Skip to content

Merealisasikan transformasi

Februari 21, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

transformasiTransformasi; perkataan yang membawa maksud perubahan (change). Di dalam Al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (surah Ar-Ra’d : 11)

Ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang menyeru umatnya kepada perubahan atau transformasi. Ia telah bermula sejak zaman Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam apabila Allah Subhaanahu wa Ta’ala mengutus Nabi dalam keadaan masyarakat Arab bertelanjang ketika mengerjakan ibadah, isu gejala sosial yang sangat parah di kalangan masyarakat arab, judi, zina, arak dan perkara-perkara maksiat serta perkara dimurkai oleh Allah.

Datangnya Muhammad shallallaahu ‘alaihi wasallam membawa satu transformasi. Transformasi yang dibawa oleh Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam adalah memindahkan umat daripada kegelapan kepada cahaya.

Mungkin majoriti anak-anak muda pada hari ini merasakan apa perlunya terlibat dalam usaha transformasi. Apa perlu untuk terlibat di dalam usaha-usaha menjadikan negara dan masyarakat lebih baik? Mungkin keterlibatan kita tidak terlalu serius pada hari ini. Tetapi apabila kita semua berusia 40-an ke atas, memiliki anak, menjadi ibu dan bapa, datuk dan nenek, kita pada hari itu akan memikirkan tentang generasi seterusnya. Mungkin pada masa ini kita belum merasai kepentingan untuk berubah.

Siapa di kalangan kita yang menonton filem pendek Innocence of Muslims? Orang mencerca dan menghina Nabi Muhammad shallallaahu ‘alaihi wasallam dengan gambaran yang tidak baik. Apa perasaan sebagai seorang Muslim? Dan apa tanggungjawab dan tindakan kita selanjutnya? Adakah kita tidur, terus bersosial, hidup seperti kehidupan kita yang saban hari dengan masa-masa yang terbuang? Tidak, tentu kita perlu berubah. Ini bukan satu cerita lawak. Ini adalah satu penghinaan ke atas agama.

Agama adalah satu sensitiviti yang Allah Subhaanahu wa Ta’ala tanamkan di dalam jiwa. Apabila berlaku suatu tekanan dan penghinaan ke atas agama, kita perlu melihat di mana suara umat Islam dan apa tindakan kita.

Pada hari ini penghinaan tidak hanya masuk melalui ruang filem secara langsung, tetapi ia juga masuk melalui doktrin pemikiran; plural, liberal, sikap-sikap seperti homoseks, lesbian, golongan yang tidak mengenali jantina sendiri, perempuan menjadi lelaki, lelaki menjadi seperti perempuan.

Ketika saya belajar di Saudi, datang orang dari Malaysia bertanya kepada saya apakah pakaian ihram yang patut dia pakai; pakaian ihram lelaki atau pakaian ihram perempuan? Ini realiti soalan yang ditanya kepada saya. Dia sendiri keliru dengan jantinanya.

Orang muda tidak boleh terus berada dalam keadaan relaks, tidak mengambil tahu apa yang berlaku. Orang muda perlu proaktif mencari jawapan untuk membantah tohmahan dan persepsi negatif yang dilemparkan terhadap Islam. Islamofobia di Barat dan negara Eropah; orang luar takut kepada Islam. Dr. Zakir Naik, pakar perbandingan agama disekat dari masuk ke negara-negara Eropah seperti UK. Dia tidak dibenarkan masuk dan menyampaikan agama di sana. Tetapi kita di sini selesa seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Memang Allah Subhaanahu wa Ta’ala menganugerahkan kita di sini keamanan dan ketenteraman yang masih berpanjangan. Akan tetapi adakah ia akan terus berkekalan sekiranya kita tidak memanfaatkannya untuk transformasi lebih-lebih lagi transformasi terhadap jatidiri kita sebagai individu Muslim secara khususnya dan yang bukan beragama Islam secara umumnya.

Sebagai umat Islam, kita berhadapan dengan ujian yang pelbagai. Contohnya, bagi pemudi-pemudi yang sebelum ini mungkin tidak menutup aurat dan dia ingin melakukan transformasi dalam dirinya, apa yang dia perlu untuk menjana perubahan dalam dirinya? Adakah hanya dengan emosi?

Kita melihat ramai artis yang berubah dan menyatakan taubat secara terang-terangan. Tetapi kita melihat pernah berlaku beberapa ketika dulu di mana ada yang bertaubat, bertudung, berpurdah, ia suatu perkara yang baik sebenarnya. Akan tetapi perkara tersebut lama kelamaan dari berpurdah hilang purdahnya, dari tudung labuh menjadi tudung singkat, lama kelamaan semakin singkat sehingga nampak cuping telinga.

Taubat itu suatu yang baik kerana dia hendak berubah. Akan tetapi taubat jika tidak didasari dengan ilmu pengetahuan, ia tidak akan konsisten dan tidak akan kekal. Jadi antara cabaran di dalam kita melakukan transformasi adalah cabaran ilmu pengetahuan.

Kita hendak membuat rumah, kita perlu ada ilmu. Apabila hendak mengundi, memilih pemimpin yang mampu membuat perubahan dan mentadbir negara dengan baik, kita juga perlu minat dengan perubahan dan kebaikan.

Kalau di dalam sesebuah negara 80% rakyat suka berkaraoke dan menyanyi, sudah tentu pemimpin yang dipilih adalah pemimpin yang suka menyanyi dan suka berhibur. Kalau rakyat berakhlak dengan akhlak yang tidak baik, suka melakukan kemaksiatan, bersosial secara melampau, berdansa siang dan malam, sudah semestinya mereka juga memilih pemimpin di kalangan mereka yang sama seperti mereka. Sebab itu kata para ulama, pemimpin yang baik datang dari rakyat yang baik, manakala pemimpin yang buruk datang dari rakyat yang buruk.

Firman Allah Subhaanahu wa Ta’ala,

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah terzahir kerosakan di daratan dan lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (surah Ar-Rum, 30: 41)

Di dalam usaha transformasi pada hari ini, kita perlu ada ilmu pengetahuan. Saya yakin majoriti pemuda di negara ini adalah pengamal media sosial seperti Facebook, Twitter, dan seumpamanya. Apa yang kita bualkan di dalam Facebook? Mungkin ada yang mengemaskini status Facebook ketika sedang menonton perlawanan bola sepak, makan malam dan sebagainya.

Sekiranya untuk kegembiraan seharian kita di dunia kita boleh kemaskini setiap hari di Facebook, maka mengapa tidak untuk agama, negara dan bangsa kita memanfaatkan Facebook untuk memberi kesedaran kepada rakan-rakan? Andaikan seorang mempunyai 100 rakan di Facebook, dia menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan usaha-usaha kebaikan yang berlaku di dalam negara dari sudut agama dan negara, dia menyampaikan satu pesanan setiap hari, bukankah itu akan memberi manfaat dan impak?

Umat terdahulu sebelum diutuskan Nabi Muhammad shallallaahu ‘alaihi wasallam, apabila mereka membuat dosa, Allah Subhaanahu wa Ta’ala terus menimpakan bala ke atas mereka. Lihat apa yang berlaku kepada umat Nabi Musa ‘alaihissalam; terus Allah Subhaanahu wa Ta’ala hapuskan Firaun dan menenggelamkannya di lautan. Umat Nabi Nuh alaihissalam ditenggelamkan di dalam banjir besar, umat Nabi Luth’alaihissalam yang mengamalkan homoseksual, Allah Subhaanahu wa Ta’ala turunkan hujan batu dari langit. Semuanya ditimpa hukuman yang segera.

Berbeza dengan umat Muhammad, Allah memberikan ujian kepada umat Nabi Muhammad shallallaahu ‘alaihi wasallam seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran,

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

“(Dia) Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah di antara kalian yang mempunyai amal yang terbaik.” (surah Al Mulk, 67: 2)

Allah mengiklankan di dalam Al-Quran, perbuatan baik akan diganjari pahala dan syurga, perbuatan jahat akan dibalas dengan dosa. Namun mengapa kita tidak ada perasaan takut dengan perkara tersebut. Manusia lebih mudah terpengaruh dengan iklan yang dibuat manusia, tetapi iklan yang dibuat oleh Allah di dalam kitab-Nya seolah-olah ia tidak meninggalkan kesan dalam kehidupannya.

Ini merupakan cabaran yang paling besar dalam menjana perubahan, dan untuk memastikan transformasi yang sedang dijalankan dalam negara ini berjalan dengan baik sebenarnya bermula dengan ilmu pengetahuan, dan ia dibuktikan melalui sikap dan tindakan.

Ada ilmu tetapi bercakap sahaja tanpa dipraktikkan dan ditonjolkan, ia tetap tidak memberikan manfaat. Tetapi ilmu yang dipraktikkan dan perkataan baik yang disebarkan akan memberi impak sekiranya ada orang yang terkesan dengan perkataan dan perbuatan kita. Itu adalah amal jariah yang telah Allah Subhaanahu wa Ta’ala hitungkan walaupun hanya sebesar zarah.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=_K7spCzj5KM

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: