Skip to content

NIKAH SIAM, BELANJA KAHWIN MAHAL & TIDAK MENDAPAT RESTU KELUARGA

Jun 6, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

58657_412253148849572_1190768360_nSoalan: Nikah di Siam, salah siapa? Tidak cukup wang kerana modal kahwin tinggi atau tidak mendapat restu keluarga.

Jawapan:

Nikah di mana-mana pun boleh sekiranya cukup rukunnya dan syaratnya. Sah nikah tersebut.

Tentang tidak cukup wang, sebenarnya tidak ada masalah. Bayar mahar yang ditetapkan oleh Majlis Agama setiap negeri, ada penetapan mahar setiap negeri, contohnya kalau di Selangor RM300, bayar yang itu sahaja sudah cukup. Selain itu bukan syarat.

Cuma masalah pada hari ini, emak dan ayah perempuan letak harga terlalu tinggi; RM11ribu, RM13ribu, RM20ribu, RM30ribu. Nak kata tak kena pun tidak boleh, nak kata kena pun macam tidak kena. Ia perlu melihat pada keadaan dan kemampuan seseorang.

Kalau lelaki yang hendak menikah dengan anak kita itu tidak berkemampuan, tetapi dia berkenan dengan anak kita, dan kita lihat lelaki ini sesuai dengan hadis Nabi yang mengatakan,

إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِيْنَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوْهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ

“Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu redhai agama dan akhlaknya (meminang anakmu) maka nikahkanlah dia. Jika tidak, akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan.” (Hasan. Riwayat Al-Tirmidzi)

Jadi anak kita berkenan dengan seorang lelaki ini, dan lelaki ini diredhai agamanya dan akhlaknya pun bagus, cuma lelaki ini tidak berkemampuan dari segi kewangan. Ibu dan ayah si perempuan melihat lelaki ini tidak mampu maka mereka pun meletakkan harga yang tinggi supaya pernikahan tersebut tidak jadi.

Tidak boleh seperti ini. Sepatutnya emak dan ayah kena tolong dan bantu supaya pernikahan itu jadi.

Adapun dalil-dalil yang diguna pakai seperti kamu belum mampu, belum ada rumah sendiri, belum ada kereta sendiri, belum ada itu belum ada ini; sekarang ini siapa yang boleh halang untuk mereka berhubung melalui SMS, Whatsapp, BBM, telefon, Skype, bertemu, keluar bersama? Sukar untuk kita kawal dan bendung.

Daripada kita bersusah payah hendak kawal dan bendung perhubungan mereka, lebih baik kita bagi mereka kahwin.

Tidak dinafikan keluarga berhak untuk menentukan, tetapi kalau sehingga menyusahkan dan menzalimi si lelaki, itu tidak dituntut bahkan dilarang.

Kita tidak mahu juga kaum lelaki mengambil kesempatan seperti yang berlaku di Saudi dulu apabila mereka nikah dengan harga murah, mereka kahwin dan tidak melayani isteri dengan baik, kemudian cerai, sedangkan wanita di sana tidak keluar bekerja. Ini menyebabkan mahar di Saudi naik tinggi sehingga beratus ribu, sehingga setiap kabilah ada tabung untuk bantu orang yang hendak berkahwin. Mahar yang tinggi di sana adalah terpaksa, ianya sudah menjadi kemaslahatan.

Jadi isu mahar ini sebenarnya bergantung pada keadaan seseorang. Kaum keluarga lebih kenal siapa dan bagaimana keadaan orang yang hendak menikah itu. Sebab itu di dalam Islam dituntut kita merisik, periksa betul-betul dengan siapa anak kita hendak berkahwin.

Kembali kepada bernikah di Siam, sah nikah tersebut jika menepati syarat-syaratnya. Permasalahannya cuma apabila tidak ada wali, iaitu apabila tidak mendapat restu dari ibu bapa si perempuan. Di sana ada hadis,

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيًّ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ

“Tidak ada nikah kecuali dengan wali dan dua saksi lelaki yang adil.” (Riwayat Baihaqi)

Hadis ini dipertikaikan kedudukannya. Ada ulama yang kata dhaif, ada ulama yang kata sahih dan diterima. Jumhur ulama berpegang dengan hadis ini, kecuali mazhab Hanafi yang mengatakan tidak mengapa nikah walaupun tanpa wali, berdalilkan beberapa hadis Nabi tentang isu janda yang berhak nikah tanpa keredhaan wali. Jadi mazhab Hanafi menggunakan dalil yang umum tersebut dan berpendapat harus nikah tanpa wali.

Jadi sebab itu mereka lari ke Siam, kerana wali tidak setuju. Menurut mazhab Hanafi sah pernikahan tersebut walaupun tanpa wali. Ini dipanggil “mengikut mana yang mudah”. Ulama dulu melakukan ijtihad, bukan mengikut nafsu. Adapun kita dalam bab itu mengikut nafsu.

Sebagai contoh, orang yang minum arak keluar dari bar arak, apabila dia nampak anjing dia lari. Sedangkan arak yang dia minum itu benda haram. Kenapa apabila dia nampak anjing dia lari? Cuba ketika dia tengah minum arak, dihidangkan di depannya satay daging anjing. Dia tak makan, kerana katanya anjing haram. Sedangkan yang dia minum arak itu pun haram. Sama sahaja keduanya, tetapi apa yang dia nak buat dia cuba halalkan, apa yang dia tidak mahu buat, dia mengatakan haram.

Sama juga seperti kahwin di Siam. Pada ketika itu dia memilih pendapat yang mengatakan harus nikah tanpa wali, kerana mengikut pendapat yang dia suka.

WALI HAKIM

Para ahli ilmu membincangkan tentang wali yang jauh di mana pada zaman dulu, hubungan komunikasi sukar. Kesesuaian ulama dulu berbincang mengenai wali, apabila terpisah dalam jarak yang jauh, maka hukumnya harus disebabkan ingin menjaga kehormatan dan maruah, dibimbangi berlaku hal yang tidak diingini.

Adapun pada hari ini, hendak berhubung dan mendapatkan keizinan wali bukanlah susah. Kita boleh telefon, maka tidak ada lagi sebarang alasan. Maka asalnya dia perlu cuba untuk mendapatkan persetujuan wali, melainkan sekiranya wali tersebut tidak mengizinkan dengan cara zalim, iaitu tanpa alasan yang menepati Syarak.

Contoh yang berlaku, apabila seorang lelaki ingin berkahwin lebih dari seorang. Wali kepada perempuan yang ingin menikahi lelaki tersebut tidak setuju kerana poligami. Ini masalah yang tidak patut berlaku.

Kalau ada unsur seperti lelaki itu pukul isteri, menzalimi isteri pertama, tidak beri nafkah, itu lain cerita. Tetapi kalau unsur tersebut tidak ada, tidak ada sebarang alasan, dan anak perempuannya setuju untuk bernikah dengan lelaki tersebut, maka jika ibubapa melarang atas alasan poligami, dia termasuk dalam kategori menzalimi anaknya.

Kenapa hendak melarang? Memadai kita faham bahawa Islam membenarkan poligami. Maka sekiranya wali melarang kerana alasan seperti ini, di mana mereka telah menzalimi anaknya, maka si anak boleh meminta wali hakim dan hakim boleh membantu untuk menyelesaikan masalah ini.

Sebenarnya urusan nikah kahwin dalam negara kita ini ada banyak isu di mana kadangkala ianya lambat sangat untuk diselesaikan. Jadi kita minta pihak-pihak berwajib untuk lebih membantu menyelesaikan dan mempercepatkan urusan-urusan berkaitan perkahwinan.

Kita tidak nafikan, mungkin kita lihat dari bawah benda itu mudah, tetapi mungkin bagi mereka, benda itu susah dari segi prosedurnya, susunannya dan sebagainya. Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=qz3zVlh0gAY

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: