Lompat ke isi kandungan

Bas mewah pemimpin Pakatan

Mac 24, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

470x275x0621408afecb00248435016861a51d20.jpg.pagespeed.ic.RNM7LYpiyvSoalan: Adakah pemimpin-pemimpin daripada Pakatan Rakyat yang naik bas mewah ini dikatakan zuhud.

Jawapan:

Jawapan saya ini saya tujukan kepada semua tidak kira kepada Umno, Pas, atau Pkr. Al-Imam Al-Laits bin Sa’ad rahimahullah, dia merupakan seorang tokoh fiqh yang popular, tetapi mazhabnya pupus kerana dia tidak memiliki murid-murid seperti murid-murid Imam Syafi’e, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad, di mana murid-murid ini yang membantu mengembangkan mazhab mereka.

Imam Al-Laits bin Sa’ad hidup pada kurun ke-2 hijrah, pakar fiqh yang sangat popular. Dia memiliki rumah besar. Orang datang kepadanya dan berkata, “Wahai Imam, mengapa engkau membuat rumah besar, tidakkah engkau zuhud kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala?” Dia menjawab, “Adakah engkau hendak mengharamkan apa yang telah Allah halalkan untuk aku?”

Jadi saya tidak kira jika pemimpin PR hendak naik bas mewah, atau pemimpin Umno hendak naik jet mewah jika mereka ada kemampuan. Sebab itu kita jangan mengata dekat orang, orang akan mengata balik dekat kita.

Kalau ada kemampuan, ada wang ringgit, Islam tidak melarang, asalkan jangan membawa kepada pembaziran, asalkan tuntutan ke atas orang berkemampuan seperti zakat dan bersedekah itu ditunaikan. Hendak pakai jam mahal, Omega atau apa sahaja, terpulang dan tidak ada masalah jika benar-benar ada kemampuan dan wang ringgit yang mencukupi.

Sebab itu kita perlu muhasabah, jangan mengata dekat orang, mengata orang itu bermewah, menaiki pesawat mewah, tengok-tengok kita pun naik jet mewah, tengok-tengok kita pun naik bas mewah. Sebenarnya ini adalah sikap asabiyah, bila kita buat salah kita diam dan sunyi sepi, tetapi apabila orang lain buat salah, kita bongkarkan habis-habisan.

Janganlah kita bersikap tajassus. Saya tidak setuju kalau kita bersikap tajassus. Umar pernah melalui sebuah rumah, dia terlihat lelaki dan perempuan bukan mahram di dalam satu rumah. Dia nampak dengan matanya sendiri. Tetapi dia tidak pergi ke rumah itu kerana dia teringat firman Allah,

وَلَا تَجَسَّسُوا

“Dan jangan bersikap jasus (mematai/mencari kesalahan orang).” (Surah Al-Hujurat, 49: 12)

Memang menjadi YB fitrahnya orang mencari-cari kesilapan. Jadi kita yang tahu tentang Islam, jangan buat kerja seperti ini, jangan meneropong cari kesilapan orang. Kita manusa, YB pun manusia, kita makan budu, YB pun makan budu. Kita ada nafsu, YB pun ada nafsu. Kita kahwin tiga tak apa, tapi YB tak boleh.

Salah kalau kita memahami erti zuhud adalah semua orang rumahnya mesti buruk. Imam Muslim, pakar hadis, dia mengajar hadis dan dalam masa sama dia merupakan peniaga kain yang kaya. Apabila dia mengajar hadis, dia memakai pakaian yang cantik. Orang tidak mengata dia kerana orang memahami kedudukan dan kemampuannya.

Abdurrahman bin Auf boleh dikatakan seorang billionaire, orang paling kaya, Nabi berkata kepadanya, “Sembelihlah walau seekor kambing” untuk walimah. Saya tertarik dengan ulasan Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah ketika mengulas hadis ini. Beliau mengatakan bahawa sebenarnya ini menggambarkan orang kaya pada ketika itu memadai dengan menyembelih seekor kambing untuk kenduri. Tetapi bagi orang miskin, orang yang tidak mampu, bergantung pada kemampuannya. Kueh akok pun sudah cukup.

Tidak perlulah sehingga membuat pinjaman untuk kenduri kahwin. Sebab seekor kambing itu Nabi sebut kepada Abdurrahman bin Auf, orang kaya. Ia bergantung kepada kemampuan seseorang. Kita mampu berpakaian dengan tahap mana, kita mampu membina rumah dengan kekuatan kewangan yang bagaimana, kita mampu memakai kereta dengan kekuatan kewangan yang bagaimana.

Jadi saya kira isu seperti ini tidak perlu timbul. Yang penting adalah sikap kita yang mencari-cari kesilapan dan kesalahan orang. Kita kena berhati-hati, dibimbangi kita terjatuh dalam golongan nammam (pengadu domba), sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

“Tidak akan masuk syurga pengadu domba.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini turut dinyatakan di dalam Al-Kabaa-ir susunan Imam Adz-Dzahabi, himpunan Dosa-dosa Besar, iaitu tidak akan masuk syurga orang yang mengadu domba yakni melaga-lagakan orang lain, suka jika saudara Muslim membenci saudara Muslim yang lain.

Isteri Abu Lahab juga disebut di dalam Al-Quran sebagai حَمَّالَةَ الْحَطَبِ (Pembawa kayu api). Imam Ibnu Katsir ketika mana menafsirkan ayat ini mengatakan yang diertikan dengan membawa kayu api adalah yang berjalan dengan namimah (mengadu domba). Dia menyebut keburukan Nabi agar orang benci kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Jadi kita perlu berhati-hati agar kita tidak tergolong di dalam golongan yang disebut sebagai pengadu domba. Sesiapa yang berkemampuan, maka terpulanglah. Jangan menuduh orang lain bermewah-mewahan sedangkan kita juga turut bermewah-mewahan. Sama-sama kita bermuhasabah. Yang penting kita melihat apa peranan dan tugas kita yang perlu kita laksanakan kepada masyarakat di luar sana.

Wallahua’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

 

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: