Skip to content

BEZA ORANG ALIM & JAHIL SERTA BAGAIMANA BILA ULAMA BERBEZA PENDAPAT

Mei 30, 2013

Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya

184541_10151938874443327_133259298_nSabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis sahih,

إن أول من تسعر بهم جهنم العالم الذي يأمر الناس ولا يأتمر وينهاهم ولا ينتهي

“Sesungguhnya orang yang mula-mula akan dinyalakan baginya Api Neraka adalah orang yang alim yang menyuruh manusia tetapi dia tidak melaksanakan dan melarang manusia tetapi dia sendiri yang melakukannya.” (Riwayat Al-Syaukani)

Asalnya, tanggungjawab orang-orang yang dikurniakan ilmu oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan juga orang yang tidak dikurniakan dengan ilmu dari sudut taklif (tanggungjawab yang Allah berikan) adalah sama kesemuanya.

Kedua-duanya bertanggungjab dari sudut kewajipan melaksanakan perintah dan Syariat Allah; sama ada orang itu diberikan ilmu atau tidak diberikan ilmu. Ini kerana secara asalnya semua manusia adalah mukallaf. Ini seperti mana yang Allah Subhanahu wa Ta’ala nyatakan di dalam Al-Quran,

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzaariyaat, 51: 56)

Ini menunjukkan bahawa asalnya seluruh jin dan manusia adalah mukallaf. Semua manusia, muslim atau kafir, tinggal di mana-mana, dia adalah mukallaf yang dipertanggungjawabkan dan tujuan mereka diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Cuma, setelah itu barulah datang perincian-perincian, iaitu seorang Muslim, Baligh, berakal, sudah semestinya mereka ini berkewajipan melakukan ibadah-ibadah khusus yang disyariatkan seperti solat, puasa dan seterusnya. Orang yang tidak menerima Islam, tidak diberikan petunjuk dan ilmu untuk menerima Islam, sudah tentu mereka tidak boleh dipaksa melakukan ibadah-ibadah tersebut.

Maka sekiranya seseorang itu diberikan ilmu, sudah semestinya tanggungjawabnya lebih. Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, malah darjat orang yang berilmu ditinggikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala berbanding mereka yang tidak berilmu sepertimana di dalam firmanNya,

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujaadilah: 11)

Imam Al-Syaukani rahimahullah berkata,

مع ما أوضحناه لك من التفاوت بين الرتبتين، رتبة العالم ورتبة الجاهل في كثير من التكاليف واختصاص العالِم منها بما لا يجب على الجاهل

“Bersama ini yang telah kami jelaskannya bagimu perbezaan di antara dua darjat; darjat orang yang alim dan darjat orang yang jahil dalam banyak perkara yang berkaitan dengan tanggungjawab dan pengkhususan-pengkhususan (yang Allah tetapkan) kepada orang yang berilmu, dan tidak wajib ke atas orang yang jahil.”

Antara tanggungjawab orang yang berilmu adalah beramal dengan ilmunya, dan kemudian menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Berbeza dengan orang yang jahil dan tidak memiliki ilmu. Mereka tetap wajib beramal tetapi mereka beramal sekadar apa yang mereka tahu. Dan mereka tidak wajib menyampaikan kerana mereka tidak memiliki ilmu. Dalilnya adalah firman Allah di dalam Al-Quran,

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ

“Tidak sepatutnya orang-orang yang beriman itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari setiap kelompok di antara mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka telah kembali kepadanya.” (Surah At Taubah, 9: 122)

Walaupun jihad (perang) adalah perkara yang wajib dan sangat penting, tetapi Allah memerintahkan supaya tetap ada orang yang pergi menuntut ilmu supaya ilmu itu nanti dapat disampaikan kepada yang lain. Ini juga menunjukkan betapa tingginya pahala mendalami ilmu (agama) sehingga disetarakan keutamaannya dengan pergi berjihad di medan perang.

Adapun orang yang tidak memiliki ilmu, masakan mereka hendak menyampaikan atau mengajar orang lain. Pepatah Arab menyatakan,

فاقِدُ الشيء لا يُعْطِيه

“Orang yang tidak memiliki tidak akan mampu memberi.”

Jadi asal tujuan menuntut ilmu itu adalah untuk diamalkan dan kemudian menjadi kewajipan untuk menyebarkan dan menyampaikan ilmu tersebut.

APABILA ULAMA BERBEZA PENDAPAT

Imam Al-Syaukani rahimahullah juga berkata,

وبهذا يتقرر لك أن ليس لأحد من العلماء المختلفين، أو من التابعين لهم والمقتدين بهم أن يقول: الحق ما قاله فلان دون فلان، أو فلان أولى بالحق من فلان. بل الواجب عليه- إن كان ممن له فهم وعلم وتمييز- أن يرد ما اختلفوا فيه إلى كتاب الله وسنة رسوله صلى الله عليه وسلم

“Dan dengan ini dibuktikan bagimu bahawa tidaklah ada seorang pun dari kalangan ulama yang berselisih, atau dari kalangan yang mengikuti mereka dan dari kalangan yang berpegang dengan mereka yang berkata: ‘Kebenaran adalah apa yang dikatakan oleh si Fulan bukan si Fulan’, atau ‘Si Fulan lebih utama dengan kebenaran daripada si Fulan’. Bahkan menjadi kewajipan ke atasnya – sekiranya ada kefahaman, ada ilmu, dan boleh membezakan-  (kewajipan mereka) adalah mengembalikan apa yang mereka perselisihkan itu kepada Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya sallallahu ‘alaihi wasallam.”

Ini adalah prinsip supaya kita tidak keliru dan fanatik kepada mana-mana individu atau kumpulan. Oleh kerana itu, apabila berlaku perselisihan di antara Ulama, atau Ustaz, atau agamawan, lebih-lebih lagi yang sama-sama di atas manhaj Sunnah, jangan kita gunakan usia, senioriti, kedudukan atau kepandaian mengulas dan bercakap mereka sebagai penentu kebenaran.

Sewajarnya segala bentuk perselisihan perlu dikembalikan kepada dalil, walaupun perselisihan itu di antara Ustaz Sunnah dengan Ustaz Sunnah, atau Sunnah dengan Ustaz Bid’ah, kita wajib kembalikan perselisihan itu kepada dalil.

Ini adalah metodologi dalam kita beragama, biar kita berprinsip dan mengaplikasikan prinsip ini di dalam semua masalah dan isu yang kita hadapi. Jika tidak, sampai bila pun masalah itu tidak akan selesai, malah percanggahan demi percanggahan akan terus berlaku.

Imam Al-Syaukani menyambung,

فمن كان دليل الكتاب والسنة معه فهو على الحق وهو الأولى بالحق. ومن كان دليل الكتاب والسنة عليه لا له كان هو المخطئ

“Maka barangsiapa yang dalil Al-Quran dan Al-Sunnah bersama dengannya maka dia di atas kebenaran dan dia lebih utama dengan kebenaran. Dan siapa yang dalil Al-Quran dan Al-Sunnah menyelisihinya, bukan bersamanya, maka dia orang yang salah.”

Walaubagaimana pun, orang yang salah itu sekiranya dia adalah mujtahid (memenuhi syarat untuk berijtihad), dia tidak berdosa. Ijtihad yang dia lakukan itu salah dan tidak boleh diikuti, tetapi dia (orang yang berijtihad itu) tidak berdosa bahkan mendapat satu ganjaran kerana telah bersungguh-sungguh. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,

إذا اجتهد الحاكم فأصاب فله أجران، وإن اجتهد فأخطأ فله أجر

“Apabila berijtihad seorang hakim dan dia benar maka baginya dua ganjaran, dan jika dia berijtihad dan tersalah maka baginya satu ganjaran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, jangan kita lupa bahawasanya bukan semua ijtihad itu betul, kerana kebenaran itu cuma satu. Dan hanya kebenaran yang satu itu sahajalah yang boleh diikuti dan diamalkan. Jadi perbezaan ijtihad ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak kebenaran setelah terbentang di depan mata kita hujah yang berdalilkan Al-Quran dan Al-Sunnah demi untuk mengikuti ijtihad yang menyelisihinya.

Wallahu a’lam.

One Comment
  1. fatah permalink

    ade x video?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: