Skip to content

Pertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Perlis berkaitan fasal Ahli Sunnah wal Jamaah

April 9, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

white-tulips-87788Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis telah lama menggelar Ahli Sunnah itu sifatnya sentiasa Ghuraba (asing). Sabda Nabi,

بَدَأَ اْلإِسْلاَمُ غَرِيْبًا وَسَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأَ، فَطُوْبَى لِلْغُرَبَاءِ

“Islam itu bermula dengan asing, dan ia akan kembali asing seperti mana ia bermula, maka khabar gembiralah bagi orang-orang yang asing.” (Riwayat Muslim)

Di dalam riwayat Ahmad, sahabat Nabi radhiyallahu ‘anh bertanya kepada Nabi,

يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ الْغُرَبَاءُ قَالَ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ إِذَا فَسَدَ النَّاسُ

“Wahai Rasulullah, siapakah orang yang asing itu?” Baginda menjawab, “Orang-orang yang kekal soleh ketika manusia-manusia lain telah rosak.” (Riwayat Ahmad. Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Shahih wa Dha’if Al-Jami’)

Maka dari hadis ini, ahli ilmu antaranya Syaikh ‘Ubaid Al-Jabiri rahimahullah menjelaskan bahawa Ahli Sunnah wal Jamaah itu sifatnya asing, dilihat ganjil dan pelik berbanding orang lain.

Para sahabat bukanlah tidak mengetahui makna Al-Ghuraba di dalam bahasa Arab. Mereka sendiri berbangsa Arab dan bertutur di dalam bahasa Arab, namun mereka memahami bahawa Al-Ghuraba yang dimaksudkan oleh Nabi adalah pada definisi Syarak, bukan pada definisi bahasa semata-mata. Oleh kerana itu mereka bertanya kepada Nabi.

Al-Ghuraba bukanlah orang yang sengaja melakukan perkara-perkara pelik yang orang lain tidak buat, atau melakukan perkara-perkara pelik di luar syariat atau di luar tabi’i manusia. Al-Ghuraba bukan juga orang yang sengaja menzahirkan kepelikan mereka kepada orang ramai, akan tetapi automatik apabila dikatakan Ahli Sunnah, sifat mereka adalah berbeza daripada orang lain kerana mereka sentiasa melazimi kebaikan (Sunnah) di saat manusia lain telah rosak (meninggalkan Sunnah).

Perbezaan Ahli Sunnah dengan manusia lain adalah pada empat perkara asas ini; manhaj, akidah, syariat dan akhlak. Ia bukan bergantung kepada undang-undang, kepercayaan-kepercayaan, atau negeri-negeri tertentu, namun ia bergantung kepada empat perkara asas ini.

Manhaj Ahli Sunnah

Para Ulama menyebut bahawa asas perbezaan manhaj Ahli Sunnah dan selain mereka adalah pada Manhaj At-Talaqqi wal Istidlal; iaitu prinsip-prinsip atau metodologi di dalam memilih sumber ilmu dan memahami sumber ilmu.

Manhaj At-Talaqqi wal Istidlal adalah prinsip asas kepada manhaj Ahli Sunnah. Sumber ilmu umat Islam asasnya adalah Al-Quran dan As-Sunnah, dan seterusnya Ahli Sunnah turut menjadikan para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhu dan para ahli ilmu yang berpegang dengan dasar-dasar Ahli Sunnah sebagai rujukan untuk memahami kedua-dua sumber tersebut.

Al-Quran dan As-Sunnah tidak akan dapat difahami secara benar sekiranya kita tidak merujuk kepada penjelasan para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum ajma’in dan Ulama-Ulama Ahli Sunnah. Itu adalah prinsip asas Ahli Sunnah.

Jadi kita dapat mengenali seseorang itu Ahli Sunnah ataupun tidak dengan melihat kepada caranya memahami Al-Quran dan Sunnah. Sekiranya seseorang itu mengaku mengikut Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi dia meninggalkan sahabat Nabi dan Ulama-Ulama Ahli Sunnah sebagai rujukan, dia tidak boleh dikategorikan sebagai Ahli Sunnah.

Berapa ramai orang pada hari ini yang menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah tetapi dia mengikut zikir menari, zikir mengikut irama muzik dan sebagainya? Ramai orang menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah tetapi tindakan, kaedah dan cara yang dipraktikkan tidak menepati Al-Quran dan Sunnah seperti yang difahami oleh para Sahabat Nabi dan Ulama Ahli Sunnah yang mengikuti mereka dengan baik.

Bahkan sekarang ini di Kuala Lumpur telah tersebar satu ajaran zikir rock, mereka bergerak secara tertutup ke apartment kediaman orang kaya-kaya, mereka membuat bulatan zikir lelaki perempuan yang bercampur semuanya. Selesai mereka berzikir dengan bacaan mereka, mereka menunjuk; lelaki ini untuk perempuan ini, lelaki itu untuk perempuan itu. Mereka mengambil umum nash,

اذْكُرُوا اللَّهَ يَذْكُرْكُمْ

“Ingatlah Allah, Allah akan ingat kamu.”

Mereka mengatakan perintah ingatlah Allah itu merujuk kepada jama’ (plural/ramai) bermaksud mengingati Allah (berzikir) hendaklah dilakukan secara berjamaah lelaki dan perempuan. Mereka menggunakan dalil yang betul tetapi cara dan kaedah mereka memahami dalil tersebut tidak betul sebab mereka tidak mengikut tafsiran Nabi dan para sahabat terhadap ayat tersebut, mereka tidak mengikut perkataan Ulama tafsir terhadap ayat tersebut.

Mereka hanya ada Al-Quran dan Hadis tetapi mereka mengulasnya sendiri tanpa merujuk kepada perbahasan ahli ilmu dan tanpa mengikuti kaedah-kaedah dalam mentafsirkan ayat ataupun syarah sesuatu hadis.

Oleh kerana itu, Ahli Sunnah amat menitik beratkan hal ini dan ia menjadi perkara nombor satu yang diberi perhatian. Tanpa manhaj yang benar, segala hal-hal yang lain sukar untuk diluruskan.

Setelah memahami dan mengikuti manhaj dan akidah yang benar, kemudian barulah pergi kepada bab Syariat, ibadat, munakahat, muamalat, hukum hakam syar’i, undang-undang jenayah Syariah Islam yang lain, serta tidak kurang penting adalah bab akhlak. Kesemua perkara ini merupakan cermin kepada Ahli Sunnah.

Ahli Sunnah jumlahnya sedikit

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengatakan bahawa golongan Ahli Sunnah ini sangat sedikit jumlahnya. Sebab itu Nabi menggambarkan mereka sebagai “orang-orang yang soleh di saat manusia-manusia telah rosak”.

Dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala, pemimpin negeri kita yang lalu telah menetapkan undang-undang tubuh negeri Perlis yang membawa perbezaan dengan negeri-negeri lain, di mana perbezaannya adalah menetapkan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai mazhab di Perlis. Maknanya Perlis menerima segala sesuatu selama mana ia datang dari Ahli Sunnah, merujuk kepada empat perkara tadi.

Imam Al-Syafi’i adalah Imam Ahli Sunnah, kerana manhajnya tepat dan benar, akidahnya benar, syariahnya benar, akhlaknya benar. Begitu juga dengan Imam Malik bin Anas, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hanifah, dan Imam Ahlus Sunnah yang lain. Ini merupakan satu kelainan Perlis berbanding negeri-negeri lain. Kita lebih terbuka sebenarnya berbanding negeri-negeri yang lain,. Kita menerima kepelbagaian mazhab fiqah selama mana ianya menepati Al-Quran dan As-Sunnah mengikut tafsiran generasi awal Umat Islam.

Jadi sekarang ini, apabila sudah wujud undang-undang tubuh tersebut, menjadi satu kewajipan bagi kita untuk mempertahankannya. Jangan dibiarkan undang-undang tubuh tersebut diselewengkan. Diselewengkan dalam erti kata orang menggunakan nama Ahli Sunnah dan menterjemahkannya sesuka hati sehingga tersebarnya bid’ah dan perkara-perkara mungkar, khurafat, syirik dan sebagainya. Apatah lagi sekarang ini Syiah yang menjadi musuh dalam selimut akidah Ahli Sunnah, Syiah bukan musuh yang kecil.

Manfaatkan kekuatan

Kita sudah ada undang-undang yang sangat baik maka sewajarnya ia diisi dan dimanfaatkan untuk menyebarluaskan kefahaman Ahli Sunnah. Untuk merealisasikannya, terlebih dahulu kita perlu mengenalpasti apa halangan-halangan dan kelemahan-kelemahan kita, serta peluang dan kekuatan yang kita ada.

Kekuatan kita adalah undang-undang itu sendiri. Kekuatan kita juga ada pada orang-orang lama dan generasi baru yang bangkit pada hari ini memperkenalkan kepada masyarakat akan sifat keterbukaan kita di dalam menerima perbezaan dan membuat perbandingan. Sebahagian orang sangat alergi jika dibanding-banding, mereka merasakan hanya amalan mereka sahaja betul, selain daripada pegangannya semua salah. Tetapi generasi muda pada hari ini telah terbuka mindanya dan bangkit membuat perbandingan serta analisa. Ini adalah kekuatan kita, sama ada kita manfaatkannya ataupun tidak.

Pada hari ini di mana komunikasi dan teknologi semakin mudah, ramai orang yang telah terbuka fikiran. Orang dari luar, contohnya dari Kuala Lumpur yang datang bekerja di Perlis, ketika mula-mula salat di masjid itu dia mufaraqah, salat di masjid ini dia mufaraqah, akhirnya dia bertanya dan bertanya, dan mendapat penjelasan dan terbuka minda mereka untuk menerima. Itu kekuatan kita.

Perpecahan melemahkan usaha dakwah

Lihat pula pada kelemahan, tidak lain dan tidak bukan adalah perpecahan. Kita sudah ada undang-undang yang elok, namun kita berpecah sesama kita. Ia tidak membantu untuk memperkukuh dan memperkemaskan dakwah Ahli Sunnah. Ini ternyata kelemahan kita yang nombor satu, iaitu perpecahan.

Kelemahan nombor dua adalah pengimarahan majlis-majlis ilmu. Ia merujuk kepada Ustaz-ustaz atau penuntut ilmu. Kita ingin menarik minat orang kepada ilmu. Namun sekiranya kita lemah di dalam hal pengimarahan majlis ilmu, generasi yang akan datang tidak akan dapat membantu dan memanfaatkan undang-undang tubuh Kerajaan negeri kita.

Kita tidak mahu Perlis ini menjadi seperti muzium Ahli Sunnah sahaja, hanya Ahli Sunnah pada nama, tetapi tidak ada beza dengan masyarakat yang lain.

Saya melihat dua kelemahan ini yang berlaku secara jelas dan serius.

Manfaatkan peluang

Peluang yang kita ada untuk menyebarkan dakwah di negeri ini sangat banyak. Kita tidak ada sebarang halangan untuk bercakap tentang dakwah ini di mimbar-mimbar khutbah, di kuliah-kuliah di masjid, surau atau di tempat-tempat awam secara terbuka.

Berbeza dengan negeri lain, contohnya kalau kita bercakap di Kuala Lumpur di mana-mana tempat secara terbuka, di mana pengetahuan masyarakat awam masih minima, berkemungkinan kita akan mencari masalah dengan orang, silap-silap kena tangkap, kerana kadang-kadang masih ada orang yang tidak dapat menerima perbandingan dan perbezaan.

Sedangkan kita hanya menyampaikan ilmu, bukan kita menghukum orang sesat masuk neraka, itu bukan cara dakwah Islam. Walaubagaimanapun ada sesetengah orang alergi dan tidak boleh menerima sebarang perbezaan.

Contohnya apabila kita menjelaskan tentang amal ibadat yang biasa seperti qunut, membaca bismillah dengan perlahan atau kuat, akhirnya ada fatwa Ustaz popular di TV mengatakan salat mengikut cara Imam Masjidil Haram yang tidak membaca bismillah secara kuat itu tidak boleh dibuat di Malaysia, melainkan jika dibuat sendiri-sendiri. Di Malaysia hanya boleh mengamalkan mazhab Syafi’i. Dia mengatakan Malaysia mengamalkan riwayat Hafs ‘an ‘Ashim. Ini cerita apa? Adakah dia faham Hafs ‘an ‘Ashim itu apa?

Adakah dia faham bismillah perlahan dan kuat yang kita bincangkan ini berkaitan apa? Kita bukan berbicara tentang tidak membaca bismillah, sebaliknya kita membincangkan tentang membaca bismillah dengan suara perlahan atau kuat, itu sahaja. Ini bukan cerita Ustaz kecil-kecil, ini cerita Ustaz popular dan mempunyai ramai pengikut, orang menunggu di depan TV untuk mendengar Ustaz itu, tetapi dukacitanya dia memberi kenyataan yang jauh dari manhaj dan disiplin ilmu.

Adapun kita berlapang dada dengan kekhilafan di kalangan ahli ilmu di dalam isu ini. Kita tidak ada masalah untuk salat di belakang Imam yang membaca bismillah kuat ataupun perlahan, kita tidak pernah mufaraqah. Kita tidak pernah mengatakan sesat atau menolak perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu, yang mana kebanyakan orang tidak boleh terima.

Jadi peluang-peluang yang ada ini sepatutnya kita manfaatkan semaksimum mungkin. Kita perlu lebih agresif. Bayangkan kita ada Raja yang mempertahankan undang-undang tubuh negeri, yang sudah semestinya tidak akan bersetuju kepada sesiapa pun yang hendak mengubahnya. Maka kita perlu membincangkan bagaimana kita hendak mengisi peluang yang sudah ada.

Halangan Usaha Dakwah

Kita tidak mahu menuduh mana-mana pihak menghalang kita. Walaubagaimanapun kita perlu kenalpasti penghalang-penghalang yang ada agar kita tahu bagaimana kaedah penyelesaiannya; sama ada melalui rundingan secara baik, atau menghantar memorandum dan sebagainya. Adapun demonstrasi, kita tidak akan buat kerana itu bukan sikap Ahli Sunnah dalam menyelesaikan masalah.

Jika kita teliti dan susun semula dengan baik, akan jelas kepada kita di mana kekuatan, kelemahan, peluang dan halangan yang ada. Dengan cara itu barulah kita akan mampu mengisi dan memperkukuhkan undang-undang tubuh negeri kita dengan baik, iaitu yang berkaitan dengan mempertahankan pengamalan Ahlus Sunnah wal Jama’ah di Perlis.

Masjid kita sudah banyak, namun tidak diurus dan dimanfaatkan dengan baik. Di luar kita tidak boleh bercakap sebab orang melabel kita. Mereka melabel sahaja, bukan mereka mahu mendengar atau membahas kita dengan baik, mereka terus melabel sahaja.

Apabila kita pergi ke tempat orang, kita perlu menghormati sensitiviti. Di dalam dakwah kepada masyarakat, kita perlu memahamkan mereka kepada prinsip terlebih dahulu, dekatkan mereka dengan Al-Quran dan Sunnah, dekatkan mereka dengan agama, dekatkan dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, sahabat-sahabat Nabi dan Ulama-Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah, barulah ilmu boleh disebarkan. Gunakan konsep,

يَسِّرُوْا وَلَا تُعَسِّرُوْا وَبَشِّرُوْا وَلَا تُنَفِّرُوْا

“Permudahkanlah dan jangan kalian susahkan, berilah khabar gembira dan janganlah kalian membuat orang lari.” (Bukhari dan Muslim)

Itu kaedah dakwah untuk mendekatkan masyarakat kepada Islam. Jadi saya kira tanggungjawab mempertahankan undang-undang tubuh negeri ini dari sudut mazhab Ahli Sunnah dalam negeri kita sewajarnya dikembangkan ke seluruh negara.

Sekarang ini ramai yang mengatakan ikut mazhab Sayfi’i tetapi sebenarnya mereka tidak mengikut mazhab Syafi’i pun. Walaupun begitu ilmu dan pengetahuan dari luar tidak boleh disekat lagi sebab sekarang sudah ada internet, kitab-kitab telah tersebar, sampai satu masa orang akan berkata ianya betul, dan akan ada orang yang menyedari kebenaran dakwah ini. Saya telah melihat perkara ini berlaku di sebelah selatan, Selangor, Kuala Lumpur dan sebagainya.

Namun kadang-kadang disebabkan kelemahan kita sendiri, kita tidak memanfaatkan peluang yang ada, kita tidak mengenalpasti halangan-halangan. Kadang-kadang orang yang kita lihat baik tetapi sebenarnya dialah penghalang utama kepada penyebaran dakwah. Maka hal ini perlu diteliti dan dikaji dengan baik agar tidak berlaku kegagalan di dalam perlaksanaan dakwah ini.

Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=rHWpK4WwsTY

One Comment
  1. afeezbakat permalink

    sepatutnya perlis di panggil darul sunnah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: