Skip to content

Muqaddimah Bab: Sebahagian Dari Agama adalah Menghindar dari Fitnah

Mac 15, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

img_0005 (1)Al-Imam Al-Bukhari menamakan sebuah bab di dalam Sahihnya; Bab Min Ad-Dini Al-Firaru min Al-Fitan (Bab: Sebahagian Dari Agama itu adalah Menghindari dari Fitnah). Seperti biasa, apabila kita membicarakan sesuatu bab, kita akan membicarakan hubungkait antara bab tersebut dengan Kitab.

Munasabah Bab dengan Kitab

Bab yang sedang dibicarakan ini berada di dalam Kitab Iman, iaitu kitab kedua di dalam Sahih Al-Bukhari, dan bab ke-11 menurut susunan Syaikh Albani rahimahullah (di dalam ringkasannya). Hubungkait di antara bab dengan kitab sangat jelas. Apakah kaitan kitab Iman dengan bab menghindarkan diri daripada fitnah sebahagian daripada agama?

Prinsip Ahlus Sunnah dalam isu iman jelas; iaitu “Al-Iman qaulun wa ‘amal” (iman itu terdiri daripada perkataan dan perbuatan”. Jadi salah satu perbuatan adalah dengan menghindarkan diri daripada fitnah.

Menghindarkan diri daripada fitnah juga merupakan perintah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Juga merupakan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sangat jelas di dalam Al-Quran. Apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam agar memerangi golongan-golongan kuffar, itu sebenarnya bertujuan untuk mengelakkan fitnah.

Apabila kita mengatakan bahawa iman itu terdiri daripada perkataan dan perbuatan, maka menghindarkan diri daripada fitnah merupakan sebahagian daripada perkataan dan juga sebahagian daripada perbuatan, maka seseorang yang menghindarkan dirinya daripada fitnah sebenarnya dia telah membantu untuk menaikkan tahap keimanannya.

Ini kerana merupakan prinsip Ahlus Sunnah wal Jamaah juga di dalam bab iman;

الإيمان يزيد وينقص

“Iman itu bertambah dan berkurang.”

Bertambahnya iman adalah dengan ketaatan kepada Allah, manakala berkurang iman dengan kemaksiatan. Maka apabila kita mentaati perintah Allah dengan menghindarkan diri daripada fitnah, ia akan membantu untuk menaikkan iman.

Imam An-Nawawi rahimahullah walaubagaimanapun mengkritik dan kurang bersetuju Imam Al-Bukhari meletakkan bab ini di dalam Kitab Al-Iman, menurut beliau sepatutnya ia diletakkan di dalam Kitab Al-Fitan (Kitab Fitnah). Sebab Imam Bukhari sendiri ada meletakkan kitab khusus di dalam Sahihnya yang membicarakan tentang Al-Fitan.

Walaupun demikian, kita dapati hubungkait bab ini dengan iman sangat jelas.

Pengertian Fitnah

Apakah yang dimaksudkan dengan fitnah? Fitnah yang difahami oleh masyarakat kita ada dua versi; versi Melayu dan versi yang diperjelaskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Fitnah yang difahami dalam versi melayu adalah tuduhan palsu ke atas orang lain. Tetapi di dalam bahasa arab, tuduhan palsu ke atas orang ini dipanggil “syahadatu az-zuur” (persaksian palsu), yakni kita memberikan perkataan atau tuduhan palsu ke atas seseorang.

Adapun fitnah yang diertikan di dalam Al-Quran dan Hadis membawa makna yang pelbagai dan lebih luas; iaitu segala bentuk kesesatan, huru hara, kiamat, kemungkaran, perpecahan, ujian, dugaan, bala, malapetaka, semua ini merupakan fitnah.

Walaubagaimanapun, ulama-ulama hadis apabila membahaskan tentang fitnah, mereka kebanyakannya memberi fokus kepada tanda-tanda Kiamat. Contohnya seperti Imam Ibnu Katsir yang mempunyai kitab khusus “Al-Fitan wal Malahim” yang menghimpunkan hadis-hadis Nabi tentang Kiamat; sebelum berlakunya, ketika berlakunya dan selepas berlakunya Kiamat.

Pengertian fitnah itu sangat umum, sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Anbiyaa,

وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً

“Dan Kami menguji kalian semua dengan perkara-perkara buruk dan perkara-perkara baik sebagai satu fitnah.” (surah Al-Anbiyaa’ : 35)

Jadi walaupun kita di dalam keadaan sihat dan baik, itu juga sebenarnya merupakan suatu fitnah yakni ujian. Begitu juga keadaan buruk, malapetaka, huru hara, bencana, itu juga merupakan satu fitnah.

Itu pengertian fitnah yang umum, yang diterjemahkan oleh Al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Bab ini memberikan penjelasan kepada kita bahawasanya hadis yang akan datang di dalam bab ini adalah hadis yang memerintahkan manusia supaya menjauhkan diri daripada sebarang fitnah dan ia berkait rapat dengan keimanan.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: