Skip to content

[Bhg. Akhir] Pengajaran dari Perselisihan Para Sahabat

April 3, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

734430_618967398119910_1865000372_nPengajaran yang besar daripada kisah perselisihan di antara sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum ajma’in, antaranya;

Pertama, mengenangkan kita sedang berbicara tentang generasi yang paling mulia, maka wajib ke atas kita menjaga lisan dan jangan mencerca mereka. Telah dijelaskan sebelum ini bahawa Ali berijtihad dan Muawiyah juga berijtihad. Walaupun Imam Ibnul Arabi dan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahumallah mengatakan bahawa Ali di pihak yang benar, namun mereka juga menegaskan bahawa Muawiyah telah tersalah di dalam ijtihadnya, dan setiap orang yang tersalah dalam ijtihad sekiranya mempunyai autoriti untuk berijtihad akan tetap mendapat ganjaran pahala.

Kedua, apabila berlakunya fitnah dan perselisihan, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada kita agar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Itu yang cuba dilakukan oleh sahabat Nabi, Ali dan Muawiyah, juga Aisyah radhiyallahu ‘anha; Mereka berusaha untuk melakukan perbincangan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ

“Sedangkan urusan mereka (diputuskan) melalui musyawarah antara mereka.” (Surah Asy-Syura, 42: 38)

Al-Quran memerintahkan untuk bermuzakarah. Allah memerintahkan agar melakukan perbincangan (musyawarah). Ini adalah perintah dari Al-Quran dan As-Sunnah. Sabda Nabi,

فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا

Maka sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup di antara kalian selepas kewafatanku akan melihat perselisihan yang banyak…” (riwayat Abu Daud)

Dan penyelesaian kepada perselisihan dinyatakan selepas itu di dalam hadis yang sama,

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

“Lazimilah kalian Sunnahku dan Sunnah Khulafaa Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah erat-erat dan gigitlah ia dengan gigi geraham kalian.”

Ali, Aisyah, dan Muawiyah, masing-masing telah mencuba dan berusaha ke arah pembaikan. Semua sahabat Nabi telah mencuba termasuklah Ibnu Abbas dan Ibnu Umar. Namun kekuatan desakan dari golongan yang benci kepada Islam menyebabkan perpecahan tetap berlaku.

Ketiga, wajib meneliti maklumat yang sampai. Antara punca perpecahan berlaku dan terus berlaku adalah maklumat-maklumat yang diperolehi tidak dikaji dan tidak diteliti dengan baik. Apatah lagi kita pada hari ini, di mana Nabi menyebutnya di dalam hadis,

يَتَقَارَبُ الزَّمَانُ وَيُقْبَضُ الْعِلْمُ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ وَيُلْقَى الشُّحُّ وَيَكْثُرُ الْهَرْجُ قَالُوا وَمَا الْهَرْجُ قَالَ الْقَتْلُ

“Zaman akan semakin dekat, dicabutnya ilmu, akan timbul fitnah-fitnah, dimasukkan (ke dalam hati) sifat kikir dan akan banyak Al-Harj”, mereka (para sahabat) bertanya: “Apakah Al-Harj, wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Pembunuhan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar mentafsirkan bahawa zaman ini semakin lama akan semakin cepat. Syaikh Bin Baaz rahimahullah mengatakan bahawa komunikasi akan semakin mudah. Interaksi dan komunikasi walau dari tempat yang jauh, semuanya berlaku dengan pantas pada zaman ini.

Apabila komunikasi semakin mudah, akan berkuranglah ilmu yang sahih mengakibatkan kejahilan bertambah banyak. Fitnah pun akan bertambah banyak. Lalu akan dicampakkan ke dalam hati-hati manusia penyakit yang disebut Asy-Syuh iaitu pentingkan diri sendiri dan tamak.

Apabila banyak penyakit-penyakit ini dalam jiwa manusia, akan banyak juga Al-Harj, iaitu pembunuhan demi pembunuhan.

Komunikasi dan perpindahan maklumat yang berlaku dengan mudah juga menyebabkan ia cepat tersebar sebelum sempat dikaji dan diteliti. Punca permasalahannya adalah; adakah maklumat-maklumat yang mudah diperolehi daripada telefon, internet, akhbar dan berita adalah maklumat yang tepat dan telah kita analisa dan dapatkan kepastian?

Tidak. Sebahagian orang seronok menjadi orang pertama yang menyebarkan maklumat tersebut. Namun apakah maklumat itu benar? Adakah telah dipastikan sumber maklumat tersebut. Jika tidak, kita sebenarnya adalah pembuka jalan kepada tersebarnya fitnah. Kita juga pembuka jalan kepada wujudnya manusia yang mementingkan diri sendiri yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan pembunuhan. Allah menyatakan di dalam Al-Quran,

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ

“Apabila datang kepada mereka urusan tentang keamanan atau ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkan kepada Rasul dan pemimpin di kalangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) istinbat dari mereka (Rasul dan Ulil Amri).” (Surah An-Nisa: 83)

أَذَاعُوا بِهِ (azaa’uu bih) dalam ayat di atas bermaksud menyiarkan atau menyebarkan. Sebab itu radio dipanggil “izaa’ah” ataupun “mizyaa’” di dalam bahasa Arab. Maksudnya radio adalah alat untuk menyebarkan maklumat. Allah menggunakan perkataan yang sama di dalam Al-Quran bagi menggambarkan bahawa orang itu menyebarkan dan menyiarkan maklumat yang ada padanya.

Lalu Allah berfirman lagi, kalau mereka menyerahkan urusan itu kepada Rasul dan pemimpin dari kalangan mereka, tentu mereka akan mengetahui istinbat yakni kefahaman yang betul daripada mereka (Rasul atau pemimpin) tentang hal tersebut.

Tetapi di kalangan kita ramai yang gelojoh dan tergopoh gapah. Kita adalah kaum tasta’jilun. Kita cepat menyebarkan maklumat. Bayangkan, pada zaman sahabat Nabi yang tidak ada alat komunikasi yang canggih, tetapi akibat menerima maklumat yang salah, kem Aisyah diserang dan berlaku peperangan kerana menerima maklumat yang salah dan diapi-apikan, Muawiyah dan Ali berselisih pendapat dan pandangan.

Akibat tersalah mendapat maklumat juga golongan Khawarij mengkafirkan Ali dan Muawiyah. Mereka keluar dari kem sahabat Nabi. Sebab itu apabila Ali bin Abi Thalib menghantar Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma untuk berdakwah kepada Khawarij, Ibnu Abbas bersiap dengan pakaian yang indah pergi ke kawasan Khawarij. Apabila dia sampai di tempat mereka yang bernama Nahrawan, Ibnu Abbas bertanya kepada mereka, “Lihatlah! Adakah di kalangan kamu seorang daripada Sahabat Nabi?”

Ternyata tidak ada sahabat Nabi di dalam kalangan Khawarij itu. Ibnu Abbas pergi seorang diri, dan dia berjaya menarik kembali dan memperbetulkan akidah hampir sepuluh ribu daripada kalangan Khawarij yang akhirnya kembali kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Tidak ada sahabat Nabi yang terlibat dalam golongan Khawarij, tetapi mereka dipengaruhi disebabkan mereka adalah rakyat yang terburu-buru serta tidak menyerahkan urusan kepada pemimpin. Sebab itu apabila ada orang di kalangan rakyat pada zamannya bertanya kepada Ali,

“Wahai Ali, pada zaman khalifah Umar kami tidak pernah menemui perpecahan, perselisihan, pergolakan, pertumpahan darah seperti ini, mengapa ianya berlaku pada zaman kamu?” Kata Ali bin Abi Thalib r.a, “Ketika pemerintahan Abu Bakar dan Umar, aku adalah rakyatnya, tetapi pada zaman pemerintahanku, kalian adalah rakyatnya.” Ini suara Ali bin Abi Thalib r.a.

Ini berlaku disebabkan maklumat tidak dipindahkan dengan baik dan amanah. Firman Allah di dalam Al-Quran,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِن جَآءَكُمْ فَاسِقُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَافَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

 “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka hendaklah kamu tabayyun (periksa dengan teliti) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, 49: 6)

Dalam bacaan yang lain, kalimah fatabayyanu (tabayyun) juga dibaca dengan fatatsabbatu (tatsabbut) (lihat tafsir Qurthubi atau Thabari).

Erti tabayyun dan tatsabbut dibezakan oleh ahli ilmu. Pertama adalah tatsabbut yakni membuktikan terlebih dahulu kebenaran berita atau maklumat yang sampai. Setelah dipastikan maklumat itu betul, seterusnya adalah tabayyun iaitu memastikannya sesuai dengan hakikatnya. Sebahagian manusia tidak tatsabbut dan tabayyun menyebabkan maklumat yang disebarkan adalah maklumat yang salah.

Keempat, pengajaran yang besar adalah pentingnya memahami agama sesuai dengan manhaj talaqqi wal istidlal, yakni prinsip-prinsip dalam memilih sumber agama dan memahami sumber agama; 1) kaedah memilih sumber, 2) kaedah memahami sumber tersebut.

Kita tidak mahu menjadi Khawarij, yang mengangkat Al-Quran di hujung pedang. Sumber agama mereka tepat, tetapi kefahaman mereka salah sehingga mengkafirkan Ali dan Muawiyah. Terbunuhnya Ali juga dibunuh oleh Khawarij ini.

Jika dibaca sejarah tentang pembunuh Ali bermula dari sejarah kematiannya, orang akan berkata bahawa dia adalah pejuang agama yang hebat. Lelaki yang ditangkap sebelum dia dibunuh. Dia berkata, “Janganlah kalian terus membunuhku. Potonglah tubuh badanku satu persatu.”

Orang memotong tubuh badannya dan dia berdiam diri. Tidak menangis. Orang mencungkil matanya dan dia berdiam diri. Tetapi apabila orang menarik lidahnya untuk dipotong, dia lantas menangis. Katanya, “Janganlah engkau memotong lidahku, kerana lidahku ini tidak pernah berhenti daripada berzikir memuji Allah Taala. Sekiranya aku kehilangan lidahku ini, dengan apa aku akan menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Lihat riwayat ini di dalam Talbis Iblis, Ibnul Jauzi)

Kita pasti akan berkata bahawa dia adalah seorang tokoh pejuang Islam yang hebat. Tetapi siapakah dia? Abdurrahman ibn Muljam, pembunuh Ali bin Abi Thalib. Yang menetak pedang di kepala Ali bin Abi Thalib di hadapan masjid di Kufah sehingga terbunuhnya Ali.

Mengapa berlaku seperti ini, orang yang menjadi tenaga pengajar Al-Quran di zaman Umar, yang Umar sayang dan menghantarnya ke Mesir untuk mengajar anak-anak Mesir dengan Al-Quran, tetapi rupa-rupanya dia tidak faham akan Al-Quran.

Oleh kerana itu kita perlu tahu, yang mana satu sumber agama, dan bagaimana kita hendak memahami sumber agama tersebut.

Kita tidak mahu juga menjadi seperti Syiah yang cuba meragukan sumber agama kita. Syiah muncul di zaman Ali bin Abi Thalib. Munculnya Abdullah ibn Saba’ yang melantik Ali bin Abi Thalib sebagai Tuhan. “Anta, anta, anta Ilah”, katanya.

Mereka menimbulkan keraguan kepada sumber agama kita. Mereka menimbulkan banyak cerita fitnah tentang Abu Bakar, Umar, Zaid bin Tsabit, mengatakan mereka berpakat untuk membunuh Ali dan juga Fathimah, berpakat untuk merampas Al-Quran mushaf Fathimah untuk dihapuskan kerana di dalam mushaf Fathimah itu banyak mencela sahabat-sahabat Nabi dan kerana di dalam mushaf Fathimah itu terdapat banyak pujian-pujian kepada Alu Bait, dakwa mereka.

Tuduhan dan fitnah mereka yang besar terhadap Abu Bakar, Umar, Utsman, Zaid ibn Tsabit dan sahabat Nabi yang lain menyebabkan timbul keraguan pada sumber agama kita. Oleh sebab itu, pengajaran besar daripada perselisihan sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum ajma’in ini adalah kita perlu perbetulkan manhaj talaqqi wal istidlal.

Al-Quran dan Sunnah adalah sumber agama yang benar. Namun bagaimana cara memahaminya?

Bukti paling jelas yang menunjukkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber agama adalah sebagaimana firman Allah di dalam Surah An-Nisa,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى اْلأَمْرِ مِنكُمْ

“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin-pemimpin di kalangan kamu.” (surah An-Nisaa, 4: 59)

Menurut Ibnu Abbas, taat kepada Allah adalah taat kepada Al-Quran, manakala taat kepada Rasul bererti taat kepada As-Sunnah. Firman Allah seterusnya,

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلأَخِرِ

“Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.” (Surah An-Nisaa, 4: 59)

Itu adalah sumber agama yang asas. Walaubagaimanapun, kedua-dua sumber agama ini tidak dapat memastikan kita berada di pihak yang benar selama mana kita tidak memahami kedua-dua sumber ini dengan kefahaman yang benar.

Berapa ramai orang menggunakan dalil-dalil di dalam Al-Quran, contohnya golongan-golongan tarikat, pelampau-pelampau sufisme, yang menggunakan dalil daripada Al-Quran? Mereka menggunakan dalil dari Al-Quran untuk membenarkan cara zikir mereka, antaranya firman Allah,

فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ

“Maka ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring.” (Surah An-Nisa, 4: 103)

Maka mereka menggunakan dalil itu untuk berzikir dengan cara sekejap berdiri, kemudian duduk, kemudian baring, kemudian berdiri semula dan seterusnya. (Ini adalah pemahaman yang salah)

Bagaimana pula dengan golongan Syiah menafsirkan ayat Al-Quran “Sirathal Mustaqim” itu adalah Ali. Kemuliaan di dalam Al-Quran itu adalah Ali? Syiah juga memanfaatkan Hadis Nabi untuk mengkafirkan seluruh sahabat Nabi. Mereka menggunakan hadis riwayat Muslim di mana sahabat Nabi dihalau dari Al-Haudh (telaga). Dukacitanya kefahaman mereka salah.

Bagaimana pula dengan golongan-golongan yang anti-hadis yang memperjelaskan di dalam Al-Quran bahawasanya apabila Allah berfirman kepada Nabi s.a.w. “Taatilah Allah dan taatilah Rasul”, bukanlah yang diertikan dengan taat kepada Rasul itu adalah taat kepada sunnah, tetapi taat kepada wahyu, yakni Al-Quran. Ini dakwaan mereka yang bercanggah dengan kefahaman yang benar.

Kefahaman siapakah ini? Kefahaman manusia. Sumber apakah yang mereka gunakan? Mereka menggunakan sumber yang benar, iaitu Al-Quran.

Jadi janganlah kita cepat terpengaruh dengan orang yang membawa Al-Quran tetapi tidak memberikan kefahaman yang betul kepada kita. Mudah-mudah sahaja memetik ayat Al-Quran lalu mentafsirkannya sesuka hati dan memperjelaskan pula kepada orang lain sesuka hati.

Itulah pentingnya kita mengetahui metodologi dalam memahami ayat-ayat Al-Quran. Bagaimana kita hendak memahami Al-Quran dan Hadis kalau bukan rujukan asasnya adalah salaf.

Rujukan asasnya adalah orang yang paling faham Al-Quran dan paling faham hadis Nabi. Siapakah mereka kalau bukan sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum ajma’in…

Wallahu a’lam.

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: