahaja bersifat bangsa, tetapi ia juga bersifat parti politik yang didahului lebih daripada kepentingan agama. Manusia apabila bercakap tentang kepentingan dunia, apabila bercakap tentang kedudukan pangkat dan kuasa, agama diketepikan dan diletakkan jauh daripada kehidupan dan matlamat mereka. Sedangkan tujuan umat Islam diciptakan oleh Allah SWT telah dijelaskan di dalam Al-Quran,

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.”

Walau kita berbeza warna kulit, walau kita berbeza bangsa, kepuakan, perkauman, kepartian dan sebagainya, akan tetapi sebenarnya Allah SWT menyatukan kita semua pada hari ini di dalam shaf-shaf dan seterusnya kita akan menunaikan shalat di atas satu akidah, di atas satu takbir, dan di atas satu salam; perkataan, ungkapan dan bacaan yang sama. Sedar atau tidak, Allah SWT menyatukan hati-hati kita tanpa kita melihat kiri dan kanan, siapakah di sebelah kita, apa warna kulit mereka, apa bangsa dan keturunan mereka. Kita berdiri di shaf yang satu, inilah perpaduan yang terbina di atas asas Islam. Sabda Nabi SAW di dalam hadis Anas bin Malik RA,

لَتُسَوُّنَّ صُفُوْفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ وُجُوْهِكُمْ

“Hendaklah kalian bersungguh-sungguh meluruskan shaf-shaf kalian atau Allah sungguh-sungguh akan memperselisihkan di antara wajah-wajah kalian.” (riwayat al-Bukhari no. 717 dan Muslim no. 436)

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah SWT sekalian,

Allah SWT berfirman,

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah (akidah Islam), dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (surah Ali Imran, 3: 103)

Ayat ini turun ketika berlaku perselisihan dan pertengkaran di kalangan para sahabat RA. Allah mengingatkan bahawa perpaduan dan ikatan kalian bukan di atas asas kepartian, politik atau perkauman, sebaliknya yang mengikat hati-hati kalian adalah agama yakni akidah kalian.

Ini yang terpenting yang perlu kita semua fahami sebagai umat Islam, hamba kepada Allah SWT dan umat kepada Rasul SAW.

Solusi pertama

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati oleh Allah SWT,

Pada hari ini kita mula melihat perselisihan dan perpecahan berlaku, sama ada seperti yang disebut tadi iaitu dari sudut kepuakan, bahkan yang lebih penting di saat ini adalah semata-mata kerana kerana kepartian. Nabi SAW telah memberikan solusinya di dalam hadis yang saya bacakan di awal tadi,

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

“Hendaklah kamu berpegang teguhlah dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafaa Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah erat-erat dan gigitlah dia dengan gigi geraham kalian.’”

Ini solusi ataupun penyelesaian yang pertama, iaitu melazimi sunnah Nabi dan sunnah para sahabat. Apabila berselisih, berbeza pendapat dan pandangan, adakah emosi dan semangat mendahului agama? Adakah emosi dan semangat mendahului kepentingan perpaduan? Tidak. Islam mengajar kita kembali kepada petunjuk Nabi SAW. Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran,

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

“Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat.” (surah An Nisa, 4: 59)

Ini solusi pertama di dalam apa jua permasalahan dan perbezaan pendapat di dalam hal-hal keagamaan; ibadah, akidah, akhlak. Kembalilah kita kepada petunjuk Nabi SAW dan juga petunjuk para sahabat RA. Para sahabat RA adalah hasil didikan Nabi SAW dan hasil didikan Allah SWT. Kebaikan mereka dinyatakan oleh Allah, manakala kesilapan dan kesalahan mereka ditegur melalui wahyu yang Allah turunkan untuk membetulkan mereka.

Adapun kita pada hari ini, siapa yang menegur dan memperbetulkan kita sekiranya kita tidak mengembalikan diri kita dan permasalahan kita kepada nash-nash wahyu; Al-Quran, as-sunnah serta petunjuk para sahabat RA.

Solusi kedua

Sambung Nabi SAW lagi di dalam hadis yang sama,

وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

“Dan hendaklah kamu menjauhkan diri dari setiap perkara yang baru (dalam agama), kerana sesungguhnya setiap perkara yang baru itu adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah itu adalah sesat.”

Di dalam riwayat lain ditambah, “Dan setiap kesesatan itu tempatnya di dalam neraka.”

Ini adalah pesanan Nabi SAW. Usah melihat bid’ah itu di dalam cakupan yang sempit. Usah melihat bid’ah itu di dalam hal-hal yang berkaitan isu-isu khilafiyah semata-mata. Bid’ah itu luas sebenarnya.

Sekarang ini kita berhadapan dengan bid’ah pada akidah yang membawa kepada perpecahan umat Islam; contohnya bid’ah liberalisme, pluralisme yang membawa kepada kebebasan dan kesamarataan dalam beragama. Kita sebagai umat Islam wajib menyatakan,

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلامُ

“Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (surah Ali ‘Imran, 3: 19)

Hanyalah Islam yang wajib diiktiraf. Adapun agama-agama lain selain daripada Islam, mereka berhak untuk beragama dan mendirikan pusat-pusat ibadat mereka, akan tetapi kita sebagai umat Islam tidak wajar memberikan pengiktirafan kepada agama mereka seperti mana mereka juga tetap menyatakan agama mereka adalah agama yang terbaik. Itu adalah hak mereka dan kita tidak berhak untuk memaksa mereka di atas prinsip,

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

“Tidak ada paksaan dalam beragama.” (surah Al-Baqarah, 2: 256)

Ayat ini diturunkan khusus untuk selain orang Islam. Adapun bagi orang Islam, agamanya hanyalah Islam. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran,

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (surah Ali Imran, 3: 85)

Sidang Jumaat yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian,

Faedah khutbah kita pada hari ini yang dapat kita manfaatkan dalam kehidupan;

  1. Sesungguhnya perselisihan itu adalah sunnatullah, ujian daripada Allah SWT.
  2. Antara ujian perselisihan dan perpecahan adalah kepuakan, perkauman, kepartian, politik dan sebagainya.
  3. Sikap kita apabila berhadapan dengan perselisihan ini; Pertama, kembali kepada Allah dan Rasul (Al-Quran dan As-Sunnah) dan petunjuk para sahabat RA. Kedua, meninggalkan bid’ah yakni perkara-perkara baru di dalam agama. Setiap perkara baru di dalam agama dijelaskan oleh Nabi sebagai agenda yang sesat iaitu menyelisihi prinsip dan nilai agama.

Sama-samalah kita bermuhasabah dan bertaqwa kepada Allah SWT. Sama-samalah kita melakukan perubahan, transformasi, dan tajdid di dalam negara kita. Sabda Nabi SAW,

اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada. Dan susulilah perkara buruk dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan, dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (riwayat Ahmad 5/135, 158, 177, At-Tirmidzi no. 1987, dan selain keduanya. Dihasankan Al-Imam Al-Albani rahimahullah dalam Shahihul Jami’ no. 97 dan di kitab lainnya)

والله أعلم
***
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد
فيا عباد الله اتق الله وحافظوا على الطاعات وحضور الجمع والجماعات
قال الله عز وجل في كتابه العزيز،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ , فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
واعلموا أن الله عز وجل قد صلى على رسولنا صلى الله عليه وسلم كما أمرنا به في القرآن الكريم
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً [الأحزاب:56

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat itu berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi.”

Sabda Nabi SAW,

أكثر الصلاة علي يوم الجمعة من صلى علي واحدة صلى الله عليه عشرا

“Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat, barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali maka Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.”

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ, اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
اللهم أعز الإسلام والمسلمين واهلك الكفرة أعداء الدين
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَ لِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِاْلإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاَّ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَحِيمٌ
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات إنك سميع قريب مجيب الدعوات
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
عباد الله،
{ إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذي القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي يعظكم لعلكم تذكرون } [النحل:90]
فاذكروا الله العظيم يذكركم، واشكروه على نعمه يزدكم، ولذكر الله أكبر، والله يعلم ما تصنعون

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Advertisement
2 Komen
  1. itsme permalink

    Assalamualaikum, Ustaz sy ada anak lelaki yg berumur 7 thn dan bersekolah di Sek Rendah Islam diBandaraya Johot Bahru, soalan sy, bagaimana boleh sy htr anak sy itu utk pergi belajar disek agama yg di anjurkan oleh Ustaz dan ILMU? Insyaallah jika sudh sampai umurnya sy teringin sgt ingin menghantar anak sy tersebut bg mendalami Islam disana.Insyaallah.

  2. Saya sangat suka mendengar khutbah Jumaat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: