Lompat ke isi kandungan

MENGGAPAI KEMULIAAN DENGAN MANHAJ SALAF

Mei 7, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

salafSyaikh Salim bin Ied Al-Hilali ada menulis satu buku kecil berjudul Ta’rifu Al-‘Am bi Manhaji As-Salafi (Penjelasan Umum Tentang Manhaj Salaf). Beliau memberikan mukaddimah tentang pengertian salaf.

Dari sudut bahasa, beliau membawakan takrifan yang diberikan oleh Imam Ibnu Manzhur, iaitu salaf merujuk kepada dua;

  1. usia
  2. status kemuliaan.

Ringkasnya, salaf menggambarkan orang-orang terdahulu ataupun orang-orang yang lebih mulia.

Dari sudut istilah, salaf merujuk pada sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ

“Sebaik-baik manusia adalah generasiku (para sahabat) kemudian yang menyusul selepasnya (tabi’in) kemudian yang menyusul selepasnya (tabiu’t tabi’in)” (Bukhari & Muslim)

Tiga generasi ini (sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in) yang disebut sebagai generasi Salaf Al-Soleh. Imam kepada generasi salaf adalah Nabi, sebagaimana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada anaknya Fathimah,

فَإِنَّهُ نِعْمَ السَّلَفُ أَنَا لَكِ

“Sesungguhnya sebaik-baik salaf adalah aku bagimu.” (Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan bahawa Imam atau ketua bagi para salaf adalah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

PENISBATAN KEPADA SALAF

Adapun salafi adalah penisbahan kepada orang yang mengikuti salaf. Timbul beberapa perbincangan di kalangan ulama.

Syaikh Al-Albani rahimahullah antara yang mengharuskan penisbahan kepada gelaran salafi. Beliau mengharuskan atas alasan sekiranya orang boleh menisbahkan namanya kepada Asy-Syafi’i kerana dia bermazhab Syafi’i, maka tidak ada masalah jika hendak menisbahkan namanya sebagai mengikuti generasi yang mulia iaitu Salaf.

Adapun Syaikh Soleh bin Fauzan Al-Fauzan berpendapat bahawa tidak perlu menisbahkan nama kepada Salafi. Yang penting adalah kita mengikutinya dan berpegang teguh dengan manhaj yakni jalan ini. Jalan salaf adalah jalan Nabi. Sebagaimana sabda Nabi di dalam hadis tentang maksud Al-Jama’ah,

هُمُ الَّذِيْنَ عَلَي مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَأَصْحَابِي

“Mereka adalah orang-orang yang semisal dengan apa yang aku dan sahabatku berpijak di atasnya pada hari ini.” (Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad)

Mereka (Nabi dan para sahabat) adalah salaf. Mereka mendahului kita dari sudut usia. Nabi lebih senior daripada kita. Sahabat Nabi lebih senior daripada kita. Nabi adalah Imam bagi salaf. Dan mereka juga mendahului kita dari sudut kemuliaan dan kedudukan.

Nabi dan para sahabat adalah golongan yang paling mulia, dan kemuliaan mereka dinyatakan di dalam Al-Quranul Karim.

Saya tertarik hendak membacakan satu kenyataan Abdullah ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu tentang sahabat Nabi. Kata Abdullah bin Mas’ud,

مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مُتَأَسِّيًا فَلْيَتَأَسَّ بِأَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّهُمْ كَانُوْا أَبَرَّ هَذِهِ اْلأُمَّةِ قُلُوْبًا، وَأَعْمَقَهَا عِلْمًا، وَأَقَلَّهَا تَكَلُّفًا، وَأَقْوَمَهَا هَدْيًا، وَأَحْسَنَهَا حَالاً، قَوْمٌ اخْتَارَهُمُ اللهُ لِصُحْبَةِ نَبِيِّهِ وَلإِقَامَةِ دِيْنِهِ، فَاعْرِفُوْا لَهُمْ فَضْلَهُمْ وَاتَّبِعُوْهُمْ فِي آثَارِهِمْ، فَإِنَّهُمْ كَانُوْا عَلَى الْهُدَى الْمُسْتَقِيْمِ

“Barangsiapa di antara kalian yang ingin mencontohi, hendaklah dia mencontohi para Sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kerana sesungguhnya mereka adalah umat yang paling mulia hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit sikap menyusahkan, dan paling lurus petunjuknya, serta paling baik keadaannya. Suatu kaum yang telah Allah pilih mereka untuk menjadi sahabat Nabi-Nya, untuk menegakkan agama-Nya, maka ketahuilah kelebihan mereka serta ikutilah jejak langkah mereka, kerana sesungguhnya mereka berada di atas petunjuk jalan yang lurus.” (Dikeluarkan oleh Ibnu ‘Abdil Baar dalam kitabnya Jami’ul Bayanil ‘Ilmi wa Fadhlih, tahqiq: Abul Asybal)

Para sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in, merekalah salaf. Ikutilah mereka.

Maka penisbahan kepada mereka boleh ataupun tidak adalah khilaf. Sebahagian ulama mengatakan boleh, namun menurut Syaikh Soleh bin Fauzan, penisbahan tersebut tidak perlu kerana tidak ada manfaatnya kalau sekadar menisbah tetapi tidak mengikuti. Dan sebahagian ulama mengatakan penisbahan ini perlu untuk menjadikan manusia bersemangat dan sebagai cabaran baginya untuk mengikuti manhaj ini.

LARANGAN MENCIPTA KUMPULAN

Walaubagaimanapun, para ulama melarang kita membuat kelompok ataupun gang salafi, mengajak orang masuk kumpulan salafi. Hakikatnya tidak perlu masuk mana-mana kumpulan. Manhaj salaf adalah manhaj ilmu.

Contohnya pada hari ini kita berkongsi ilmu tentang sifat solat Nabi berdasarkan hadis-hadis Nabi yang sahih, kita mengajar cara bagaimana Nabi solat. Jadi semua yang mendapat ilmu tersebut perlu mengikutinya, kerana kita tidak sekadar membacakan pendapat, sebaliknya kita membawakan hadis-hadis perkataan dan perbuatan Nabi.

Apabila mendengar hadis Nabi, di manakah kesungguhan kita untuk mengikutnya? Kalau kita tidak mula mempraktikkannya pada hari ini, bila lagi kita akan mempraktikkannya. Solat adalah perkara yang paling mulia setelah akidah.

Jadi manhaj kita adalah manhaj ilmu. Kita sampaikan ilmu akidah, ilmu ibadah, ilmu akhlak yang bersumberkan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dengan kefahaman para sahabat Nabi. Apabila orang yang mengikuti dan mempraktikkan ilmu dan hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, tidak kira di mana dia berada, di mana dia mempraktikkannya, di Malaysia atau di luar negara, dia adalah salafi di mana sahaja dia berada. Dia tidak perlu memasuki mana-mana kumpulan.

Begitu juga kita jangan risau atau menyibukkan diri untuk mengajak orang mengikuti kumpulan kita, sebaliknya kita hanya mengajak manusia mengikuti manhaj beragama Nabi dan para sahabat Baginda yang juga dikenali sebagai manhaj ataupun jalan Salaf Al-Soleh.

Wallahu a’lam.

One Comment
  1. Jazakumullahu khairun…sungguh ilmu yang sangat bermanfaat…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: