Skip to content

DAHULUKAN PERKATAAN NABI BERBANDING PENDAPAT MAZHAB

Mei 11, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

11950_10151890966913327_752441681_nSejak zaman berzaman, telah berlaku salah faham di dalam cara kita beragama. Kita sebenarnya bukan menjadikan Imam Al-Syafi’i sebagai ikon untuk kita contohi, sebaliknya kita menjadikan mazhab Syafi’i sebagai ikon nombor satu dalam kita beragama.

Imam Al-Syafi’I dan Mazhab Syafi’i adalah dua perkara yang sangat berbeza. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa tidak semestinya apa dinyatakan oleh Imam Syafi’i diterima pakai di dalam mazhab Syafi’i, dan tidak semestinya apa yang dipegang oleh Mazhab Syafi’I itu dipegang oleh Imam Al-Syafi’i.

Al-Imam Al-Syafi’i memang merupakan pengasas kepada pembentukan mazhabnya. Namun, beliau bukan menyeru manusia agar mengikutinya.

Syaikh Al-Albani memberikan prinsip asas tentang bagaimana Imam Al-Syafi’i sangat menitik beratkan supaya setiap permasalahan itu dikembalikan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.

Di dalam kitab Sifat Shalat Nabi, Syaikh Al-Albani rahimahullah menceritakan metodologi asas Imam Al-Syafi’i adalah sekiranya timbul sebarang permasalahan hendaklah kembali merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Sekiranya perkataannya menyelisihi Al-Quran dan Sunnah, beliau rahimahullah memerintahkan supaya meninggalkan perkataannya dan mengambil Al-Quran dan Al-Sunnah. Ini adalah metodologi Imam Al-Syafi’i.

Namun berlaku keterbalikan dalam cara kita pada hari ini. Segala perselisihan yang berlaku kita kembalikan kepada mazhab Syafi’i. Mazhab Syafi’i berbeza dengan Imam Al-Syafi’i. Bahkan kalau kita kembalikan kepada Imam Syafi’i sekalipun, kita tidak nampak usaha untuk mengembalikan kepada yang lebih mulia daripada Imam Syafi’i iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat.

Walaupun kita beralasan bahawa Imam Al-Syafi’i memang mengikut Nabi, namun siapakah yang lebih kita angkat, yang lebih kita puji, yang kita dahulukan di dalam perkataan dan ucapan kita? Adakah kita lebih mengangkat mazhab Syafi’i atau Muhammad Rasulullah?

Contohnya apabila kita berbual dengan sahabat-sahabat kita, orang-orang kampung contohnya, apabila kita mengatakan Nabi mengatakan kita perlu buat seperti ini berdasarkan hadis ini, mereka akan menjawab, “Tidak, mazhab Syafi’i mengatakan sebaliknya.”

Adakah apabila mereka menyebut mazhab Syafi’i, mereka secara langsung memberitahu kepada kita bahawa mazhab ini mengemukakan dalil hadis Nabi seperti ini, Nabi berkata sedemikian? Jarang kita temui. Sebaliknya, yang sering kita temui mereka hanya mengatakan mazhab berkata begini. Terhenti setakat itu sahaja.

Ini sebenarnya satu didikan yang salah. Imam Syafi’i sendiri mendidik kita agar kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Cuma mungkin kita tidak mampu memahami Al-Quran dan Sunnah secara langsung kerana kita ada kelemahan, kita ada masalah untuk mengetahui kaedah-kaedah dalam memahami kedudukan hadis dan sebagainya. Maka dengan itu kita menjadikan para ulama ini sebagai batu loncatan untuk kita memahami nas.

Walaubagaimana pun kita perlu sedar bahawa perkara paling utama adalah kita dituntut untuk sentiasa mengikuti dan mendahulukan nas, dan seterusnya perantara untuk memudahkan kita mengikuti dan memahami nas adalah para ulama.

Ini perkara pertama yang perlu kita jelas. Ikutan dan rujukan nombor satu kita adalah Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, dan ulama hanyalah perantara untuk kita memahami apa yang dibawa oleh Baginda.

Jadi sekiranya kita merujuk pendapat ulama yang tidak mempunyai dalil, sedangkan ada pendapat lain yang bercanggah dan memiliki dalil yang sahih daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, sudah semestinya pendapat ulama yang tidak memiliki dalil itu perlu ditinggalkan.

Dan semestinya kita mendahulukan pendapat yang memiliki dalil, nas, atau perkataan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam biarpun ianya dari pendapat Imam Al-Auza’i, biarpun ia dari pendapat Imam Sufyan Al-Tsauri, biarpun ia dari pendapat Imam Ibn Syihab Al-Zuhri, biarpun ia dari Imam Malik bin Anas, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Al-Bukhari, atau dari mana-mana Imam selama mana akidah dan manhaj mereka benar, maka mengikuti perkataannya adalah satu kewajipan dan meninggalkan pendapat ulama yang tidak membawakan dalil yang sahih dan rajih juga adalah kewajipan. Hal inilah yang dipesan dan diwasiatkan oleh Imam Syafi’i rahimahullah kepada kita.

Sebab itu Imam Tajuddin Al-Subki yang hidup selepas zaman Ibn Taimiyah mengarang sebuah buku berjudul ‘Qaulu Al-Imami Al-Mutthalibi Iza Sahhal Hadis Fahuwa Mazhabi’ (Perkataan Imam Al-Mutthalibi –yakni Imam Al-Syafi’i- Apabila Sahih Sesuatu Hadis Maka Itulah Mazhabku).

Imam Tajuddin Al-Subki mengumpul perkataan-perkataan Imam Syafi’i rahimahullah yang mana beliau mendahulukan perkataan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam apabila bertembung perkataannya dengan hadis, dan beliau juga mendahulukan hadis-hadis sahih sekiranya hadis yang digunakannya itu adalah lemah. Beliau sanggup menolak pendapatnya sendiri sekiranya dilihat menyalahi Al-Quran dan Sunnah. Imam Al-Syafi’i telah memberi pendedahan ini kepada kita semua.

IMAM AL-SYAFI’I MELARANG TAQLID

Di dalam kitab Sifat Shalat Nabi karangan Syaikh Al-Albani rahimahullah, muka surat 24, Syaikh Albani menceritakan tentang Imam Syafi’i,

وأما الإمام الشافعي رحمه الله فالنقول عنه في ذلك أكثر وأطيب

“Adapun Imam Al-Syafi’i nukilan-nukilan daripadanya tentang isu ini (perkataan imam-imam dalam seruan mengikuti sunnah dan meninggalkan perkataan mereka yang bercanggah dengan sunnah) sangat banyak dan sangat baik.

Seterusnya Syaikh Albani membawa perkataan Imam Ibnu Hazm Al-Andalusi yang memuji Imam Al-Syafi’i,

أن الفقهاء الذين قلدوا مبطلون للتقليد، وأنهم قد نهوا أصحابهم عن تقليدهم، وكان أشدهم في ذلك الشافعي، فإنه رحمه الله بلغ من التأكيد في اتباع صحاح الآثار، والأخذ بما أوجبته الحجة، حيث لم يبلغ غيره، وتبرأ من يقلد جملة، وأعلن بذلك نفعه الله به وأعظم أجره، فلقد كان سبباً إلى خير كثير

“Para fuqaha (ahli fiqah) yang biasa menjadi ikutan tidak membenarkan amalan bertaqlid. Antara yang keras melarang taqlid adalah Imam Al-Syafi’i. Sesungguhnya beliau benar-benar tegas dalam mengikuti sunnah Nabi yang sahih, dan beliau mengambil pendapat yang mempunyai dalil, sedangkan Imam-imam yang lain tidak setegas beliau. Bahkan beliau berlepas diri dari amalan bertaqlid secara keseluruhannya, dan beliau telah mengisytiharkan prinsipnya itu. Semoga Allah memberi manfaat dan menggandakan pahalanya, kerana beliau telah menjadi penyebab kebaikan yang banyak sekali.”

Apa itu taqlid? Taqlid berasal dari perkataan qallada-yuqallidu-taqlidan. Qallada berasal dari perkataan qilaadah (rantai). Orang yang bertaqlid adalah orang yang mengikat dirinya. Apabila seseorang itu dirantai, dia akan mengikut orang yang menarik rantai itu ke mana sahaja. Sebab itu Imam Abu Ja’far Al-Thahawi berkata,

لا تقلد إلا أعمى وغبي

“Tidaklah bertaqlid kecuali orang yang buta dan bodoh.”

Kita dituntut untuk membebaskan diri kita daripada bertaqlid. Biar kita menjadi muttabi’, iaitu mengikuti sesuatu yang kita ada bukti dan kefahaman tentangnya. Contohnya apabila kita mengikut Imam Al-Syafi’i dalam masalah salat, kita tahu bagaimana beliau menjelaskannya. Kita tahu apa dalil dan hujah beliau. Itu baru dikategorikan sebagai muttabi’, mengikuti dengan bukti.

Para ulama mujtahid walaupun diri mereka menjadi ikutan, tetapi mereka melarang kita daripada mengikuti atau bertaqlid kepada mereka. Antara Imam yang keras melarang taqlid adalah Imam Al-Syafi’i rahimahullah.

Teks disediakan berdasarkan rakaman Seminar Pemikiran Imam Al-Syafi’i

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: