Skip to content

WAJIB SEMAK KEDUDUKAN HADIS SEBELUM BERAMAL ATAU MENYEBARKANNYA

Mei 21, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

261766_10151950815393327_979996363_nIbn Hajar al-Asqalani rahimahullah telah membuat perbezaan dan memberi pengertian setiap satu kedudukan hadis seperti hadis sahih, hasan, dan lemah. Apa pentingnya kita mengetahui ilmu ini? Apakah tujuannya kita harus mengetahui kedudukan hadis sama ada hadis itu sahih, hasan, ataupun palsu?

Seperti mana di dalam urusan kehidupan seharian, bagi orang yang hendak memulakan perniagaan mereka akan membuat analisa dan kajian bagi memastikan perniagaan mereka itu boleh menguntungkan atau tidak; berniaga dengan orang bagaimana, pasaran yang bagaimana, kiraan betul atau tidak. Begitu juga dalam soal memilih makanan, sebelum makan kita akan pastikan terlebih dahulu adakah makanan yang diambil itu halal ataupun tidak.

Tidak kurang dengan urusan agama malah lebih penting dari itu, kita perlu mendapatkan kepastian dan kesahihan sesuatu hadis kerana kita hendak menjadikannya sebagai asas sumber rujukan di dalam Agama. Kita hendak solat dengan cara yang betul, sebab itu kita mesti pastikan riwayat tentang solat yang sampai kepada kita adalah riwayat yang benar, bukan riwayat yang palsu (direka-reka) atau diragui.

Kadangkala sebahagian orang mengambil mudah, asalkan ia disebut hadis maka mereka tidak peduli sama ada ia lemah atau palsu. Kalau urusan makanan pun kita pilih, sedap atau tidak, makanan yang baik atau tidak, maka apatah lagi perkara-perkara yang kita lakukan untuk Akhirat, hendaklah kita pastikan ianya betul-betul sahih datang dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam supaya ia diterima dan dihitung sebagai amal soleh.

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa yang melakukan suatu amalan (ibadah) yang tidak kami perintahkan, maka ia tertolak.” (Riwayat Muslim)

Kalau amalan yang dilakukan tidak betul, bagaimana ia hendak dihitung? Analoginya, majikan memberi kerja kepada kita di pejabat sebagai kerani menaip surat. Dalam waktu bekerja kita membuat kerja-kerja lain seperti menyapu sampah, cuci tandas, bersihkan sawang. Kemudian apabila tiba hujung bula kita hendak ‘claim’ upah kerja-kerja menyapu sampah dan sebagainya. Apa majikan akan kata? “Aku bayar gaji kamu untuk jadi kerani, siapa suruh sapu sampah, buang sawang, cuci tandas?” Adakah majikan akan membayar upah bagi kerja yang tidak dipertanggungjawabkan ke atas kita? Semestinya tidak.

Begitu juga urusan kita dengan ALLAH, Allah telah memberikan garis panduan kerja, tanggungjawab dan tugasan apa yang kita perlu buat melalui Rasul-Nya, jika kita buat selain daripada apa yang diperintahkan, adakah kita boleh pastikan ia dikira oleh ALLAH? Kita tidak tahu tetapi secara zahirnya ia tidak dikira kerana kita melakukan sesuatu yang di luar tugasan yang diberikan kepada kita. Jadi untuk kita pastikan tugasan yang dibuat itu betul, hendaklah kita teliti apa yang sampai kepada kita khususnya hadis Nabi, hendaklah dipastikan ianya sahih agar pekerjaan dan amalan yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya sallallahu ‘alaihi wasallam.

HADIS SAHIH

Para ulama Islam telah memberikan takrifan kedudukan setiap hadis, menurut Ibn Hajar Al-Atsqalani,

Hadis sahih iaitu sesuatu hadis yang bersambung-sambung sanadnya di mana sambungan sanad itu terdiri daripada kalangan orang-orang yang adil juga dhabit (kuat hafalan jika meriwayatkan melalui hafalan dan tulisannya dipercayai jika dia meriwayatkan melalui tulisan).

Adil bererti perawi tersebut mestilah Islam, bukan pembohong, bukan pelaku dosa besar, dan tidak berselalu dalam melakukan dosa kecil. Disebabkan itu Syiah tidak termasuk di dalam kalangan perawi hadis yang diterima.

Begitu juga perawi yang dikatakan adil hendaklah seorang yang mumaiyiz, yakni boleh membezakan antara kebaikan dan keburukan, kerana di dalam periwayatan hadis tidak diletakkan had umur. Asalkan seseorang itu tidak pelupa dan dipercayai, boleh membezakan antara baik dan buruk, dan syarat meriwayatkan hadis sahih iaitu hendaklah hadis yang diriwayatkan itu bebas daripada sebarang bentuk keganjilan dan tanpa perkara tersembunyi yang mencacatkan kedudukan hadis dan perawi tersebut.

HADIS HASAN

Sebagai gambaran umum, hadis hasan ialah hadis yang kedudukannya di bawah sedikit daripada kedudukan hadis sahih. Ia sama seperti hadis sahih kecuali perbezaannya terletak pada kekuatan hafalan dan tulisan perawi, yakni kurang sedikit berbanding hadis sahih. Orang yang meriwayatkan hadis sahih adalah orang yang ingatan betul-betul kuat dan tulisannya benar-benar boleh dipercayai. Adapun perawi hadis hasan dipanggil khaffa dhabtin (kurang dhabit).

Sejak bilakah diperkenalkan hadis hasan?

Antara ilmuwan yang mula-mula menyebutnya dan menjadikannya pecahan dan teori ialah Imam At-Tirmidzi rahimahullah. Walaubagaimanapun ada perbincangan panjang oleh Dr. Abdul Karimul Khudhair di dalam kitabnya Al-Hadits Al-Dha’if di mana beliau membincangkan kedudukan hadis hasan dan menyatakan pendapat-pendapat yang pelbagai di mana ada yang mengatakan Imam Ahmad juga pernah menyebutnya.

Tetapi yang menjadikannya sebagai sebutan hadis ini hasan, hasan sahih, hasan gharib, dan sebagainya adalah Imam At-Tirmidzi. Beliau yang mula-mula mengklasifikasikan hadis. Tetapi ulama yang mula-mula memberikan pentakrifan yang terkenal adalah seperti Al-Imam Al-Hakim, Al-Imam Ibnu Shalah, disusuli oleh Al-Imam An-Nawawi, Ibnu Hajar, Al-Iraqi, As-Suyuthi, As-Sakhawi dan seterusnya. Mereka memberi takrifan untuk menyesuaikan dengan apa yang dimaksudkan dan diertikan oleh para ulama sebelumnya. Perbincangan ini masuk di dalam bidang ilmu Ulumul Hadis.

HADIS DHA’IF

Kata ulama, hadis dha’if ialah sesuatu hadis yang tidak sampai kepada tahap hadis yang boleh diterima.

Hadis yang boleh diterima ada dua; sahih dan hasan. Hadis sahih pula terbahagi kepada dua; sahih lizatihi, sahih lighairihi.

Adapun hadis hasan juga terbahagi kepada dua; hasan lizatihi, hasan lighairihi. Apakah lizatihi dan lighairihi? Lizatihi merujuk kepada zatnya, yakni hadis itu sendiri sahih dan tidak perlu kepada sokongan hadis lain. Adapun lighairihi, hadis itu menjadi sahih atau menjadi hasan kerana disokong oleh hadis lain.

Contoh, saya adalah seorang yang kurang kekuatan hafalan atau tulisan saya kurang ketepatannya, bererti riwayat saya berada di tahap hasan. Saya meriwayatkan satu cerita, iaitu pada hari Isnin ini akan diadakan demonstrasi. Orang yang mendengar riwayat saya berkata taraf riwayat saya hasan lizatihi kerana ingatan saya kurang tetapi saya ini adil yakni boleh dipercayai. Tiba-tiba datang seorang lelaki dan sangat dipercayai, tulisan dan ingatannya bagus, dia mengatakan perkara yang sama seperti riwayat saya, pada hari Isnin ini akan diadakan demonstrasi. Disebabkan riwayat saya itu disokong oleh lelaki ini, ia dinaik taraf kepada darjat sahih lighairihi. Ia menjadi sahih kerana ada terdapat sokongan.

HUKUM BERAMAL DENGAN HADIS DHAIF

Adapun hadis dhaif ialah hadis yang tidak sampai  tahapan hadis yang boleh diterima. Hadis yang boleh diterima ialah yang berada pada tahap hasan dan sahih. Adapun dhaif – ini yang dibincangkan oleh Al-Imam An-Nawawi yang meletakkan syarat-syarat untuk beramal dengannya. Ada beberapa pendapat para ulama bersangkutan hukum beramal dengan hadis dhaif.

Pendapat pertama, boleh beramal secara mutlak. Ini pendapat Imam Abu Hanifah kerana zaman beliau jauh daripada zaman sahabat-sahabat Nabi, jauh dari sumber-sumber ilmu hadis, jadi beliau terpaksa mendahulukan hadis dhaif ketika membicarakan sesuatu hukum berbanding menggunakan akal. (Tetapi sekiranya terdapat hadis yang sahih, maka hadis dhaif tidak digunakan.)

Pendapat kedua, haram beramal dengan hadis dhaif. Ini pendapat Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, juga guru Imam Al-Bukhari – Ali Ibn Al-Madini. Juga pendapat ini didokong oleh Abu Bakar Ibn Al-Arabi dan Imam Asy-Syaukani. Imam Muslim di dalam muqaddimahnya membuat satu bab khusus Haram Meriwayatkan Sesuatu Yang Kamu Tidak Pasti Datang Daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian beliau membawakan sebuah hadis,

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

“Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (Riwayat Muslim)

Tidak semestinya semua yang kita baca itu betul. Itu prinsipnya. Jadi tidak dibolehkan beramal dengan hadis dhaif kerana ia perkara yang tidak pasti, hanya berasaskan persangkaan, kemungkinan ia datang dari Nabi. Mana mungkin kita membina agama berdasarkan persangkaan semata-mata, sedangkan agama adalah sesuatu yang bersifat pasti.

Pendapat ketiga, harus beramal dengan hadis dhaif tetapi dengan beberapa syarat. Ini pendapat yang masyhur dari Al-Imam An-Nawawi dan diulas oleh Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar Al-Atsqalani.

Syarat pertama: hendaklah dhaif itu bukan dhaif yang bersangatan. Seperti perawi pendusta.

Kedua, hendaklah hadis dhaif itu bukan berkaitan dengan hukum hakam, tetapi hanya berkaitan dengan kelebihan-kelebihan beramal. Jadi sekiranya hadis dhaif itu membentuk satu hukum, ia tertolak.

Ketiga, tidak boleh beriktiqad bahawasanya ucapan tersebut datang daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Keempat, tidak boleh menyeru manusia beramal dengannya. Haram hukumnya menyebarkan hadis dhaif dan kemudian menyeru manusia beramal dengannya.

Kelima, hendaklah hadis dhaif itu terhasil dari hukum yang asal. Contohnya, hukum mentaati ibu bapa adalah wajib, jelas dari Al-Quran dan hadis sahih. Maka kelebihan mentaati ibubapa termasuk dalam kelebihan beramal, at-targhib wat tarhib. Ia mestilah terhasil daripada hukum asal yang sabit dari Al-Quran atau hadis sahih. Sekiranya kelebihan beramal itu membentuk suatu hukum baru maka ia tidak boleh diterima. Untuk membentuk hukum solat dengan kelebihan tertentu tidak dibolehkan, sebab itulah Imam An-Nawawi sendiri menolak solat Raghaib sempena awal bulan Rajab kerana tiada hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut tentang solat Raghaib.

Inilah lima syarat yang diperuntukkan oleh Imam An-Nawawi sebelum mengharuskan beramal dengan hadis dhaif, maka adakah orang yang beramal dengan hadis dhaif pada hari ini mengikuti kesemua syarat-syarat ini? Jika tidak mampu mengikutnya maka jangan beramal, tinggalkanlah hadis-hadis yang dhaif kerana di sana terdapat banyak hadis-hadis sahih yang belum diamalkan. Beramallah dengan hadis-hadis sahih.

HADIS PALSU

Saya mencadangkan agar diwujudkan satu akta penyebaran hadis di bawah jabatan agama. Di bawah akta ajaran sesat contohnya boleh dirincikan dan dimasukkan satu akta khusus untuk penyebaran hadis. Dahulu pada sekitar kurun kedua dan ketiga hijrah, penyebar hadis palsu dihukum bunuh atau dipenjara seumur hidup.

Maisarah Ibnu Abd Rabbuh, Nuh Ibn Abi Maryam, Muhammad Ibn Sa’id Al-Mashlub mereka adalah pemalsu hadis dan semua mereka dibunuh. Nuh Ibn Abi Maryam contohnya dibunuh kerana menyebarkan kelebihan surah-surah di dalam Al-Quran. Ketika ditanya pemerintah kerana apa dia mencipta hadis palsu, jawabnya adalah kerana manusia pada masa itu disibukkan dengan kitab sejarah Ibn Ishaq dan fiqh Imam Abi Hanifah sehingga tidak membaca Al-Quran jadi beliau menciptakan hadis bertujuan menarik minat manusia agar membaca Al-Quran.

Di Malaysia masih banyak buku-buku, penceramah-penceramah yang menyampaikan hadis palsu, kisah Umar Al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu membunuh dan menanam hidup-hidup anak perempuannya semasa kecil diceritakan oleh guru-guru di sekolah. Benarkah kisah itu? Orang mendengar kisah tersebut sehingga menangis kesedihan. Walhal kisah ini karut marut dan merupakan tuduhan palsu ke atas Umar. Anak sulungnya Hafsah (sebab itu Umar digelar Abu Hafs) mana mungkin Umar bin Al-Khatthab membunuhnya, sedang Hafsah itu dewasa dan menjadi isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Memang ada orang arab pada masa itu di kalangan Bani Tamim yang membunuh anak-anak perempuan tetapi ia bukan dari keturunan Umar, Umar adalah arab Quraisy. Masyarakat arab dahulu umumnya tidak membunuh anak perempuan mereka seperti mana kata Hindun, “Kami membesarkan anak-anak kami, apabila mereka besar kalian membunuhnya.” Beliau menunjuk kepada Nabi kerana setelah anak mereka besar, mereka dihantar berperang, menjadi tawanan perang, dan sebagainya.

Perkataan ini satu bukti menunjukkan masyarakat arab tidak membunuh anak-anak kecuali beberapa kabilah sahaja yang melakukan demikian kerana beberapa sebab seperti; mempercayai sial, takut anak ini akan menjadi tawanan di mana pada masa itu tiada undang-undang dan peraturan hidup, siapa kuat dan berkuasa maka dialah raja. Jadi mereka membunuh anak perempuan mereka sejak kecil kerana perasaan ghirah (cemburu) mereka sangat tinggi. Rasa cemburu keterlaluan menyebabkan mereka tidak sanggup melihat anak-anak perempuan mereka ditawan. Tetapi Umar tidak melakukan sedemikian. Orang membuat cerita hanya untuk memburukkan Umar, dan semestinya cerita itu datang dari kalangan Syiah.

Banyak contoh hadis palsu yang datang dari kalangan Syiah untuk memburukkan para sahabat, antaranya Abdurrahman Bin Auf masuk syurga merangkak disebabkan kekayaannya. Syiah juga membacakan hadis-hadis palsu yang menceritakan kelebihan-kelebihan Ali di mana riwayat tersebut tidak ada sandarannya.

Adapun hadis palsu disebabkan ketaksuban pada mazhab, pengikut mazhab Hanafi membuat hadis akan bahayanya mengikut mazhab Syafi’i, mereka berkata Nabi bersabda, “Sesungguhnya akan ada di kalangan umatku seorang yang bernama Muhammad bin Idris, lebih teruk memudharatkan umatku lebih daripada iblis.” Ini disebabkan ta’assub mazhab lalu mereka mencipta hadis palsu. Yang ta’assub dengan mazhab Syafi’i pula membuat hadis, “Akan ada seorang lelaki dari kalangan umatku yang bernama Abu Hanifah, dia merupakan majusi umatku.”

Inilah contoh penyebaran hadis palsu. Di antara sebabnya adalah kerana meinginkan kekayaan, kelebihan, pengaruh, pertolongan orang, dan sebagainya. Sebab itu perlu diwujudkan akta khusus bagi mengawal penyebaran hadis agar setiap hadis yang hendak dibaca di mana-mana tempat sama ada di masjid, surau, akhbar, buku dan sebagainya terikat dengan undang-undang secara khusus sebagai langkah permulaan. Maka sesiapa yang hendak menyebarkan sebarang berita yang disandarkan ke atas Nabi mestilah memastikan kedudukan dan kesahihannya terlebih dahulu. Kecuali jika hadis palsu tersebut disebarkan untuk menjelaskan kepalsuannya. Kita mestilah berhati-hati di dalam penyebaran hadis, kerana kata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis yang mutawatir,

من كذب علي متعمدا ‏ ‏فليتبوأ ‏ ‏مقعده من النار ‏

“Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Umar Al-Khatthab dahulu memenjarakan orang yang kerjanya meriwayat hadis sahaja, sebab bimbang terlalu mudah dan banyaknya riwayat menggambarkan sikap kurang berhati-hati dan dibimbangi berlaku kesalahan dalam meriwayat.

Ini kerana hadis merupakan asas dan sumber agama. Sepertimana ilmu kedoktoran harus dirujuk pada ahlinya dan bukan siapa-siapa sahaja boleh menjadi doktor, seperti itu jugalah halnya dengan urusan hadis, kerana ia merupakan asas yang membentuk agama, dan agama inilah yang akan membentuk dan mengatur urusan lainnya sama ada ekonomi yang betul, politik yang betul, cara hidup yang betul maka wajib kembali kepada dasar-dasar dan cara mengambil agama yang benar lagi sahih.

TINGGALKAN YANG TIDAK PASTI

Ini adalah tanggungjawab bersama, tanggungjawab orang yang menyampaikan, juga tanggungjawab orang yang mendengar dan mengambil ilmu. Kerana itu kita harus memilih guru, tidak boleh menerima langsung secara mutlak apa yang disampaikan kepada kita dan menelannya bulan-bulat. Buatlah analisa, kajian, dan bertanya. Jika tidak tahu juga maka janganlah beramal dengannya, tinggalkan dahulu. Berkata Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu,

“Lebih baik kamu menyekat dirimu daripada melakukan satu sunnah daripada kamu menyibukkan dirimu daripada melakukan bid’ah.”

Bukan bererti beliau melarang kita daripada melakukan sunnah, tetapi bagi riwayat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, boleh jadi ia betul dan mungkin ianya salah. Kalau beramal kita mungkin melakukan bid’ah dan melakukan perkara yang salah, jadi tidak mengapa sekiranya kita tidak beramal dengannya jika tidak pasti.

Wallahua’lam.

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: