Skip to content

Mengapa isu hudud dilihat semakin menjauhkan Pas & Umno?

Februari 9, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

148519_412247848850102_889442741_nSoalan: Berhubung dengan satu perkara yang diperkatakan oleh Presiden Mca, DS Chua Soi Lek mengenai perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat agung tahunan Mca dan dalam sidang akhbar hari berikutnya, dia mengatakan bahawa dia telah merujuk kepada Tuan untuk membetulkan fakta yang ada itu. Jadi kalau boleh hal itu dikongsi bersama terutama dalam hal hudud yang dinyatakan oleh Chua Soi Lek. Dan pada pandangan Tuan, mengapa hudud ini menjadi satu perkara yang menjauhkan antara Pas dan Umno? Kerana antara perkara yang dikatakan oleh Pas adalah bahawa mereka tidak boleh menerima Umno kerana Umno tolak hudud.

Jawapan:

Apabila mendengar kenyataan DS Chua Soi Lek pada hujung tahun 2011 secara jelas di dalam satu sesi diskusi; saya di antara panel yang dijemput untuk diskusi tersebut bersama dengan Dr. Chandra Muzaffar, juga Ustaz Kamal Saidin dan seorang peguam dari Bar Council iaitu saudara Edmund Bon, di mana program ini dibuat khusus untuk orang-orang Cina berkenaan dengan hudud dan kesannya terhadap orang bukan Islam di negara ini.

Di dalam muqaddimah ucapan alu-aluan Chua Soi Lek, beliau membuat sedikit analisa. Automatik kita tahu bahawasanya di dalam analisanya, dia bukan meletakkan sumber-sumber asas Islam sebagai rujukan; bukan Al-Quran, bukan As-Sunnah, bukan hadis-hadis Nabi SAW yang sahih, bukan kitab-kitab para ulama yang muktabar, bukan penulisan-penulisan para imam di dalam empat mazhab dan ulama-ulama yang lain. Analisa dan kajian yang beliau buat adalah bersumberkan perbandingan yang Barat buat, berkenaan tahap keamanan sesebuah negara – Global Peace Index (GPI).

Global Peace Index menentukan kadar keamanan sesebuah negara dan Malaysia berada di tangga 20 ke atas seingat saya bererti aman, manakala negara-negara Arab Timur Tengah kebanyakannya berada di tangga 40 atau 50 ke atas. Jadi kiasan yang dibuat oleh Chua Soi Lek adalah; sekiranya Malaysia mempraktikkan hudud, indeks keamanan Malaysia akan menurun, sama seperti negara-negara lain yang melaksanakan hudud.

Ini akan menyebabkan negara ini tidak dikategorikan sebagai negara yang aman oleh Barat, dan ini mengakibatkan pelabur asing tidak masuk melabur di sini, seterusnya menyebabkan ekonomi negara bermasalah dan ramai yang akan hilang pekerjaan. Analisa beliau itu munasabah baginya kerana dia tidak merujuk kitab-kitab sumber Islam dan tidak faham bagaimana kita beriman dengan hukum Allah. Maksud beriman adalah kita percaya pada hukum Allah.

Apabila membahaskan tentang qisas (balas balik), mereka melihat seolah-olah perkara ini akan mengurangkan populasi sekiranya berlakunya pembunuhan balik orang yang membunuh. Itu dilihat secara logik akal semata-mata. Namun di dalam Al-Quran adalah sebaliknya, di mana Allah SWT berfirman,

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Dan pada qisas itu adalah kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berfikir, supaya kamu bertakwa.” (surah Al-Baqarah, 2: 179)

Bagaimana qisas boleh dikaitkan dengan kehidupan kalau orang yang membunuh kemudian dihukum bunuh juga? Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah membahaskan dan menjelaskan mengapa Allah SWT mengatakan bahawa qisas ini adalah kehidupan. Hal itu adalah kerana apabila pembunuh itu dibunuh, akan berlaku pengurangan kadar jenayah. Orang akan takut untuk membunuh, memotong anggota tubuh atau mencederakan orang lain, kerana takut diqisaskan.

Adakah perkara-perkara ini dimaklumi oleh Chua Soi Lek, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang? Saya yakin mereka tidak tahu. Jadi siapa yang sepatutnya menceritakan kepada mereka. Saya mengambil tugas dan tanggungjawab saya kerana saya telah pernah menghadiri satu program bersama DS Chua Soi Lek. Apabila saya mendengar dia mengeluarkan kenyataan seperti itu sekali lagi, saya mengambil inisiatif menelefon beliau sendiri tanpa ada arahan dari sesiapa pun, dan bukan ada orang upah saya dan bayar saya RM15,000 sebulan.

Tiada siapa bayar saya dan saya pergi sendiri bersama sahabat saya dan kami pergi berbincang dengan cara yang baik. Dia pun membawa rakan-rakannya, ada tok sami Buddha yang lebih muda daripada saya dan lebih bergaya, dan kami berbincang dengan cara menghormati sensitiviti agama.

Nabi SAW bincang dengan orang Nashrani delegasi dari Najran, Nabi membawa mereka masuk ke dalam masjid dan berbincang. Nabi tidak bertanya adakah mereka mandi wajib, adakah mereka telah bersunat dan sebagainya, kerana Nabi SAW menghormati sensitiviti.

Jadi kami menceritakan kepada mereka. Kami jelaskan kepadanya bahawa analogi yang dibuat seperti itu tidak betul, sebab sekarang ini kadar jenayah yang tertinggi di dunia adalah di Amerika. Saya tanyakan kepadanya, setuju atau tidak kalau saya katakan kepada Datuk Seri, jenayah tinggi di Amerika sebab tidak melaksanakan hukum hudud?

Sebab itu keesokan harinya dia telah mengeluarkan kenyataan untuk memperbetulkan semula kenyataan sebelumnya. Kami berbincang secara positif dengannya. Orang bukan Islam ini mereka ingin tahu, tetapi kita tidak bertanggungjawab menyampaikan kepada mereka, kemudian kita menyerang dan menyalahkan mereka.

Kemudian pihak di sebelah sana kata kepada saya, pergilah jumpa dengan Karpal Singh, pergilah jumpa dengan Lim Guan Eng. Saya ini dalam Umno, maka saya berjumpalah dengan wakil dari parti komponen; MCA. Kalian yang duduk di dalam Pas dan Pakatan Rakyat, pergilah berjumpa dengan Karpal Singh dan Lim Guan Eng. Hasilnya kita kongsikan bersama-sama. Kita orang Islam, kita mahu agar hukum ini ditegakkan. Jadi apa masalahnya, mahu cerita atau tidak mahu cerita?

Di dalam perdebatan saya dengan Ketua Pemuda Pas, Ustaz Nasrudin Tantawi, saya mengharapkan dari perdebatan tersebut masing-masing mengakui kelemahan. Saya sebut secara terang bahawa di dalam Barisan Nasional ada MCA yang tidak terima hudud, di dalam Pakatan Rakyat ada DAP yang tidak terima hudud, jadi masing-masing kita ada kelemahan dan kita perlu bincang bagaimana kita hendak satukan kaum Muslimin agar dapat memahamkan masyarakat bukan Islam.

Tiba-tiba Ketua Pemuda Pas berkata, Pakatan Rakyat tidak ada masalah, DAP sudah mahu terima hudud. Tidak sampai 24 jam selepas itu, Karpal Singh mengeluarkan kenyataan menafikannya. Jadi, kelemahan ini ada pada Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat. Cumanya kami boleh berbincang dengan Chua Soi Lek. Dan kami minta sahabat-sahabat kita di dalam Pas berbincang dengan Karpal Singh dan Lim Guan Eng kalau betul-betul hendak buat hudud.

Saya terkejut apabila melihat Lim Guan Eng berani mengeluarkan kenyataan yang direkodkan dan divideokan yang mengatakan Pas dan Pkr tidak boleh buat hudud kecuali hanya dengan persetujuan Dap. Saya terkejut. Yang berdiri di belakang Lim Guan Eng adalah pemimpin Pas dan pemimpin Pkr. Chua Soi Lek sendiri tidak pernah berkata seperti itu. Di mana kedudukan Raja-raja Melayu yang menjadi ketua agama?

Adapun kita sesama kita terus bertelagah dan menuding jari. Pihak sana menuduh Umno tidak mahu buat hudud. Umno pula kata kepada Pas, “kalian sudah dapat Terengganu, kata hendak buat hudud sebelum ayam berkokok, haram tak buat pun!” Kita lawan tuding jari sesama kita. Akhirnya siapa yang buat?

Bertakwalah kepada Allah. Kita ingin mencari jalan penyelesaian agar Islam ditegakkan dan dimuliakan. Kalau terus menerus kita di dalam keadaan yang seperti ini, masalah tidak akan selesai.

Mengapa hudud hal yang menjauhkan Pas dengan Umno adalah kerana kita telah menyempitkan pemahaman tentang hukum Islam. Kita kena akui bahawa kerajaan telah melaksanakan sebahagian besar daripada hukum-hukum Islam. Dan pihak kerajaan juga kena akui bahawa kita masih ada kekurangan dan kelemahan serta kesilapan. Jangan kita katakan bahawa kita semua betul. Begitu juga Pas, jangan katakan kerajaan tidak buat kesemua hukum Islam, tolak hukum Allah semuanya. Itu tuduhan yang melampau dan berlebih-lebihan.

Kalau kita boleh hidup dalam suasana mampu menilai kelemahan kita dan mencari jalan untuk memperbetulkan, insyaAllah tidak akan berlaku masalah dan pertembungan di antara kita. Tetapi, kerana kepentingan, sebahagian kita hanya menunggu ruang-ruang untuk melakukan serangan. Masing-masing mencari dan menunggu kesilapan, dan menunggu untuk melakukan serangan.

Jadi saya minta kita semua bermuhasabah. Kita sekarang ini ada pemimpin, kita dekati dan berbincang dengan mereka apa hala tuju kita, dan apa tindakan yang perlu kita ambil. Pergi kepada asas perpaduan di mana yang mendekatkan kita semua adalah agama, dan kemudian Allah SWT memuliakan bangsa kita dengan Islam. Kita bersyukur kepada Allah SWT.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

3 Komen
  1. Azmil MeorNgah permalink

    Umno dan Pas faham hukum hudud. DIkalangan ahli dan penyokong Pas dan Umno ramai yang berdidikan agama samada dari peringkat rendah, menengah mau pun universiti. SEBENARNY hudud dipolitikan mencari populariti dan modal keuntungan politik. Sudah 20 tahun isu hudud di politikan tanpa kesudahan. Bagi Pas kalau dah hebat sangat nak melaksanakan hukum hudud laksanakan dulu di Kelantan sebab sudah ada enakmen berkenaan. Klu dah berjaya disana bolehlah dilaksanakan kpd keseluruh negara bila berpeluang memerintah. Kita bukan sama sekali menolak hukum hudud. Ia perlu dilaksanakan kerana ia wajid tapi kita kena beri kefahaman hukum ini kepada rakyat malaysia bukan muslim supaya mereka betul2 faham. Kempen melalui media, forum, seminar dan dakwah boleh mengyakinkan mereka, biar mengambil masa dan tempoh yang panjang. Kita banyak bercakap tapi kurang bertindak dan akhirnya dimomokan oleh bukan islam. Pas kata nak tarbiah ahli2 dan pemimpin DAP tapi kita lihat banyak pemenentangg dari mereka. Jadi lebeh baik kedua2 parti besar melayu ini duduk semeja dan bincang masalah ini daripada bertelagah tanpa kesudahan.

  2. itsme permalink

    Assalamualaikum Ustaz,
    Ddlm byk perkara sy menyokong penuh kepimpinan UMNO, namun sy agak kecewa dgn pendekatan pendidikan disekolah kerajaan khususnya di sek rendah & menengah. Secara umumnya sebagai org Islam sy fikir silibus Islam tdk boleh dianggap subjek tempelan dan ia semestinya menjadi subjek wajib dgn peruntukkan masa yg lebih.Mengapa ini tdk boleh direalisasikan, sdgkan kita dibwh pemerintahan Islam?
    kedua, Sy beranggapan Majlis Agama setiap negeri dan MUFTI lebih sesuai utk menjadi Ketua Agama Islam bagi setiap negeri atau diperingkat Persekutuan misalnya. Ini krn mrk lebih berpengetahuan dan rapat dgn rakyat. Adakah ini boleh dilakukan??
    Wassalllam.

  3. Omar mokhtar permalink

    Cuba brikan hukum2 islam yg dlaxsnakn di malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: