Skip to content

Fitnah perpecahan bermula dari lisan dan tangan manusia

Mac 2, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

16732Pada hari ini, fitnah merupakan bencana yang Allah Subhanahu wa Ta’ala timpakan ke atas umat manusia. Di dalam banyak hadis, Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam sering mengingatkan kita tentang fitnah. Fitnah dilihat dari pandangan dan cakupan yang luas, merangkumi segala sesuatu yang berbentuk perpecahan, pergaduhan, permusuhan, rusuhan, perselisihan, tuduhan palsu, dan hal-hal yang membawa kepada keretakan hubungan silaturrahim sesama kaum Muslimin.

Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam pernah menyebut tentang bangsa Arab di dalam sabda Baginda,

إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَلَكِنْ فِي التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ

“Sesungguhnya Syaitan telah berputus asa untuk disembah oleh orang-orang yang salat di Tanah Arab, akan tetapi dia akan mewujudkan perpecahan (permusuhan) di kalangan mereka.” (Riwayat Muslim)

Realitinya dapat dilihat sampai ke hari ini. Walaupun masyarakat Arab merupakan bangsa yang sama, bahasa yang mereka gunakan adalah bahasa yang sama, akan tetapi mereka masih berpecah. Dapat kita lihat dengan mata kepala kita apa yang berlaku di Mesir, apa yang berlaku di Palestin pada hari ini di mana umat Islam tidak bersatu. Kita bukan berbicara tentang serangan Israel ke atas Palestin, tetapi kita berbicara tentang sikap umat Islam yang berpecah sesama mereka.

Lihat pula apa yang berlaku di Syria; tekanan yang diberikan oleh pemimpin mereka Syiah Basyar Asad terhadap Ahlus Sunnah wal Jama’ah di sana. Apa yang berlaku di Iraq apabila Iran berpakat dengan Amerika menjatuhkan Kerajaan Saddam Hussein sehingga pada hari ini Iraq ditadbir oleh pemimpin Syiah.

Negara Arab menjadi kucar-kacir kerana perpecahan yang berlaku sesama mereka. Bayangkan mereka tidak mampu menghadapi tentera Israel walaupun memiliki kekuatan dari sudut kewangan. Mereka mampu membeli persenjataan yang canggih hasil dari kekayaan mereka, tetapi apabila Allah menguji mereka dengan kekayaan, mereka sibuk membeli kelab-kelab Liga Inggeris, melaburkan wang-wang berbillion dollar untuk terlibat dengan liga bola sepak antarabangsa. Adapun kaum Muslimin di Palestin, Mesir, Libya, Morocco, dan Syria, apa yang berlaku kepada mereka?

Persoalannya, adakah kita ingin membawa perpecahan di sana masuk ke dalam negara kita? Adakah kita ingin menjadikan negara kita huru-hara dan penuh dengan rusuhan serta bercakaran sesama kita? Sebagai orang yang ada Islam di dalam jiwanya, yang Allah Subhanagu wa Ta’ala pancarkan di dalam hati-hati kita Nur Iman, sewajarnya kita merealisasikan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka perbaikilah hubungan di antara kedua saudaramu.” (Surah Al-Hujurat, 49: 10)

Mesej Islam adalah keamanan dan kesatuan

Janganlah kita mencontohi perpecahan yang berlaku di Negara Arab sana. Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam ketika mana Baginda diutuskan, Baginda sentiasa membawa mesej keamanan. Walaupun sebelum dilantik menjadi Nabi dan Rasul, Baginda telah terkenal sebagai seorang yang amanah, memiliki ciri-ciri kepimpinan, telah terkenal sebagai orang yang sentiasa bercakap benar, berakhlak mulia, dan menghormati orang-orang yang lebih tua daripadanya.

Setelah ditabal menjadi Rasul, masyarakat Arab Jahiliyyah gagal mencari kesalahan Nabi kerana mereka telah menghormati Baginda sallallaahu ‘alaihi wasallam sejak sebelum Baginda diutuskan sebagai Rasul lagi. Maka setelah ditabal menjadi Rasul, tidak ada kecacatan yang boleh dijadikan alasan untuk menjatuhkan Baginda, melainkan mereka terpaksa menyerang karakter Nabi. Disebabkan tiada kesalahan Baginda yang dijumpai, akhirnya mereka melakukan tuduhan palsu ke atas Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam dan Al-Quran telah merekodkan kisah tersebut.

Digelar Nabi saahir (penyihir), digelar Nabi majnun (orang gila). Bahkan diriwayatkan di dalam hadis-hadis Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam betapa takutnya masyarakat Arab dengan bahasa Al-Quran sehingga apabila Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam membacakan ayat Al-Quran, masyarakat Arab bersiul-siul supaya orang tidak mendengar ayat Al-Quran yang Nabi baca. Ini kerana Al-Quran mampu mengikat jiwa-jiwa dan hati manusia.

Selama 13 tahun Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam di Makkah berdakwah membina akidah dengan adab dan akhlak, dan pada masa yang sama juga Arab Jahiliyah gagal mencari kesalahan Baginda. Membunuh Nabi memang telah lama ada di dalam perancangan mereka, tetapi mereka gagal mencari kesalahan. Tidak ada alasan, asas dan tujuan untuk membunuh Nabi. Masyarakat Arab hidup berkabilah dan berpuak. Sedangkan kabilah Nabi –Quraisy- merupakan kabilah yang sangat dihormati di dalam masyarakat Arab. Sekiranya mereka membunuh Nabi tanpa sebab, nescaya akan berlaku peperangan di antara kabilah.

Kisah penyatuan masyarakat Islam

Itu yang dihadapi oleh Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Kemudian setelah Islam yang disampaikan oleh Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam ditolak mentah-mentah oleh Arab Jahiliyah dan setelah para sahabat disiksa, turunlah perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang memerintahkan mereka berhijrah. Nabi membawa Islam bersama para sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in. Apabila tiba di Madinah, Baginda masih membawa mesej keamanan dan perpaduan. Baginda menyatukan antara Muhajirin dan Al-Anshar. Ini satu kisah yang perlu kita beri perhatian.

Golongan Ansar terdiri daripada puak-puak dan kaum yang pelbagai. Yang popular di kalangan mereka adalah Aus dan Khazraj. Nabi menyatukan dan menamakan mereka Al-Ansar. Dan sesiapa yang di kalangan Ansar, mereka adalah beragama Islam. Begitu juga dengan Al-Muhajirun. Mereka terdiri daripada kaum yang pelbagai; Quraisy, Tamim, Ghifar, kaum dari penduduk Thaif dan sebagainya. Nabi menyatukan mereka semua atas nama Muhajirin, yang mana Muhajirin ini adalah beragama Islam.

Apabila sampai di Madinah, Nabi menyatukan pula Muhajirin dan Ansar atas asas persaudaraan Islam. Ini yang disebut sebagai Majlis Al-Mu-akhah (mempersaudarakan). Hasil dari persaudaraan tersebut, lahir hubungan yang sangat sukar ditemukan lagi pada hari ini. Kasih sayang sesama mereka, pengorbanan, tidak pernah berkira di dalam kehidupan, dan saling tolong bantu.

Jauhi punca perselisihan dan perpecahan

Maka apabila kita berbicara tentang Islam, sewajarnya kita membawa mesej yang sama seperti yang dibawa oleh Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam. Jauhi sebarang perselisihan dan perpecahan di mana pada zaman ini, punca utama dan paling besar yang menyebabkan perpecahan berlaku di kalangan manusia adalah fitnah. Hal yang sangat mendukacitakan, dan hal ini yang sangat dibimbangi oleh Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam.

Baginda suatu hari pernah menyebut tentang Akbarul Kabaa-ir (dosa yang paling besar) di kalangan banyaknya dosa-dosa besar yang lain; Pertama: Syirik kepada Allah. Kedua: Menderhakai kedua ibu bapa. Apabila Baginda hendak menyebut tentang yang ketiga, Baginda dalam keadaan duduk bertongkat lalu bangun dan menyebut: ‘Perkataan palsu, perkataan palsu, perkataan palsu!’ Dan Baginda mengulang-ulanginya sehingga sahabat Nabi berkata, alangkah baiknya jika Baginda diam.

Nabi menyamakan perkataan palsu dengan dosa syirik kepada Allah yang menjatuhkan pelakunya kufur, dan Nabi menyamakannya dengan dosa derhaka kepada kedua ibu bapa. Itu bukti betapa dosanya sangat besar. Bukti kedua dosa tuduhan palsu ini sangat besar adalah apabila Baginda mengubah kedudukannya dari duduk bersahaja kepada bangun dan berdiri, menunjukkan hal yang hendak Baginda sampaikan adalah sangat besar dan membawa kepada perpecahan kaum Muslimin. Bukti ketiga yang menunjukkan tuduhan palsu itu dosa yang sangat besar adalah Baginda mengulang-ulanginya beberapa kali.

Sedangkan kita pada hari ini mudah sahaja memindahkan maklumat yang kita miliki tanpa memastikan kesahihan dan ketepatan maklumat tersebut. Bagi pengamal media sosial, mereka menerima maklumat daripada sumber yang pelbagai. Tanpa meneliti dan mengkaji, cepat sahaja mereka menyebarkannya. Adakah maklumat tersebut tepat, ataupun ia terbina di atas sangkaan semata-mata, ataupun tidak tahu hujung pangkal tetapi sekadar kena dengan cita rasa lalu iapun disebarkan?

Ingatlah bahawa Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda di dalam hadis,

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

“Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (Riwayat Muslim).

Nabi juga turut berpesan,

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Dan di dalam hadis yang lain Baginda bersabda,

المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده

“Orang Islam itu adalah orang yang orang Islam lain selamat daripada lisannya dan tangannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka sebagai Muslim, janganlah kita mencederakan saudara Muslim yang lain dengan lisan (perkataan) mahupun tangan (perbuatan). Wallahu A’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: