Lompat ke isi kandungan

DOA TIDAK DITOLAK PADA BULAN RAMADAN

Julai 22, 2013

Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya

1318081704-IYTCUE6Hajjaj bin Yusuf Al-Saqafi seorang pemerintah yang banyak menangkap dan membunuh sahabat Nabi dan juga tabi’in. Pernah suatu ketika seorang lelaki bertemu dengan Mutharrif bin Al-Syikkhin ra. mengadu bahawa Hajjaj telah menangkap seorang pemuda. Berita ini dinukilkan dalam Thabaqat Ibn Saad, juga kitab-kitab lain dengan sanad yang sahih. Daripada Ghilan ibn Jarir dia berkata:

“Hajjaj menangkap seorang lelaki bernama Muwarriq dan memasukkannya ke dalam penjara. Maka aku bertemu dengan Mutharrif, dia berkata: “Apa yang berlaku kepada saudaramu? Aku berkata: “Dipenjara”. Mutharrif berkata: “Marilah berdoa”. Maka Mutharrif berdoa dan setelah selesai berdoa dan masuk waktu malam, Hajjaj keluar lalu dia duduk dan mengizinkan manusia datang melawatnya. Maka masuklah Abu Muwarriq (bapa Muwarriq) bersama-sama orang lain. Hajjaj memanggil pengawal penjara dan berkata “Pergilah ke penjara bersama Syeikh ini (Abu Muwarriq) dan keluarkan anaknya.”

Berkata orang yang meriwayatkan kisah ini: “Tanpa ada seorang pun yang bercakap kepadanya (Hajjaj) dari kalangan manusia.”

Bapa Muwarriq belum sempat bercakap apa-apa kepada Hajjaj. Bahkan tidak ada seorang manusia pun bercakap kepada Hajjaj supaya mengeluarkan Muwarriq. Sebaliknya mereka bertemu dengan Mutharrif ibn Syikkhin (sahabat Nabi) dan dia berdoa kepada Allah SWT.

Inilah kekuatan doa yang wajib diyakini setiap Muslim. ALLAH SWT berfirman: “Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan bagimu.” (Surah Ghafir: 60)

Doa adalah usaha pertama yang dilakukan oleh orang yang beriman, kerana dia meyakini bahawa setiap sesuatu itu berlaku dengan kehendak dan izin ALLAH SWT, tidak ada perubahan dan kekuatan melainkan dengan izin ALLAH.

Kemudian barulah disusuli dengan usaha lain yang tidak menyalahi Syariat sedaya mampu. Usaha yang dilakukan oleh bapa Muwarriq adalah pergi bertemu Hajjaj yang memenjarakan anaknya. Tetapi belum sempat dia meminta, disebabkan kekuatan doa, anaknya dibebaskan oleh Hajjaj.

Merujuk pula kepada kisah kekuatan doa Uwais bin Amir Al-Qarni yang merupakan seorang tabi’in, Nabi sehingga memerintahkan para sahabat untuk bertemu dengan Uwais dan meminta supaya dia memohonkan pengampunan daripada Allah. Umar Al-Khattab ra. antara sahabat yang berusaha mencarinya dan meminta supaya Uwais berdoa dan memohon pengampunan dari Allah untuknya. Sekiranya dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah nescaya Allah memakbulkan doanya.

JAUHI SEBAB DOA DITOLAK

Walaubagaimanapun, adab dan syarat berdoa jangan dilupakan; Antaranya, tidak berdoa kepada selain ALLAH di samping berdoa kepada ALLAH. Ini sepertimana firman ALLAH: “Barangsiapa berdoa kepada Tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil baginya tentang itu, maka sungguh hisabnya (yang perit) di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak akan mendapat kejayaan.” (Surah Al-Mukminun: 117)

Di samping itu, rezeki yang dimakan dan dibelanjakan mestilah dari sumber yang halal, di mana Nabi pernah menceritakan perihal seorang musafir yang badannya berdebu lalu dia mengangkat kedua tangannya ke langit serta menyeru-nyeru nama ALLAH beberapa kali seraya berdoa kepada ALLAH, tetapi doanya tidak diperkenankan kerana makanan, pakaian, dan rezekinya dari sumber yang haram. (Rujuk hadis riwayat Muslim)

Doa juga hendaklah dalam keadaan merendah suara dan merendah diri, khusyuk dan meminta dengan penuh pengharapan, bersangka baik yakni yakin doa itu akan dimakbulkan, serta tidak tergesa-gesa. Firman ALLAH SWT: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raf: 55)

Rasulullah SAW  bersabda, “Doa salah seorang di antara kalian pasti akan dikabulkan selama dia tidak tergesa-gesa, iaitu mengatakan: Saya sudah berdoa tetapi belum dikabulkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara bentuk terburu-buru juga ialah tidak memulakan doa dengan pujian kepada ALLAH dan selawat ke atas RasulNya. Nabi SAW pernah mendengar ada orang yang berdoa dalam solat dan dia tidak memuji Allah dan tidak berselawat ke atas Nabi SAW. Baginda bersabda: “Orang ini terburu-buru.” Kemudian Baginda bersabda:

“Apabila kalian berdoa, hendaklah memulai dengan memuji dan mengagungkan Allah, kemudian berselawat ke atas Nabi. Kemudian berdoalah sesuai kehendaknya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

MANFAATKAN WAKTU MUSTAJAB DOA KETIKA RAMADAN

Termasuk waktu mustajab doa adalah ketika berpuasa, ketika berbuka dan ketika di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah membebaskan hamba-hambaNya dari api Neraka setiap hari dan malam pada bulan Ramadhan. Dan sungguh setiap Muslim memiliki satu doa yang mustajab di bulan ini.” (Riwaya Al-Bazzar)

Dari Abdullah bin Amru bin Al ‘Ash ra., Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang puasa ketika berbuka memiliki doa yang tidak akan ditolak.” (Riwayat Ibnu Majah)

Nabi SAW bersabda dalam hadis yang lain: “Tiga orang yang doanya tidak tertolak: orang yang berpuasa sampai dia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat Al-Tirmidzi)

Imam Al-Nawawi rh. menjelaskan, “Hadis ini menunjukkan bahawa disunnahkan bagi orang yang berpuasa untuk berdoa dari awal dia berpuasa hingga akhirnya.” Imam Al-Nawawi berkata lagi, “Disunnahkan bagi orang yang berpuasa untuk berdoa demi keperluan akhirat dan dunianya, juga pada perkara yang dia sukai serta jangan lupa untuk mendoakan kaum Muslimin yang lain.” (Al-Majmu’)

Antara bentuk yakin dalam doa adalah dengan memahami apa yang diminta, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berdoalah kepada Allah dan hendaklah kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai dan lengah.” (Riwayat Al-Tirmidzi)

Banyak orang yang lalai dalam berdoa iaitu dia tidak memahami dan tidak merenungi apa yang dia doakan dan bacakan. Lalu bagaimanakah doa itu akan dikabulkan?

Penulis adalah CEO Pertubuhan Ilmuwan Malaysia

Artikel ini disiar di akhbar pada Ahad 21.07.2013

One Comment
  1. Zaki Baba permalink

    salam al mubarak dan terima kasih ustaz

    ________________________________

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: