Islam mendahului penjagaan hak asasi manusia dan setiap makhluk di muka bumi
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Kalau kita kembali kepada sejarah kemunculan ideologi liberalisme dan pluralisme, kita tidak dapat lari daripada apa yang berlaku di Barat pada abad yang ke-15 hingga abad ke-18 di mana pada ketika itu berlaku pertembungan di antara Gereja dengan rakyat.
Pada ketika itu, gereja mentadbir dan mengurus negara, dikenali dengan sistem feudal. Sistem feudal ini adalah sistem yang menjadikan bangsawan atau orang kaya sebagai pemimpin, di mana mereka ini dikawal oleh pihak gereja.
Kesannya apabila berlaku tipu daya oleh pihak gereja, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya ramai dari kalangan orang-orang alim Yahudi dan Pendeta-pendeta Kristian benar-benar memakan harta manusia dengan cara yang batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah.” (surah At-Taubah, 9: 34)
Jelas pada ketika itu berlaku penipuan apabila berlaku penjualan surat-surat pengampunan; sesiapa yang hendakkan pengampunan perlu pergi ke Gereja membayar duit lalu keluarlah surat pengampunan.
Maka di penghujung abad ke-18, rakyat mula sedar. Wujud pada ketika itu pemikir-pemikir seperti Martin Luther yang mula memerangi Gereja Katholik dengan membawa pendekatan seperti Gereja yang pada hari ini dikenali sebagai Protestan.
Berlaku pertembungan di antara gereja, di mana Protestan membawa pemikiran bahawasanya agama perlu dipisahkan daripada pentadbiran, pengurusan dan kepentingan dunia. Ini yang dibawa oleh Luther dan ini yang dibawa oleh Protestan. Mereka menekankan bahawa kitab Bible hanya untuk agama yang tidak ada kena mengena dengan kehidupan. Kehidupan berhak dicorak seperti mana yang kita inginkan. Dari sini timbul pemikiran liberal.
Liberal membawa maksud bebas. Memberikan kepada manusia kebebasan; kebebasan berfikir, kebebasan memilih agama, kebebasan dalam berekonomi, kebebasan bersuara. Sebab itu apabila wujudnya kebebasan dalam beragama, datang di sana pluralisme. Apabila bebas dalam ekonomi, datang pula sekularisme, kapitalisme dan sebagainya.
Begitu juga hak kebebasan pada hari ini yang disuarakan. Dinamakan dengan hak asasi manusia. Ia datang daripada doktrin liberalisasi. Demikian juga, tidak akan wujud pluralisme melainkan ada di sana liberalisme. Tunjang dan tulang belakangnya adalah liberal.
Apabila pemikiran ini menyeru manusia ke arah kebebasan, mereka menyeru rakyat agar mencorak kehidupan tanpa keterikatan dengan pendirian agama. Hasil tekanan dan implikasinya sangat besar seperti yang kita rasai pada hari ini.
Kalau kita melihat dari perspektif Islam pula, pemikiran seperti ini muncul pada kurun ke-2 hijrah, apabila kitab-kitab karangan pendeta-pendeta Yunan Greek diterjemah ke dalam bahasa Arab pada zaman Khalifah Makmun. Falsafah-falsafah Yunan ini membicarakan konsep ketuhanan melampaui nas-nas agama, prinsip-prinsip akidah Islam berbicara konsep ketuhanan semata-mata dengan menggunakan teori akal.
Apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, berlaku kecelaruan. Wujud di sana gerakan seperti Mu’tazilah, di mana prinsip dan pendirian Mu’tazilah ini seperti yang disebut oleh Imam Syahrustani dalam Al-Milal wan-Nihal dan ramai lagi ulama-ulama dan pengkaji-pengkaji akida yang lain, di antara prinsip terpenting Mu’tazilah adalah untuk mengatakan sesuatu perkara itu baik atau buruk hujahnya adalah akal. Bukan nas.
Berbeza dengan pendirian Islam, seperti yang dinukilkan oleh Al-Imam Al-Bukhari di dalam hadis yang disandarkan kepada Ali bin Abi Thalib radhiyallaahu’anhu, kata Ali bin Abi Thalib,
لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْىِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلاَهُ وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ
“Seandainya agama itu dengan akal semata, maka tentu bahagian bawah khuf lebih layak untuk disapu daripada bahagian atasnya. Namun sungguh aku sendiri telah melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam mengusap bahagian atas khufnya.” (riwayat Abu Daud. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini shahih)
Jika mengikut logik, bahagian bawah yang kotor, tetapi Nabi mengajar kita menyapu bahagian atas. Maknanya, agama bukan dengan akal semata-mata. Agama meletakkan nash di depan. Jadi kerana itu, apabila datang seruan kepada hak kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kita kena berhati-hati.
Ya, setiap makhluk di atas muka bumi ini perlu diberikan hak. Ketika Allah mengutuskan di atas muka bumi ini Muhammad shallallaahu ‘alaihi wasallam, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan sebagai rahmat untuk semesta alam.” (Al-Anbiya’: 107)
Islam menjaga hak alam. Islam menjaga hak makhluk-makhluk selain dari manusia seperti jin. Jangan kita terkejut. Seperti mana Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam menegur sahabat,
لَا تَسْتَنْجُوا بِالرَّوْثِ وَلَا بِالْعِظَامِ فَإِنَّهُ زَادُ إِخْوَانِكُمْ مِنْ الْجِنِّ
“Janganlah kalian beristinja dengan menggunakan kotoran haiwan dan tulang, kerana sesungguhnya ia adalah makanan saudara kalian dari bangsa jin.” (Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi, dan An-Nasa-i)
Hak bagi kaum jin pun dijaga, hak haiwan juga dijaga di dalam Islam. Sangat dijaga adab dan etika dalam sembelihan. Sehingga Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam pernah menegur seorang sahabat di mana sahabat ini mengasah pisaunya di hadapan kambing yang hendak disembelihnya. Nabi bersabda,
أَتُرِيْدُ أَنْ تَمِيْتَهَا مَوْتَات هَلاَ حَدَدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تَضْجَعَهَا
“Apakah kamu hendak mematikannya dengan beberapa kali kematian?! Hendaklah pisaumu sudah diasah sebelum engkau membaringkannya.” (riwayat Al-Hakim)
Bahkan di dalam hadis lain Baginda shallallaahu’alaihi wasallam menyebut,
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
“Sesungguhnya Allah menetapkan sifat ihsan terhadap segala sesuatu. Apabila membunuh, maka bunuhlah dengan ihsan. Apabila menyembelih, maka sembelihlah dengan ihsan. Hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan senangkanlah haiwan yang akan disembelih.” (Riwayat Muslim)
Sebab itu Nabi shallallaahu’alaihi wasallam melarang mencincang mayat musuh. Apabila menyembelih, perlu ada ihsan dalam proses sembelihan. Maka jika Nabi mengajar kita tetap memberikan hak kepada haiwan, apatah lagi kepada manusia.
Islam memberi hak kepada manusia tanpa mengira bangsa, tanpa mengira warna kulit. Bahkan tanpa mengira agama. Hak mereka perlu diberi dan perlu diutamakan. Sebab itu orang yang asyik bercakap dan menjerit hak kebebasan dan hak asasi, seolah-olah mereka ini melihat Islam tidak memberi dan tidak menjaga hak asasi manusia.
Bertakwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Islam mendahului penjagaan hak asasi manusia. Cuma Islam memberikan garis panduan. Islam memberikan etika. Islam mempunyai perundangan. Islam ada adab yang perlu dipatuhi. Contohnya di dalam bersuara, Islam memberikan kebebasan untuk kita bersuara, Islam membenarkan kita menegur. Tetapi, bagaimana adab dan etika menegur?
Kata Nabi shallallaahu’alaihi wasallam di dalam hadis,
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Hendak bercakap boleh, hendak menegur boleh, tetapi syaratnya adalah dengan perkataan yang baik. Kalau tiada perkataan yang baik, Allah memerintahkan supaya diam.
Hendak menubuhkan NGO, membantu sesama manusia boleh, tetapi tidak boleh menyokong LGBT, sebab ia perbuatan yang dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jika Nabi shallallaahu’alaihi wasallam bersabda,
إذا وجدتم من يعمل عمل قوم لوط فاقتلوا الفاعل والمفعول به
“Apabila kamu menemui orang yang mempraktikkan amalan kaum Luth maka bunuhlah pelakunya dan yang dilakukan ke atasnya dengan redha.” (sahih, riwayat At-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, dan lain-lain)
Jika demikian perintah Nabi shallallaahu’alaihi wasallam, mengapa kita pada hari ini semata-mata kerana hak asasi manusia, kelompok yang dilaknat Allah dan kelompok yang diperintah oleh Nabi untuk membunuh mereka ini dibiarkan malah disokong.
Begitu juga di dalam hal-hal yang lain, contohnya di dalam ekonomi. Riba diharamkan di dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Maka mana mungkin di atas asas kebebasan, kita menghalalkan riba. Riba tetap haram dan dilaknat Allah Subhanahu wa Ta’ala walaupun namanya diubah.
Sebab itu apabila kita bersuara tentang hak kebebasan dan hak asasi, kita perlu ada garis panduan dan melihatnya dari acuan dan kacamata Islam. Perlu kita ketahui bahawasanya Islam lebih dahulu telah berbicara tentang hak kebebasan dan hak asasi manusia.
Wallaahu A’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut: