Skip to content

WAJIB KORBAN BAGI YANG MAMPU

September 23, 2013

Dr. Fathul Bari Mat Jahya

yellow-flowers-in-summer-wallpapers_34064_1366x768Qurban atau udhiyah adalah ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT. Udhiyah bererti haiwan yang disembelih pada hari Idul Adha untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah Allah dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Kami telah memberimu nikmat yang banyak, maka solatlah kerana Tuhanmu dan sembelihlah qurban. (Al-Kautsar: 1-2)

Allah juga berfirman, “Katakanlah: ‘Sesungguhnya solatku, korbanku (nusuk), hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Rabb sekalian alam, tidak ada sekutu bagiNya.’” (Al-An’am: 162)

Nusuk dalam ayat di atas bererti menyembelih haiwan dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.(Minhaj Al-Muslim)

HUKUM KORBAN

Ulama berbeza pendapat tentang hukum udhiyah kepada dua pendapat; Pendapat jumhur mengatakan sunat muakkad (sangat dituntut) manakala sebahagian ulama mengatakan hukumnya wajib bagi yang mampu.

Pendapat yang mengatakan wajib dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Malik, juga satu riwayat daripada Imam Ahmad. Pendapat ini dirajihkan oleh Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyah. Syaikh Al-Utsaimin mengatakan, “Pendapat yang mewajibkan bagi orang yang mampu adalah kuat kerana banyaknya dalil yang menunjukkan perhatian dan kepedulian Allah padanya.” (Syarh Al-Mumti’)

Antara dalilnya adalah sabda Nabi, “Barang siapa memiliki kelapangan (rezeki) tetapi tidak menyembelih kurban maka jangan sama sekali dia mendekati tempat solat kami.” (Hasan. Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al-Daraqutni, Al-Hakim)

Dari hadis ini Baginda SAW secara tegas melarang orang yang mampu tetapi enggan berkorban daripada menghampiri tempat solat, menunjukkan meninggalkannya bererti meninggalkan kewajipan.

Baginda juga bersabda, “Barang siapa menyembelih sebelum solat, hendaklah dia mengulangi dengan haiwan lain.” (Al-Bukhari, Muslim, Al-Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad)

Perintah Rasulullah supaya mengulangi dengan haiwan lain ini menguatkan lagi hujjah pendapat yang mengatakan hukumnya wajib.

Sebagai langkah berhati-hati, ulama menasihatkan kaum muslimin berusaha keluar dari khilaf iaitu melaksanakannya jika mampu. Tambahan pula ia cuma dilakukan setahun sekali dan fadilatnya lebih besar berbanding sedekah dengan harga haiwan korban yang senilai ataupun yang berlipat kali ganda.

Ibadah ini juga sebagai mencontohi sunnah Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah menyembelih anaknya Nabi Ismail, lalu kedua-duanya sabar dan mentaatinya, kemudian Allah menggantikan Nabi Ismail dengan kibasy. Maka hendaklah kaum muslimin mencontohi sikap Nabi Ibrahim dan Ismail yang mendahulukan perintah Allah.

SYARAT-SYARATNYA

Seekor kambing atau satu bahagian lembu atau unta yang disembelih cukup untuk mewakili seorang dan seluruh ahli keluarganya. Hal ini dijelaskan dalam hadis Abu Ayyub, “Pada zaman Rasulullah seseorang menyembelih seekor kambing sebagai korban bagi dirinya dan keluarganya.” (Al-Tirmidzi)

Syarat haiwan korban yang pertama iaitu umur minimum; Kambing 1 tahun, lembu 2 tahun, atau unta umurnya 5 tahun. Syarat kedua, hendaklah haiwan itu tidak cacat; tidak buta, tidak sakit, tidak pincang, tidak kurus atau lemah. Ini syarat haiwan yang dibolehkan untuk korban.

Syarat ketiga iaitu dari segi waktu penyembelihan; hendaklah dilakukan pada waktu yang ditentukan oleh syariat iaitu bermula selepas solat hari raya dan setelah khutbah sehingga sebelum terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Seorang yang menyembelih sebelum selesai khutbah korbannya tidak diterima dan diperintahkan untuk mengulanginya,“Barangsiapa menyembelih sebelum solat, hendaklah dia mengulanginya” (Bukhari & Muslim).

Sabda Nabi, “Hari tasyriq adalah waktu menyembelih korban” (Riwayat Ahmad). Walaubagaimanapun hadis ini dibicarakan dan ulama berselisih tentang waktu penyembelihan. Majoriti termasuk Imam Abu Hanifah, Malik dan pendapat Imam Ahmad yang terkenal mengatakan waktu menyembelih hanya pada 10, 11, 12 Zulhijjah.

ADAB DAN LARANGAN

Antara adab melaksanakan korban; disunnahkan bagi orang yang berkorban memakan daging korbannya. Dianjurkan juga orang yang berkorban menyembelih sendiri. Namun jika tidak mampu, hendaklah dia menyaksikan haiwan korbannya disembelih.

Disunatkan membahagi daging korban kepada tiga bahagian; satu bahagian dimakan olehnya dan keluarganya, satu bahagian dihadiahkan kepada kaum kerabat, jiran dan sahabat, dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada fakir miskin. Namun jika ada lebihan atau kurang lalu diberi kepada sebahagian orang tanpa memberi kepada sebahagian yang lain (contohnya diberi kepada fakir miskin sahaja), ia dibolehkan.

Tidak boleh menjualkan sesuatu pun dari bahagian korban; dagingnya, kulit, lemak dan sebagainya. Disebut dalam hadis, “Barangsiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tidak ada korban baginya.”(Sahih. Al-Hakim)

Juga tidak boleh memberi penyembelih bahagian korban sebagai upah sebagaimana dijelaskan dalam hadis Ali bin Abi Thalib, “Kami dilarang memberi sesuatu pun dari bahagian korban kepada tukang sembelih (sebagai upah kerana ini termasuk jual beli).” (Bukhari & Muslim)

Sebahagian ulama mengatakan boleh memberi sebahagian korban kepada orang kafir jika dia fakir, bertujuan untuk melembutkan hatinya supaya mencintai islam dan mengajaknya kepada Islam.

Apabila masuk bulan zulhijjah, seorang yang ingin berkorban diharamkan memotong rambut, kuku, kulit atau bahagian tubuhnya sehingga haiwannya disembelih. “Apabila masuk 10 hari pertama (Zulhijjah) dan seorang kalian ingin berqurban, maka janganlah dia memotong rambut dan kulitnya sedikit pun.” (Riwayat Muslim).

Hikmahnya kerana orang yang berkorban menyerupai keadaan muhrim (orang yang ihram mengerjakan haji) maka dia diberi beberapa hukum yang diwajibkan atas orang yang ihram antaranya tidak boleh memotong rambut, kuku, kulitnya. Firman Allah, “Janganlah kamu mencukur (rambut) kepalamu sebelum haiwan korban sampai di tempat penyembelihan.” (Al-Baqarah : 196)

Semoga Allah memberi kelapangan kepada kaum Muslimin untuk menyempurnakan ibadah ini pada setiap tahun, dan semoga Allah menerima korban-korban yang kita lakukan untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Ahad, 22 September 2013

5 Komen
  1. Nizam permalink

    Assalam..Ustaz, insyaallah tahun ini saya akan membuat korban. Saya tidak faham berkenaan dengan maksud tulisan ustaz yang dibawah ini. Tolong terangkan dengan lebih terperinci.

    “Apabila masuk bulan zulhijjah, seorang yang ingin berkorban diharamkan memotong rambut, kuku, kulit atau bahagian tubuhnya sehingga haiwannya disembelih. “Apabila masuk 10 hari pertama (Zulhijjah) dan seorang kalian ingin berqurban, maka janganlah dia memotong rambut dan kulitnya sedikit pun.” (Riwayat Muslim).

    Hikmahnya kerana orang yang berkorban menyerupai keadaan muhrim (orang yang ihram mengerjakan haji) maka dia diberi beberapa hukum yang diwajibkan atas orang yang ihram antaranya tidak boleh memotong rambut, kuku, kulitnya. Firman Allah, “Janganlah kamu mencukur (rambut) kepalamu sebelum haiwan korban sampai di tempat penyembelihan.” (Al-Baqarah : 196)”

    • Waalaikumussalam warahmatullah,

      Maksudnya ialah seseorang yg berniat akan melakukan korban tidak boleh memotong rambut dan kuku atau bahagian pada badannya spt kulit dll dengan sengaja bermula 1 hb Zulhijjah sehinggalah binatang korbannya disembelih. Setelah disembelih barulah boleh potong kuku dll.

      Adapun menyisir rambut, ianya dibolehkan walaupun akan ada rambut yang jatuh/gugur kerananya.

      Ini kerana keadaan orang yg hendak berkorban pada masa itu mirip dengan orang yang membawa haiwan korban (ke Mekkah dalam ibadah haji), seperti dalam firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 196.

      Wallahu a’lam.

      • Nizam permalink

        terima kasih diatas penjelasan yang ustaz berikan. Ada pendapat mengatakan surah Al-Baqarah ayat 196 hanya merujuk kepada orang yang menunaikan haji, bukan orang yang akan melakukan korban. Itu menimbulkan keraguan kepada saya berkenaan orang yang hendak melakukan korban ini. Saya tidak mahu sesuatu yang saya usahakan sia2..terima kasih sekali lagi ustaz, Assalam..

  2. Benar ayat tersebut merujuk pada orang yg menunaikan haji. Pun begitu, larangan memotong bahagian daripada badan itu terdapat dalam hadis sahih di mana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

    “Apabila masuk 10 hari pertama (Zulhijjah) dan seorang kalian ingin berqurban, maka janganlah dia memotong rambut dan kulitnya sedikit pun.” (Riwayat Muslim).

    Sebahagian ulama mengaitkannya dengan ayat tersebut untuk menjelaskan hikmah/sebab mengapa adanya larangan tersebut. Tanpa mengaitkan dgn ayat tersebut sekalipun, larangan itu tetap telah ada di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

    Wallahu a’lam, barakallahu fik.

  3. Rozaini bin Abd rahman permalink

    Uztaz, Banyak terdapat lembu impot telah dikasikan, ini bertujuan untuk menambah berat badan, (cepat besar) biasanya cara kasi ini tidak melibatkan pembedahan, ternakan tidak cacat dari segi fisikal, adakah ianya dibolihkan untuk Kurban?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: