Skip to content

Melestarikan kepimpinan cemerlang

Mac 27, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

8861Bercakap tentang kepimpinan, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah menegur sikap seorang sahabat Baginda iaitu Abu Dzar Al-Ghifari radhiyallahu ‘anh di mana Abu Dzar Al-Ghifari r.a. merupakan sahabat Nabi yang popular yang juga merupakan antara sahabat Baginda yang awal memeluk Islam.

Beliau memeluk Islam bukan kerana hanya ikut-ikutan. Beliau memeluk Islam hasil dari kajian dan pencarian, di mana beliau mengutus saudaranya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di Makkah Al-Mukarramah.

Selepas saudaranya melihat karakter dan kredibiliti Nabi, perkataan-perkataan yang Nabi ucapkan, akhlak Nabi s.a.w., saudaranya pulang kepada Abu Dzar dan memaklumkan hal tersebut kepadanya. Beliau lalu tertarik dengan apa yang diberitakan oleh saudaranya tentang Nabi, sehingga beliau berkata, “Aku ingin menemui Muhammad sendiri.”

Maka beliau pun berangkat ke Makkah, mencari di antara mungkin ratusan atau ribuan manusia lelaki yang bernama Muhammad. Dilihat begitu baik akhlaknya, mulia sikapnya, dihormati di dalam masyarakat walaupun mendapat penentangan dari golongan yang benci dan anti kepada Islam dari golongan Arab Jahiliyah. Abu Dzar Al-Ghifari akhirnya menerima Islam.

Bukan sahaja beliau menerima Islam, bahkan beliau berbangga dengan agama yang dianutinya lantas keluar kepada masyarakat Jahiliyah yang pada ketika itu Islam masih di dalam dakwah berperingkat dan tertutup, tidak secara terang-terangan. Gerakan Islam pada ketika itu sudah wujud dan berakar di kalangan masyarakat Arab, tetapi Nabi masih lagi menyembunyikan gerakan dakwah pada ketika itu.

Tindakan Abu Dzar Al-Ghifari r.a. mendapat tentangan dari masyarakat Arab. Beliau keluar dari rumah mengumumkan di sekeliling Masjidil Haram “Laa-Ilaaha-illallaah, Muhammad Rasulullah” Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu utusan Allah!

Datang gerombolan masyarakat Arab Jahiliyah cuba untuk memukul Abu Dzar Al-Ghifari. Beliau berani menyatakan secara terang-terangan keIslamannya di tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliyah yang mana mereka adalah masyarakat yang majoriti. Pegangan nenek moyang mereka adalah agama majoriti, Islam adalah agama minoriti. Tetapi dia berani keluar.

Abu Bakar As-Siddiq radhiyallahu ‘anhu pada ketika itu menyekat masyarakat Arab Jahiliyah yang cuba memukul Abu Dzar, katanya “Hentikan! Sesungguhnya dia dari kabilah Ghifar.” Kalau masyarakat Arab hendak keluar berdagang, mereka hendaklah melalui kabilah Ghifar. Jadi kalau mereka memukulnya, mereka akan disekat di pertengahan jalan.

Abu Dzar Al-Ghifari selamat. Beliau kemudian keluar menemui kabilahnya. Sampai di kampung halamannya, dia berjaya mengislamkan seluruh penduduk kampung halamannya. Itulah Abu Dzar.

Namun di dalam sejarah, Nabi pernah menegur Abu Dzar Al-Ghifari. Apabila dia tampil bertemu dengan Nabi s.a.w. meminta agar diberikan jawatan pemimpin, apa jawapan Nabi?

(( يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيْفٌ , وَ إِنَّهَا أَمَانَةٌ , وَ إِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَ نَدَامَةٌ, إلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا , وَ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيْهَا ))

“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah, sementara ia (kepimpinan) adalah amanah. Dan sesungguhnya pada Hari Kiamat ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa yang seharusnya ia tunaikan dalam kepemimpinan tersebut.” (Riwayat Muslim)

Mengenangkan sejarah tentang Abu Dzar Al-Ghifari, adakah orang seperti ini jiwanya lemah? Memeluk Islam lantas mengiklankan secara terbuka keIslamannya walaupun berhadapan dengan majoriti Arab Jahiliyah.

Keberanian yang sangat hebat, mengIslamkan seluruh kabilahnya, tetapi Nabi berkata kepadanya “Sesungguhnya engkau lemah.”

Maka dari sini, para ulama berbicara tentang kepimpinan, tentang ciri-ciri pemimpin. Apa yang perlu ada pada diri seorang pemimpin itu. Kalau kita merujuk kepada firman Allah di dalam Al-Quran,

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمِين

“Sesungguhnya orang yang layak untuk kamu melantiknya (menjadi pemimpin) adalah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah Al-Qashash: 26)

Kuat dan Amanah. Ini disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Al-Quran. Adakah Abu Dzar tidak kuat, adakah Abu Dzar tidak amanah? Adakah Abu Dzar sahabat yang tidak bertakwa sehingga Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menafikan kemampuannya untuk menjadi pemimpin?

Tidak, Nabi tidak menafikan keimanan dan ketakwaan Abu Dzar. Nabi tidak menafikan sifat amanah Abu Dzar. Nabi tidak menafikan ketinggian ilmu pengetahuan dan kefaqihan Abu Dzar Al-Ghifari radhiyallahu ‘anhu.

Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah, seorang tokoh ulama hadis yang wafat pada tahun 852 hijrah, hampir 600 tahun yang lalu, mengulas tentang mengapa Nabi menidakkan kepimpinan Abu Dzar Al-Ghifari. Kata beliau, ini merujuk kepada kemampuan untuk mengurus tadbir.

Jadi pemimpin perlu merujuk kepada dua perkara. Ia bukan sahaja berhubungkait dengan iman dan takwa, tetapi pada masa yang sama hendaklah memiliki kemampuan untuk mengurus tadbir negara.

Ia bukan sahaja berkaitan dengan kredibiliti, akhlak dan sikap, ia juga berkaitan dengan kemampuan berfikir, ketinggian ilmu pengetahuan, di mana ia saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain.

Walau bagaimanapun, kita tidak temui lagi selepas zaman Khulafa Al-Rasyidin, selepas Muawiyah bin Abi Sufyan, selepas zaman Umar bin Abdul Aziz, pemimpin yang terhimpun padanya semua perkara ini; kekuatan ilmu pengetahuan, kekuatan iman dan takwa, disempurnakan dengan sifat amanah, kredibiliti dan akhlak mulia. Walaupun ada, ia mungkin terpencil.

Sebab itu, apabila Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma membahaskan firman Allah yang berikut,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى اْلأَمْرِ مِنكُمْ

“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin daripada kalangan kamu.” (Surah An-Nisaa, 4: 59)

Beliau (Ibnu Abbas) berkata, pemimpin di dalam ayat ini merujuk kepada dua perkara; 1) ulama, 2) umara.

Maksudnya, ia perlu kepada gandingan kedua-duanya. Untuk menghasilkan seorang pemimpin yang padanya ada ciri-ciri ulama dan berkemampuan untuk mengurus tadbir negara ternyata sukar.

Disebabkan itu Imam Asy-Syafi’i tidak dilantik menjadi gabenor mana-mana negara, dan beliau pun tidak cenderung untuk menjadi ketua negara. Imam Ahmad, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, hatta tokoh-tokoh ulama yang popular seperti Imam An-Nawawi rahimahullah, keilmuan mereka kita manfaatkan sampai ke hari ini, penulisan mereka sampai ke hari ini kita kaji dan amalkan. Tetapi dari segi urus tadbir, mereka tidak popular sebagai pemimpin. Mereka popular sebagai ulama.

Maka sebab itulah Ibnu Abbas awal-awal lagi telah menafsirkan bahawa ulil amri itu merujuk kepada dua; seorang yang mengurus tadbir negara, dan seorang lagi yang mengurus tadbir agama. Gandingan inilah yang akan menghasilkan satu suasana kepimpinan yang cemerlang.

Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=keoidw5ZdWw

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: