Lompat ke isi kandungan

Perjuangan PAS sudah tidak relevan. Hukum pangkah & sokong PAS

April 25, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

315682_10151895395983327_1651252033_nSoalan: Baru-baru ini pondok-pondok membuat satu konvensyen. Dan Ustaz Abdullah Sa’amah mengambil keputusan bahawa kalau undi Pas kali ini adalah haram. Jadi saya minta penjelasan daripada Ustaz.

Jawapan:

Undi Pas haram, satu resolusi yang dikeluarkan oleh satu sidang pondok yang diketuai oleh Ustaz Abdullah Sa’amah. Dalam isu ini, pendekatan saya mungkin sedikit berbeza. Dalam politik pilihanraya ini pendekatan saya lebih kepada tidak menggunakan terminologi yang seperti ini kerana ia boleh membangkitkan satu suasana yang mana kita masing-masing sibuk menghukum orang lain.

Dalam isu seperti ini, saya lebih suka kalau kita kata tidak perlu undi Pas, jangan berikan sokongan kepada mereka kerana mereka bekerjasama dengan golongan-golongan yang jelas anti-Islam. Prinsip-prinsip mereka tergadai, isu kalimah Allah dan sebagainya yang menyebabkan mereka pada hari ini hilang arah dan tujuan.

Tetapi kalau kita menggunakan terminologi haram, ia hukuman yang terlalu singkat yang perlu kepada perincian; haram mengapa? Kita tidak mahu orang kita senang menghukum haram tetapi tidak tahu kerana apa.

Seperti mana Pas yang selama ini menghukum sokong Umno dan BN haram. Namun apabila ditanya kepada mereka haram mengapa, sampai hari ini TG Nik Abdul Aziz menyebut Umno ini parti mungkar sebab tolak Islam. Kita tanya tolak Islam di mana? Kemudian dikatakan Umno tolak hukum Islam. Kita bertanya tolak hukum Islam yang mana satu? Apabila diperincikan, rupa-rupanya bab hudud dan qisas, itu sahaja. Kemudian mereka membawakan ayat Al-Quran,

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan kufur terhadap sebahagian yang lain?” (Surah Al-Baqarah, 2: 85)

Mereka kata kena terima semua.

Saya katakan, Pas pada hari ini sudah tidak relevan, sudah tidak sesuai hendak bercakap tentang hudud lagi kerana mereka sendiri sudah tidak ada cita-cita hendak membuat hudud dalam keadaan sekarang, semata-mata kerana kerjasama mereka dengan Dap.

Baru-baru ini kita bertemu dengan ketua hakim mahkamah Syariah Negeri Terengganu, Dato Ismail. Apabila saya cerita tentang enakmen jenayah syariah hudud yang Pas Terengganu cadangkan dulu semasa mereka jadi pemerintah yang mereka pun tidak mampu buat, apa ada di dalamnya?

Rupa-rupanya ia hanyalah akta semata-mata tanpa penjelasan. Contoh; potong tangan. Tetapi tidak dijelaskan siapa yang akan potong tangan, penguatkuasaannya bagaimana, siapa yang bertanggungjawab, penjaranya di mana, mahkamahnya bagaimana, ini semua tidak dijelaskan. Ianya hanya undang-undang semata-mata, mereka ambil dari Al-Quran dan hadis dan mereka masukkan menjadi undang-undang. Bagaimana mereka hendak kuatkuasa?

Apabila kita katakan kena wujudkan mahkamah, kita kena wujudkan perjawatan. Perjawatan kena melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan menentukan gaji, pekerja, kelayakan dan sebagainya. Pancung kepala; Siapa yang akan pancung kepala? Di mana hendak pancung kepala? Kaedah pancung bagaimana? Sebat; Sebat menggunakan apa? Semua ini tidak ada. Mereka cuma menulis kesalahan ini hukumnya sebat, kesalahan ini hukumannya pancung. Itu sahaja. Ianya bukan benar-benar ke arah perlaksanaan.

Sebab itu TG Haji Hadi apabila dia ditanya mengapa tidak dilaksanakan lagi hudud? Apa jawapannya? Jawabnya, sesungguhnya hudud ini hanyalah 0.0001 peratus daripada Islam. Itu jawapannya selepas dapat kuasa. Sebelum dapat kuasa dia mengatakan hudud hukum Islam, tidak buat boleh jatuh kafir dan sebagainya.

Maknanya mereka sendiri tahu dalam keadaan sekarang, hendak melaksanakan bukan hal yang mudah. Saya tidak katakan tidak boleh buat. Saya tidak katakan kita tolak hudud. Saya orang Islam, setiap orang Islam perlu ada cita-cita untuk melaksanakan hukum tersebut satu hari nanti. Kita umat Islam kena fikir bagaimana hendak laksanakan.

Baru-baru ini saya berceramah di Bagan Datoh, ada orang Hindu dua tiga orang yang kuat ibadat kerana mereka memakai tanda di dahi. Saya tanya dia, apa yang dia tahu tentang hudud? Katanya, hudud tidak ada yang bagus, potong tangan sahaja. Maknanya, dia tidak tahu langsung pasal hukum hudud ini.

Kita kena ingat bahawa kita umat Islam dalam negara ini hampir 60%. Baki lagi lebih 40% kita kena ceritakan kepada mereka tentang hudud kalau kita hendak laksanakannya. Adilkah kalau pencuri dua orang, orang Islam dan orang kafir, hanya orang Islam sahaja kena potong tangan, orang kafir tidak kena? Adilkah kalau 2 orang yang berzina, lelaki kafir dan perempuan Muslim, perempuan itu sahaja yang dihukum bunuh dan lelaki itu tidak dihukum bunuh kerana bukan Islam?

Sebab itu saya berbincang dengan wakil-wakil orang Cina dari MCA, DAP di Wisma MCA tentang hudud dan kesan perlaksanaannya terhadap orang bukan Islam. Kita kena bincang dengan mereka kerana mereka ada di tempat kita. Ia bukan satu hukuman yang dilakukan dalam rumah kita yang kita jaga 7 orang. Ini melibatkan 27juta orang yang mempunyai macam-macam karenah dan macam-macam sikap.

Jadi sebab itu saya tidak suka kita menggunakan pendekatan secara ekstrim menggunakan agama. Kalau ditanya apa hukum pangkah Pas, bagi saya dalam keadaan sekarang kita jangan berikan sokongan kepada mereka, kerana hubungan mereka dengan Dap dan Pkr, agenda dan matlamat Dap yang hendak menjadikan Malaysia ini negara yang mengamalkan pluralisme (semua agama sama), hak agama disamaratakan, bahkan ada cadangan dari pemimpin Pkr supaya orang Melayu juga diberikan kebebasan memilih agama lain selain Islam. dia mengatakan tidak adil jika orang Cina dan India diberi kebebasan tetapi orang Melayu tidak boleh. Jawapan saya mudah sahaja, kita inginkan anak cucu dan keturunan kita beragama Islam atau kita tidak kisah mereka beragama apa pun?

Kalau kita inginkan anak cucu dan keturunan kita beragama Islam, kita sewajarnya pertahankan apa yang termaktub dalam perlembagaan sekarang di mana Islam sebagai agama negara dan Melayu mestilah beragama Islam. Setidak-tidaknya kita mampu menyelamatkan 51% orang yang beragama Islam dan menjadi cabaran dan keaiban bagi kita kalau orang Melayu keluar Islam.

Kalau Omar bin Al-Khatthab berbangga dengan agama Islam, kata beliau,

إِناَّ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِالإِسْلَامِ، فَلَنْ نَبْتَغِيَ الْعِزَّ بِغَيْرِهِ

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam dan kami tidak memerlukan kemulian selain daripadanya (Islam).”

Kalau Omar berbangga bangsa Arab beragama Islam, apa masalah kita kalau orang Melayu beragama Islam? Ini tidak, demi untuk meraih undi mereka mencadangkan agar dilonggarkan perlembagaan, mengatakan perlembagaan sudah tidak relevan memaksa orang Melayu beragama Islam, dan hendak memberi kebebasan kepada orang Melayu memilih agama lain. La hawla wala quwwata illa billah.

Bagaimana mereka boleh terfikir sampai ke arah itu semata-mata untuk mendapatkan undi? Jadi saya katakan sangat tidak sesuai kita pangkah dan sokong PAS, apatah lagi PKR dan DAP. Tapi apabila kita sokong juga, di situ baru timbul hukum halal atau haram.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut: http://www.youtube.com/watch?v=kUlCMLkTfB4

Advertisement
2 Komen
  1. Agensi Penyiasat Barangan Halal Kebangsaan permalink

    Banner Umrah Februari 2013 Bersama UFB dah expired sila tukar banner lain.

  2. omar permalink

    Saya rasa kalo kerajaan sekarang laksanakan hudud kan bagus….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: