Skip to content

Beza hudud Pas dengan hudud Allah

Mac 20, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

734430_618967398119910_1865000372_nSoalan: Minta Ustaz terangkan perbezaan antara hukum hudud Pas dengan hudud Allah. Terima kasih.

Jawapan:

Sebagai seorang Muslim, saya perlu akui bahawasanya di dalam enakmen hudud Pas ada hal yang bertepatan dengan syariat Islam, ada enakmen-enakmen yang bertepatan dengan hudud Allah.

Namun pada masa yang sama, ada juga kelemahan-kelemahan yang mereka juga perlu akui. Pas di Kelantan, Pas di Terengganu kena akui bahawasanya enakmen yang berkaitan dengan isu liwat contohnya; takrifan liwat yang diperjelaskan di dalam enakmen jenayah hudud di Terengganu pada ketika itu di mana liwat hanya diterjemahkan dan ditafsirkan untuk selain isteri, baru dikategorikan sebagai suatu kesalahan.

Kalau kita lihat, yang mengharuskan liwat isteri ini cuma satu mazhab sahaja. Hanya satu mazhab sahaja yang tidak mengkategorikan liwat isteri sebagai satu kesalahan di bawah kesalahan had, iaitu mazhab Syiah.

Walaubagaimanapun, pihak Pas mahupun Umno kena terima secara realitinya bahawa ini adalah enakmen; yakni yang dipindahkan daripada kitab-kitab, disusun dan disesuaikan dengan bentuk fasal dan undang-undang. Maka ia terdedah kepada pembetulan.

Apabila kita hendak memperbetulkan bukan bererti kita hendak menolak, sebaliknya membetulkan kesilapan dan kesalahan. Tolong sama-sama akui, kita berpimpin tangan, sama-sama bekerjasama dan bersatu padu agar suatu hari nanti, hukum dan undang-undang ini ditegakkan.

Orang bercakap memang mudah, duduk bersembang di kedai-kedai dan berkata “kenapa tak buat lagi hudud?” Ini bukan cerita kita hendak buat undang-undang di dalam rumah kita. Kita berada di dalam sebuah negara yang ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Persekutuan. Hendak membentuk mahkamah juga merupakan satu hal. Bahkan hukum yang paling berat di dalam Mahkamah Syariah adalah penjara 3 tahun, denda 5 ribu, sebat dengan 6 kali rotan. Itu hukuman yang paling tinggi.

Jadi prosesnya bukan kita boleh conteng dan terus laksanakannya begitu sahaja. Tidak boleh sebab Mahkamah Syariah berada di bawah kuasa Sultan di setiap negeri. Perlu bertemu dengan Sultan untuk menaiktaraf kedudukan mahkamah Syariah. Ini proses yang sedang dilakukan dan Alhamdulillah,  tinggal 2 buah negeri sahaja lagi yang belum mendapatkan persetujuan mereka. Adapun negeri yang lain telah pun mendapat persetujuan untuk menaiktarafkan Mahkamah Syariah.

Maka ini adalah usaha permulaan. Selepas ini kita fikirkan tentang kaedah perlaksanaan. Bentukkan bahagian mencari bukti, bagaimana proses hendak membuktikan kesalahan. Orang yang mencuri kereta Ferrari yang diparkir di luar rumah belum tentu kena potong tangan. Jadi perkara ini semua harus diperincikan kepada masyarakat. Jangan kita perjelaskan separuh sahaja tentang kewajipan melaksana.

Hukum ini memang wajib dilaksanakan, saya sebagai umat Islam mengakui kewajipan hukum ini. Mana mungkin saya menolak hukum ini, mengatakan hukum ini merosakkan manusia, saya boleh jatuh kufur. Tetapi pada masa yang sama, saya berada di dalam realiti semasa.

Contohnya ketika kita sendiri hendak membeli kereta, kita pandai pula mengatakan “aku terpaksa ambil pinjaman (riba), ini terpaksa.” Bila kena pada diri kita, kita pandai mengatakan terpaksa, boleh ambil riba. Tetapi adakah orang lain tidak terpaksa?

Ini yang saya hendak katakan, apabila kita hendak bercakap dan mengulas sesuatu, kita perlu mengulas secara adil, dengan minda terbuka, tanpa ada kecenderungan dan ketaksuban, sebaliknya kita mengulas demi Islam, bukan demi kepentingan politik.

Jika kita bercakap demi kepentingan politik, ini yang boleh berlaku satu pihak mengatakan hudud tidak sesuai, satu pihak lagi mengatakan mesti buat esok juga, tetapi apabila mereka dapat kuasa, mereka tidak buat juga. Dan pada hari ini di dalam manifesto Pakatan Rakyat, tidak ada perkataan hudud walau sepatah pun. Adakah hudud ini satu permainan?

Sebab itu, kalau betul kita hendak melaksanakan hudud, umat Islam perlu bersatu. Sekarang ini masing-masing mencari dalil; satu pihak mencari dalil bersatu dengan Dap, satu pihak lagi dengan Mca, masing-masing pakat membawa hadis Nabi tentang perjanjian Hudaibiyah, Piagam Madinah, Hilful Fudhul dan sebagainya. Lambakan dalil arahan dan perintah daripada Allah untuk perpaduan sesama Islam kita tidak buat, tetapi kita pergi mencari dalil perpaduan sesama bukan Islam.

Sama ada Pas atau Umno tidak berhak menggunakan dalil-dalil untuk bersatu dengan bukan Islam. Kerana apa? Kerana dalil yang mengarahkan kita bersatu sesama Islam kita tidak buat. Usaha untuk berlapang dada, bertoleransi sesama Islam kita tidak lakukan, sebaliknya kita pergi berkerjasama dengan orang bukan Islam.

Saya bukan mengatakan tidak boleh kita berbaik dengan bukan Islam di dalam hal kebajikan, tetapi saya katakan kita mesti dahulukan dan memberikan keutamaan perpaduan atas nama Islam itu sendiri. Perpaduan di atas asas persaudaraan Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka perbaikilah hubungan di antara kedua saudaramu.” (Surah Al-Hujurat, 49: 10)

Sebab itu pada zaman Nabi, kalau Nabi membuat perjanjian, tidak ada seorang pun yang mengingkari. Ya, Nabi buat tahaluf siyasi di Madinah dengan Bani Quraidzah, Bani Qainuqa’, Bani Nadhir, perjanjian di mana orang Islam perlu menjaga hak orang Yahudi dan orang Yahudi perlu menjaga hak orang Islam. Nabi pada ketika itu berkuasa di Madinah, tetapi Baginda meraikan kaum minoriti yang berada di Madinah iaitu golongan Musyrikin. Itu adalah tahaluf siyasi, tetapi pada ketika itu umat Islam semuanya bersatu. Tidak ada di kalangan umat Islam yang mengatakan mereka tidak mahu terlibat dengan perjanjian tersebut.

Begitu juga seharusnya kita pada hari ini. Masing-masing membawa dalil bekerjasama dengan bukan Islam. Memang boleh bekerjasama dengan bukan Islam, tetapi dalil yang menyuruh bekerjasama dengan umat Islam kita letak di mana? Ayat Al-Quran, lambakan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sangat jelas memerintah agar kita bersatu padu.

Jadi kalau kita benar-benar hendak melaksanakan hukum Islam, mari sama-sama kita bersatu, sama-sama kita menyokong perjuangan ini untuk memastikan orang Islam ada kuasa dan suara majoriti. Apabila orang Islam ada suara majoriti sesuai dengan 60% orang Islam dalam negara ini, dengan sistem demokrasi yang ada pada hari ini, kita akan mampu melaksanakan hukum Islam yang kita inginkan, insyaAllah.

Kalau kita hendak mencari perbezaan antara enakmen jenayah Syariah yang disusun oleh Pas dengan hudud yang sebenar, banyak benda yang perlu diulas. Benda yang simple seperti ianya dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja dan tidak ke atas orang kafir pun perlu dipertikaikan.

Walaupun memang ada hukum-hukum Islam yang dibicarakan di dalam kitab-kitab fiqh di mana orang bukan Islam terkecuali di dalam sebahagian hukum seperti arak contohnya, tetapi di sana ada saddu al-zari’ah yakni menutup ruang-ruang supaya orang tidak meminum arak, orang kafir hanya boleh minum di kawasan mereka sahaja, tetapi jika arak diminum dan dijual secara terbuka, perlaksanaan hudud itu harus dipertimbangkan juga kerana kita yang membuka ruang kepada orang lain meminum arak.

Jadi banyak perkara yang perlu kita sama-sama pastikan agar hal ini dapat dibendung dan dikawal dengan cara yang baik sebelum ia dapat dilaksanakan.

Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

3 Komen
  1. roy permalink

    oohh. so hudud pas tu salah ye.. tak payahlah buat hudud.

  2. euler permalink

    org di atas ni paham bahasa melayu ke tak ni? dlm enakmen hudud yg dibentangkan oleh pas ada yg tersilap. adakah kesilapan itu menghentikan usaha kita? tak, dah terang2 tulis kita kena pakat2 usaha utk naik taraf mahkamah shariah supaya hudud buleh dilaksana. apa punya orang da..

  3. Ustaz, penjelasan yg elok. Tapi syg, usahamu mempertahankan Agama tidak sehebat usahamu menjatuhkan pejuang Islam. Kenapalah sbb berbeza fahaman politik, angpa semua xbuleh nk dok pakat bincang pasal kami, Pasal hamba2 Allah yg keliru ni? Angpa semua, xkesah parti apa, sama saja. Guna tenaga yg ada membantu Islam. Lupakanlah usaha nk ubah UMNO dari dalam. Makin lama, makin kelam. Jgn sia2kan ilmu yg ada. Malaysia akan bebas dari demokrasi, in sya allah. Lupakan dunia yg sementara ni, ustaz. Yg kekal nanti, takut xtertanggung.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: