Lompat ke isi kandungan

Orang Islam sekampung boikot dan menghukum antara satu sama lain

Februari 11, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

field-of-flowers-wallpaper-1280x800-0144Soalan: Di sekitar kawasan perkampungan, bukan di peringkat nasional, kenapa pada hari ini pimpinan di masjid-masjid yang diketuai oleh orang-orang agama sering menuding jari. Sebagai contoh, menghina rakan-rakan kita di kampung tidak kira yang tua atau muda dengan perkataan jahil, kafir, dan kadang-kadang rakan mereka pun menyebut begitu. Sebagai contoh, dengan perkataan yang saya sebutkan tadi turut berlaku di dalam kenduri kahwin. Yang buat kenduri itu rakannya, kita sekampung ini saudara mara semuanya, ada Umno dan ada Pas. Ditakdirkan yang membuat kenduri pada hari itu adalah orang Umno. Dua kawah gulai daging tidak dimakan, nasi dua kawah. Yang rugi rakannya juga. Mohon pihak tuan ulas.

Jawapan:

Kita mengatakan orang jahil. Jahil sebenarnya merupakan perkataan yang membawa maksud tidak tahu, tidak ada ilmu. Jahil ada kategorinya; 1) jahil murakkab (kebodohan yang teramat sangat dan tidak menyedari kebodohannya), 2) jahil basith (kebodohan yang akan hilang melalui proses belajar).

Apa yang berlaku pada hari ini, berlaku situasi di mana orang menghukum orang lain jahil. Memang kita tidak nafikan bahawa kita semua kekurangan ilmu, kita jahil. Tetapi adakah kita tahu semua perkara yang kita dakwa orang lain tidak tahu. Tidak, masing-masing jahil. Masalah paling bahaya adalah orang yang tidak tahu dia jahil tetapi dia terus bercakap dan mengulas atas dasar kejahilan (jahil murakkab). Itu masalah paling besar, dan itu yang berlaku pada hari ini.

Gunakan masjid untuk perpaduan dan penyatuan

Saya minta masjid-masjid tidak digunakan untuk kepentingan politik. Pada zaman Nabi SAW, Nabi menggunakan masjid untuk perpaduan. Nabi ketika mula-mula sampai ke Madinah, baginda membina masjid terlebih dahulu untuk perpaduan ummah. Sebab itu apabila Nabi membawa Islam, kesan yang dibawa oleh Nabi SAW adalah perpaduan. Berbeza dengan kita yang hendak bawa Islam pada hari ini, kesannya adalah perpecahan. Hal ini berbeza sama sekali dengan apa yang Nabi bawa.

Jadi kalau kita hendakkan perpaduan, gunakanlah masjid untuk satupadukan ummah. Di dalam masjid itu terdapat banyak perkara yang merupakan simbolik kepada perpaduan. Kiblatnya satu, imamnya seorang, bilalnya seorang, shalat berjamaah mengikut satu imam, susunan saf diluruskan dan dirapatkan,

لَتُسَوُّنَّ صُفُوْفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ وُجُوْهِكُمْ

“Hendaklah kalian bersungguh- sungguh meluruskan shaf-shaf kalian atau Allah sungguh-sungguh akan memperselisihkan di antara wajah-wajah kalian.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Waktu untuk shalat juga pada satu waktu yang sama. Semua ini adalah simbolik perpaduan kaum Muslimin. Berdiri rapat-rapat berlaga bahu dan lekatkan kaki dengan orang sebelah ketika shalat juga adalah simbolik kesatuan kaum Muslimin. Nabi turut mengajar kita agar jangan mendahului imam, kata Nabi di dalam hadis tentang orang yang mendahului imam,

”Tidakkah takut orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam akan Allah mengubah kepalanya menjadi keldai.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim) – dalam riwayat lain disebutkan ditukar wajahnya menjadi anjing.

Ini adalah simbolik mentaati ketua dan perpaduan umat Islam. Sebaliknya kita pada hari ini, kita menggunakan masjid untuk menghukum orang lain. Kita manfaatkan mimbar khutbah untuk menghentam orang lain. Jangan begitu, seharusnya kita menggunakan masjid untuk satupadukan umat Islam. Kita kena ingat satu hadis Nabi SAW tentang Bani Israil,

كان رجلان في بني إسرائيل متواخيين ، فكان أحدهما يذنب ، والآخر مجتهد في العبادة ، فكان لا يزال المجتهد يرى الآخر على الذنب ، فيقول : أقصر ، فوجده يوماً على ذنب ، فقال له : أقصر . فقال : خلني وربي ، أبعثت علي رقيباً ؟ فقال : والله لا يغفر الله لك ، أو لا يدخلك [الله] الجنة فقبض أرواحهما ، فاجتمعا عند رب العالمين ، فقال لهذا المجتهد : أكنت بي عالماً ؟ أو كنت على ما في يدي قادراً ؟ وقال للمذنب : اذهب فادخل الجنة برحمتي ، وقال للآخر : اذهبوا به إلى النار

“Dahulu ada dua orang laki-laki bersaudara dari kalangan Bani Israail. Salah seorang di antara mereka sering berbuat dosa dan yang lain rajin beribadah. Orang yang rajin beribadah sentiasa melihat saudaranya melakukan dosa, dan dia pun berkata : ‘Berhentilah (berbuat dosa)’. Pada satu hari, dia kembali mendapatkannya sedang berbuat dosa, maka dia berkata : ‘Berhentilah’. Orang yang berbuat dosa itu berkata : ‘Tinggalkanlah aku bersama Rabbku. Apakah engkau diutus sebagai orang yang selalu mengawasiku ?’ Dia (yang rajin beribadah) pun berkata : ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengampunimu’ – atau dia berkata : ‘Allah tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga. Lalu Allah mewafatkan mereka berdua dan kemudian berkumpul di sisi Rabbul-‘Aaalamiin (Allah). Allah berfirman kepada orang yang rajin beribadah : ‘Apakah engkau mengetahui tentang Aku ?. Ataukah engkau mempunyai kemampuan atas apa-apa yang ada di tangan-Ku ?’. Allah berfirman kepada orang yang berbuat dosa : ‘Pergi dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Dan kemudian berfirman kepada yang lain (rajin beribadah) : ‘Giringlah ia ke dalam neraka’. (riwayat Ahmad, Abu Dawud, dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani)

Hadis ini bukan membolehkan kita buat maksiat, tetapi hadis ini moralnya adalah jangan mudah menghukum orang. Besarnya makna dan kandungan intipati hadis ini. Maka jangan sekali-kali kita menghukum orang yang melakukan maksiat tidak masuk syurga atau tidak mendapat ampunan Allah. Jangan sama sekali.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=DrU_Dz3h_YE

Tinggalkan Komen

Tinggalkan komen