Lompat ke isi kandungan

KEUTAMAAN IBADAH KETIKA AL-HARAJ

Ogos 16, 2013

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

601735_10151893411828327_752866772_nDari Ma’qil bin Yasar bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

العبادةُ في الهَرْجِ كهجرةٍ إليَّ

“Ibadat ketika Al-Haraj seperti kamu berhijrah kepadaku.” (Riwayat Muslim).

Pengertian Al-Haraj dijelaskan oleh Rasulullah sendiri di dalam hadis yang lain di mana Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

«لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَكْثُرَ الْهَرْجُ» قَالُوا: وَمَا الْهَرْجُ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «الْقَتْلُ الْقَتْلُ»

“Tidak akan terjadi Kiamat sehingga banyak terjadinya Al-Haraj.” Para sahabat bertanya, ‘Apakah itu Al-Haraj wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, “Pembunuhan demi pembunuhan.” (Riwayat Muslim)

Al-Haraj dalam hadis ini secara umumnya bermaksud huru hara yakni berlakunya pembunuhan, pergaduhan, perpecahan, bala, bencana, dan seumpamanya. Tatkala berlaku fitnah seumpama ini, Nabi menyarankan supaya kita memperbanyakkan ibadah, di mana Baginda menyatakan bahawa keutamaan beribadah pada masa ini sama seperti kita berhijrah kepada Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.

Namun hijrah yang dimaksudkan bukanlah bertemu Nabi seperti yang dipercayaai oleh sebahagian golongan sufi yang mendakwa mereka bertemu dengan Nabi di dalam jaga. Yang dimaksudkan dengan hijrah kepada Nabi adalah meninggalkan fitnah dan keburukan itu menuju ketaatan terhadap Nabi. Ini kerana Nabi tidak pernah sama sekali meninggalkan ibadat pada masa ditimpa musibah hatta di dalam peperangan, ibadat kepada Allah tetap diutamakan.

Hijrah bererti “meninggalkan”, maka kita dituntut meninggalkan fitnah dan pergi kepada kebaikan ajaran yang ditinggalkan oleh Nabi. Imam Al-Nawawi dalam kitabnya Riyadhus Salihin meletakkan satu bab khusus iaitu Bab Fadhli Al-Ibadati fi Al-Harji wa huwa al-Ikhtilath wa Al-Fitan (Bab Kelebihan Beribadat ketika Al-Haraj iaitu Kekacauan dan Merebaknya Fitnah).

Beliau menjelaskan lagi pengertian Al-Haraj sebagai Fitnah dan keadaan urusan manusia yang berkecamuk. Besarnya keutamaan beribadat pada waktu itu adalah kerana manusia biasanya melupakan dan melalaikan ibadat apabila sibuk dengan perkara lain di saat fitnah sedang berkecamuk, sehingga tidak ada yang bersungguh-sungguh melakukan ibadat kecuali segelintir orang sahaja. (Al-Minhaj)

Memang realiti, sebahagian orang ketika dalam kesusahan dan huru hara, mereka sibuk hendak menyelesaikan masalah sehingga lupa kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala, sedangkan yang menimpakan dan yang mengangkat sesuatu musibah itu adalah Allah. Walaupun mulut mereka menyebut Allah, Allah, Allah tetapi praktik amalan dan penghayatan itu kurang. Hanya menyebut nama Allah belum mencukupi. Ia perlu disusuli dengan amal ibadat.

Jika kita lihat pada hari ini, hampir semua orang sibuk dengan isu semasa, politik dan sebagainya. Hanya sedikit yang menyibukkan diri untuk menambahkan pengetahuan agama, mendalami ilmu agama dan memperbaiki amal ibadah. Sedangkan keutamaan menuntut ilmu sangat besar sehingga Islam mewajibkan sebahagian umat Islam untuk tinggal dan tidak ikut berjihad (berperang) semata-mata untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama, untuk disampaikan dan disebarkan kepada yang lain.

Betapa masyarakat Islam pada hari ini memandang remeh urusan ilmu dan ibadah dapat kita lihat apabila mereka boleh berbicara dan berhujah tentang masalah dunia dan politik, tetapi jika ditanya tentang permasalahan akidah dan ibadah, jika diminta dalil mengapa mereka beribadah sedemikian, kebanyakannya menggaru kepala kalau tidak memberi jawapan yang salah atau jawapan yang dia sendiri tidak yakini.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rh. menjelaskan bahawa ibadah adalah segala sesuatu yang dicintai dan diredai Allah, sama ada ucapan mahupun perbuatan, yang zahir mahupun tersembunyi. (Al-Ubudiyah). Sesuatu yang dicintai dan diredai Allah tentulah apa yang menepati Al-Quran dan Al-Sunnah, manakala yang dibenci adalah yang menyelisihinya.

Kaitan ibadah dengan hijrah adalah pada zaman Nabi, orang beriman meninggalkan Negeri yang penduduknya yang kafir dan berhijrah ke Negeri yang penduduknya beriman. Maka apabila terjadi fitnah, wajib bagi setiap orang untuk berhijrah yakni meninggalkan fitnah tersebut untuk menyelamatkan agama dan nyawanya dengan menuju ketaatan beribadah serta menjauhi kelompok manusia yang terlibat dengan fitnah itu.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam apabila menyatakan akan terjadinya Al-Haraj atau fitnah, Baginda tidak membiarkan umatnya terpinga-pinga tanpa solusi. Sebaliknya Baginda memberi solusinya secara jelas untuk diikuti, antaranya;

1) Menjauhkan diri dari terlibat dengan fitnah yakni berlepas diri daripadanya. Baginda memuji orang yang menjauhi tempat berkumpulnya manusia kerana menjaga nyawa dan agama dari fitnah. Termasuk berlepas diri dari menyebarkan dan memperkatakan sesuatu dia tidak ada ilmu tentangnya.

2) Beribadah kepada Allah, termasuk berdoa memohon perlindungan dari segala bentuk fitnah, memohon keampunan, serta beramal ibadat yang lain.

3) Melazimi para ulama dan meminta fatwa mereka berkaitan fitnah yang berlaku, sebagaimana kata Hasan Al-Basri, “Sesungguhnya jika fitnah datang, ia telah diketahui oleh ulama dan jika ia telah berlaku maka barulah diketahui oleh setiap yang jahil.” Para ulama diberi firasat oleh Allah di mana mereka mengetahui bilamana fitnah itu datang dan mereka mengetahui jika sesuatu tindakan atau ucapan itu akan mendatangkan fitnah. Sebaliknya orang awam yang jahil hanya menyedari ianya fitnah apabila ia telah berakhir dan telah mengorbankan banyak nyawa.

4) Tidak keluar dari ketaatan terhadap pemerintah dalam hal yang makruf, kerana mentaati pemerintah ketika terjadinya fitnah merupakan sebab selamatnya agama dan nyawa seseorang muslim. Jangan sama sekali terpedaya dengan pemikiran dan gerakan khawarij yang menggunakan nama reformasi dan seumpamanya, kerana gerakan seperti inilah sebenarnya yang menjadi punca fitnah dan kekacauan terbesar sejak zaman berzaman.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Ilmuwan Malaysia

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Ahad 7 Julai 2013

DSC_0182

One Comment
  1. zmasrin permalink

    tkasih byk ustaz.. dan selamat hari raya semoga umat islam bersatu semuanya tak terkecuali di negara kita Msia dan Allah membantu kita semua.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: