Skip to content

Petunjuk Sunnah dalam menghadapi isu Lahad Datu

April 8, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

335087_orxidei_-orxidnye_-cvety_-zelenyj_-belyj_2560x1600_(www.GdeFon.ru)Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada kita agar kita bertakwa kepada-Nya, dan sesungguhnya Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu telah menjelaskan pengertian takwa sebagai,

الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

“Rasa takut kepada Allah, beramal dengan apa yang Allah turunkan, redha dengan apa yang sedikit, dan yang bersiap sedia dengan Hari Kemudian.”

Jika dilihat takwa dari perspektif yang luas, para ahli ilmu dan jumhur ulama mentafsirkan takwa sebagai amar makruf dan nahi munkar. Di antara usaha-usaha menyeru kepadanya adalah menyeru kepada perpaduan dan kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seperti mana ayat yang sering kita dengar di mimbar-mimbar Jumaat,

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hati kalian, dan kerana nikmat Allah kalian menjadi orang-orang yang bersaudara; dan kalian telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kalian darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kalian, agar kalian mendapat petunjuk.” (Surah Ali Imraan, 3: 103)

Al-Imam Ibnu Katsir menjelaskan di dalam kitab beliau Tafsir Al-Quran Al-Adzim bahawa ayat ini diturunkan apabila berlaku sedikit perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan para sahabat, lalu Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan ayat menegur dan memerintah agar mereka kembali berpegang dengan tali Allah dan jangan berpecah. Demikian yang perlu kita jadikan petunjuk dan pedoman untuk umat Islam pada hari ini.

Islam sentiasa mengajar kita mengembalikan segala bentuk permasalahan dan perselisihan kepada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, sebagaimana firman Allah di dalam ayat yang sering kita dengar,

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.” (surah An Nisa, 4: 59)

Menurut Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, kembali kepada Allah adalah kembali kepada Al-Quran manakala kembali kepada Rasul adalah kembali kepada As-Sunnah. Maka orang yang kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, mereka ini beriman kepada Allah dan beriman kepada hari Akhirat. Demikianlah sebaik-baik penafsiran.

Al-Quran dan As-Sunnah merupakan perisai kepada segala permasalahan ummah. Al-Quran dan As-Sunnah adalah pedoman kepada setiap manusia yang cintakan Allah dan hari Akhirat.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ketika memberikan wasiat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Irbadh bin Sariyah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam Sunannya dengan sanad yang sahih, Baginda bersabda,

فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

“Maka sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di antara kalian selepas kewafatanku akan melihat perselisihan yang banyak. Lazimilah kalian Sunnahku dan Sunnah Khulafaa Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah erat-erat dan gigitlah ia dengan gigi geraham kalian.”

Demikian juga kita pada hari ini, apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala menguji negara, pemimpin dan rakyat negara ini dengan apa yang berlaku di Lahad Datu, ternyata ini bukan isu politik dan bukan isu yang boleh dipermainkan. Sebaliknya ini adalah isu yang membabitkan keselamatan negara yang sepatutnya rakyat Malaysia patut menyelesaikan permasalahan ini dengan mengembalikan kepada Allah dan Rasul.

Jika ada yang mengatakan Al-Quran dan As-Sunnah tidak relevan lagi pada hari ini untuk dijadikan rujukan dan panduan, perkataan itu boleh membawa kepada kekufuran. Nabi s.a.w. telah menyatakan di dalam banyak hadis, antaranya,

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لاَ يَزِيْغُ عَنْهَا بَعْدِيْ إِلاَّ هَالِكٌ

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kalian perkara yang putih (terang benderang), malamnya seperti siangnya. Tidaklah seseorang itu berpaling daripadanya selepas peninggalanku melainkan dia akan binasa.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad dari jalan Al-‘Irbadh bin Sariyah radhiyallahu anhu). Apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. adalah Al-Quran dan As-Sunnah, wahyu yang mulia. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

“Dan tidaklah yang diucapkannya (Muhammad) itu mengikut hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (An-Najm: 3-4)

Selesaikan Isu Lahad Datu dengan petunjuk Al-Quran dan Sunnah

Berkenaan isu di Lahad Datu, marilah sama-sama kita meneliti bagaimana Al-Quran dan As-Sunnah mengajar kita mendepani isu-isu keselamatan dalam negara yang membabitkan perpaduan umat Islam dan membabitkan maqasid asy-syar’iyah.

Pertama, Allah Subhanahu wa Ta’ala menyatakan di dalam Surah An-Nisa ayat ke-83,

وَإِذَا جَاءهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُوْلِي الأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلاَ فَضْلُ اللّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لاَتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلاَّ قَلِيلاً

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyebarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul (agama) dan Ulil Amri (pemerintah) di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahui kefahaman dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil (di antara kamu).” (Surah An-Nisa, 4: 83)

Maka perkara pertama yang perlu kita teliti di dalam isu yang membabitkan keselamatan dalam negara adalah mengembalikan permasalahan ini kepada agama dan kepada pemimpin-pemimpin di mana merekalah yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan permasalahan dan isu ini.

Adapun ulasan songsang, perkataan tuduh menuduh yang dipolitikkan dan dipolemikkan, hal-hal seperti ini sebenarnya menyelisihi petunjuk yang dinyatakan di dalam Al-Quran. Maka di manakah kita dengan Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi, adakah ia hanya sebagai bahan bacaan dan hiasan di rak-rak buku?

Sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Rasul, kita perlu kembali kepada mesej yang Allah sampaikan untuk menenangkan dan mententeramkan keadaan. Demi memastikan kesejahteraan, kita perlu kembali kepada manhaj Al-Quran dan As-Sunnah, seterusnya kembalikan kepada pemimpin.

Kedua, apabila kita mengembalikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, sudah semestinya Al-Quran menyatakan tidak layak bagi sesiapa yang tidak memiliki ilmu untuk mengulas apatah lagi menuduh atau menyebar fitnah. Firman Allah di dalam Surah Al-Israk,

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabannya.” (Al Isra, 17: 36)

Sayang sekali, kita melihat khususnya bagi pengamal media sosial yang menjadikan internet sebagai sumber rujukan, mereka menerima dan menyebar maklumat secara terburu-buru dan gelojoh, menyebar perkataan-perkataan yang mereka sendiri tidak mengetahui hujung pangkal kebenarannya. Sabda Nabi s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Memadai seseorang itu dikatakan pendusta sekiranya dia menyampaikan semua perkara yang dia dengar.” (Riwayat Muslim)

Islam agama yang cintakan kesejahteraan. Islam agama yang cintakan keamanan. Islam bukan agama terroris, bukan agama tuduh menuduh, fitnah memfitnah. Islam adalah agama yang cintakan perpaduan, kembali kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala agar bersatu. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, kita bukan berselisih sesama kita, sebaliknya kita berselisih dengan musuh yang menceroboh masuk ke dalam negara kita. Sabda Nabi s.a.w.,

مَنْ ضَمِنَ لِيْ مَا بَينَ لِحْيَيهِ وَفَخِذَيهِ ضَمِنْتُ لَهُ الْجَنَّةَ

“Barangsiapa yang mampu menjamin kepadaku pemeliharaan anggota yang ada di antara dua tulang rahangnya (lisan) dan di antara dua pahanya (kemaluan), maka aku jamin baginya syurga.” (Shahihul Jami’)

Demikianlah janji-janji Allah Subhanahu wa Ta’ala, janji Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bagi mereka yang memelihara lisan. Juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده

“Orang Islam itu adalah orang yang orang Islam lain selamat daripada lisannya dan tangannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka jangan sama sekali kita terlibat dalam menyebarkan perkataan-perkataan atau teori-teori yang kita sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Biarlah pihak berwajib dan mereka yang bertanggungjawab menyelesaikan isu yang berlaku. Islam benci kepada pertumpahan darah. Sebab itu negara kita memulakan penyelesaian isu ini dengan diplomasi dan rundingan. Biar lama tempohnya, yang penting tidak berlaku pertumpahan darah.

Namun dengan takdir dan ujian daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala, gugur pejuang-pejuang dalam negara kita. Kita doakan semoga mati mereka termasuk dalam berjihad di jalan Allah, kerana usaha mereka adalah mengisi tuntutan maqasid syar’iyah, iaitu tujuan diturunkan agama ini; untuk menjaga lima perkara iaitu agama, akal, nyawa, harta benda, dan maruah.

Adapun ulasan-ulasan tanpa ilmu, adalah lebih baik dan lebih utama jika kita tidak mengulas. Memadai kita mendengar sahaja tanpa sebarang ulasan kerana kita bukanlah orang yang mengetahui hujung pangkal peristiwa yang berlaku di sana.

Hulurkan sumbangan mengikut kemampuan

Adapun kita di sini, apa tindakan yang boleh kita lakukan? Untuk mendaftarkan diri sebagai anggota tentera dan polis mungkin sudah kelewatan. Namun kita boleh menghulurkan sumbangan, doa, kata-kata semangat, sokongan moral kepada mereka.

Adapun mengutuk, mengeji, dan memperkecilkan usaha mereka, ini tindakan yang tidak wajar dan menyelisihi Syarak. Bayangkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam peperangan, ditangkap seorang tentera kaum Muslimin yang mencuri. Nabi tidak melaksanakan hukuman hudud ke atasnya walaupun telah cukup syarat untuk dijatuhkan hukuman ke atasnya.

Para Ulama berbincang panjang tentang hikmah mengapa Nabi s.a.w. tidak memotong tangan orang Islam yang ditangkap di saat berperang kerana mencuri. Antaranya Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani membahaskan hikmah Nabi tidak memotong tangan;

Pertama, dibimbangi umat Islam akan hilang kekuatan. Kedua, dibimbangi orang yang dipotong tangan ini akan berpaling tadah dan bersama-sama dengan musuh. Ketiga, dibimbangi orang yang dipotong tangan itu ada ahli keluarga yang turut sama berperang yang akan menyebabkan mereka merasa sedih dan tidak dapat memberikan tumpuan kepada kemenangan.

Demikianlah keindahan Islam. Jadi kita tidak sewajarnya mengkritik sewenang-wenangnya sedangkan kita sewajarnya memberikan kata-kata semangat. Jika hendak memberikan pandangan atau kritikan, tunggu apabila selesai usaha-usaha untuk menghalau penceroboh dari negara kita. Adapun dalam keadaan sekarang, berikan kata-kata semangat, hulurkan doa kepada mereka.

Doakan pasukan keselamatan & elakkan perselisihan

Banyak doa yang boleh dibaca. Doa yang diajar di dalam Al-Quran, doa yang dibaca di dalam As-Sunnah, bahkan apa jua doa secara umumnya. Kita memohon mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta’ala memudahkan segala urusan mereka.

Elakkan segala bentuk perpecahan dan perselisihan. Selayaknya pada ketika inilah kita menyeru ke arah perpaduan. Bayangkan, ketika berlaku peperangan Uhud, golongan-golongan Munafiqun di Madinah Al-Munawwarah turut datang kepada Nabi ingin bersama-sama dengan kaum Muslimin mempertahankan Madinah Al-Munawwarah.

Namun Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak menerima sokongan dan bantuan mereka kerana mereka banyak melakukan kerosakan ke atas kaum Muslimin. Pengajarannya sangat besar, apabila berlaku isu keselamatan di negara, kita juga sewajarnya berusaha memupuk kesatuan dan perpaduan serta menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak keselamatan agar segala bentuk permasalahan dapat diselesaikan dengan cara yang matang, bukan dengan pergaduhan.

Jika tidak Nabi tidak berkata,

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا

“Seorang mukmin dengan mukmin yang lain itu ibarat satu binaan yang saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Jika kita di dalam hal yang seperti ini tidak mampu bersatu bahkan mencari ruang untuk berselisih, maka usahlah kita mengangankan kejayaan Umat Islam dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan usahlah kita menyangka kita ini orang yang beriman kepada risalah yang Allah turunkan.

Jihad adalah tuntutan ke atas seluruh umat Islam

Memang tidak dinafikan bahawa jihad di jalan Allah merupakan satu tuntutan, dan Jihad di jalan Allah adalah umum untuk seluruh umat Islam. Dan jihad ada kategori yang pelbagai. Kerana itu sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in berkata kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

لو علمنا أي الأعمال أفضل لعملنا

“Sekiranya kami mengetahui ada amalan yang paling afdhal nescaya kami akan melaksanakannya.”

Maka Allah ‘Azza wa Jall menurunkan firman-Nya di dalam surah Al-Shaff ayat ke-10 hingga 12,

هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan nyawamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.” (Surah Ash-Shaf : 10-12)

Maka nilailah kemampuan kita. Mungkin kemampuan kita dari segi harta, dan mungkin kemampuan kita adalah tenaga dan nyawa. Dan yang paling penting bagi kita di sini sudah semestinya kita mampu mendoakan teman-teman dan saudara kita di sana.

Contohi dan ikuti jejak Nabi dan Para Sahabat

Contohilah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka membawa mesej rahmat, kasih sayang dan perpaduan. Bukan mesej untuk saling membenci, memecah belah, rusuhan dan kemusnahan. Itu bukan mesej Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Bagi kita yang cintakan agama, cintakan Allah dan Rasul-Nya, kembalilah kepada petunjuk Allah dan Rasul-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ali ‘Imran,

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Sama-samalah kita teliti realiti yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Adakah kita cintakan keamanan, adakah kita cintakan perpadauan, atau kita cintakan kemusnahan dan perpecahan. Sama-sama kita muhasabah dan meraih kesempatan ini sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat,

وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

“Sekiranya ada dua golongan dari orang mukmin yang berperang maka hendaklah kamu damaikan di antara keduanya.” (Surah Al-Hujurat, 49: 9)

Jika demikian firman Allah, di mana kita umat Islam di negara ini? Kerana politik dan kuasa, kita berperang, bergaduh, merusuh sesama kita. Di mana kedudukan kita di dalam ayat Allah ini. Jika kita ingin tegakkan Islam di negara ini, sama-samalah kita mempraktikkan ayat yang Allah Subhanahu wa Ta’ala turunkan.

Wallahu a’lam.

 

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: