Skip to content

Raya dalam kegembiraan dan ketaatan

Ogos 13, 2013

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

Hari-RayaBaru sahaja kita berpisah dengan bulan Ramadan, dan hari-hari yang dilalui ketika Ramadan masih terkesan dalam jiwa. Setelah itu kita disyariatkan oleh ALLAH untuk berhari raya supaya kita bergembira dan berbahagia setelah selama sebulan menunaikan kewajipan berpuasa kerana ALLAH. Disyariatkan hari raya memiliki hikmah dan tujuan yang besar, antaranya seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu supaya kaum Yahudi dan Nasrani mengetahui bahawa dalam agama kita terdapat kelapangan. Ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang pertengahan.

Pertama kali perayaan ini disyariatkan adalah ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sampai ke Madinah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan bahawa ALLAH telah menggantikan perayaan dan hari kebesaran yang ada dengan dua perayaan bagi umat Islam iaitu Idul Adha dan Idul Fitri, bahkan Baginda mengatakan bahawa dua perayaan ini adalah yang lebih baik berbanding perayaan-perayaan yang lain. Maka Umat Islam harus berbangga dan meraikan perayaan ini dan tidak mencari yang selain dari keduanya.

Idul fitri diraikan setelah kaum Muslimin melaksanakan kewajipan Rukun Islam berpuasa di bulan Ramadan dan ketaatan sepanjang bulan itu. Bukan sahaja berpuasa dari makan dan minum, tapi juga dari perbuatan mungkar dan lagha. Hanya setelah melaksanakan ketaatan, Allah menghadiahkan kegembiraan yang hanya layak dirasakan oleh orang yang menunaikan hak-hak ALLAH, iaitu orang yang jiwanya dekat dengan Allah. Itulah hari kemenangan bagi hamba Allah yang bertakwa.

Disebabkan Hari Raya merupakan suatu syariat, hendaklah kita perhatikan supaya dalam kita bergembira, kita tetap menjaga hak Allah. Ini kerana suatu syariat harus dilakukan seperti mana ia disyariatkan, dan tidak harus disertakan di dalamnya perkara yang mengundang murka ALLAH yang menyebabkan manusia jauh dari rahmatNya.

Semangat meneladani Rasulullah harus wujud supaya amalan yang dilakukan bernilai ibadah. Ini kerana jika amalan dilakukan sekadar ikut-ikutan, terpaksa, melakukan tanpa ilmu, atau kerana manusia dan kepentingan dunia, amalan itu hanyalah bernilai budaya dan rutin. Ini kerana syarat diterima ibadah adalah ikhlas dan ittiba’ (meneladani Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam). Selain daripada itu, amalan tidak bernilai ibadah yakni tidak ada nilainya di sisi ALLAH.

Maka berikut adalah di antara perkara yang harus sedaya upaya kita jauhi, ia telah tersebar di kalangan masyarakat;

Pertama, tasyabbuh (menyerupai) orang-orang kafir. Tasyabbuh kafir adalah dilarang sama ada dalam urusan pakaian, tingkah laku, serta amalan-amalan yang khusus atau sinonim dengan orang kafir. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” (Hasan. Riwayat Ahmad)

Antara amalan menyerupai orang kafir pada hari raya adalah seperti mendengar muzik dan nyanyian (kecuali duff yang dimainkan oleh anak perempuan kecil). Hari raya hakikatnya adalah hari untuk melahirkan kesyukuran dan menzahirkan pengagungan kepada ALLAH. Oleh kerana itu, umat Islam diperintahkan untuk bertakbir memuji ALLAH dan menzahirkan syariat dan identiti Muslim pada hari ini. Mendengar muzik dan nyanyian bercanggah dengan tuntutan ini, kerana telinga dan lidah yang dihiasi muzik mana mungkin dapat berzikir kepada Allah.

Amalan memasang muzik jelas merupakan hasil dari meniru budaya orang kafir. Malah di dalam hadis sahih riwayat Bukhari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Akan datang sekelompok orang dari umatku yang menghalalkan zina, sutera (bagi lelaki), khamar (sesuatu yang memabukkan) dan alat muzik.” (Riwayat Al-Bukhari secara mu’allaq. Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata bahawa hadis ini sahih dan bersambung sesuai syarat sahih)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa zina, sutera, khamar (arak) dan alat muzik hukum asalnya adalah haram tetapi di akhir zaman ini akan ada golongan yang menghalalkannya. Ini adalah satu mukjizat Nabi di mana apa yang diucapkan oleh Baginda benar-benar menjadi kenyataan. Ibnu Mas’ud ra. ketika mentafsirkan perkataan ‘Lahwal Hadits’ (perkataan sia-sia) dalam dalam surat Luqman ayat 6 mengatakan yang dimaksudkan adalah Al-Ghinaa‘ (nyanyian).

Kedua, Tabarruj (mempamerkan kecantikan) bagi wanita dan keluarnya wanita dari rumah tanpa keperluan yang dibenarkan Syarak. Hal ini menyalahi firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat ke-33, “Dan hendaklah kamu (wanita) tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu” (Surah Al-Ahzab: 33)

Ketiga, ikhtilath (percampuran lelaki dan perempuan) dan berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, “Sesungguhnya jika kepala kamu ditusuk dengan besi, itu lebih baik daripada dia menyentuh wanita yang tidak halal dia sentuh.” (Silsilah Al-Ahadis Al-Sahihah)

Keempat, mengkhususkan ziarah kubur pada hari raya dan membaca Al-Quran di kubur. Tujuan disyariatkan menziarah kubur adalah untuk mengingati kematian iaitu melahirkan rasa takut. Ini bercanggah dengan tujuan pensyariatan Hari Raya yang menuntut umat Islam bergembira dan bersenang hati.

Bahkan tidak ada dalil yang menunjukkan perintah Allah ataupun anjuran Nabi untuk menziarahi kubur pada Hari Raya. Untuk mengkhususkan suatu amalan berbentuk ibadah pada hari dan waktu tertentu perlu kepada dalil. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa yang beramal suatu amalan (dalam urusan ibadah) di mana ia tidak termasuk dalam urusan kami, maka amalnya tertolak.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah juga melarang menjadikan kubur sebagai tempat perayaan, juga melarang duduk di kubur dan menjadikan kubur sebagai tempat ibadah (termasuk membaca Al-Quran) seperti mana diriwayatkan dalam hadis-hadis sahih, antaranya sabda Baginda, “Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kamu kepadaku kerana selawat itu akan sampai kepadaku dimana kamu berada.” (Sahih. Riwayat Abu Daud)

Dalam riwayat lain Baginda bersabda: “Semoga Allah melaknat Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur para nabiNya sebagai masjid (tempat beribadah).” (Riwayat Bukhari).

Juga tidak dibolehkan membaca Al-Quran di kubur kerana Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu jadikan rumah kamu sebagai kubur, kerana sesungguhnya Syaitan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah” (Riwayat Muslim). Ini menunjukkan bahawa rumah yang tidak dibacakan Al-Quran adalah seperti kubur, kerana kubur bukan tempat untuk membaca Al-Quran.

Kelima, membakar mercun sehingga mengganggu orang lain dan membuat orang terkejut. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Muslim (yang baik) adalah yang tidak mengganggu muslim lain dengan lisan dan tangannya.” (Riwayat Muslim). Begitu juga bentuk-bentuk gangguan yang lain.

Hidup manusia di dunia tidak lepas dari syariat Allah. Ini kerana tujuan diciptakan manusia adalah untuk beribadah kepadaNYA. Firman Allah, “Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu.” (Al-Dzariyat: 56). Maka hendaklah sedaya upaya kita menjalani urusan harian khususnya urusan ibadah sesuai tuntutan sunnah agar ia benar-benar bernilai ibadah dan kita berhasil mendapat manfaatnya dan yang lebih penting jauh dari kemurkaan ALLAH.

Penulis adala Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Ahad, 11 Ogos 2013

 DSC_0179

From → Fiqh & Syariah

Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: