AGAR AGAMA, BANGSA & NEGARA TERUS TERPELIHARA #PRU13
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
إِنَّ لِكُلِّ عَمَلٍ شِرَّةً وَلِكُلِّ شِرَّةٍ فَتْرَةٌ، فَمَنْ كَانَتْ شِرَّتُهُ إِلَى سُنَّتـِي فَقَدْ أَفْلَحَ وَمَنْ كَانَتْ فَتْرَتُهُ إِلَى غَيْرِ ذَلِكَ فَقَدْ هَلَكَ
“Setiap amalan ada masa semangat, dan setiap masa semangat ada masa jenuh (putus asa). Barangsiapa kejenuhannya dipalingkan kepada sunnahku bererti dia telah berbahagia, dan barangsiapa yang kejenuhannya tidak membawa dia kepada yang demikian maka dia telah binasa.” (Riwayat Ahmad, lihat Shahih At-Targhib)
Semangat adalah sesuatu yang perlu dijaga. Bagaimana kita hendak kekalkan semangat itu supaya tidak hilang?
Kalau kita bercakap tentang pilihan raya contohnya, kita telah mendengarnya sejak tahun lepas lagi. Bulan 3, 4, 5, lepas raya, lepas perhimpunan agung Umno, lepas haji, kemudian dikatakan pada bulan 1, kemudian bulan 2, kemudian bulan 3, dan akhirnya dengan ketetapan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala ia ditentukan pada 5 Mei tahun ini, insyaAllah.
Ada orang yang masa semangatnya sejak bulan 3 tahun lepas dan pada ketika ini dia sudah tidak bersemangat. Kita tidak mahu seperti itu. Kita kena kekalkan semangat dan momentum kita. Bagaimana kita hendak kekalkannya?
Caranya adalah kita perlu faham ke mana hala tuju perjuangan kita, kenapa kita buat semua ini, adakah untuk bagi saya menang sahaja? Tidak, bukan itu matlamat utama. Adakah untuk bagi DS Najib menang? Bukan itu matlamat utama kita. Adakah sebab kita suka DS Shahidan Kassim? Bukan itu matlamat utama. Matlamat kita ingin menang adalah kerana kita ingin pastikan agama kita, bangsa, dan negara kita terjamin. Itu tujuan asal.
Kemudian baru datang siapa yang mampu mempertahankan agama, negara dan bangsa kita. Kita melihat DS Najib mampu menggalas tugas dan tanggungjawab ini, sebab itu kita sokong dia. Asasnya, kita hendak bawa agama Islam di samping kita memberi hak kepada orang-orang bukan Islam untuk mempraktikkan agama mereka. Mereka dengan agama mereka dan kita dengan agama kita. Perkara ini pun telah Allah ajarkan di dalam Al-Quran, “Lakum dinukum waliyadin”.
Itu konsep dan cara yang kita bawa. Sebagai orang yang beragama Islam, kita wajib pertahankan agama . Dan Alhamdulillah, perlembagaan Malaysia menetapkan agama Islam sebagai agama persekutuan (agama negara). Maka matlamat utama kita adalah mempertahankan agama. Dan semangat kita perlu dihubungkan dengan objektif untuk mempertahankan agama.
Kerana apa begitu penting untuk kita mempertahankan agama? Sudah semestinya perkara nombor satu apabila kita bercakap bab agama adalah kerana Allah, hal yang berkaitan dengan ketuhanan (akidah).
Apabila bercakap tentang agama, perkara pertama bukan berkaitan aurat, menjauhi arak, zina dan sebagainya. Bukan maksudnya perkara ini boleh, tidak, tetapi ianya perkara nombor 3 atau 4 atau berikutnya. Tetapi perkara nombor satu apabila disebut tentang mempertahankan agama adalah merujuk kepada akidah Islam.
Kita tidak mahu lihat masyarakat kita pada hari ini tidak dipelihara akidahnya, tidak dipelihara asas hubungannya dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebab itu kita mesti buat semua ini.
Di sana ada orang-orang dan pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab sanggup hendak menggadaikan prinsip-prinsip dan pegangan agama di negara ini, mereka sanggup ketepikan nilai-nilai akidah asalkan mereka dapat mengajak orang membenci Kerajaan, mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Semata-mata untuk mendapatkan kerusi politik, kerana hendak dapatkan kerusi politik mereka sanggup benci membenci. Ini yang kita tidak mahu.
Di sini saya akan bawa kempen Istiqamah yang saya ambil perkataannya dari surah Al-Fatihah yang kita baca setiap hari “ihdina as-sirathal mustaqim” (Tunjukkan kami jalan yang lurus). Istiqamah diambil dari perkataan mustaqim yang bermaksud lurus, konsisten, seimbang, adil, terbaik, cemerlang.
Apabila kita melihat “Istiqamah” kita faham perjuangan kita, mudah-mudahan kita berada di jalan yang lurus, kita inginkan kecemerlangan, kita inginkan yang terbaik, dan kita inginkan keadilan.
Apabila saya berkempen di sini, bukan saya katakan parti kita semuanya betul dan sempurna. Tidak. Yang mengangkat parti ini adalah manusia. Apabila kita mengakui diri sebagai manusia, anak-anak Adam, pasti ada salah dan pasti ada silap. Dacing yang paling tepat timbangannya hanya ada di Akhirat.
Adapun kita, ada salah dan ada silap. Sebab itu Perdana Menteri kita tidak malu dan tidak ada masalah ketika sedang berucap di tengah-tengah perhimpunan Agung Umno meminta maaf daripada rakyat Malaysia kalau sekiranya ada melakukan kesalahan dan kesilapan.
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam juga di hadapan sahabat-sahabat Baginda, Allah menurunkan satu surah menegur kesilapan Baginda seperti yang seringkali kita baca di dalam Surah ‘Abasa. Allah menurunkan ayat Al-Quran menegur Nabi kerana Baginda terlupa bahawa Baginda ada membuat janji dengan seorang sahabat yang buta, tetapi apabila pembesar-pembesar Arab yang kaya datang, Baginda terlupa janjinya dengan sahabat yang buta tadi.
Kalau Nabi boleh terlupa, apatah lagi kita. Bukan setakat lupa, sudah pasti ada salah dan dosa yang lebih dari itu lagi. Jadi sebab itu kita tidak boleh mengatakan bahawa kita lengkap dan sempurna, tetapi kita bandingkan dan fikir elok-elok siapa yang kini mampu mempertahankan prinsip-prinsip akidah dan agama kita, yang mampu mempertahankan negara dan bangsa kita.
Maka berikan motivasi dan sokongan kepada calon-calon kita supaya dapat meneruskan dan mudah-mudahan dapat memastikan agama dan tanah air kita terpelihara dan dipelihara oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Kita perlukan kekuatan dan sokongan moral, sama-samalah kita tolong bantu dalam hal-hal kebajikan dan hal-hal ketakwaan. Moga-moga usaha kita di sini mendapat redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Wallahu a’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:
From → Adab & Akhlak, Akidah & Manhaj