Skip to content

KHUTBAH JUMAAT: KEMBALI KEPADA PETUNJUK SYARAK DALAM MENEGUR KESALAHAN PEMIMPIN (1)

April 19, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

164958_456924417715778_1444440957_nAssalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh,

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ, نَحْمَدُهُ, وَنَسْتَعِينُهُ, وَنَسْتَغْفِرُهُ, وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا, ومِن َسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا

مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ, وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلاً سَدِيدًا يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

أَمَّا بَعْدُ:

فَإِنَّ  أصدق الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ, وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ, وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا, وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ, وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ, وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah Subhanahu wa Ta’ala sekalian,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dengan sebenar-benar takwa sebagaimana ayat yang telah saya bacakan sebentar tadi,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.”

Abdullah ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu apabila menjelaskan erti takwa, kata beliau yang diertikan dengan takwa adalah,

أن يطاع فلا يعصى ، ويذكر فلا ينسى ، ويشكر فلا يكفر

“Allah itu ditaati bukan dimaksiati, dan diingati bukan dilupai, dan disyukuri bukan dikufuri.”

Demikian erti takwa yang umat Islam dituntut dengannya. Kata Al-Imam Ibn Katsir rahimahullah setelah menjelaskan pengertian takwa yang diberikan oleh Abdullah ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu,

فمن فعل ذلك فقد اتقى الله حق تقاته

“Barangsiapa yang melakukan demikian, maka dia telah bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.”

Dalam merealisasikan takwa, tidak lain dan tidak bukan Islam menuntut agar umatnya saling nasihat menasihati. Kerana itu Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Tamim bin Aus Ad-Daariy, sabda Baginda,

« الدِّينُ النَّصِيحَةُ » قُلْنَا لِمَنْ قَالَ « لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ »

“Agama adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, “Kepada siapa?” Baginda menjawab, “Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, Pemimpin Kaum Muslimin dan Kaum Muslimin secara umum” (Riwayat Muslim)

Maka Islam adalah agama yang menuntut untuk saling nasihat menasihati. Kerana itu apabila kita melihat berlakunya kemungkaran, perlu lahir di jiwa kita semangat untuk mengingkari kemungkaran tersebut berdasarkan kemampuan dan kudrat masing-masing.

Sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis yang sahih,

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ

“Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya (mengingkarinya) dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya, itulah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Muslim)

Maknanya tugas untuk mengingkari kemungkaran tidak terlepas dari setiap individu yang bernama Muslim secara khususnya dan umat manusia secara umumnya. Bagi yang melihat kemungkaran dan ada kemampuan, perbetulkanlah kesalahan tersebut dengan tangannya, bagi yang tidak mampu dengan tangannya maka manfaatkan lisannya dan bagi yang tidak mampu, ingkarilah kemungkaran tersebut dengan hatinya.

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah ‘Azza wa Jalla sekalian,

Berbicara tentang kemungkaran dan kemaksiatan, pada hari ini manusia begitu bersungguh-sungguh mengingkari kemaksiatan dan kemungkaran di sekitarnya. Khutbah Jumaat pada hari ini membicarakan dan memberikan keutamaan fokus kepada apa yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis, di mana antara tujuan nasihat itu adalah untuk pemerintah atau pemimpin-pemimpin kaum Muslimin.

Pada hari ini kita melihat pemimpin-pemimpin Islam dan seluruh manusia secara umumnya tidak akan bebas daripada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan sesuai dengan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih,

كل ابن آدم خطاء وخير الخطائين التوابون

“Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (riwayat Ahmad)

Maka pemimpin juga manusia, pemimpin juga anak Adam, dan rakyat juga merupakan anak-anak Adam. Jika pemimpin tidak bebas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan, begitu juga kita tidak bebas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.

Dan demikian juga, apabila pemimpin melakukan kesilapan dan kesalahan, wajib ke atas sekalian Kaum Muslimin untuk mengingkari kesalahan tersebut, namun dengan cara yang Syar’i. Ya, kita menerima perintah daripada Allah untuk mengingkari kesilapan dan kesalahan. Kita menerima perintah daripada Allah ‘Azza wa Jalla untuk memperbetulkan kesilapan dan kesalahan serta saling menasihati antara satu sama lain, termasuk pemimpin dari kalangan Kaum Muslimin.

Jika kita menerima wasiat, perintah dan syariat untuk menasihati pemimpin, kita juga wajib menerima Syariat daripada Allah untuk menasihati pemimpin sesuai dengan tuntutan Syarak.

Sayangnya apa yang berlaku pada hari ini, satu musibah besar yang dihadapi oleh Kaum Muslimin, keghairahan mereka untuk menasihati dan memperbetulkan kesalahan dan kesilapan pemimpin menyebabkan kadangkala mereka terlupa kaedah yang dituntut oleh Syariat dalam permasalahan ini.

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah,

Pemimpin jika melakukan kesalahan dan kesilapan bukan merupakan suatu perbuatan yang dituntut oleh Syarak untuk kita memaki hamun, mencerca, mengumpat, memfitnah dan sebagainya, sebaliknya tuntutan Syarak sesuai dengan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dengan sanad yang sahih,

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ السُّلْطَانَ بِأَمْرٍ فَلاَ يُبْدِ لَهُ عَلاَنِيَةً، وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُو بِهِ، فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ، وَإِلاَّ كَانَ قَدْ أدَّى الَّذِيْ عَلَيْهِ لَهُ

“Barangsiapa ingin menasihati pemerintah dalam suatu perkara, maka janganlah dia melakukannya secara terbuka, tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya. Jika ia diterima, dia telah menerima kebaikan. Jika tidak, dia telah menjalankan kewajiban terhadapnya.” (Riwayat Ahmad dan yang lain. Dinyatakan sahih oleh Asy-Syaikh Al-Albani)

Demikianlah Islam memberikan kepada kita asas untuk kita menegur dan menasihati pemimpin. Bukan mencerca maki, bukan memanfaatkan mimbar-mimbar khutbah, masjid dan surau sebagai tempat untuk kita mencerca maki antara satu dengan yang lain.

Demikian indahnya mesej Islam. mesej perpaduan dan kasih sayang yang sepatutnya kita praktikkan dalam kehidupan seharian. Seharusnya kita mengambil iktibar dari kisah Sahabat Nabi, Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ketika mana Utsman bin Affan radhiyallahu ‘anhu memerintah.

Seperti mana yang umat Islam sedia maklum, pada zaman pemerintahan Utsman banyak berlaku pergolakan, kekacauan, huru hara, fitnah dan sebagainya, bukan kerana kelemahan Utsman, tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala mentakdirkan dengan sikap kelembutan Utsman menyebabkan golongan-golongan Munafiqun, Khawarij dan Syiah mengambil kesempatan.

Maka pada ketika itu, tersebarlah berita-berita di seluruh tanah Arab bahawasanya Utsman itu korupsi, mengamalkan nepotisme dan kronisme, memakan harta rakyat dan tidak mentadbir dengan baik. Sedangkan itu semua adalah fitnah-fitnah yang ditohmahkan ke atas Utsman bin Affan kerana ada pihak yang gilakan kuasa dan pangkat.

Maka Usamah bin Zaid, cucu angkat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam hasil perkahwinan Zaid bin Haritsah dengan Ummu Aiman, orang yang dicintai dan dikasihi Nabi diminta oleh rakyat untuk menasihati Utsman bin Affan. Usamah apabila diminta berbuat demikian berkata;

أَتَرَوْنَ أَنِّي لَا أُكَلِّمُهُ إِلَّا أُسْمِعُكُمْ وَاللَّهِ لَقَدْ كَلَّمْتُهُ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَهُ مَا دُونَ أَنْ أَفْتَتِحَ أَمْرًا لَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ أَوَّلَ مَنْ فَتَحَهُ

“Apakah kalian menganggap aku tidak menasihatinya melainkan aku menceritakan kepada kalian. Demi Allah, aku telah bercakap dengannya (menasihatinya) antara aku dengan dia, aku tidak ingin membuka pintu fitnah dan aku tidak ingin menjadi orang pertama yang membukanya.”

Lihat, demikianlah sikap cucu angkat Nabi. Bukan mencari populariti, bukan menyampaikan pendapat dan pandangan untuk menjadi popular, bukan memberi pendapat dan pandangan untuk pangkat dan kuasa, bukan memberi pendapat dan pandangan untuk dipuji. Inilah orang yang alim, orang yang ikhlas.

Demikian sikap para sahabat, demikian sikap Usamah bin Zaid, betapa ikhlas mereka dalam menasihati, betapa ikhlas mereka dalam menyampaikan teguran. Sesungguhnya bukanlah nasihat itu untuk disebarkan, kerana Islam meraikan ego dan maruah diri setiap manusia, Islam meraikan setiap peribadi manusia yang berbeza.

Jika kita sebagai ibu bapa, guru, pemimpin di syarikat dan pejabat, kita tidak redha jika orang di bawah kita mengkritik kita secara terbuka. Kita juga tidak redha jika ada di kalangan sahabat kita yang membuka aib kita dan menegur kesalahan kita secara terbuka di media-media sosial, di dinding-dinding Facebook. Begitu jugalah pemimpin yang memimpin berpuluh juta rakyat di bawahnya.

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati oleh Allah,

Apa yang saya sampaikan ini bukan bererti kita meninggalkan kewajipan mengingkari kemungkaran. Tidak, kewajipan mengingkari kemungkaran adalah tanggungjawab dan tugas kita semua. Cuma saya menuntut diri saya dan kita semua yang berada di dalam masjid ini untuk menginsafi dan muhasabah diri adakah kita mengingkari kesalahan atau kesilapan pemimpin kita sesuai dengan tuntutan Syariat.

Ramai di kalangan orang menggunakan beberapa hadis secara semberono, menafsirkan beberapa hadis sesuka hatinya untuk mengajar dan mengkritik pemerintah secara terbuka malah ada yang menggunakan perkataan-perkataan kesat.

Antara contoh hadis yang mereka gunakan,

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

“Jihad paling utama adalah kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.” (Hasan. Riwayat Ahmad)

Hadis ini benar. Berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim yang dikatakan jihad paling utama adalah secara empat mata, berhadapan dengannya, bercakap di hadapannya. Bukan di belakangnya, bukan di dada-dada akhbar, bukan di mimbar-mimbar khutbah atau di masjid-masjid.

Demikian hadis disalah gunakan, demikian hadis disalah tafsirkan. Demikian juga mereka menggunakan hadis Muawiyah bin Abi Sufyan radhiyallahu ‘anhu, di mana Muawiyah pernah ditegur ketika menyampaikan khutbah Jumaat ketika Muawiyah berkata,

إنما المال مالنا و الفيء فيئنا ، من شئنا أعطينا و من شئنا منعنا

“Sesungguhnya harta itu harta kami (pemimpin) dan harta rampasan itu milik kami (pemimpin).”

Bangun seorang yang hadir menegur Muawiyah bin Abi Sufyan secara langsung dan berhadapan. Riwayat ini digunakan pihak-pihak tertentu untuk mengkritik pemerintah secara terbuka.

Sila cermati riwayat ini. Orang yang menegur Muawiyah, dia menegur secara berhadapan. Ya, jika berlaku kesalahan, tegur secara berhadapan. Jangan setelah pemimpin pulang, atau di belakang pemimpin, kita mengkritik kesalahannya. Itu bukan menegur secara berhadapan. Itu merupakan kaedah yang digunakan oleh golongan-golongan Khawarij, Syiah, Muktazilah, Qadariyah, Jabriyah dan sebagainya. Mereka merupakan golongan-golongan yang menafsir dan menyelewengkan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Maka marilah kita sama-sama mengingkari kemungkaran, marilah sama-sama kita mengingkari sebarang bentuk kezaliman, menasihati pemimoin-pemimpin kita sesuai dengan tuntutan Syarak. Dan pada masa yang sama kaedah untuk kita menegur dan menasihati hendaklah sesuai dengan tuntutan Syarak.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah sekalian,

Sesungguhnya petunjuk Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pasti memberikan kebaikan kepada kita sekiranya kita mengikutinya. Sebagaimana sabda Baginda,

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لاَ يَزِيْغُ عَنْهَا بَعْدِيْ إِلاَّ هَالِكٌ

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kalian perkara yang putih (terang benderang), malamnya seperti siangnya. Tidaklah seseorang itu berpaling daripadanya selepas peninggalanku melainkan dia akan binasa.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad dari jalan Al-‘Irbadh bin Sariyah radhiyallahu anhu).

Jangan menyangka khutbah pada hari ini bertujuan untuk membiarkan kezaliman berlaku. Tidak, khutbah pada hari ini mesejnya adalah perpaduan, mesejnya adalah kembali kepada petunjuk Islam, mesejnya adalah kembali kepada petunjuk Rasul sallallahu ‘alaihi wasallam dalam menegur dan menasihati pemimpin.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah melukis satu garisan panjang yang lurus, kemudian Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam melukis di kiri dan kanannya cabang-cabang, lalu Baginda membaca firman Allah,

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ

“Dan inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia. Dan janganlah kalian mengikuti pelbagai jalan (cabang-cabang lain) yang hanya akan menyimpangkan kalian dari jalan-Nya”(Surah Al-An’am: 153).

Maka marilah sama-sama kita bermuhasabah dan kembali kepada pentunjuk Nabi yang menyeru kepada perpaduan; perpaduan akidah, perpaduan ibadah, dan perpaduan di dalam memelihara akhlak termasuk juga akhlak di dalam memperbetulkan kesalahan dan kesilapan pemerintah.

Wallahu a’lam.

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: