Skip to content
Tags

ZAKAT TANDA MEREALISASI SYUKUR

Mac 13, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

www.ilmuanmalaysia.com 

money 01 (1)Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam surah Al-An’am ayat yang ke-141,

وَهُوَ الَّذِي أَنْشَأَ جَنَّاتٍ مَعْرُوشَاتٍ وَغَيْرَ مَعْرُوشَاتٍ وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُتَشَابِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ كُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَآَتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ

“Dan Dialah (Allah) yang menciptakan kebun-kebun yang tumbuhannya menjalar dan yang tidak menjalar, pohon kurma, tanam-tanaman yang pelbagai jenis, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buah-buahan itu apabila ia berbuah, dan tunaikanlah haknya (dengan sedekah dan zakat) pada hari menuai hasilnya.” (Surah Al-An’am, 6: 141)

Dalam ayat ini ada beberapa perkara yang perlu kita berikan perhatian. Pertama, berkenaan ciptaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Setiap manusia wajib beriman bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menciptakan segala-galanya. Sebagaimana sabda Nabi di dalam hadis tentang penciptaan makhluk pertama,

إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ: اكْتُبْ. قَالَ: رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ؟ قَالَ: اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

“Sesungguhnya yang pertama kali diciptakan oleh Allah adalah Qalam (pena). Allah berfirman kepadanya, ‘Tulislah!’ Dia menjawab, ‘Apa yang aku tulis?’ Allah berfirman, ‘Tulislah takdir segala sesuatu hingga hari kiamat!’” (Riwayat Abu Dawud)

Ini menunjukkan bahawa segala-galanya diciptakan dan telah ditentukan takdirnya sehingga ke Hari Kiamat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Merujuk kepada ayat Al-Quran yang dinyatakan tadi, Allah Subhanahu wa Ta’ala menggunakan perkataan “dan Dialah yang menciptakan” bererti Allah yang menciptakan semuanya termasuk tanam-tanaman dan segala benda yang membantu proses tanaman seperti air, baja, serta kecerdikan akal manusia untuk menanam tumbuhan tersebut.

Apabila kita beriman bahawa semuanya adalah ciptaan Allah, sudah tentu ada tindakan susulannya. Apabila sesuatu yang diusahakan itu berjaya, tidak boleh sama sekali seseorang yang beriman mengatakan bahawa itu semua adalah hasil usahanya sendiri Hakikatnya, semua itu datangnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Kita beriman bahawa ini semua adalah dari ketentuan Allah yang memberi kepada kita pilihan untuk berusaha dan bertindak, memanfaatkan apa yang diberikan kepada kita, dan hasilnya juga adalah datang daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Persoalannya adalah tindakan susulannya. Tindakan susulan yang pertama adalah bersyukur kepada Allah. Mungkin kita biasa mendengar perkataan syukur. Itu baru syukur dari sudut ucapan lisan semata-mata. Di manakah pula pembuktian syukur kita terhadap nikmat Allah dengan tindakan?

Sebagai hamba Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menikmati rezki yang Allah anugerahkan, apakah tindakan kita bagi menunjukkan rasa syukur selain daripada mengucapkannya di lisan sahaja? Ini merupakan perkara yang kadangkala diabaikan, dan sering dilupakan kerana kegembiraan kita terhadap keuntungan dan kejayaan yang kita kecapi.

Ianya adalah berkaitan dengan zakat. Di dalam ayat yang sama, setelah Allah Subhanahu wa Ta’ala menceritakan tentang kurma, zaitun, pohon delima, tumbuhan yang pelbagai, Allah lalu memerintahkan supaya makanlah apabila ia berbuah, dan berilah haknya iaitu sedekah yakni merujuk kepada zakat apabila tiba masa kutipan hasilnya.

Kadangkala kita memandang remeh isu zakat. Sedangkan zakat sebenarnya menggambarkan kekuatan ekonomi umat Islam. Terdapat 18 juta orang Islam dalam negara ini. Namun kutipan zakat pada tahun lepas hanya diterima daripada 2.5 juta orang dan keseluruhan kutipan zakat hanya 1.2 billion sahaja.

Yang membayar zakat kepada Baitul Mal hanya 2.5 juta. Mungkin ada yang mengatakan, kami tidak membayar kepada Baitul Mal, kami bayar kepada agensi atau orang lain yang tidak berdaftar dengan BaitulMal. Saya katakan, mungkin 2.5 juta telah membayar kepada Baitul Mal dan lagi 2.5 juta telah membayar kepada selain Baitul Mal. Jadi ke mana pula perginya baki umat Islam daripada 18 juta yang lain setelah ditolak angka tersebut?

Ini menggambarkan betapa orang Islam masih lagi lalai di dalam menunaikan kewajipan yang Allah berikan dan tetapkan ke atas diri mereka masing-masing. Tahun ini, Lim Guan Eng sendiri mengakui bahawasanya masyarakat Cina adalah masyarakat yang paling banyak membayar cukai. Apa maksudnya? Ini menunjukkan bahawa orang Cina adalah yang paling ramai kaya, paling ramai berjaya di dalam ekonomi, dan yang menguasai ekonomi. Ini pengakuan daripada beliau sendiri. Di manakah orang kita? Cukai pun kurang, zakat pun kurang.

Urusan membayar zakat ini tidak perlu menunggu Umno atau Pas yang memerintah. Kadangkala orang berkata hendak menegakkan negara Islam, tetapi adakah dia membayar zakat? Zakat merupakan satu tuntutan ke atas setiap individu yang mampu. Setiap yang bernafas di muka bumi yang bernama Muslim wajib menunaikan zakat apabila ada kemampuan.

Apabila diingatkan tentang soal zakat, kita sibuk memikirkan hendak membeli itu dan ini dengan duit yang kita ada. Contohilah sahabat Nabi, Abu Thalhah radhiyallahu ‘anhu, di mana apabila turun firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

“Kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebaikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan harta yang kamu cintai.” (Ali ‘Imraan, 3: 92)

Anas bin Malik di dalam riwayat Bukhari dan Muslim menceritakan tentang Abu Thalhah, maksudnya: “Adalah Abu Thalhah Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu orang Anshar di Madinah yang banyak hartanya, dan harta yang paling dicintainya adalah Bairuha (sejenis kebun kurma) yang berhadapan dengan Masjid Nabawi. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam suka memasukinya dan meminum airnya yang segar. Setelah ayat ini turun, Abu Thalhah pergi menuju tempat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata,

“Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman dalam Kalam-Nya, “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan sebelum menafkahkan harta yang kamu cintai…” (Ali ‘Imraan: 92) dan harta yang paling aku cintai adalah Bairuha, maka ia akan aku jadikan sedekah bagi Allah Ta’ala. Aku mengharapkan semoga ia akan menjadi kebaikan dan amalan aku disisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Maka ia aku serahkan kepada engkau (Ya Rasulullah) dan terserahlah kepada siapa ia akan engkau berikan!” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pada zaman itu, sesiapa yang memiliki kebun kurma adalah ibarat jutawan. Siapa yang mampu buat seperti mana sedekah Abu Thalhah? Ini baru sedekah sunat, belum kira zakat yang wajib lagi. Setelah mendengar ayat Al-Quran yang turun, di manakah jiwa kita, di manakah gegaran hati kita dengan firman-firman Allah Subhanahu wa Ta’ala?

Kita kecewa apabila manusia pada hari ini disibukkan dengan perkara yang sebenarnya dia tidak perlu menyibukkan diri di dalamnya dan dia tidak ada ilmu tentangnya. Bercakap tentang hal negara, mengkritik pemimpin dan sebagainya, sedangkan perkara-perkara yang menjadi kewajipannya dan terkait dengan kemampuannya sendiri dia abaikan dan ketepikan.

Apabila Allah memerintahkan untuk membayar zakat, ia bukanlah sekadar hubungkait individu dengan Allah sahaja, tetapi ia juga mempunyai hubungkait dengan manusia lainnya. Selain bertujuan melaksanakan fardhu ain, terdapat juga hubungkait dengan manusia sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada Muadz bin Jabal yang hendak berdakwah ke Yaman,

فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِى أَمْوَالِهِمْ ، تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

“Jika mereka telah mentaati engkau (untuk mentauhidkan Allah dan menunaikan salat ), maka ajarilah mereka sedekah (zakat) yang diwajibkan atas mereka di mana ia diambil dari orang-orang kaya di antara mereka dan kemudian dikembalikan kepada orang miskin di antara mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini menggambarkan bahawa zakat menghubungkan sesama manusia walaupun ada beza pada kedudukan, pangkat dan kekayaan, di mana Allah memerintahkan kepada kita agar tidak melupakan tugas dan tanggungjawab kepada saudara kita yang lain.

Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

From → Fiqh & Syariah

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: