Skip to content

Lebih 50 tahun memerintah tapi belum laksana hudud

Mac 28, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

541403_432874750128910_593104565_nPada hari ini kita menghadapi cabaran, tekanan, halangan, mehnah dan tribulasi untuk mencari pemimpin yang cemerlang dari sudut kemampuan urus tadbir dan pengetahuan agama yang baik seperti mana yang boleh ditemui pada zaman kegemilangan umat Islam terdahulu. Mengapa ianya begitu sukar pada hari ini? Jawapannya ada di dalam sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah,

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

 “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang benar dikatakan pendusta, pengkhianat dikatakan amanah sedangkan orang yang amanah dikatakan sebagai pengkhianat. Pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang taaffah (bodoh, akal pendek, lalai, celaru) yang turut campur dalam urusan manusia.” (Riwayat Ibnu Majah, disahihkan al-Albani dalam As-Shahihah)

Ruwaibidhah ini tidak ada ilmu tentang Islam, tetapi dia bercakap tentang Islam. Tidak ada ilmu tentang ekonomi tetapi mengulas tentang ekonomi. Dia tidak ada ilmu tentang pembangunan, tetapi bercakap tentang pembangunan negara. Ini realiti yang berlaku pada hari ini, dan perkataan ini kita tujukan dan muhasabah untuk seluruh umat Islam tanpa mengira kepentingan politik.

Sama ada Umno, Pas atau Pkr, jika hendak mengulas tentang agama biarlah ada asas tentangnya. Jika hendak bercakap tentang ekonomi, biar ada asas tentang ekonomi, beserta fakta dan bukti.

Kalau kita terpengaruh dengan golongan Ruwaibidhah, orang yang bercakap benar kita akan katakan dia berbohong, orang yang bohong kita katakan dia bercakap benar. Orang yang amanah akan dituduh pengkhianat dan pengkhianat akan dikatakan amanah.

Jadi bagaimana kita hendak menghalang Ruwaibidhah daripada bercakap? Sukar untuk kita tentukan dan menilai tahap keilmuan manusia. Saya sendiri mungkin tidak ada ilmu untuk menilai orang itu dan orang ini. Tetapi agama mengajar kita bahawa perlu kepada fakta dan perlu kepada bukti sebelum menerima dan sebelum menolak sesuatu kenyataan dan pandangan.

Kita menerima sesuatu pendapat dan pandangan bukan kerana emosi, bukan kerana kita suka kepada orang yang bercakap. Kita menolak pendapat dan pandangan juga bukan kerana kita benci kepada orang yang bercakap. Adapun sikap orang yang beriman adalah seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

 “Orang yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” (Surah Az-Zumar: 17-18)

Jadi ia sebenarnya bergantung pada sikap kita memeriksa dan mencerna maklumat yang kita dapat. Ini adalah cabaran kepada kita untuk melestarikan kepimpinan yang cemerlang.

Pada hari ini, apabila hampir dengan pilihanraya, manusia semakin ligat dan agresif berpolitik. Politik adalah salah satu cabang daripada cabang-cabang Islam. Politik dalam erti kata,

تدبير الشيء والقيام عليه بما يُصلحه

“Mentadbir sesuatu dan bangkit mempertahankannya sesuai dengan keperluannya.”

Maka kalau kita mentadbir negara, kemudian kita datangkan undang-undang, polisi, syarat-syarat, perlembagaan, di mana semua itu dapat membantu mempertahankan kemaslahatan negara kita, maka itu adalah politik yang Islami jika kita melihat dari kaca mata Islam. ini kerana ia adalah perlaksanaan tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Tetapi pada hari ini politik sudah menjadi lain. Semata-mata kerana kepentingan politik, manusia sanggup menggadaikan prinsip agama. Semata-mata kerana kepentingan politik manusia menggadaikan kepentingan akidahnya. Semata-mata kerana kepentingan politik, manusia tamak haloba, menjadi gila kuasa, berlaku cantas mencantas, fitnah menfitnah sesama sendiri, membongkarkan keaiban sesama saudara Islam, mewujudkan perasaan benci-membenci sesama kaum Muslimin, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyeru kepada kerjasama dengan bukan Islam.

Mengapa dengan kaum Muslimin sendiri kita tidak ciptakan perpaduan, kita tidak hulurkan tangan untuk bersama-sama dengan mereka. Ini satu masalah yang besar.

Apabila pilihan raya semakin hampir dan manusia semakin agresif bercakap, banyak kenyataan pemimpin-pemimpin yang perlu kita fahami dan perlu kita perbetulkan, di mana kenyataan mereka itu membangkitkan salah faham agama di kalangan masyarakat Islam Malaysia. Ia tidak membawa kepada perpaduan, sebaliknya ia pasti membawa kepada perpecahan yang tercela.

Isu hudud contohnya, ia isu kaum Muslimin. Iman kita kepada hukum ini adalah kewajipan. Berusaha agar hukum ini terlaksana adalah satu kewajipan. Kita perlu hormat usaha saudara-saudara kita yang lain dalam memastikan hukum ini tertegak, tanpa mengira kepentingan politik. Kita tidak mahu di samping usaha ini dilakukan, berlaku tuduh menuduh. Kita dituduh tolak hudud, dikafirkan dengan beberapa perkataan. Sedangkan berlaku beberapa kekangan di dalam perlaksanaannya.

Orang yang pernah mendapat jawatan dan kuasa di dalam negeri pun, yang sebelum itu pernah mengatakan bahawa hudud akan terus dilaksanakan esok sebelum ayam berkokok sekiranya parti mereka menang, tidak mampu melakukan seperti yang dijanjikan setelah mendapat kuasa, sehingga akhirnya mereka mengatakan hudud hanya 0.0001% daripada Islam.

Saya setuju dengan kenyataan tersebut. Memang kita ada kekangan. Jadi kita minta teman di sana agar amanah di dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat, bahawasanya kita ada kekangan di dalam perlaksanaannya; kekangan dari sudut perlembagaan, kekangan dari sudut sistem mahkamah, kekangan dari sudut perundangan (undang-undang perlu dibuat), kekangan dari sudut perlu bertemu dan meminta persetujuan Raja-raja di setiap negeri untuk menaiktaraf mahkamah syariah.

Kita meminta sahabat-sahabat kita menceritakan perkara yang sebenar kepada rakyat, tentang kekangan yang ada, dan untuk melaksanakan hukum hudud ini perlu kepada perpaduan dan kesatuan umat Islam. Tanpa perpaduan umat Islam, jangan mimpi hukum yang mulia ini dilaksanakan.

Umat Islam perlu duduk semeja dan cermati bersama jika hendak ia dilaksanakan. Kefahaman perlu diberikan kepada masyarakat bukan Islam, sebab ia pasti akan memberi kesan dan implikasi kepada orang bukan Islam. Contohnya jika yang mencuri adalah dua orang; seorang Muslim dan seorang bukan Muslim. Adakah adil yang Muslim dipotong tangan dan seorang lagi tidak kena?

Hukum hirabah (merompak dengan senjata) lebih berat lagi, iaitu potong tangan dan kaki secara bersilang. Orang Islam yang lemah imannya, jika hanya dia sahaja yang dipotong tangan dan kaki sedangkan temannya yang bukan Islam tidak dikenakan tindakan yang sama, tidakkah ia akan membuka ruang kepadanya untuk murtad kerana takut dipotong tangan dan kaki?

Ini semua adalah kebarangkalian-kebarangkalian yang bakal berlaku dan perlu diambil kira. Sebab itu hukum ini perlu dicermati dan tidak boleh dilaksanakan secara gopoh dan terburu-buru. Senang sahaja kita mengatakan kerajaan telah memerintah selama 50 tahun, tetapi kita perlu tahu bagaimana sejarah negara kita mencapai kemerdekaan.

Kita bukan mencapai kemerdekaan dalam keadaan pengetahuan tentang Islam dan pengamalan Islam di kalangan masyarakat Islam di negara ini sudah tinggi. Hakikatnya adalah sebaliknya, dan ia telah berakar di dalam negara kita.

Kalau kita kenang kembali pada tahun 70-80-an, Ustazah-ustazah dan Ustaz-ustaz yang belajar di Timur Tengah pun ramai yang belum menutup aurat dengan sebetulnya. Tetapi alhamdulillah, pada zaman sekarang, sukar untuk kita temui Ustazah lepasan Universiti Islam yang tidak pakai tudung. Ini membuktikan proses perubahan dan pembaikan itu berjalan sepanjang masa di dalam negara kita walaupun sedikit demi sedikit. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,

أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

“Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Muslim)

From → Fiqh & Syariah

One Comment
  1. Siti Al-Amin permalink

    Salam Ustaz,

    Setiap Agama di muka bumi ALLAH ini menyeru kepada melakukan perkara yang baik, sebagai contoh berbuat baik & menjaga kedua ibubapa setelah mereka berada di usia emas. Begitu juga dengan perilaku yang baik dengan berbaik dengan semua orang tak kira agama apa mereka anuti. dan saling tolong menolong di antara satu sama. Setiap Agama tidak suka pengikutnya mencuri, membunuh dan lain-lain lagi.

    Pada pendapat saya kenapa orang bukan islam tidak menerima hudud kerana mereka tidak betul-betul faham tentang hudud & bagaimana ianya akan di laksanakan kelak jika dikuatkuasakan. Pihak yang beria-ia hendak melaksanakan hudud tetapi hanya bersorak untuk kepentingan politik setiap kali menjelang pilihanraya & cara untuk melakukannya pun rasanya kurang tepat dari landasan yang sebenar dimana mereka kata hudud untuk orang ISLAM sahaja sudah tentu tak betul caranya. Jadi kita perlu terangkan dengan semua orang di Malaysia tidak kira kaum @ agama apa mereka anuti samada ISLAM @ bukan ISLAM apa itu hudud sebenar-benarnya. Dengan penerangan yang jelas & fakta yang betul rasanya baru mereka dapat menerima dengan hati terbuka.

    Sebagai contoh, kenapa ya orang bukan islam boleh pula bersikap terbuka menerima bank-bank yang menjalankan konsep Syariah sedangkan Syariah itu adalah dari sistem ISLAM sebenar, malah mereka pula yang berebut-rebut untuk memilih membuka akaun Syariah di mana-mana bank2 terlibat. Sebabnya mereka tahu dan faham keuntungan mereka dapat melalui bank konsep ISLAM dengan konsep biasa yang di amalkan sebelum ini. Di mana ada keuntungan di situ mereka suka tetapi jika keburukan mereka tolak mentah-mentah.

    Saya cadangkan jika benar ingin melihat negara kita Malaysia melaksanakan Hudud, mulai dari sekarang, Ustaz sebagai salah seorang ahli Ulama Muda dalam UMNO, ustaz merangka satu kertas kerja yang menyatakan fakta yang jelas bagaimana melaksanakan Hudud & Undang-undang bagaimana yang perlu dilakukan menurut ajaran ISLAM sebenar seperti yang tertulis didalam Al-Quran. Dimana bila ada orang yang cuba menafikan apa yang ustaz rangka kan, Ustaz dapat membalas semula dengan fakta yang jelas supaya mereka boleh berfikir dengan lebih rasional bukan mengikut emosi semata-mata.

    Saya sebenarnya amat risau dengan Umat Islam sekarang di Malaysia, perempuannya dengan kes mengandung di luar nikah, kes buang anak, lelakinya dengan kes merompak, merogol, membunuh, menfitnah yang paling ramai di lakukan oleh umat Islam sendiri. Mereka dah jauh terpesong dari landasan ISLAM sebenar, seolah-olah mereka ini tidak takut dengan ALLAH S.W.T yang sering melihat kita di mana kita berada dan apa yang kita lakukan. Hanya Ustaz, Ulama’ yang arif tentang agama ISLAM dan undang-undang ISLAM boleh membimbing kami semua ke jalan yang di redhai ALLAH sebelum kita dihancurkan oleh pihak yang sentiasa bergerak aktif untuk memurtadkan umat ISLAM dengan berbagai cara.

    Saya menulis kerana saya sayang umat Islam tak kira di mana berada dan tergerak hati saya untuk menulis dengan panjang lebar ini juga kerana ilham datangnya dari ALLAH S.W.T. InsyaALLAH apa jua yang Ustaz lakukan untuk kebaikan umat Islam, akan mendapat pahala di akhirat kelak. InsyaALLAH, ALLAH mendengar doa kita.. ALLAHU AKBAR!! Terima kasih..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: