MENDAHULUKAN AKAL MELEBIHI WAHYU CONTOH LIBERAL DALAM AGAMA
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Pada hari ini, rata-rata masyarakat Islam memandang isu liberal dalam skop yang begitu sempit, contohnya seputar permasalahan etika berpakaian, dan 2 atau 3 bab sahaja. Sedangkan liberal itu lebih luas cakupannya. Boleh dikategorikan sebagai liberal sekiranya manusia mendahulukan rasional dalam isu berkaitan agama dan ibadat.
Di dalam Islam, sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sudah dikategorikan sebagai ibadat, selama mana ia menepati 2 syarat iaitu ittiba’ (mengikuti tatacara ibadah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam), dan ikhlas.
Maka apa sahaja ibadah di dalam Islam tidak boleh dilakukan berasaskan rasional, sebaliknya ibadah hendaklah berpandukan contoh dan ajaran dari Nabi. Jika tidak, berlakulah hal-hal yang tidak sepatutnya dalam urusan agama ini. Contohnya, wujudnya air zam-zam yang telah dikhatamkan Al-Quran padanya 6,000 kali dan dicelup padanya rambut Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Hakikatnya, ini juga liberal, iaitu melakukan sesuatu dengan mendahulukan akal melebihi nas di dalam urusan ibadah.
Seperti yang kita sedia maklum Zam-zam adalah air barakah, ia tidak perlu dijampi lagi. Baca bismillah, niatkan dalam hati apa yang ingin diniatkan kemudian minumlah. Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ له
“Air zam-zam itu bergantung untuk apa ia diminum.” (Hasan. Riwayat Ibnu Majah)
Maksudnya ialah Rasulullah telah menjamin bahawa keberkesanan air ini bergantung pada apa yang diniatkan. Maka berniatlah dan teruslah minum setelah menyebut Bismillah, air zam-zam tidak perlu kepada jampi, baca surah itu dan ini, khatam Al-Quran sampai 6,000 kali dan dicelup pula dengan rambut Nabi. Ini semua sebenarnya termasuk dalam erti kata liberal, iaitu akal didahulukan melebihi nas.
MERALISASIKAN ISLAM DALAM KEHIDUPAN
Ada beberapa perkara penting dalam merealisasikan maksud Islam. Perkara paling asas adalah menyerahkan diri kepada ALLAH dan mentauhidkan-NYA. Seperti yang sering dijelaskan; semua Nabi dan Rasul diutuskan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta’ala untuk menyeru manusia agar mentauhidkan (mengesakan) ALLAH. Inilah visi dan tanggungjawab utama kita sebagai Muslim.
Maka tindakan kita harus tertumpu kepada misi dan visi ini, iaitu untuk mengembalikan manusia kepada mengesakan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala di dalam seluruh urusan ibadah.
Maka kita tidak boleh lari daripada menyentuh tauhid kepada ALLAH di dalam apa jua urusan. Mana mungkin kita beribadat tanpa mengesakan ALLAH, tidak sah ibadah tersebut. Maka apabila kita mengajar dan menjelaskan kepada manusia tentang Islam, kita tidak boleh lari dari menjelaskan peri pentingnya tauhid kerana seluruh para Nabi dan Rasul diutuskan untuk tujuan tersebut.
Sedarkah kita bahawa apabila setiap hari kita berdoa, kita meminta hanya padaNYA, berdalilkan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
إذَا سأَلتَ فاسْألِ اللهَ وإذا استَعنتَ فاستَعِن باللهِ
“Apabila kamu meminta maka mintalah pada ALLAH, dan apabila kamu memohon pertolongan maka mohonlah pertolongan pada ALLAH.” (Riwayat At-Tirmidzi, dinilai hasan sahih olehnya)
Itu sebenarnya adalah asas tauhid. Minta hanya pada ALLAH, beribadah hanya pada ALLAH. Kadangkala walaupun dalam kehidupan kita telah merealisasikan tauhid tetapi sayangnya kita tidak ada ilmu tentangnya, kita tidak sedar bahawa kita sedang mengaplikasikan Tauhid Uluhiyah ketika kita berdoa kepada Allah, kerana kita tidak ada ilmu.
Apabila kita sudah ada ilmu tentangnya dan kita sudah faham maka ia akan memberi impak yang lebih positif kepada kita untuk lebih konsisten dalam beramal.
BERLEPAS DIRI DARI SYIRIK DAN SEKUTUNYA
Apabila usaha dan tujuan para Nabi dan Rasul diutuskan adalah untuk menyeru manusia mengesakan ALLAH, maka lawannya adalah syirik. Ini adalah asas. Sebelum kita hendak memikirkan tentang pemerintahan, kedaulatan, kebangsaan atau apa pun, tauhid mesti jelas. Syirik mesti musnah. Biar orang kenal dakwah sunnah ini sebagai dakwah yang menyeru kepada tauhid dan menghapuskan syirik. Biar orang mengenali ahli sunnah ini sebagai dakwah yang benci dan anti-syirik. Bukan dakwah yang anti-qunut, bukan juga dakwah yang mencari-cari jawatan dalam pemerintahan dan sebagainya.
Saya pernah menyebut, jika kita bertemu pelaku bid’ah, dalam masa sama dia adalah tekong tahlil dan zikir berjemaah, dan pada masa sama dia memakai tangkal. Yang mana harus kita perbetulkan dahulu? Sudah semestinya yang perlu dibetulkan adalah tangkal kerana itu yang paling penting, ia melibatkan akidah. Sebab di dalam amar makruf nahi mungkar ada tingkatan-tingkatan dan tahapan-tahapannya yang sewajarnya ia dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan.
Wallahu a’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman kuliah Usul Tsalatsah, 2012
From → Akidah & Manhaj, Fiqh & Syariah