Skip to content

Adakah kenyataan orang bawahan perlu selari dengan kenyataan pemimpin

Februari 12, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

406090_410924712317831_1865650153_nSoalan: Adakah kita sebagai seorang ahli politik, kenyataan-kenyataan kita harus selari dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin kita. Kadang-kadang kenyataan yang dibuat oleh pemimpin kita ini tidak difahami sepenuhnya oleh kita orang-orang bawahan. Jadi saya minta ustaz tolong ulas adakah kalau pengikut-pengikut bawahan ini melakukan kesilapan di atas kata-kata pemimpinnya, apakah tanggungjawab pemimpin tersebut.

Jawapan:

Menjawab persoalan adakah kenyataan kita harus selari dengan kenyataan pemimpin, jawapannya adalah tidak semestinya. Kita kena ingat, Nabi SAW menjadi pemimpin Islam. Nabi bersiyasah (berpolitik). Nabi menjadi ketua negara Islam pada ketika itu. Nabi berbincang, dan di dalam beberapa hal, ada pandangan-pandangan sahabat Nabi RA yang tidak selari dengan pandangan Nabi SAW.

Pandangan Umar di dalam beberapa hal sama dengan apa yang Allah turunkan tetapi tidak sama dengan kehendak Nabi SAW sehingga Nabi mengatakan,

Seandainya ada seorang Nabi setelahku, tentulah Umar bin al-Khaththab orangnya.” (riwayat At-Tirmidzi dari Uqbah bin Amir)

Ketika membincangkan strategi peperangan Uhud, Nabi dibantah oleh sebahagian sahabat-sahabat yang lain, sebab mereka sentiasa berbincang (syura) sebelum membuat keputusan.

Jadi kita tidak mahu membawa politik “ikut saja”. Kita kena buka minda, pemimpin juga perlu membuka minda untuk diperbetulkan dan diberikan pendapat atas cadangan dan pandangan.

Saya kira Perdana Menteri kita membuka ruang seluasnya di Twitter, Facebook untuk sesiapa memberi pendapat dan pandangan. Saya bertanya kawan-kawan di Jabatan Perdana Menteri, berapa ribu orang Tweet, adakah semuanya dibaca? Mereka mengatakan bahawa mereka membaca satu persatu. Semua itu dicetak dan dihimpun setiap hari. Mereka lihat apa permintaan yang terbanyak dan yang perlu didahulukan. Kita jangan kira permintaan kita seorang, rakyat ada 28juta.

Jadi tidak menjadi syarat pandangan orang bawahan perlu selari dengan pandangan pemimpin semuanya. Namun kita memang dituntut mentaati ketua, memberikan penghormatan kepada ketua. Sekiranya kita hendak menyanggahi ketua, kita perlu lihat kepada kaedahnya.

Masalahnya adalah apabila kita hendak berbeza dengan ketua, kita hendak menampakkan yang kita lebih hebat daripadanya. Sekiranya kita betul-betul ingin membetulkan untuk tujuan kebaikan, tegur dan berikan nasihat dengan cara yang baik dan jangan bersifat cuba memalukannya. Dan kita juga tidak mahu menjadi pak turut semata-mata. Kata Al-Imam Ath-Thahawi,

لا يقلد إلا أعمى وغبي

“Tidaklah mengikut membuta tuli kecuali orang yang buta dan bodoh.”

Sekiranya pendapat pemimpin itu salah, kemudian kita tidak tahu dan kita ikut, hal ini berbeza dengan sekiranya kita tahu salah tetapi kita membuatnya juga yang bererti kita melanggar perintah Allah SWT. Sabda Nabi SAW,

إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

“Sesungguhnya ketaatan itu hanya pada hal-hal kebaikan.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ali RA)

Sekiranya pemimpin melakukan kesalahan, kita tidak boleh ikuti kesalahannya. Cara untuk menasihatinya, itu bab yang kedua. Adakah bererti kita perlu menentangnya? Tidak.

Sekiranya kita mengikut atas asas kita tidak tahu, itu cerita lain. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran mengajarkan doa yang kita selalu baca setiap hari,

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

“Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.” (Al-Baqarah, 2: 285)

Kita meminta ampun sebab kita jahil, kita tidak ada ilmu. Kita perlu cepat-cepat beristighfar memohon pengampunan kepada Allah SWT apabila kita tahu perkara itu salah. Tetapi jika kita tahu benda itu salah, jangan ikut. Jika kita ikut kesalahan pemimpin kita bererti kita telah melakukan perkara yang bercanggah dengan agama.

Pemimpin perlu dinasihati. Kita jangan ingat pemimpin kita tahu semua benda. Sebab itu perlu tampil orang-orang yang ikhlas memberikan nasihat kepada pemimpin untuk membetulkan dan meluruskan mereka. Mereka perlu kepada nasihat kita semua.

Wallaahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=DrU_Dz3h_YE

 

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: