Meluruskan sejarah pertelingkahan para sahabat (Bahagian 1)
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Keutamaan Para Sahabat radhiyallahu ‘anhum
Apabila berbicara tentang Sahabat Nabi, perlu diketahui bahawa topik ini bukanlah topik perbicaraan yang kecil. Kita hendak membicarakan tentang generasi yang Allah dan Rasul muliakan, generasi yang Allah Subhanahu wa Ta’ala sebutkan,
وَالسَّابِقُونَ اْلأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَاْلأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا اْلأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan mereka pun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah, 9: 100)
Para sahabat adalah generasi yang Allah redha kepada mereka dan Allah puji mereka. Mereka adalah generasi yang terbaik. Bukan hal kecil berbicara tentang Ansar dan Muhajirun. Bukan kita berbicara tentang orang kampung kita. Bukan kita berbicara tentang Presiden kita, wakil rakyat, menteri, Perdana Menteri, Agung atau Raja. Itu semua hal yang kecil jika dibandingkan berbicara tentang sahabat Nabi. Sehingga Nabi pernah berkata,
لا تَسُبُّوا أصحابي، فلو أنّ أَحدَكُم أنفقَ مِثلَ أُحُدٍ ذَهَبا ما بَلَغَ مُدَّ أحَدِهمْ ولا نَصيفَه
“Janganlah kalian mencela sahabat-sahabatku, kalau sekiranya salah seorang di antara kalian bersedekah emas sebesar gunung Uhud, hal itu tidak akan sama dengan sedekah yang mereka keluarkan seberat satu mud, tidak pula separuhnya.” (Muttafaq ‘alaihi)
Sejarah menggambarkan pengorbanan sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum ajma’in mempertahankan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, mempertahankan Islam, mengorbankan diri mereka untuk memastikan dakwah Nabi terus berjalan di atas muka bumi. Mereka menjadi pendinding dalam peperangan bagi tubuh badan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, mengorbankan diri mereka, membiarkan diri dipanah dan ditikam agar Muhammad selamat.
Kecintaan Nabi kepada Sahabatnya adalah kecintaan yang luar biasa. Kecintaan Sahabat kepada Nabi juga adalah kecintaan yang luar biasa. Mana mungkin kita temui orang seperti Umar Al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu yang menyatakan taat kepada Nabi,
يَا رَسُولَ اللَّهِ لأَنْتَ أَحَبُّ إِلَىَّ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ مِنْ نَفْسِى . فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « لاَ وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ » . فَقَالَ لَهُ عُمَرُ فَإِنَّهُ الآنَ وَاللَّهِ لأَنْتَ أَحَبُّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِى . فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « الآنَ يَا عُمَرُ » .
“Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai dari segala apapun kecuali dari diriku”, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak, demi Yang jiwaku berada di tangan-Nya, sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri”, Umar berkata: Sesungguhnya sekarang demi Allah, sungguh engkau kebih aku cintai dari diriku.” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Sekarang wahai Umar (benar).” (Riwayat Bukhari)
Siapa boleh jadi seperti Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu? Mustahil wujud manusia seperti Abu Bakar pada hari ini yang sentiasa membenarkan perkataan dan kenyataan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Dia mengorbankan harta benda, meninggalkan kaum keluarga untuk berhijrah bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Sejarah di dalam Gua Tsur tidak dapat dilupakan oleh mereka yang membaca kisah perjalanan hijrah Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.
Utsman bin Affan radhiyallahu ‘anhu diberikan amanah oleh Nabi berkahwin dengan dua orang puteri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri malu kepadanya. Dalam satu hadis, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam duduk bersama Abu Bakar dan Umar, Baginda mengangkat kain sampai ke paha, lalu datang Usman, Baginda lantas menutup pahanya, sehingga Abu Bakar dan Umar bertanya mengapa, lalu Nabi bersabda,
أَلَا أَسْتَحِي مِنْ رَجُلٍ تَسْتَحِي مِنْهُ الْمَلَائِكَةُ؟
“Tidakkah aku malu kepada seorang lelaki yang para malaikat pun malu kepadanya?” (Riwayat Muslim)
Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, menantu Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang berkahwin dengan anak kesayangan Nabi, Fathimah, melahirnya dua orang cucu yang Nabi sangat sayang dan kasihi, Hasan dan Husain.
Begitu juga sahabat-sahabat Nabi yang lain di mana Nabi menyebut bahawa batang tubuh mereka adalah ahli syurga. Muawiyah bin Abi Sufyan, Aisyah radhiyallahu ‘anha di mana di dalam sejarah, golongan yang tidak amanah di dalam menukilkan sejarah mengatakan perkataan-perkataan yang tidak indah, cercaan dan makian kepada para sahabat Nabi yang mulia yang dijanjikan Syurga Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Jadi kita bukan berbicara tentang kelompok yang kecil, kita bukan berbicara tentang manusia biasa, tetapi kita sedang berbicara tentang manusia luar biasa. Di dunia mereka telah mengetahui tempat mereka di Akhirat kelak.
Sebab itu apabila kita hendak berbicara tentang mereka, awal-awal lagi kita perlu menjaga lisan. Jangan kurang ajar. Pada hari ini kita lihat terdapat buku-buku dan tulisan yang menyebut tentang Usman contohnya, mengatakan lemahnya Usman di dalam pemerintahan sehingga gagal mewujudkan negara yang aman dan bebas daripada pemberontak.
Perkataan ‘lemah Usman’ itu pun menggambarkan cercaan dan makian ke atas Usman radhiyallahu ‘anhu. Ini adalah ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai ujian ke atas sahabat Nabi. Mungkin kerana Usman itu sikapnya lembut, sifatnya sangat baik.
Begitu juga datangnya Ali bin Abi Thalib, datangnya Muawiyah, berlakunya perselisihan kepada mereka yang menjadi topik utama perbincangan kita. Untuk mendetilkan sejarah, bagaimana berlakunya pertelingkahan pada zaman Sahabat, ia memerlukan masa yang panjang. Saya cuma akan menyentuh prinsip-prinsip kita apabila kita bermuamalah dengan isu-isu yang seperti ini.
Kita kena kenal siapa yang kita bercakap tentangnya. Contohnya jika kita bercakap tentang pemimpin, kita kena tahu kedudukan pemimpin di sisi agama. Ada kaedah-kaedah untuk kita menegurnya, ada kaedah-kaedah untuk kita memperbetulkannya.
Ulama di sisi agama, ulama mujtahid yang ada autoriti untuk berijtihad, kita perlu tahu bagaimana hendak berkomunikasi dengan ijtihad-ijtihadnya yang salah. Adakah dengan mencercanya? Adakah kita boleh mengatakan Imam Syafi’i tidak cerdik kerana tidak tahu di dalam sesuatu bab? Tidak boleh, itu satu penghinaan yang kita lontarkan kepadanya. Kita yang tidak reti bermuamalah dengan Imam apabila berhadapan dengan kesalahan-kesalahan mereka.
Apatah lagi apabila kita bermuamalah dan bercerita tentang golongan yang paling mulia setelah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Bukan calang-calang manusia, bukan calang-calang orang. Mereka ini kata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Allah pilih mereka untuk menjadi sahabat dan teman kepada Baginda.
Allah melihat kepada hati hamba-hamba-Nya dan hati Muhammad itu adalah hati yang paling bersih, maka Muhammad dilantik menjadi Rasul. Kemudian Allah melihat kepada hati-hati makhluk yang berada di sekeliling Muhammad, Allah pilih para sahabat; Abu Bakar, Umar dan seterusnya untuk menjadi teman bagi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam kerana bersih dan sucinya hati-hati mereka.
Sebab itu kata Abdullah bin Mas’ud,
مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُتَأَسِّيًا فَلْيَتَأَسَّ بِأَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّهُمْ كَانُوْا أَبَرَّ هَذِهِ اْلأُمَّةِ قُلُوْبًا، وَأَعْمَقَهَا عِلْمًا، وَأَقَلَّهَا تَكَلُّفًا، وَأَقْوَمَهَا هَدْيًا، وَأَحْسَنَهَا حَالاً، قَوْمٌ اخْتَارَهُمُ اللهُ لِصُحْبَةِ نَبِيِّهِ وَلإِقَامَةِ دِيْنِهِ، فَاعْرِفُوْا لَهُمْ فَضْلَهُمْ وَاتَّبِعُوْهُمْ فِي آثَارِهِمْ، فَإِنَّهُمْ كَانُوْا عَلَى الْهُدَى الْمُسْتَقِيْمِ
“Barangsiapa di antara kalian yang ingin mencontohi, hendaklah mencontohi para Sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kerana sesungguhnya mereka adalah umat yang paling mulia hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit sikap menyusahkan, dan paling lurus petunjuknya, serta paling baik keadaannya. Suatu kaum yang Allah telah memilih mereka untuk menjadi sahabat Nabi-Nya, untuk menegakkan agama-Nya, maka ketahuilah kelebihan mereka serta ikutilah jejak langkah mereka, kerana sesungguhnya mereka berada di atas petunjuk jalan yang lurus.” (Dikeluarkan oleh Ibnu ‘Abdil Baar dalam kitabnya Jami’ul Bayanil ‘Ilmi wa Fadhlih, tahqiq: Abul Asybal)
Maka berbicara perihal para sahabat adalah hal yang sangat besar, perlu berhati-hati kerana dibimbangi lisan kita dikotori dengan cercaan dan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kita ucapkan tentang mereka.
Ilmuwan Islam, Ibnu Al-Arabi Al-Maliki contohnya di dalam kitabnya yang masyhur; Al-Awashim min Al-Qawashim membahaskan secara tuntas isu pertelingkahan sahabat Nabi dan prinsip Ahlus Sunnah di dalam memahami isu ini. Ulama bangkit mempertahankan Sahabat Nabi kerana tidak sanggup mendengar orang bercerita perkataan yang tidak baik tentang sahabat Nabi; “Muawiyah degil, Muawiyah tak dengar cakap”, haram kita berkata sedemikian tentang sahabat Nabi.
Ada pihak berkata “Ali bin Abi Thalib tidak betul”, “Ali bin Abi Thalib lambat bertindak”. Tidak boleh kita berkata sebegitu. “Muawiyah dan Ali kedua-duanya tidak betul” golongan Khawarij yang berkata sebegini juga tidak betul, salah perkataan seperti ini. Orang Syiah yang melampau-lampau mengangkat Ali bin Abi Thalib, mereka juga salah di dalam tindakan mereka.
Apa sikap ahli sunnah dalam berinteraksi dalam isu seperti ini? Mungkin ada yang tertanya-tanya apa isunya? Isunya adalah berkait dengan perkataan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis Hudzaifah bin Al-Yaman, penyimpan rahsia Rasulullah, di mana Baginda banyak menceritakan kepada beliau perkara-perkara yang bakal berlaku kerana dia di antara Sahabat Nabi yang banyak mendampingi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Antara hal yang disebut, Umar Al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu datang kepada Hudzaifah bin Al-Yaman bertanya kepadanya adakah dia mendengar dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tentang fitnah besar yang bakal berlaku. Berlakulah perbualan di antara mereka sehingga Hudzaifah berkata “aku mendengar daripada Nabi bahawa fitnah yang besar akan berlaku setelah satu pintu dipecahkan.”
Apabila Umar mendengar Hudzaifah bin Al-Yaman berkata setelah pintu dipecahkan akan datang fitnah yang besar seperti gelombang, Umar terus berpaling. Kata Hudzaifah, kalau Umar bertanya pintu itu siapa, aku akan berkata pintu itu adalah Umar.
Zaman Abu Bakar As-Siddiq masih dekat dengan Nabi, tidak ada permasalahan, ditambah dengan ketegasan Abu Bakar As-Siddiq. Keberanian Umar Al-Khatthab, tiada siapa berani melawan. Dia memimpin dan mentadbir negara dengan baik. Tetapi apabila Hudzaifah bin Al-Yaman memaklumkan bahawa akan dipecahkan pintu, ini menggambarkan bahawa Umar akan dibunuh. Ini kenyataan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, maklumat yang Nabi berikan kepada Hudzaifah bin Al-Yaman.
Bersambung bahagian 2: Bermulanya gelombang fitnah yang besar
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut: