Lompat ke isi kandungan

KHUTBAH JUMAAT: HINDARI PENYAKIT TA’ASSUB (ASABIYAH) AGAR UMAT ISLAM BERSATU

April 26, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

302096_10151890967318327_1036841114_nSesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada kita semua supaya bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dalam ayat-ayat Al-Quran yang saya bacakan tadi, kesemuanya menyeru kepada takwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu apabila ditanya tentang makna takwa, kata beliau yang diertikan dengan takwa adalah,

الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

“Perasaan takut kepada Allah, dan beramal dengan apa yang Allah turunkan, dan redha dengan apa yang sedikit, dan yang bersiap sedia dengan Hari Kemudian.”

Demikianlah takwa di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menyeru manusia agar takut kepada Allah yang kesannya menjadikan manusia melakukan segala perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan meninggalkan segala laranganNya.

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian,

Pada hari ini kita melihat wujud di sana perpecahan, pergaduhan, perbalahan kerana kepentingan, kuasa dan politik. Sedangkan jika kita kembali kepada Al-Quran dan melihat bagaimana Al-Quran menyelesaikan perselisihan, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Surah Al-Nisa’,

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.” (Surah An Nisa, 4: 59)

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu apabila menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa yang diertikan dengan kembali kepada Allah adalah kembali kepada Al-Quran manakala kembali kepada Rasul adalah kembali kepada As-Sunnah. Al-Quran mengajar kita di dalam Surah Ali ‘Imran, di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati kalian, dan kerana nikmat Allah kalian menjadi orang-orang yang bersaudara; dan kalian telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kalian darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kalian, agar kalian mendapat petunjuk.” (Surah Ali Imraan, 3: 103)

Islam menyeru kepada perpaduan dan kesatuan, dan Islam benci kepada perpecahan. Ayat yang seterusnya Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 104)

Ayat seterusnya, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

ولا تكونوا كالذين تفرقوا واختلفوا من بعد ما جاءهم البينات وأولئك لهم عذاب عظيم

“Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang berpecah dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat.” (Surah Ali Imran, 3: 105)

Maka Al-Quran menyeru kepada perpaduan, demikian juga hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, sehinggakan Nabi bersabda,

عليكم بالجماعة فإن يد الله مع الجماعة

“Hendaklah kalian bersatu, kerana sesungguhnya Tangan Allah berada bersama al-jamaah (kesatuan).” (Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasa-i)

Jelas bahawa Islam sangat benci dan anti kepada perpecahan. Namun umat Islam pada hari ini diuji dengan ujian yang menjadi ketetapan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang diceritakan oleh Irbadh bin Sariyah bahawasanya,

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْنَا فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَأَنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ فَقَالَ: أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

“Pada suatu hari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam solat bersama kami, kemudian Baginda memberi kami sebuah peringatan yang sangat baik, sehingga berlinangan air mata kami dan bergetar hati-hati kami. Maka seorang berkata: “Wahai Rasulullah! Seolah-olah ini adalah peringatan orang yang akan berpisah, maka apakah wasiat engkau kepada kami?” Baginda pun bersabda: “Aku berwasiat kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, dengar dan taat (kepada pemerintah kalian) walaupun dia seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya barangsiapa yang masih hidup dari kalian setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajib atas kalian untuk berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin Al-Mahdiyyin (para khalifah yang terbimbing lagi mendapat petunjuk). Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi-gigi geraham kalian. Dan berhati-hatilah kalian terhadap perkara-perkara baru dalam agama. Kerana sesungguhnya setiap perkara baru itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Pada hari ini kesan dari perselisihan yang amat menyedihkan membawa kepada perpecahan. Sesungguhnya para ulama membezakan perselisihan dan perpecahan; semua perpecahan bermula dari perselisihan, tetapi bukan semua perselisihan itu membawa kepada perpecahan. Ianya bergantung pada sikap kita dalam mendepani perselisihan tersebut. Adakah kita beradab, menjaga kesopanan, berakhlak ketika berselisih dan berbeza pendapat, berbeza kecenderungan politik dan sebagainya, adakah kita menjaga adab yang dituntut dalam Syariat.

ISLAM MEMBENCI ASABIYAH

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian,

Pada hari ini saya akan menyentuh satu perkara yang menyebabkan perselisihan membawa kepada perpecahan yang tercela, yang menyebabkan umat Islam lemah, dan menyebabkan kekuatan umat Islam itu tiada bahkan umat Islam pada hari ini tidak lagi dihormati oleh musuh-musuh Islam sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis al-wahn,

يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا. قَالَ: قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ قَالَ: أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ يَنْتَزِعُ الْمَهَابَةَ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ قَالَ: قُلْنَا وَمَا الْوَهْنُ قَالَ: حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

“Hampir sahaja umat ini (umat Islam) akan diserang oleh golongan kuffar yang membenci Islam sama seperti orang yang lapar menuju kepada pinggan yang dihidangi dengan makanan. Sahabat Nabi bertanya, ‘Adakah kami pada ketika itu berada dalam kelompok yang kecil sehingga kami diserang sedemikian rupa?’ Jawab Nabi s.a.w, ‘Tidak, bahkan kalian ramai jumlahnya tetapi kalian ibarat buih di lautan (tidak bermanfaat). Pada hari itu ALLAH tanggalkan dari hati musuh-musuh perasaan hormat kepada kalian dan ALLAH campakkan ke dalam hati kalian penyakit al-wahn.’ Sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahn?’ Kata Nabi, ‘Cintakan dunia dan takut mati.’” (riwayat Abu Dawud)

Adakah kita ingin terus menerus melihat kelemahan ini, adakah kita redha dengan kelemahan umat Islam, adakah kita redha walaupun umat Islam merupakan kaum yang majoriti tetapi mereka ditindas, tidak memiliki kekuatan, dan golongan yang benci kepada Islam tidak ada perasaan hormat terhadap mereka?

Sudah semestinya, jawapan bagi orang yang di dalam hatinya ada iman, cinta kepada agama yang dianutinya, dia akan menjawab tidak sama sekali. Namun satu hal yang menghalang kesatuan dan perpaduan umat berlaku; iaitu asabiyah.

Betapa Islam benci kepada asabiyah kerana asabiyah merupakan satu hal yang membawa kepada perpecahan kaum Muslimin. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyebut tentang asabiyah dalam banyak hadis, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

مَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عُمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ.

“Barangsiapa berperang di bawah bendera buta tuli; marah atas dasar asabiyah, menyeru kepada asabiyah atau membela asabiyah lalu dia mati, maka matinya dalam keadaan mati jahiliyah.” (Riwayat Muslim)

Persoalannya, apakah itu asabiyah. Adakah apabila seseorang itu mempertahankan hak-haknya, dia dikategorikan sebagai asabiyah? Tidak. Apabila seseorang itu mempertahankan nyawanya, hartanya, maruahnya, negaranya, itu tidak dikategorikan sebagai asabiyah. Asabiyah adalah mempertahankan kemungkaran yang berlaku. Sebab itu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada anak Baginda sendiri,

لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها

“Sekiranya Fathimah bintu Muhammad mencuri pasti aku akan potong tangannya.”

Demikian Nabi tidak akan mempertahankan kebatilan, demikian Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak asabiyah.

Sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian,

Untuk memberikan lebih penjelasan tentang asabiyah, suka saya di sini berkongsi satu lagi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, di mana Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu menceritakan satu pergaduhan yang berlaku di antara seorang lelaki dari kalangan Muhajirin dan seorang lelaki dari kalangan Ansar,

كُنَّا فِي غَزَاةٍ، فَكَسَعَ رَجُلٌ مِنَ المُهَاجِرِينَ رَجُلاً مِنَ الأَنْصَار! فقَالَ الأَنْصَارِيُّ: يَا لَلأَنصار! وَقَالَ المُهَاجِرِيِّ: يَا لَلْمُهَاجِرِينَ! فَسَمِعَ ذَاكَ رَسُولُ الله -صلى الله عليه وسلم-، فقَالَ: مَا بَالُ دَعْوَى جَاهِلِيَّةٍ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ الله! كَسَعَ رَجُلٌ مِنَ المُهَاجِرِينَ رَجُلاً مِنَ الأَنصَارِ. فَقَالَ: دَعُوهَا، فَإِنَّهَا مُنْتِنَةٌ

“Kami berada pada suatu peperangan, seorang laki-laki Muhajirin memukul punggung seorang laki-laki Ansar, kemudian berkata orang Ansar tersebut, ‘wahai kaum Ansar!’ dan berkata pula muhajirin tersebut, ‘wahai kaum Muhajirin!’. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam mendengar hal tersebut. Kemudian bersabda, ‘Masih belum selesaikah dengan seruan jahiliyyah?’ Mereka berkata, ‘laki-laki dari Muhajirin menolak seorang Ansar’. Baginda bersabda, ‘ Tinggalkanlah (seruan tersebut) kerana itu perbuatan busuk.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi mengkritik sikap perkauman demi untuk mempertahankan kemungkaran. Ini kerana apabila kaum bertembung dengan kaum, kebenaran itu akan diketepikan. Sebaliknya ketaksuban akan wujud kerana sensitiviti perkauman itu didahulukan. Ini yang dimaksudkan dengan asabiyah.

Berbeza dengan kelompok manusia yang mempertahankan negaranya, mempertahankan agamanya, dan mempertahankan hak-hak bangsanya tanpa mengambil hak-hak bangsa lain, itu tidak dikategorikan sebagai asabiyah.

ASABIYAH DAN TAKSUB MEMBAWA PERPECAHAN

Demikian juga kita pada hari ini bimbang asabiyah itu berakar dalam minda-minda manusia yang taassub, fanatik, ghuluw kepada tokoh-tokoh tertentu atau pemimpin-pemimpin tertentu. Yang penting baginya adalah pemimpinnya dipertahankan. Yang penting baginya adalah partinya dipertahankan. Ini adalah titik tolak kepada perpecahan yang besar dan hal ini dikeji di dalam Islam. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda di dalam hadis,

إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ

“Waspadalah kalian dari ghuluw (fanatik/melampau), sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kalian yang ghuluw dalam agama mereka.”

Ini hal yang sedang berlaku di dunia pada hari ini. Imam Al-Syafi’i rahimahullah sangat mencela orang yang ta’assub kepada beliau sendiri, sehingga pada suatu hari seperti mana yang diceritakan oleh muridnya Al-Humaidi,

“Suatu ketika Imam Syafi’i meriwayatkan suatu hadits, lalu aku bertanya kepadanya: Apakah pendapat engkau dengan hadits tersebut? Maka Imam Syafi’i menjawab dengan nada yang sangat marah,

رَأَيْتَنِيْ خَرَجْتُ مِنْ كَنِيْسَةٍ، أَوْ عَلَيَّ زُنَّارٌ، حَتَّى إِذَا سَمِعْتُ عَنْ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم حَدِيْثًا لاَ أَقُوْلُ بِهِ وَلاَ أُقَوِّيْهِ؟

“Apakah kamu melihat aku keluar dari gereja atau memakai pakaian para pendeta sehingga apabila aku mendengar sebuah hadis Rasulullah, aku tidak berpendapat dengan hadis tersebut dan tidak mendukungnya?!!” (Manaqib Syafi’i oleh al-Baihaqi)

Demikian para ulama Islam mengikat jiwa pengikut-pengikutnya bukan dengan dirinya, sebaliknya dia mengikat jiwa pengikut-pengikutnya dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Kerana itu Al-Imam Al-Syafi’i lantang bersuara sehingga beliau mengeluarkan kenyataan yang sungguh besar maksudnya, kata beliau,

الْعِلْمُ مَا كَانَ فِيْهِ قَالَ حَدَّثَنَا وَمَا سِوَى ذَلِكَ وَسْوَاسُ الشَّيْطَانِ

“Ilmu itu asasnya merujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadis, dan apa yang selain dari itu adalah was-was Syaithan.” (Diwan Imam Al-Syafi’i)

Demikian salafus-saleh mengikat manusia dengan Agama, bukan mengikat manusia kepada peribadi dan pemikiran mereka.

PEMULA SIKAP TA’ASSUB ADALAH SYIAH

Antara pemula kepada sikap taassub kepada batang tubuh manusia adalah kelompok yang digelar sebagai Syiah. Mereka mengangkat, memuliakan dan memaksumkan Imam mereka, menyamakan kedudukan Imam mereka seperti taraf para Nabi dan Malaikat, seperti yang disebut oleh Imam mereka Al-Kulaini dan juga Al-Khomeini bahawasanya kedudukan Imam-imam Syiah ini setaraf dengan para malaikat yang dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan setaraf dengan para Nabi yang diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Tidak boleh dipersoalkan perkataan Imam-imam mereka, tidak boleh dikritik perkataan Imam-imam mereka. Siapa yang mengkritik akan dinilai sebagai orang yang meninggalkan agama . Pandangan Imam-imam mereka digigit dengan gigi geraham, sedangkan Nabi mengajar kita supaya menggigit Sunnah Baginda dan sunnah para Khulafa Ar-Rasyidin dengan gigi geraham.

Demikian Islam mengajar kita dan mengikat jiwa kita dengan sumber-sumber asas agama iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah sesuai dengan petunjuk para sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in. Demikianlah Islam mengajar kita agar bersatu hati dan jiwa dan membebaskan diri dari perkara yang membawa perpecahan dan kekhilafan yang tidak kunjung sudah; iaitu asabiyah (taassub).

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ

“Dan tidaklah patut bagi lelaki mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.” (Surah Al-Ahzab : 36)

Maka janganlah kita melihat kepada orang yang berkata semata-mata, sebaliknya lihatlah kepada apa yang disampaikan olehnya juga. Semak dan periksa perkataannya, jangan diterima bulat-bulat hanya kerana ta’assub membuta tuli.

Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

Advertisement
Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: