Skip to content

Isteri pemimpin tidak menutup aurat

Februari 8, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

pearl hbSoalan: Saya ada terlihat youtube daripada Ustaz tentang isu tudung Rosmah yang begitu menarik minat saya dan kalau berkesempatan saya mahu ustaz ulas secara live pada hari ini supaya saya tidak tertanya-tanya dan tidak termimpi-mimpi lagi selepas ini tentang persoalan tersebut.

Jawapan:

Pertama sekali kita perlu tahu bahawa hukum memakai tudung dan hukum menutup aurat dikategorikan sebagai wajib. Tidak boleh disebabkan orang itu berpangkat tinggi maka hukum itu menjadi harus. Di dalam Islam, setinggi mana pun seseorang itu, hukum tetap hukum, wajib tutup aurat tidak kira kepada sesiapa pun, termasuk beliau sendiri.

Kedua, kita juga perlu tahu mengapa dia tidak menutup aurat sebelum menjatuhkan hukuman. Prof. Dr. Zaki Badawi yang pernah menjadi pengetua Muslim College, beliau berasal dari Mesir dan merupakan di antara orang yang berpendapat memakai tudung kepala tidak wajib, dan hanya budaya. Gus Dur dari Nahdhatul Ulama Indonesia yang pernah menjadi Presiden Indonesia juga di antara yang berpendapat bahawasanya menutup aurat hanya budaya.

Ada orang (saya tidak memaksudkan DS Rosmah atau sesiapa) yang terpengaruh dengan pemikiran ini sebab tidak sampai penjelasan Islam yang tepat dan betul kepada mereka. Jadi siapa yang boleh pastikan bahawa telah sampai penjelasan yang hakikat dan sahih tentang hukum aurat kepada beliau, dan adakah beliau faham tentang penjelasan tersebut? Sekiranya beliau tahu dan faham tetapi beliau tidak beramal, itu adalah hukum di antara dirinya dengan Allah SWT.

Sejarah telah membuktikan bahawa isteri Nabi Luth a.s. sendiri tidak beriman kepada Allah dan meninggalkan dakwahnya. Adakah kita mengatakan bahawa Nabi Luth tidak layak menjadi pemimpin dan tidak layak menjadi Nabi kerana isterinya meninggalkan dakwahnya? Konflik kekeluargaan, masalah kekeluargaan telah diceritakan oleh Allah di dalam Al-Quran. Bapa angkat Nabi Musa tidak menerima dakwahnya, anak Nabi Nuh a.s. tidak menerima dakwahnya. Bayangkan, mereka adalah Nabi.

Perdana Menteri kita bukan Nabi, dia adalah manusia biasa yang tidak bebas daripada kesilapan, kelemahan, kekurangan, kesalahan. Jangan semata-mata kerana hal ini, dia tidak boleh jadi pemimpin dan perlu dijatuhkan.

Ketiga, siapa di antara kita yang telah pergi mendakwahinya? Setakat ini saya difahamkan ada orang yang telah bercakap, ada orang yang dalam proses hendak bercakap dan sebagainya. Kita bercakap di sini sahaja (bukan secara berhadapan dengannya). Ya, kita inginkan kesempurnaan. Kita perlu ingat bahawa manusia ada kekurangan dari segi ini dan dia ada baik dari segi yang lain. Mungkin dia banyak sedekah, memberi sumbangan, membina rumah anak-anak yatim, memberi bantuan kepada fakir miskin, pusat tahfiz yang kita sendiri tidak tahu.

Kita semua perlu muhasabah diri sendiri. Bukan saya menyuruh kita mengiyakan kebatilan. Tidak. Hukum menutup aurat tetap wajib dan tidak boleh diubah oleh sesiapa pun.

Seterusnya, kita yang bercakap tentang dirinya, bercerita tentang dirinya, dia suka atau tidak suka? Kalau dia tidak suka, itu termasuk dalam kategori mengumpat. Kita mengatakan bahawa kita bercakap benda yang betul. Apa kata Nabi SAW kepada sahabat tentang mengumpat? Nabi jelaskan kepada sahabat tentang maksud mengumpat sebagaimana sabdanya,

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

“Tahukah kalian apa itu ghibah (mengumpat)?”, Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Baginda bersabda, “Iaitu engkau menceritakan tentang saudaramu perkara yang dia tidak suka.” Lalu ditanya kepada baginda, “Lalu bagaimana apabila pada diri saudara saya itu kenyataannya sebagaimana yang saya ungkapkan?” Maka baginda bersabda, “Apabila cerita yang engkau katakan itu sesuai dengan kenyataan maka engkau telah mengumpatinya. Dan apabila tidak sesuai dengan kenyataan dirinya maka engkau telah berdusta atas namanya.” (riwayat Muslim)

Maknanya kalau kita bercerita tentangnya, tentang tudungnya, kita mengutuknya, mencercanya dengan hal yang dia tidak suka, itu namanya mengumpat. Itu yang Nabi SAW sebut, bukan saya yang menyebutnya. Ini bukan soal mempertahankan sesiapa, kalau kita bercakap tentang isteri si fulan yang lain, sama juga hukumnya.

Seterusnya, lihat kepada diri kita dan ahli keluarga kita. Anak isteri kita, sepupu sepapat kita, ibu dan ayah kita, apakah mereka semua telah sempurna menutup aurat? Adakah kita juga menjaga aurat kita dengan ahli keluarga? Kita saban hari menonton televisyen; pakaian-pakaian yang tidak menutup aurat di dalam televisyen, menonton perlawanan bola sepak di mana pemainnya sah-sah memakai seluar pendek. Adakah dibenarkan seorang lelaki melihat aurat seorang lelaki yang lain?

Jika perkara seperti ini pun kita tidak mampu mengawalnya dalam diri kita sendiri, mengapa kita mencari-cari kesilapan dan kesalahan orang?

Kita tidak membenarkan perbuatan tersebut. Namun bagaimana cara untuk kita memperbetulkannya, sebab ini adalah pemimpin kita. Nabi Luth a.s. berusaha sehabis mungkin namun tidak berjaya juga.

Masalah yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini, sebahagiannya menganggap pada diri masing-masing ada kuasa untuk memberi hidayah kepada orang lain.

Bayangkan Nabi kita tidak mampu memberi hidayah kepada bapa saudaranya sendiri yang bersama-sama dengan Nabi mempertahankan Islam dan bersama dengan baginda sepanjang dakwahnya. Di atas katilnya sebelum mati, Nabi memujuknya untuk menyebut Laa Ilaaha illallah, namun dia tidak menyebutnya. Mengalir air mata Nabi kesedihan apabila bapa saudara yang dikasihinya mati bukan di dalam Islam. Allah SWT turunkan firman,

إنك لا تهدي من أحببت ولكن الله يهدي من يشاء وهو أعلم بالمهتدين

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (surah Al-Qashash, 28: 57)

Tetapi kita pada hari ini menganggap seolah-olah hidayah berada di tangan kita. Apabila melihat orang yang dinasihati tidak berubah, kita terus menghukumnya sesat. Hidayah bukan di tangan kita, hidayah di tangan Allah SWT. Kita hanya ada kemampuan dan kekuatan untuk melakukan dakwah, sampaikan Islam, berikan teguran dan memperbetulkan. Soal dia berubah ataupun tidak, itu di antara dirinya dengan Allah SWT.

Kita akan dikategorikan sebagai seorang yang zalim sekiranya kita menghukum dakwah seseorang. Bayangkan, ketika saya mula-mula sertai Umno, poin pertama yang mereka hendak saya lakukan adalah pastikan esok DS Rosmah pakai tudung. Kalau begitu, adakah dakwah Nabi kita semua gagal?

Adakah Nabi Adam gagal dakwah kepada anak-anaknya? Adakah Nabi Nuh gagal dakwah pada anaknya? Adakah Nabi Musa gagal berdakwah kepada bapa angkatnya, Nabi Ibrahim gagal berdakwah kepada bapanya, Nabi Luth kepada isterinya, Nabi Muhammad SAW kepada bapa saudaranya, Nabi Isa kepada pengikut-pengikutnya, Nabi Nuh hanya berapa orang pengikutnya? Adakah kita katakan Nabi-Nabi ini semua lekeh kerana gagal berdakwah? Tidak.

Sama juga keadaannya dalam negara kita pada hari ini. Adakah demikian cara kita menghukum dakwah seseorang? Sedang hidayah bukan di tangan kita. Hidayah di tangan Allah. Dan sebab itu jugalah kita dituntut mendoakan kebaikan untuk pemimpin. Berdoalah setiap hari, “Ya Allah Ya Tuhanku, berilah petunjuk kepada pemimpin-pemimpinku.” Bukan doa supaya pecah perut, buta, hancur, K.O. dan seumpamanya. Kalau kita doakan kebaikan kepada pemimpin, kebaikan mereka akan menjadi kebaikan untuk kita semua. Itu sikap dan pendirian kaum Muslimin.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

5 Komen
  1. Fik permalink

    jika pemahaman itu masih belum betul, harap Ufb betulkanlah.

    • Pemahaman dan cara penerangan yg boih dipelajari olih setiap orang yg terkeliru minda maupun yang bersemangat dalam isu isu agama….Saya sendiri amat tersedar akan minat bolasepak yg terdedah aurat secara terang… maka mulai hari ini ..berlepaslah saya dari sukan sebegini…

  2. itsme permalink

    Assalamualaikum Ustaz,
    Jika Msia ditadbir mengikut syariat Islam sepenuhnya adakah hukuman yg boleh dikenakan kpd yg tdk menutup aurat?
    tkasih wassallam

  3. nur amirah binti hassan permalink

    assalamualaikum,ustaz, saya ingin bertanya tentang aurat,, ade persoalan dari seorang sahabat saya,yang mengata jika seseorang wanita itu tidak menutup aurat adakah ia murtad?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: