Skip to content

PERINTAH MENGGUNAKAN SUTRAH KETIKA SOLAT

Jun 19, 2013

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

SutrahSabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

لاَ تُصَلّ إِلاَّ إِلَى سُتْرَةٍ

“Janganlah engkau solat kecuali menghadap sutrah.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Juga Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda di dalam hadis yang lain,

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى سُتْرَةٍ فَلْيَدْنُ مِنْهَا لَا يَقْطَعْ الشَّيْطَانُ عَلَيْهِ صَلَاتَهُ

“Jika seseorang dari kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya. (Sahih. Riwayat Abu Dawud)

Sutrah adalah benda yang kita jadikan penghadang atau penghalang seperti tembok, tiang, kerusi, dinding dan lain-lain di hadapan kita ketika kita hendak solat. Mesti ada penghadang di hadapan kita apabila kita berdiri untuk solat. Ada beberapa perkara penting yang dibicarakan tentang sutrah. Di antaranya;

  1. Memastikan kewujudan penghadang itu di hadapan kita
  2. Jarak antara sutrah dan tempat sujud lebih kurang cukup untuk dilalui oleh seekor anak kambing. Ini disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim. Maknanya jarak orang yang solat dengan sutrah adalah dekat.
  3. Sutrah bukan diukur dari sudut lebarnya, tetapi dari sudut tinggi, berdalilkan Nabi pernah memacak satu tombak yang hujungnya tajam seperti lembing, dan dipacakkan di atas tanah apabila Baginda di padang pasir dan tidak ada sesuatu pun yang boleh dijadikan sutrah. Walaupun asas sutrah itu Nabi katakan kepada para sahabat “seperti belakang pelana unta”, pelana unta adalah besar dan tingginya lebih kurang sehasta dari tanah. Tetapi apabila Nabi pacakkan satu tombak, ini menunjukkan sutrah adalah benda yang tinggi, tidak disyaratkan lebar dan besar. Ini kerana di sana ada satu hadis yang lain di mana Nabi menggariskan satu garisan. Sebab itu masjid-masjid membuat garisan, antaranya untuk dijadikan sutrah. Namun sebenarnya hadis itu adalah hadis yang dha’if jiddan (lemah yang bersangatan), dibahaskan oleh Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar, juga Ibnu Hajar Al-Atsqalani di dalam Bulughul Maram. Jadi hadis yang sahih adalah hadis pelana unta dan hadis tombak. Berdasarkan hadis tombak dapat kita fahami bahawa saiz sutrah diukur berdasarkan ketinggian. Kalau kita gunakan tembok tinggi sejengkal, itu tidak dinamakan sutrah. Tinggi sutrah mestilah lebih kurang sehasta, lebih kurang tinggi botol air mineral yang besar.
  4. Sutrah boleh terdiri daripada banyak benda. Manusia juga boleh menjadi sutrah kalau dia duduk diam, beg, kerusi, dinding dan hal-hal yang seumpama dengannya. Nabi paling suka menjadikan dinding sebagai sutrah. Sutrah mesti ada di hadapan orang yang solat.

KELEBIHAN MENGGUNAKAN SUTRAH

  1. Ia adalah sunnah dan perintah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
  2. Sutrah memastikan ruang dan tempat untuk kita solat, supaya tidak diganggu oleh orang lain. Ada hadis larangan lalu di depan orang yang solat.

لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي مَا ذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِيْنَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

“Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang shalat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud 40 itu tidak dijelaskan di dalam hadis. Perawi hadis ini tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan adalah 40 hari, 40 bulan, atau 40 tahun. Dalam musnad Al-Bazzar mengatakan 40 tahun. Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar membahaskan bahawa yang diertikan dengan 40 itu menggambarkan betapa besarnya dosa. Maknanya sutrah ini bukan perkara main-main atau suka-suka.

APABILA SUTRAH BERALIH

Apabila seseorang itu solat dengan menghadap sutrah, dan kemudian sutrahnya lari. Contohnya dia solat di belakang orang dan orang itu bangkit. Kalau jarak orang yang solat dengan dinding di depannya dekat, dia boleh berjalan ke depan mendekati dinding di depan. Dalilnya adalah pernah ada seekor anak kambing hendak lalu di hadapan Nabi ketika Nabi sedang solat, Baginda merapatkan dada dan perut Baginda sehingga menempel ke dinding tersebut, menunjukkan Nabi tidak membenarkan kambing itu lalu di antara Baginda dan sutrah. Ini menunjukkan keharusan apabila kita solat dan sutrah itu lari, kita mendekatkan diri kita dengan sutrah.

Tetapi jika sutrah itu hilang atau diambil atau dialihkan dari depan kita, kita boleh dekatkan diri kita ke arah sutrah yang lain.

APABILA ORANG LALU DI DEPAN ORANG YANG SOLAT MENGGUNAKAN SUTRAH

Kalau kita solat menghadap sutrah, kemudian orang hendak lalu di depan kita. Sabda Nabi di dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri,

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ، فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ، فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

“Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya dari manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya.  Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Atau dalam riwayat lain (Muslim) disebutkan,

فَإِنَّ مَعَهُ الْقَرِينَ

“Sesungguhnya bersamanya adalah Qarin (bayangan syaitan).” (Riwayat Muslim)

Maksud bunuh bukanlah ambil pisau kemudian tikam dia sampai mati. Maksudnya berusaha bersungguh-sungguh untuk melawannya dan menggambarkan betapa besarnya hukum ini. Abu Sa’id Al-Khudri menahan seorang budak yang cuba lalu di depannya yang sedang solat sebanyak beberapa kali sehingga budak itu mengadu kepada Marwan bahawa Abu Sa’id telah menyakitinya sedang dia sedang solat. Bagi Abu Sa’id, sedangkan kambing yang tidak berakal pun Nabi tidak membenarkan lalu di depannya, apatah lagi budak ini. Sahabat Nabi lalu bertanya kepada Abu Sa’id mengapa dia berbuat demikian, maka dia membacakan hadis Nabi di atas.

Namun bukanlah sampai kita sengaja membunuh. Menurut Imam Al-Syaukani, kalau kita menahannya berulang kali dengan keras sehingga dia tiba-tiba mati, orang yang menahan tidak dikenakan hukum had (hudud) atau qisas ke atasnya, kerana dia melakukan sesuatu yang syar’i iaitu menghalang orang lalu di depannya ketika dia sedang solat.

Dari sini dapat kita fahami bahawa sutrah adalah perkara yang sangat penting, bukan diperintahkan untuk suka-suka atau dibuat mainan. Apabila ada sutrah, maka orang faham bahawa itu adalah kawasan orang bersolat dan mereka tidak boleh lalu di kawasan itu. Tetapi apabila tidak ada sutrah, orang tidak tahu dan lalu lalang di hadapan kita sedangkan ianya adalah satu dosa yang besar.

Wallahu a’lam.

Teks disediakan berdasarkan rakaman seminar Sifat Solat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, 2012

One Comment

Trackbacks & Pingbacks

  1. Sholat anda di masjid tidak sah? | Melayu Stampin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: