Skip to content

ISRAK MIKRAJ: BERATNYA WAHYU YANG DIPIKUL PARA RASUL UNTUK DISAMPAIKAN

Jun 3, 2013

Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya

isra mi'rajAl-Quran dan Hadis Nabi merupakan dua sumber ilmu yang tidak asing lagi bagi sesiapa yang memahami akan agama. Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ نَبِيِّهِ

“Aku tinggalkan pada kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunnah NabiNya.” (Sahih Lighairihi. Riwayat Malik)

Aisyah radhiyallahu ‘anha di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari menceritakan bagaimana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menerima wahyu pertama di Gua Hira. Apabila Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam membenci suasana yang berada di Makkah Al-Mukarramah, golongan-golongan yang Syirik kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, menyembah selain daripada Allah, maka Baginda mengambil sikap mengasingkan diri daripada kekufuran itu.

Ketika Baginda di Gua Hira, turun wahyu  pertama dalam keadaan Baginda tidak pernah mengetahui siapa yang datang menemui, dan Baginda tidak pernah mengetahui bahawa Baginda bakal ditabalkan untuk menjadi Nabi dan Rasul. Tidak pernah ada lintasan dalam hati atau keinginan langsung dalam hati Baginda untuk menjadi Nabi. Tetapi dengan ketentuan Allah Subhanahu wa Taala, Allah turunkan Jibril ‘alaihissalam menyampaikan wahyu Allah dalam keadaan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam ditakdirkan oleh Allah sebagai Nabi yang ummi yakni tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis.

Apabila Jibril ‘alaihissalam memeluk Nabi pada kali pertama menyebut iqra’ (bacalah), Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Aku tidak tahu membaca”. Kali kedua, dipeluk lagi dan dikatakan lagi “Bacalah” dan Nabi tetap menjawab, “Aku tidak tahu membaca.” Sampai kali ketiga Baginda disuruh baca dan Baginda mengatakan Baginda tidak tahu membaca, Jibril menyambungkan,

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, bacalah dan Tuhanmu-lah yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan manusia dengan perantara qalam (pena). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-‘Alaq: 1-5)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam masih lagi tidak tahu bahawa itu merupakan tanda perlantikan beliau sebagai Nabi dan Rasul. Itu merupakan wahyu pertama yang datang dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Nabi pada ketika itu tidak lagi mengetahui siapakah yang memeluknya. Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam pulang ke rumah dalam keadaan yang menggigil tubuhnya dan berkata,

لَقَدْ خَشِيْتُ عَلَى نَفْسِي

“Aku khuatir akan diriku”

Baginda diselimuti oleh isteri Baginda, Khadijah radhiyallahu ‘anha. Seterusnya Khadijah memainkan peranan penting menenangkan hati suaminya dengan berkata,

كَلاَّ أَبْشِرْ فَوَاللهِ لاَ يُخْزِيْكَ اللهُ أَبَدًا فَوَاللهِ إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمِ وَتَصْدُقُ الْحَدِيْثَ وَتَحْمِلُ الْكَلَّ وَتَكْسِبُ الْمَعْدُوْمَ وَتَقْرِي الضَّيْفَ وَتُعِيْنُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ

“Sekali-kali tidak. Bergembiralah! Demi Allah sesungguhnya Allah selamanya tidak akan pernah menghinakanmu. Demi Allah sesungguhnya engkau telah menyambungkan silaturrahim, jujur dalam berkata-kata, membantu orang susah, engkau menolong orang miskin, engkau memuliakan tetamu, dan menolong orang-orang yang terkena musibah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Khadijah kemudian membawa Nabi bertemu dengan Waraqah bin Naufal, seorang Ahli Kitab yang terkenal sejarahnya bersama-sama dengan Zaid bin Amru bin Nufail keluar meninggalkan Makkah kerana benci melihat masyarakat Arab yang menyembah berhala. Waraqah akhirnya bertemu dengan ahli Kitab yang beramal dengan ajaran Injil dan juga Taurat. Adapun Zaid bin Amru bin Nufail tidak bersetuju dengan apa yang berlaku bahkan beliau berkata bahawa beliau akan menunggu Nabi yang sebenarnya datang. Ini kerana di dalam Kitab Injil menyebut akan datang seorang Nabi dari bangsa Arab yang bernama Muhammad sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir.

Namun dalam perjalanan Zaid bin Amru bin Nufail mencari Nabi yang terakhir, dia telah meninggal dunia dan tidak sempat bertemu dengan Nabi, tetapi dia telah mengirim salam kepada Nabi sekiranya bertemu dengan Nabi. Nabi apabila mendengar kisah Zaid bin Amru bin Nufail, Baginda menjawab salamnya.

Adapun Waraqah bin Naufal, apabila Khadijah membawa suaminya Muhammad bertemu dengan Waraqah, Waraqah berkata ini merupakan satu peristiwa dan hal yang sangat baik. Kata Waraqah, peristiwa ini sama dengan peristiwa yang berlaku kepada Musa ‘alaihissalam yang didatangi oleh Namus (malaikat). Maka Muhammad sebenarnya didatangi oleh Malaikat. Muhammad dipilih oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadi Nabi seperti mana Musa dipilih oleh Allah untuk menjadi Nabi.

Khadijah gembira, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tenang. Nabi pulang mengharapkan wahyu susulan. Ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berselimut di atas pembaringan, turun wahyu Allah yang seterusnya,

يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ  قُمْ فَأَنْذِرْ  وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ  وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ  وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ  وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ  وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ

“Wahai orang yang berselimut, bangunlah dan berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah, dan pakaianmu (zahir dan batin) sucikanlah, dan perbuatan dosa (berhala) jauhilah, dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak, dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu bersabarlah.” (Surah Al-Muddatstsir: 1-7)

Itu adalah tugas pertama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Rasul.

PENGAJARAN DARI KISAH PARA NABI DAN RASUL

Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan untuk kita mengambil pengajaran dan iktibar dari kisah para Nabi seperti mana firman Allah di dalam Surah Yusuf,

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ

 

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka mengandungi ibrah (pengajaran) bagi orang-orang yang dalam pemerhatiannya.” (Yusuf: 111)

Sirah para Nabi dan Rasul dikaji untuk kita mengambil ibrah dan pengajaran daripadanya. Jika diperhatikan, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menanti wahyu untuk diselesaikan selama 23 tahun. 13 tahun di Makkan dan 10 tahun di Madinah. Dalam keadaan Nabi tidak mengetahui jadual bila wahyu diturunkan, dan wahyu tidak boleh diminta, bahkan ketika berlaku fitnah atas kesucian Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi sallallahu’alaihi wasallam meminta agar dijelaskan kedudukan isterinya. Wahyu tidak turun.

Golongan munafiqun bercakap tentang isteri Nabi, tetapi Baginda tidak ada daya untuk memastikan bila wahyu akan turun. Allah menguji ketetapan dan iman Nabi dan para sahabat. Akhirnya wahyu turun mensucikan Aisyah dari tuduhan berzina.

Begitu juga dalam peristiwa pertukaran kiblat, ketika mana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat terpaksa lari meninggalkan tanah air sendiri, dikejar untuk dibunuh semata-mata kerana agama wahyu ini.

Tatkala sampai di Madinah Al-Munawwarah, timbul masalah lain di mana kaum Muhajirin dan Ansar yang baru memeluk Islam keliru kerana kiblat mereka sama dengan kiblat orang Yahudi, iaitu di Masjidil Aqsa. Pada ketika itu kiblat masih belum ditukarkan lagi. Nabi berdoa kepada Allah seperti mana diceritakan di dalam Al-Quran,

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

“Sungguh Kami telah melihat wajahmu (wahai Muhammad) menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya.” (Surah Al-Baqarah, 2: 144)

Selama 14 bulan Nabi berdoa. Bukan seperti kita yang baru berdoa selama beberapa minggu, kemudian kecewa dan berputus asa apabila Allah belum memakbulkan doa. Hakikatnya Nabi turut bersabar dan berdoa dalam tempoh yang lama sedangkan Baginda adalah Nabi yang maksum, utusan Allah yang dilantik, manusia terpilih, seperti mana yang disampaikan oleh Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu,

إِنَّ اللهَ نَظَرَ فِي قُلُوْبِ الْعِبَادِ فَوَجَدَ قَلْبَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ، فَاصْطَفَاهُ لِنَفْسِهِ فَابْتَعَثَهُ بِرِسَالَتِهِ، ثُمَّ نَظَرَ فِي قُلُوْبِ الْعِبَادِ بَعْدَ قَلْبِ مُحَمَّدٍ، فَوَجَدَ قُلُوْبَ أَصْحَابِهِ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ فَجَعَلَهُمْ وُزَرَاءَ نَبِيِّهِ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى دِيْنِهِ، فَمَا رَأَى الْمُسْلِمُوْنَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ حَسَنٌ، وَمَا رَأَوْا سَيِّئًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ سَيِّئٌ

“Sesungguhnya Allah melihat hati para hamba-hambaNya. Allah mendapati hati Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah hati yang paling baik, lalu Allah memilihnya untuk diriNya dan mengutusnya sebagai pembawa risalahNya. Kemudian Allah melihat hati hamba-hambaNya setelah hati Muhammad. Allah mendapati hati para sahabatnya adalah hati yang paling baik. Lalu Allah menjadikan mereka sebagai para pendukung NabiNya yang berperang demi membela agama-Nya. Apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin (para sahabat), pasti baik di sisi Allah. Apa yang dipandang buruk oleh mereka, pasti buruk di sisi Allah.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnadnya).

Manusia yang Allah pilih sebagai Rasul pun berdoa selama 14 bulan sebelum dimakbulkan doanya. Tempoh yang lama, tempoh yang panjang.

Kalau kita berpatah balik merenung peristiwa yang berlaku di Makkah Al-Mukarramah, setelah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam diuji, bapa saudaranya yang mempertahankan Nabi wafat. Lebih mendukacitakan, wafatnya bukan dalam Islam. Sepanjang hayatnya Abu Thalib mengorbankan masa, harta dan tenaganya untuk mempertahankan Nabi. Tetapi akhirnya dia tidak menerima Islam. Matinya dalam agama Abdul Mutthalib, bukan dalam agama Islam.

Nabi berdoa dan bersedih kepada Allah, lalu Allah menurunkan ayat yang tegas,

إنك لا تهدي من أحببت ولكن الله يهدي من يشاء وهو أعلم بالمهتدين

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak mampu untuk memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (Surah Al-Qashash, 28: 57)

Nabi terus bersabar. Bapa saudaranya wafat, dan isterinya Khadijah telah wafat sebelum itu. Tahun tersebut digelar sebagai tahun kesedihan.

Allah hendak menggembirakan dan menenangkan hati Nabi, maka Allah israkkan dan mi’rajkan Nabi sallallahu’alaihiwasallam. Itu di antara faedahnya, iaitu disarankan bagi orang yang dirundung kesedihan untuk dia berjalan di atas muka bumi melihat tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah, menziarahi Makkah, Madinah, dan tempat-tempat bermanfaat, iaitu tempat-tempat kaum Muslimin yang dilihat ditegakkan Syiar-Syiar Islam untuk menyenangkan hati dan jiwa.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang menggambarkan beratnya wahyu yang Nabi terima, beratnya dugaan dan ujian yang dihadapi oleh Nabi untuk menyampaikan risalah wahyu kepada kita. Adapun kita pada hari ini, wahyu telah dikumpulkan dan terbentang di depan mata kita, Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi telah dihimpunkan, dibukukan, dan dipersembahkan di hadapan kita. Maka sejauh manakah kita mengambil manfaat daripadanya.

Teks disediakan dari rakaman kuliah Israk dan Mi’raj, Jun 2012

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: