Lompat ke isi kandungan

Manhaj Liberalisme Dalam Agama

Mei 6, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

255531_494175670600576_916196178_nPrinsip liberalisme adalah bebas. Dan kebebasan ini adalah mutlak. Tidak ada sekatan dan tidak boleh ada sebarang halangan. Dalam erti kata lain, manhaj liberal ini adalah mendahulukan akal ke atas nas. Bagi mereka yang berpegang dengan manhaj liberalisme, nas (wahyu) adalah perkara sampingan, akal adalah perkara tunjang. Itu adalah manhaj liberal.

Maka apabila kita bercakap tentang isu liberal dalam agama yakni mendahulukan akal melebihi nas dalam isu agama, timbul hal yang berkaitan dengan akhlak; isu aurat contohnya. Timbul hal yang berkaitan dengan LGBT, pluralisme, juga akidah yang merupakan teras bagi kaum Muslimin.

Liberal dalam akidah melahirkan pluralisme. Contoh pluralisme dan bibit-bibitnya adalah penggunaan kalimah Allah. Isu kalimah Allah hendaklah dibicarakan dari seluruh aspek, jangan semata-mata kita memetik pandangan Ilmuwan islam di Timur Tengah yang mana mereka telah membiasakan penggunaan kalimah Allah di sisi orang bukan Islam.

Bahkan telah menjadi ucapan biasa di kalangan masyarakat bukan Islam di Timur ucapan seperti MasyaAllah, InsyaAllah, Wallah dan sebagainya. Itu ucapan biasa bagi mereka dan hal itu telah direkodkan oleh Allah di dalam Al-Quran,

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

“Dan pasti jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”, mereka menjawab: “Allah”.” (Surah Az-Zumar: 38)

Hal ini berbeza dengan konsep di negara kita di mana kalimah Allah itu tidak digunakan oleh orang bukan Islam.

Allah di sisi umat Islam ada hubungkait langsung dengan Tauhid (pengesaan). Jika kita berikan keizinan kepada mereka menggunakan kalimah ini di serata tempat, di gereja-gereja, permasalahannya adalah mereka membawa pengertian Allah dengan hakikat yang berbeza. Mereka tidak memaksudkan Allah seperti mana hakikat Allah yang sebenar.

Allah di sisi mereka adalah Tuhan 3 dalam 1 (Triniti); Tuhan Bapa, Tuhan Anak, dan Roh Kudus. Di mana kita hendak letakkan firman Allah,

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلاثَةٍ وَمَا مِنْ إِلَهٍ إِلَّا إِلَهٌ وَاحِدٌ

“Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang mengatakan bahawa Allah itu tiga dalam satu (trinity), padahal sekali-kali tidak ada Tuhan kecuali hanya Tuhan Yang Satu.” (Surah Al Maidah, 5: 73)

Jadi sekiranya kita membenarkan mereka menggunakannya dengan pemahaman bahawa Allah itu tuhan yang membawa maksud 3 Tuhan, seolah-olah kita memberi pengiktirafan dan redha kepada mereka yang mengatakan Allah itu 3 Tuhan. Kita bercakap soal itu.

Ada orang mengatakan Indonesia telah menggunakan kalimah Allah di dalam Bible mereka. Itu di Indonesia yang telah menerapkan pluralisme di dalam perlembagaan mereka; Pancasila. Mereka boleh berkahwin tanpa mengira agama. Tetapi negara kita tidak.

Sebab itu ideologi liberalisme ini kalau hendak dikaitkan dengan agama, contohnya adalah pluralisme, dan bibit-bibit permulaannya adalah mereka mula meminta kalimah Allah dahulu. Apabila mereka telah menggunakan kalimah Allah, mereka akan dapat menyamakan amal ibadat dan pensyariatan yang lain, seolah-olah agama kita tidak ada beza dengan agama mereka, semua agama adalah sama.

John Hick adalah orang pertama yang menyusun kaedah pluralisme ini secara tersusun, iaitu dengan perkataan “semua agama itu sama dan semua manusia akan kembali kepada Tuhan yang satu.” Sedangkan di dalam Islam, Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebut,

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلامُ

“Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 19)

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia di Akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran, 3: 85)

Sebab itu kita kaget dengan kenyataan YB Nurul Izzah binti Anwar Ibrahim, apabila beliau mengatakan Melayu perlu diberikan kebebasan memilih agama seperti mana bangsa-bangsa lain, tidak boleh ada diskriminasi dan prejudis.

Kenyataan ini sebenarnya menyentuh sensitiviti beragama di negara kita. Kita sewajarnya berbangga apabila bangsa Melayu di negara kita diikat dengan agama Islam. Umar Al-Khattab radhiyallahu ‘anh menyatakan kebanggaannya sebagai orang yang beragama Islam “Kami adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam.” Dia berbangga Allah mentakdirkan dan memuliakan kaumnya Quraisy dengan agama Islam.

Maka apabila Allah takdirkan di dalam perlembagaan kita bahawa Melayu itu mestilah beragama Islam, sewajarnya kita berbangga dan memastikan seluruh keturunan anak cucu kita beragama dengan agama yang mulia ini. Bukan kita membuka ruang untuk mereka menukar agama kononnya atas hak kebebasan dan tidak inginkan diskriminasi.

Ini yang saya katakan bahawa bibit-bibit liberalisme yang melahirkan pluralisme dalam beragama dari satu perspektif. Islam ada 3 tunjang utama seperti yang disebut oleh Syaikh Abdul Wahab Khallaf; Akidah, Syariah, Akhlak. Dalam Akidah liberalisme melahirkan pluralisme, dalam ibadah liberalisme melahirkan golongan-golongan yang meninggalkan ibadah, dalam akhlak liberalisme melahirkan golongan yang meninggalkan cara hidup berlandaskan Syariat atas nama kononnya kebebasan, etika dan sebagainya.

Maka sebagai umat Islam kita perlu sedar dan faham bahawa manhaj ataupun dasar liberalisme adalah mendahulukan akal mengatasi naql (Nas). Kesannya akan membawa kerosakan dalam segala aspek akidah, ibadah dan akhlak. Ekonomi juga akan hancur kerana yang haram akan dikatakan halal, dan yang halal akan diharamkan.

Wallahu a’lam.

Advertisement
Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: