HIKMAH RASUL DIUTUS DARI KALANGAN MANUSIA
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Para sahabat Nabi adalah generasi yang paling faham hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka beriman dan mematuhi apa sahaja yang dikhabarkan oleh Nabi sallallahu’alaihi wasallam tanpa sebarang soalan dan argumen. Mereka terus beriman tanpa tangguh. Bilakah kita hendak mencontohi mereka?
Kita asyik memberi alasan, sahabat Nabi hidup di zaman lain, kita hidup di zaman lain. Mereka lain kita lain. Kalau begitu tidak perlulah kita mengambil apa pun dari mereka. Untuk apa Allah menceritakan tentang kedudukan dan kemuliaan generasi ini. Untuk apa Allah menceritakan bahawa Muhammad itu uswatun (suri tauladan) yang terbaik bagi kita. Untuk apa Allah menceritakan di dalam Al-Quran bahawa Muhammad itu manusia biasa,
قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku ini hanya manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku.” (Surah Al Kahfi, 18: 110)
Allah menjadikan Muhammad dari kalangan manusia biasa. Mengapa kalau bukan untuk memudahkan kita mengikutinya tanpa sebarang alasan. Kalau Allah memilih Rasul dari kalangan malaikat, manusia akan mempunyai banyak alasan, ‘Dia malaikat, dia tidak mengantuk, tidak lapar, tidak kahwin, tidak ada nafsu. Kita lain.’
Ada pula di kalangan masyarakat kita yang mempelajari ilmu kebal. Sedangkan Nabi dan para sahabat pergi berperang ramai yang mati syahid, pecah-pecah muka Nabi, berdarah pipi Nabi, Nabi pengsan beberapa kali, patah gigi-gigi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Sahabat ada yang terputus tangannya. Tidak pernah lagi kita dengar di dalam hadis bahawa ada sahabat Nabi yang kebal di dalam peperangan. Jadi mengapa kita hendak menuntut ilmu kebal? Jangan kita belajar ilmu-ilmu karut seperti itu.
Ini bezanya kedudukan kita dengan mereka. Kita tidak mencontohi dan mengikuti suri tauladan yang Allah perintahkan untuk kita ikuti. Allah melantik Rasul di kalangan manusia supaya kita tidak boleh memberi sebarang alasan untuk mencontohi dan mengikutinya. Memang kita tidak akan dapat mencapai kesempurnaan Nabi, tetapi setidak-tidaknya, jejak yang Nabi tinggalkan wajib kita ikuti. Kita wajib berusaha untuk memastikan kita berada di atas jalan Baginda.
Kita juga dituntut merujuk sahabat-sahabat Baginda yang berada di sekeliling Baginda. Mereka adalah orang-orang yang perlu kita jadikan ikon, kerana mereka inilah orang yang konsisten mengikut Nabi.
Adapun manusia di zaman kita, pada hari ini dia cakap begini, pada masa lain dia cakap lain. Di tempat ini dia kata begini, di tempat lain dia kata lain. Mulutnya kata begitu, perbuatannya tidak seperti apa yang dia ucapkan. Tidak konsisten. Sedangkan dalam beragama kita kena konsisten. Dalam beragama kita kena pastikan bahawasanya kita bersama-sama dengan Nabi dan para sahabat.
Apabila Nabi menjelaskan di dalam hadis yang masyhur, hadis Abu Hurairah dan yang lainnya,
سَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً قِيْلَ: مَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ :هُمُ الَّذِيْنَ عَلَي مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَأَصْحَابِي
“Akan berpecah umatku menjadi 73 kelompok. Semuanya di dalam neraka kecuali satu.” Sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang satu) wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Mereka adalah orang-orang yang semisal dengan apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya pada hari ini.” (Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad)
Dalam riwayat lain Baginda ditanya, siapakah satu golongan yang selamat itu? Baginda menjawab: Al-Jamaah. (Riwayat Ibnu Majah)
Kata Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu,
الْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَك
“Al-Jama’ah adalah apa yang menepati kebenaran walaupun engkau seorang diri.” (Riwayat Al-Lalika-i dalam Syarh I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah)
Sesungguhnya bilangan yang ramai bukan syarat kebenaran. Sebaliknya kebenaran itu bergantung pada kesesuaian sesuatu itu dengan petunjuk Nabi dan para sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in.
Wallahu a’lam.
nice entry.
salam,
Boleh ke saya bertanya.. saya ade mendengar org2 mengatakan, Rasul itu sendiri maksudnya ‘penyampai’ atau dlm english ‘messenger’. Mereka juga mengatakan, penyampai2 yang menyampaikan ajaran Allah itu adalah rasul. sedangkan yang saya tahu, ada 25 nabi & rasul. tapi ade ke lagi rasul di kalangan manusia masa kini? benar2 mengelirukan. mereka ini adalah satu kumpulan yg menyampaikan dakwah melalui tafsir al quran. menyampaikan dari rumah ke rumah dengan cara sembunyi. kerana bagi mereka ini yang dilakukan oleh rasullullah s.aw. dan sahabat2 nya dulu. mohon pencerahan.
TQ