Penerima BR1M Serupa Binatang?
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Di dalam Islam ada zakat. Asnaf zakat terbahagi kepada lapan golongan, salah satu daripadanya adalah orang yang hendak ditaklifkan hatinya. Pendapat ahli tafsir seperti Ibnu Katsir, Ath-Thabari dan selainnya menyebut bahawa muallaf merujuk kepada dua; 1. Orang yang baru masuk Islam, 2. Orang yang belum masuk Islam tetapi kita memberi zakat kepadanya agar hatinya dekat dengan Islam.
Ini adalah salah satu cara dakwah Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Cara dakwah Nabi banyak dan pelbagai; dengan ilmu, peperangan, sedekah, hadiah, juga zakat. Jangan kita sempitkan dakwah Nabi itu hanya dengan ilmu semata-mata.
Ramai orang salah faham, mereka menyangka dakwah hanyalah dengan cara bercakap, berceramah, menyampaikan ilmu semata-mata. Sedangkan dakwah ada pelbagai caranya. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Al-Quran,
اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ أَحْسَنُ
“Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125)
Perkataan al-hikmah di dalam ayat ini menurut Imam Ibnul Qayyim rahimahullah membawa tiga maksud; 1. Ilmu, 2. Al-hilmu (bijaksana), 3. Al-anah (sabar dan berperingkat)
Di dalam dakwah sudah semestinya memerlukan kepada ilmu. Hendak memberi duit pun, si pemberi perlu tahu hukum dia memberi duit itu di asas apa, adakah untuk mendekatkan orang kepada Islam, atau untuk mendekatkan manusia dengan dirinya, atau sekadar hadiah dan sebagainya, dia perlu mengilmui terlebih dahulu hukum tentangnya.
Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam di dalam dakwah baginda kepada orang Yahudi, baginda pergi sendiri melawat seorang Yahudi ketika orang itu sakit. Nabi tidak mengajaknya datang ke majlis ilmu untuk mendengar baginda menyampaikan ilmu tentang Islam.
Sebaliknya baginda pergi melawatnya ketika dia sakit dan berkata kepadanya, “Sebutkanlah Laa-Ilaaha-illallaah, aku akan bersaksi dengan kalimah ini di hadapan Allah nanti bahawa engkau memeluk Islam.” Yahudi ini lalu memberitahu bapanya bahawa Muhammad mengajaknya menyebut Laa-ilaaha-illallaah. Bapanya berkata, taatilah Abul Qasim (Muhammad SAW). Maka dia pun menyebut Laa-Ilaaha-illallaah lalu meninggal dunia dan menjadi ahli syurga.
Nabi juga berdakwah kepada Bilal Ibn Rabah. Walaupun Bilal telah memeluk Islam tetapi Bilal adalah hamba. Bagaimana Nabi berdakwah dengannya adalah dengan Nabi bersedekah membebaskan Bilal daripada menjadi hamba. Nabi membantu Salman Al-Farisi di mana Salman pernah menjadi hamba kepada Yahudi di Madinah, Nabi menyuruh para sahabat memberi duit kepada Salman (bersedekah).
Jadi janganlah kita menyempitkan pengertian dakwah kerana dakwah ini pengertiannya sangat luas. Jangan kita menganggap hanya berbicara tentang agama sahaja dikira dakwah, yang lain adalah ayam, lembu, binatang semata-mata, saya kira perkataan seperti ini tidak sewajarnya ada. Mengapa? Kerana Nabi bersabda di dalam hadis,
تهادوا تحابوا
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah nescaya kalian saling kasih mengasihi.” (riwayat Al-Bukhari dalam Al Adab al Mufrad, hasan)
Ini adalah sabda Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Jika dibandingkan sabda Nabi dengan perkataan si fulan, saya sebagai orang yang beriman dan cintakan Nabi Muhammad sallallaahu ‘alaihi wasallam maka saya mengambil perkataan Nabi dan meninggalkan perkataan Tok Guru. Tetapi saya tidak tahu jika ada orang yang hendak mendahulukan perkataan mereka daripada perkataan Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam.
Orang Yahudi pernah meminta hadiah daripada Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Di dalam hadis menyebut bahawa Nabi lalu memberikannya satu kandang kambing sedangkan Nabi bukanlah orang kaya, sehingga orang Yahudi tersebut pulang kepada kaumnya dan berkata, maksudnya: “Sesungguhnya Muhammad sangat suka memberi seolah-olah dia tidak takut kepada kefakiran.”
Ini cara dakwah Rasulullah. Baginda kemudian tidak memanggil orang Yahudi tersebut dan berceramah kepadanya. Sebaliknya Nabi bersedekah dengan sedekah yang besar sehingga memberi kesan kepada orang Yahudi tersebut.
Maka salah satu mesej di dalam Islam, dituntut untuk kita memberi hadiah. Maka bagi orang yang menerima hadiah, tidak layak bahkan haram di sisi syariat kita menyamakan mereka seperti binatang.
Di dalam shalat, Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam mencerca tindakan-tindakan dan pergerakan yang menyerupai perbuatan binatang, seperti duduk seperti duduknya anjing, ruku’ seperti ayam mematuk, melihat ke kiri dan kanan seperti musang, turun sujud seperti unta, meletakkan lengan ketika sujud seperti anjing. Ini bermakna manusia tidak boleh sama dengan binatang. Para ahli ilmu mengatakan, mesejnya di sini adalah menyerupakan manusia dengan binatang itu adalah tindakan yang jijik. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Al-Quran,
لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu dalam sebaik-baik penciptaan.” (Surah At-Tin: 4)
Jadi berhati-hatilah jika hendak menyamakan manusia dengan binatang. Kalau kita hendak menasihati manusia supaya jangan bersikap seperti haiwan, itu tidak mengapa. Tetapi kalau kita mengatakan Umno memberi BR1M menarik masyarakat seperti binatang, seperti lembu, ayam dan sebagainya, saya kira ini merupakan satu kenyataan berbaur politik yang langsung tidak Islami.
Apabila kita mengkritik pendapatnya bukan bererti kita menghinanya. Mereka juga banyak memberi hadiah kepada orang; memberi duit tambang orang pergi sertai BERSIH, memberi zakat semasa pilihanraya di Galas, dan sebagainya. Mereka mengatakan mereka memberi zakat dan itu tidak salah. Kita katakan mengapa pemberian itu dilakukan semasa pilihanraya dan tidak sebelum pilihanraya?
Kalau mereka yang melakukan, mereka katakan halal, halal, halal. Namun apabila Umno, semuanya dikatakan haram. Ini tidak adil. Janganlah semata-mata kerana kepentingan politik, kita mendahulukan kepentingan sendiri berbanding kepentingan agama. Jika hendak mengkritik, kritiklah secara ilmiah. Jangan menghina orang yang berbuat kebaikan.
Di dalam hadis Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam, datang seorang sahabat membawa kurma dan dia meletakkannya di tengah-tengah ramai tanpa mengatakan kurma itu untuk dibuat apa. Kemudian orang memakan kurmanya lalu Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda,
من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها و أجر من عمل بها بعده من غير أن ينقص من أجورهم شيئ
“Barangsiapa yang mencontohkan perbuatan yang baik dalam Islam maka baginya pahala dari perbuatannya itu dan pahala dari orang yang melakukannya sesudahnya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun.” (riwayat Muslim)
Sewajarnya Pas mengambil contoh ini kerana ianya contoh yang baik. Bukan sahaja Pas, malah bagi semua kaum Muslimin yang berkemampuan, infaqlah dan berilah hadiah kerana dengan hadiah akan mengikat kasih sayang. Saya cadangkan di sampul-sampul BR1M itu ditulis hadis Nabi yang bermaksud, “Salinglah memberi hadiah kerana ia akan membawa kepada kasih sayang.”
Wallaahu a’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:
Assalamualaikum Ustaz..
Saya ingin meminta padangan peribadi ustaz tentang ustaz ridhuan tee…secara peribadi saya kagum dengan cara ustaz ridhuan tee berhujah di warcana perdana 11 – Pru 13 yang lihat di you tube ( secara jujur ilmu saya di dalam agama islam terlalu cetek apa tah lagi dalam menangangi isu semasa yang saya lihat semakin ke arah kehancuran islam ) saya sendiri malu melihat gelagat segelintir orang kita ( bangsa melayu ) semasa beliau cuba berhujah…pada hal beliau adalah seorang bangsa cina yg memeluk agama islam lebeh tahu beradap…Saya harap ustaz sudi memberi pandangan peribadi ustaz terhadap ustaz ridhuan tee ini..
terima kaseh
Zafrin Bakri